Dalam kumpulan seramai sembilan orang pelajar yang sama masuk
mendaftar semester lepas, ada seorang yang selalu aku perhatikan ketika
kuliah. Sebenarnya aku perhatikan semua - dah memang itulah cara aku
menilai dan menapis maklumat. Namun dia berbeza pada pandanganku. Dia
pelajar dari seberang dan pelajar sepenuh masa. Aku pula berstatus
separuh masa tetapi kelas pada hari bekerja pun aku ambil dan sering
berlari-lari dari pejabat ke kuliah, dari assignment dan mesyuarat
pejabat.
Pada minggu-minggu awal, aku perhatikan dia
menulis di belakang manual pelajar yang dibekalkan kepada setiap
pelajar. Dia tulis menggunakan pensil. Aku mula bersikap sinis, hendak
belajar tak ada alat tulis yang lengkapkah? Dalam kelas aku perhatikan
tak pernah dia terlelap mahu pun menguap, bukan seperti kami yang lain.
Dia tunduk dan tekun menghadam bait kata pensyarah. Sesekali
mengemukakan soalan. Tak pernah di amemegang henfon atau gajet seperti
yang lain. Atau mungkin juga dia tidak mempunyai henfon. Orangnya kecil
sahaja tetapi suaranya kuat. Matanya bulat menampakkan dia seorang
bercita-cita tinggi. Kulitnya hitam sawo matang dan dialek Jawa kuat
melekat pada bicaranya.
Selepas beberapa minggu dapat
aku perhatikan dia menulis di atas buku yang tidaklah setebal yang aku
miliki. Ya, sudah miliki buku nota yang berupa buku latihan sekolah.
Namun dia masih menulis menggunakan pensil. Buku itu dipakai pada semua
kelas yang dia hadiri. Dia tidak menyalin nota yang panjang,
kadang-kadang sempat aku jeling tak sampai pun satu muka. Tulisannya
halus bagi menjimatkan ruang. Kalau dia mencetak nota atau bacaan yang
diminta oleh pensyarah, dia memaksimumkan penggunaan kertas. Kalau kawan
yang lain mencetak satu halaman artikel pada sehelai A4, atau yang
biasa aku lakukan dua halaman dalam satu helai, dia pula aku lihat
mencetak enam halaman dalam satu helai. Six in one. Kecil, memang
nampak kecil. Apatah lagi sehelai cetakan berharga tiga puluh sen yang
pada aku mahal bagi pelajar jauh sepertinya.
Aku kian
memasang pandangan kepadanya pada kesempatan kelas yang kami bersama -
sebenarnya sama paa semua kelas. Barulah aku perasan dia memakai baju
yang sama setiap kali kelas. Mungkin kerana kami bertemu empat kami
seminggu pada semester lepas, maka aku dapat kesan kemeja itulah yang
tersarung ke badan. Cuma sekali dua sahaja tersarung kemeja lain. Aku
pernah cuba berbual, bertanyakan soalan-soalan ringkas tentang asal
dirinya tetapi dia juga sepertiku, berat mulut. Sepatah ditanya sepatah
dijawab. Tetapi dia bukanlah pendiam, aku lihat dia ramah sahaja dengan
rakan yang lain. Mungkin aku belum temui topik perbualan yang boleh
masuk dengan dirinya.
Semester ini dia terlewat sebulan
kerana urusan visanya tidak selesai-selesai di sana. Dia menyertai kami
selepas tiga minggu kelas bermula. Dia tetap menjadi perhatianku. Tidak
ada perubahan pada dirinya. Masih menulis menggunakan pensil. Bukunya
aku lihat pun masih buku latihan yang nipis. Notanya masih pendek dan
tulisan tetap halus. Kemejanya juga sama seperti semester lepas, malah
sudah tiga minggu aku lihat kemeja itulah juga yang disarungnya dalam
kelas. Semester ini barulah aku dapat tahu maklumat tentang dirinya
selepas sesi perkenalan dibuat di kelas. Dia rupanya sudah menyelesaikan
sarjana di UM beberapa tahun yang lalu dan kini sedang dalam perjalanan
Ijazah Doktor Falsafah. Dia menyewa bersama seorang rakan sekelas yang
sering aku lihat datang dan pulang bersama. Aku tidak tahu pula apa yang
dimakan, bagaimana bilik sewanya atau perjalanannya ke kuliah. Aku
pasti dia menanggung bebanan kewangan yang sungguh mencengkam tetapi aku
dapat melihat dia selalu meninggalkan kesukaran itu di bilik sewanya.
Ketika di kelas, dia adalah seorang pelajar yang sangat dahagakan ilmu
walau pun aku tahu dia diselubungi kekurangan dalam perjalanan
kesarjaannya ini.
Aku pasti dia akan menjadi seorang
yang berjaya suatu hari nanti. Hanya jika dia masih kekal menjadi
dirinya seperti hari ini. Aku doakan agar kau berjaya menjadi manusia,
sahabat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari
Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...
-
Alhamdulillah, berita yang sedap untuk di dengar di penghujung Ramadhan. Akhirnya, penantian lebih setahun Tee Hui Yi, 14, berakhir semalam...
-
Saya tahu, sesiapa yang meyinggahi blog ini tertanya mengapa saya tidak mengemaskini atau menghantar entri terbaru. Bukan sekadar pengunjung...
-
Terdengar lagu ini dalam kereta ketika memandu ke pejabat pagi tadi. Bait-bait liriknya indah di telinga dan sedap dibibir. Cepat-cept cari ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan