Begitu banyak kenangan bersama Mok. Kucing jalanan yang diberi makan, kemudian dibawa ke hospital dan dipotong kakinya kerana luka teruk. Kesan dari kehilangan kaki, doktor menasihatkan kami meletakkan dalam rumah supaya keadaannya lebih selamat. Tapi sebelah siang, kami lepaskan Mok supaya dia dapat hidup seperti biasa. Sejak itu, Mok menjadi kucing kesayangan. Setiap kali balik kerja, Mok akan berlari-lari menuju ke pagar terloncat-loncat dengan kaki tiganya. Pukul 5 pagi, dia akan panjat katil dan minta makanan. Kalau tak bagi, dia akan protes kencing depan peti sejuk atau depan mesin basuh walaupun pasir dia ada sebelah mesin basuh --- memang mengundang kesabaran. Ada masanya Mok akan tidur sama-sama sebelah malam, kemudian turun naik katil bila rasa panas dan rimas. Mok dikenali ramai kerana berkaki tiga. Setiap orang yang datang rumah, akan kenal Mok.
Tapi malam tadi Mok dah tak ada. Aku pula masih terasa dia panjat katil pukul 5 nak minta makanan sambil ajak tahajud sama. Selamat tinggal Mok. Kenangan akan disimpan sampai bila-bila.