Jumaat, Ogos 12, 2011

Ramadhan ini

Satu pertiga Ramadhan sudah berlalu. Masuk sepertiga kedua, hujan turun saban petang. Peniaga bazaar adalah mereka yang paling risau. Ketika itu waktu mereka sibuk melayan pelanggan, menggoreng, membungkus, memasak dan memanggang. Hujan waktu itu bisa menghalau pelanggan menjadikan juadah di meja kaku tidak terusik. Keuntungan hari itu sekadar angan-angan.

Saya meneruskan polisi tidak ke bazaar Ramadhan. Kalau tidak memasak pun, berbuka di Masjid Putra yang menyediakan juadah berbuka yang ringkas dan solat tarawih yang tenang. Andai mahu membeli, beli sahaja di gerai atau restoran yang biasa kita singgah. Kata teman, bazaar sekadar membuka selera pada kehendak yang belum kita mahu. Perut pastilah berkeroncong, tekak pastilah mahu, nafsu apatah lagi tetapi akhirnya siapa yang boleh menghabiskan semuanya. Pasti ramai tewas dengan pembuka selera yang menggoda.


Sudah masuk tahun keempat saya menjauhkan bazaar. Bukan tidak pergi langsung, sekali dua itu terjejak juga. Sekadar mencukupkan syarat. Tetapi selalunya hadir dengan rungutan - parkir susah, jalan sesak, membeli pun bersusah payah. Ah, ke gerai biasa sahajalah!

Kalau betul mahu ke bazaar, blog ini ada senarai yang boleh dijadikan panduan walaupun tidak lengkap.

Selamat berpuasa. Usah membazir dalam membeli juadah berbuka!

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...