Isnin, September 19, 2011

Belian buku September


Minggu lalu dengan dua kali membeli buku. Pertama dengan jualan gudang MPH di Petaling Jaya. Pertama kali tiba tiba disini. Rasa terharu dengan gudangnya yang besar dan susun atur yang kemas. berbeza dengan susunan di jualan gudang Dawama (dulu, sekarang tak ada lagi). Namun tak berkesempatan membelek satu-satu. Bukunya terlalu banyak. Duduknya diatas lantai. Jadi untuk mencangkung, membongkok dan berdiri, kemudian mencangkung, membongkok dan berdiri untuk melengkapkan pusingan gudang memang tak mampu. Boleh patah pinggang dibuatnya. Masa pun terhad. Apatah lagi 95% adalah buku berbahasa Inggeris. Pilihan saya sekarang terhad pada buku bahasa ibunda. Kalau saya beli pun, nanti duduk sahaja di rak. Ada buku yang telah menjadi prioriti hingga hujung tahun. Jadi, yang di dalam gambar itu sahajalah yang dapat saya beli. Termasuk Nota Kaki yang sangat menarik harganya. Dan Histroy of Iran yang jarang ditemui.

Kali kedua ialah ketika beraya di rumah penulis Nisah Haron, pemilik dan pengusaha Ujana Ilmu yang sangat gigih. Rumah penulis, mestilah banyak buku. Dan rak serta kamar Ujana Ilmu menjadi sasaran buku yang perlu dilengkapkan dalam koleksi. Paling menarik ialah Iga karya Zaen Kasturi. Kekasih Sam Po Bo pernah beli tetapi dijadikan hadiah kepada teman jauh. Jadi, pembelian adalah untuk menambah-nambah khazanah.

Cukup dua trip. Kena menyimpan untuk Big Bad Wolf pula awal bulan depan.


Selasa, September 13, 2011

Igau yang kembali menyapa


Saya pulang ke kampung sebaik sahaja selesai waktu pejabat pada petang Jumaat yang disiram hujan renyai-renyai. Sepanjang perjalanan berteman dingin. Hujan tidak berhenti sejak saya mula bertolak. Kabus menutupi pandangan tatkala melewati kawasan berpokok rendang. Kereta membelah senja pada kelajuan sederhana. Jalan licin dan pemandangan terhad boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya tidak berhati-hati.

Saya tiba dipintu rumah beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang. Sebaik memakir kereta, beberapa ekor kucing yang emak bela sudah menanti dan menggeselkan badannya di kaki saya. Pokok kelapa yang sudah tinggi melangit kelihatan dahannya terbuai-buai ditiup angin. Beberapa pelepah kedengaran jatuh mencium tanah. Esok nanti pasti abah akan berpusing sekitar rumah mencari apakah ada kelapa yang gugur, yang nanti boleh emak perah santannya ke dalam lauk-lauk atau kuih muih. Pelepah yang sudah dimakan usia itu akan abah heret ke tempat pembakaran. Apabila kering nanti, abah akan cucuh dengan api. Maraknya cepat sahaja meninggal abu.

Pokok-pokok bunga dalam pasu kelihatan menggigil kesejukan. Pokok bunga kertas yang dicantas rapi sedang ralit mengeluarkan bunga merah. Beberapa kuntum layu jatuh mencium rerumput yang segar menghijau. Pokok puding disebelahnya tunduk memeluk dahan. Titis-titis air hujan pada helaian daunnya turun ke tanah, ke akar yang kian mencengkam ke dasar bumi.

Usai solat Maghrib, saya mencapai pinggan, membuka periuk di dapur. Masakan emak berbeza hari ini daripada biasa kerana dia tahu yang saya biasanya pulang dalam keadaan lapar. Mengenepikan makan tengahari supaya dapat menyantap lauk emak yang lazat. Saya lalu membawa pinggan yang membusut dengan nasi, sayur dan ikan asam pedas ke meja makan.

Sebaik suapan pertama mencecah kerongkong, adik bongsu membuka buku sekolah. Dia menunjukkan kepada emak kerja rumah yang perlu di selesaikan hari ini. Emak yang sedang melipat kain sambil matanya terpaku pada Gerak Khas di kaca tv, melihat buku adik bongsu dengan ekor matanya. Belajar di Sekolah Melayu yang tidak habis kerana sering ponteng, apa sangatlah yang dia tahu akan apa yang tertulis pada buku latihan adik bongsu.

“Minta Along tunjukkan. Emak mana tahu bahasa orang putih ni,” kata emak. Adik bongsu terkial-kial melihat soalan. Saya melihat dari jauh. Emak bukannya tidak tahu membaca atau menulis, tapi tahapnya sekadar dalam bahasa ibunda.

“Macam mana nak buat kerja sekolah kalau soalan dalam Bahasa Inggeris. Emak tak tahu nak ajar. Nak tunggu abah kau, lepas Isyak terus dengar ceramah. Ada kuliah, ada tazkirah, ada kenduri, ada baca Yassin, ada tahlil, ada mesyuarat. Nak suruh adik kau yang lain, menangis tangan budak ni diketuk-ketuknya. Dikata adik bongsunya ni bodohlah, beranganlah, tak pandailah. Semua jenis tak sabar.” Emak berbicara separuh membebel, sekaligus menyimpulkan kesukaran adik bongsu menyiapkan kerja rumah.

Saya mengerti apa yang emak katakan. Abah pernah mencecah sekolah Inggeris tetapi sumber kewangan terhad menyebabkan dia perlu melepaskan pulang belajar tinggi kepada adiknya. Abah boleh mengajar, pernah mengajar sekolah agama rakyat tetapi masa abah pula suntuk. Dua orang adik yang tinggal bersama pun tidak boleh membantu. Bahasa Inggeris, apalah sangat pada kami luar bandar ini?

Kerja rumah matematik yang adik bongsu perlu siapkan itu dalam Bahasa Inggeris. Soalannya tidak susah. Boleh sangat disiapkan. Tetapi siapa yang boleh mengajar mereka di rumah? Siapa yang boleh membantunya membacakan soalan dalam Bahasa Inggeris? Siapa boleh memahamkan soalan? Siapa yang boleh menunjuk ajar?

Emak tidak faham Bahasa Inggeris, abah tahu sedikit-sedikit. Saya yang dahulu belajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu boleh mengajar adik bongsu yang mahu menyiapkan soalan matematik dalam Bahasa Inggeris. Saya dahulu cuma belajar Bahasa Inggeris dalam kelas Bahasa Inggeris. Bukan belajar Bahasa Inggeris dalam kelas sains dan matematik. Saya tidak tahu nanti, apakah adik bongsu faham matematik, sains atau lebih hebat berbicara dalam Bahasa Inggeris.

Saya bukan mahu menentang keberadaan bahasa penjajah itu, tetapi bukankah lebih baik Bahasa Inggeris di ajar dengan lebih menarik dalam matapelajaran Bahasa Inggeris tu sendiri. Bukannya menjadi serampang dua mata dalam matapelajaran sains dan matematik, yang semakin disukarkan pembelajarannya. Yang kian mengundang trauma untuk tahu lebih lanjut akan sains dan matematik.

Saya terus menyuap nasi sambil adik bongsu menanti saya mengajarnya sebentar nanti. Hujan sudah berhenti. Katak mula memanggil hujan kembali. Dingin kian memeluk malam.

Isnin, September 12, 2011

Bukan sebarang teknik


Ada sesuatu yang menggelitik tangkai hati tatkala membaca tiga buah cerpen dari buku ini. Awalnya saya teruja dengan permulaan yang memikat, kemudian dibuai-buai dengan cerita, dipertengahan pula emosi dimainkan, lalu masuk kedalam jiwa pengarangnya menjadikan saya seorang watak dalam watakk-watak yang ada. Tidak kiralah kerusi, cawan, kereta adau sebatang rokok. Kemudian saya menggambarkan setiap bait kata dalam cerpen ini dan memvisualkan setiap perbualan seolah-olah ia benar-benar berlaku dihadapan mata.

Kemudian berlaku sesuatu dan tamat. Di penghujungnya saya rasa seperti mahu melompat-lompat, atau panjat kerusi dan terjun ke lantai atau berguling-guling di ruang tamu. Kemudian ketawa. Seminit kemudian saya insaf, inilah teknik kepengarangan yang membolehkan pembaca menjiwai cerpen yang dikarangnya. Gaya yang bukan datang secara tiba-tiba, bukan dapat dari kuliah, bukan wujud dari mana-mana buku teks. Kalau ada pun, apakah sama teori dengan kenyataan?

Cerpen Pertemuan berkisar pertemuan seorang teruna dan dara. Dengan gaya seorang gentleman, teruna (saya) mengajak dia makan disebuah Snack Bar saat melihat dia keseorangan menunggu teksi ke rumah kawan. Cerita sekadar di meja makan. Saya berbual-bual dengan dia, memesan makanan sambil membayangkan apa yang mahu dilakukan selepas ini. Agak nakal saya berfantasi dan usai makan, sehelai nota kecil dari pelayan menyebabkan saya terus berdalih untuk menghadiri mesyuarat malam nanti,bukan meneruskan angan-angan nakalnya dengan dia.

Selama sepuluh minit saya berfikir, apakah yang dituliskan dalam nota tersebut? Dia pisau cukur, pelacur, anggota penjenayah terancang, gadis tidak siuman yang cantik ataupun sebenarnya lelaki?

SN Usman Awang membiarkan pembaca menjawabya sendiri.

Cerpen Rimbaku, Air Mataku pula lebih memikat. Watak-watak dalam cerpen ini adalah keluarga rusa yang menjadi mangsa pembangunan. Pembaca hanya akan sedar bapa, ibu, aku, adik dalam cerpen adalah keluarga rusa apabila tiba pada ayat 'sebentar kemudian kulihat bapa mendekati beberapa kelompok pohon lalu memakan pucuk-pucuk yang sedang segar itu.' Pastinya kita kan rasa hairan, manusia spesis apa pula yang makan pucuk segar sebegitu rupa? Kalau pun ulam, ianya dipetik dahulu. Apabila tiba pada ayat seterusnya, lebih membingungkan. 'Aku terkecur juga melihat bapa mengunyah pucuk-pucuk muda yang menjadi idaman dan kegemaran kami itu.' Dari sini pembaca sudah boleh menangkap yang watak tersebut sudah pasti bukan manusia.

Cerpen ini tentang haiwan yang kehilangan habitat tatkala pokok-pokok ditebang dan sungai menjadi lubuk racun. mereka merasa tidak selamat apabila menjadi buruan senapang pemburu, kehilangan sumber makanan dan air yang tidak selamat untuk diminum.Ceritanya ringkas tetapi sarat maksud. Apatah lagi mengangkat watak haiwan, kita sebagai manusia terasa sangat berdosa mengabaikan makhluk Tuhan.

Cerepn ketiga berjudul Betisnya Bunting Padi. Melihat judul, sudah pasti betis itu milik seorang dara. Betis digambarkan sangat indah. Kembang bulat, benar-benar seperti padi bunting. Maka pembaca pun hanyut dalam imaginasi aku yang berhasrat mahu memegang, menyentuh, mengusap malah meramas, menikmati betis yang bulat penuh. Aku mahu merasai kenikmatan itu tetapi belum ada kesempatan. Dia cuma sempat membandingkan dengan betisnya yang berbulu dan gelap dengan betis temannya yang cantik.

Ah, apakah ini, cerita tentang betis, tentang ramas-ramas dan usap-usap pula. Tetapi jangan terperangkap dengan imaginasi sendiri. Si pemilik betis bunting padi digambarkan sebagai seorang yang tidak menghargai kecantikan betisnya yang menurut aku haruslah digunakan dengan bermain bola misalnya. Kaki yang mempunyai betis secantik itu menurut aku mestilah bertuah kalau main bola. Tetapi pada betis itu kemudiannya sebiji mata ikan telah duduk betul-betul pada buah betisnya. Aku diberi peluang menekan kawasan mata ikan, maka aku berpeluang menyentuh betis bunting padi itu.

Sebelum imaginasi penmbaca terbuai jauh, datang pula ayat berikut:

Ketika isterinya keluar membawa dua cawan kopi, sahabatku itu masih lagi melumuri betisnya dengan minyak'

Eh, apakah ini? Isteri bawa kopi, jadi siapa pemilik betis bunting padi? Kemudian ayat berikut:

"Abang Manap memang begitu. Dulu pun bisulnya tumbuh pada betis juga. Entah apa kenanya itu tak tahulah," kata isterinya.

Danggggggggg!!!


Dua perenggan selepas itu kalau tak baca pun tak apa.



Soalan raya yang klise

Kepada sesiapa sahaja, jemputan rumah terbuka sempena Syawal memanglah berderet-deret setiap Sabtu dan Ahad. Itu pun berselang seli dengan undangan perkahwinan. Belum lagi jamuan oleh syarikat sendiri, jemputan pelanggan dan rancangan untuk mengadakan rumah terbuka sendiri. Itu pun belum lagi rancangan menziarahi jiran di sebelah menyebelah. Ada kalanya tak sempat kerana jiran pun sibuk memenuhi undangan luar.

Dua tiga tahun kebelakangan ini, ramai mengeluh jalan-jalan sekitar ibu kota sesak yang teramat sangat pada Sabtu dan Ahad. Ramai orang keluar berhari raya, ramai yang terlewat hadir kerana tersangkut dalam kesesakan, malah banyak yang terpaksa meninggalkan jemputan dek kerana letih memandu. Maka facebook menjadi ruang pertemuan untuk mana-mana jemputan yang tidak sempat disinggahi.

Ada sesetengah orang beranggapan jemputan rumah terbuka adalah ruang untuk saling mengenali apatah lagi jika terlibat dalam perniagaan. Mencari pelanggan, mendapatkan kontrak, mengenali pengedar atau mendapatkan ruang untuk menyelit dalam perniagaan. Manalah tahu rezeki terpijak. Jemputan yang hadir pun bukan calang-calang dan bukan sebarangan. Lihat dari pakaian dan beg tangan yang dibawa pun sudah menunjukkan dia itu siapa. Itu belum lagi dengar tutur bicaranya yang sekerat ular sekerat belut. Gaya orang kota.

Jadi dari mengelakkan dari menjadi bodoh sombong - tak kiralah kita datang oleh jemputan atau sebab mahu meluaskan contact -  say aperturunkan soalan-soalan yang patut ditanyakan bagi memenuuhi masa lapang ketika menghadiri jemputan. Kita harus ingat, tuan rumah sangat sibuk melayan semua tetamu dan kita bukanlah sesiapa dimatanya ketika itu. Ada lagi orang lebih penting. Jadi,daripada duduk membatu di sudut rumah sambil berulang alik membawa pinggan kosong, maka eloklah bertegur sapa dengan soalan-soalan klise berikut. Pastikan anda menggunakan sapaan yang betul supaya tidak silap bicara.

  1. Boleh tahan ya jalan sesak, nampaknya semua orang ke rumah terbuka. Datang dari mana?
  2. Sudah lama datang /  Baru tiba?
  3. Banyak rumah terbuka hari ini?
  4. Tadi saya dari ........... terus ke sini. Mujurlah jalan tidak sesak.
  5. Cuaca hari ini panas / redup /  hujan.
  6. Kawan kepada ........... (suami tuan rumah) atau ......... (isteri tuan rumah)?
  7. Tinggal di mana? 
  8. Datang dengan siapa?
  9.  
  10.  
  11.  
  12.  
Akan dikemaskini dari semasa ke semasa

Akhir sekali soalan:
Boleh dapatkan no telefon, manalah tahu pusing-pusing sekitar ..................... (tempat tinggal kawna baru tu). 

Bila dah dapat no telefon barulah boleh tanya nama.

Akhirnya kita akan dikenali sebagai orang yang tidak sombong meski pun kita ini berat mulut.

Amacam, ok?

Sabtu, September 10, 2011

Libang libu pasca raya



Pasca raya, perbualan berkisar keluhan. Mengeluh harga barang kian naik tetapi gaji tidak naik, mengeluh bonus tak banyak tetapi barang yang nak dibeli kian banyak, anak saudara bertambah saban tahun perlu diberikan duit raya, lebuhraya yang kian sesak biarpun bayar tol, jalan kampung yang berlopak-lopak kerana peruntukan dipotong dek ekonomi tak bagus. Gaji perlu dicatu untuk untuk beli barang-barang sambut raya, ongkos balik kampung, belanja di kampung, beri duit raya. Mengeluh dan merungut.

Ketika memandu ke pasar bagi membeli kuih-muih untuk jamuan raya pejabat yang ringkas (kerana peruntukan dipotong), dia yang duduk di sebelah mula bersuara. Dia ambil kisah saudara mara yang pulang ke kampung. Katanya orang kaya dan orang miskin hidup mereka sangat berbeza. Orang miskin masih mampu menghulur duit raya yang banyak tetapi orang kaya semakin kedekut. Bila buka sampul, cuma ada sehelai wang kertas warna biru. Orang miskin boleh bagi lima helai wang kertas warna biru, atau sehelai wang kertas hijau. Ada yang bernasib baik dapat warna merah.

Lampu trafik berwarna merah dan kereta berhenti. Namun mulutnya tak henti mengeluh. Katanya lagi orang kaya semakin kedekut kerana terlalu bergaya. Beli rumah besar dan kereta besar menyebabkan gaji cukup-cukup untuk makan sampai hujung bulan. Kereta mestilah keluaran luar negeri kerana ada kelas dan eksklusif. Baju mestilah ada nama dan ranggi. Kasut mesti berkilat dan jenama terpampang jelas. Beg tangan kena beli di butik bukannya celup di Jalan Tunku Abdul Rahman. Telefon bimbit selang tiga bulan mesti bertukar dengan keluaran terkini. Makan seminggu sekali mestilah di restoran barat yang sekali makan cecah tiga angka. Gaya mesti ada, hidup mesti selesa. 

Tetapi, katanya lagi, siapa tahu hujung bulan dia makan atau tidak. Bil elektriknya entah berapa bulan tertunggak, Astro cuma ambil pakej paling murah. Mujurlah bil air tak perlu bayar kerana kerajaan negerinya adalah kerajaan berkebajikan. Bila gaji hujung bulan mulai menyusut, kad kredit jadi sasaran. Belanja tetap belanja. Bila rasa kad kredit pun dah cecah paras bahaya, mohon pula pinjaman peribadi. Bukankah bank kata boleh lulus dalam masa dua jam? 

Lampu bertukar hijau. Saya memasukkan gear satu lalu kereta melompat laju. Dia sambung cerita. Ketika di kampung, saudara maranya yang kaya-raya itu cuma sesekali menghulurkan duit untuk belanja dapur sedangkan masakan itu nantinya untuk perut mereka anak beranak mereka juga. Akhirnya, dia juga yang perlu ke pasar, perlu ke kedai, bertungkus lumus di dapur, sedangkan saudara maranya itu pagi keluar beraya, senja baru balik. Malam keluar beraya, tengah malam baru pulang.

Saya membelok ke kiri menghampiri pasar basah yang bukan sahaja menjual sayur, ikan, udang, sotong, tetapi juga kuih-kuih pada kedai sederet menghadap pintu masuk. Dia mengeluh sambil menggelengkan kepala beberapa kali. Saya selesa diam. Kereta buatan tempatan saya itu kadang kala tersengguk-sengguk bila gear bertukar. Dia di sebelah tidak pun mengomel tentang itu. Mungkin dia tahu ini adalah kereta tempatan. Bukan keluaran luar negeri seperti saudara maranya yang ada kelas dan eksklusif itu. 

Kami keluar dari kereta dan dia menyambung lagi. Katanya, mereka yang kaya itu kian miskin budi bahasa. Sudah duduk kota, balik kampung pun mahu bicara guna bahasa orang putih. Cakap sekerat belut sekerat ular. Macamlah pakcik makcik mereka faham apa yang mereka cakap. Sudahnya, pakcik dan makcik mengumpat mereka kembali dalam bahasa Jawa. Sambil bercakap itu pula, katanya lagi, sekejap-sekejap belek telefon yang canggih, sekejap-sekejap senyum dengan telefon, sekejap-sekejap menaip entah apa-apa. Hilang rasa hormat dengan orang tua.

Kami tiba di gerai pertama. Ada kuih warna merah, warna kuning, warna hijau, warna coklat, ada yang di kukus, ada yang di goreng. Bau nasi lemak, sup, kuih laksa, sambal tumis, rendang, teh tarik, kopi pekat dan nescafe berlumba-lumba menerjah deria bau. Dia memuncungkan mulutnya melihat kuih yang kian kecil saiznya. Berapa kira, dia bertanya kepada penjual. Satu empat puluh sen, balas penjual. Lima dua ringgit, sambungnya lagi.

Saya bertanya kepada dia yang mula memasukkan kuih warna hijau putih ke dalam bekas polisterin. Berapa peruntukan kita, soal saya. Dua puluh ringggit. Ini pun spesis orang kaya kedekut, katanya dengan nada marah. Makan pun hendak catu. Kalau nak buat jamuan raya, buatlah betul-betul. takkan nak bagi pelanggan makan kuih sahaja, bebelnya lagi. Saya membalas, tapi kita cuma jemput kakitangan, bukan pelanggan. Dia menjeling saya. Ya, nasib baik kita nasihatkan dia begitu. Kalau tidak, pelanggan makan kuih dengan air sirap, balasnya lagi.

Saya senyum sambil memandang ke arah mee hoon sup yang sedang berasap dibawa pelayan ke meja pelanggan. Selera tiba-tiba terbuka, perut mula berbunyi. Baru saya ingat sejak pagi belum makan apa-apa, kerana mahu makan banyak-banyak ketika jamuan nanti. Kuih pun kuihlah, getus hati saya.

Saya terasa tangan saya di tarik segera ke kereta. Cepat balik ke pejabat, katanya lagi. Kita kena potong kuih ini lebih kecil supaya tetamu dapat rasa semua kuih.

Saya ketawa sambil menghidupkan enjin. Cuma ketawa dalam hati.

Selasa, September 06, 2011

Lari, lari, kita lari


1)
Rancangan tv masih banyak berkisar raya. Bosan pun ada juga. Tekan-tekan punat Astro, termasuk ke ruangan sukan. Ketika ini memang sedang heboh dengan Kejohanan Olahraga Dunia di Korea Selatan (dah habis pun). Para atlit dunia dalam acara olahraga berkumpul menandingi kehebatan masing-masing, mencari siapa terpantas (berlari), tertinggi (melompat), terbanyak (kumpul mata), terjauh (membaling), dan terhebat dalam lapangan masing-masing. Bagi para atlit, kejohanan ini dianggap sebagai pemanas badan atau misi mengenali musuh dan menjangka kehebatan pesaing sebelum berlangsungnya Olimpik Britain 2012 tahun hadapan. 
Dah macam pengulas sukan pula.
Acara yang ditunggu sudah pastilah 100m bagi mencari siapakah pelari terpantas di planet bumi. Usain Bolt yang dinantikan lariannya dibatalkan penyertaan kerana  false start lalu memberi peluang teman senegara, Yohan Blake menjadi juara. Namun begitu, Bolt tak pernah menghampakan lalu menebus kekecewaan 100m dengan mendapatkan emas bagi acara 200m pula.
Begitupun, acara 4x100m lelaki menjadi kemuncak yang penuh dramatik. Dilangsungkan sebagai acara terakhir, Jamaica memecahkan rekod dunia dengan satu persembahan yang mantap. Bayangkan sahaja dalam empat pelari yang melengkapkan satu pusingan 400m, pelari USA jatuh tergolek, Perancis terlepas baton, Usain Bolt lari macam melompat, Saint Kitts and Nevis dapat gangsa. Eh, dimana pula ceruk Saint Kitts and Nevis ni sampai boleh masuk Kejohanan Dunia? Apa bezanya Malaysia? Dimana atlit Malaysia ketika kejohanan ini berangsung? Mabuk ketupat dan rendang?
 Bezakan saiz badan mereka dengan atlit kita. apakah atlit kita tak cukup makan, kurnag zat atau kurang latihan sehingga mereka tertinggal jauh dibelakang. Tak usah bandingkan dengan atlit Afrika atau Eropah, lihat atlit Korea Selatan atau China atau Jepun atau terdekat, Thailand pun sudah cukup membezakan. 
Patriotisme? Mata duitan? Entahlah.
Atlit Malaysia juga ada bertanding disini. Tetapi janganlah dnegan alasan mengutip pengalaman, mahukan pendedahan. Alasan ini sudah lebih 10 tahun diguna pakai setiap kali hantar atlit ke luar negara. Bila pula mahu maju ke haapan? Kejayaan dalam olahraga kian berkurangan, kian menyuramkan. Persatuan bercakaran, atlit kebingungan.
2)
Sukan khususnya olahraya memberi banyak nostalgia kepada saya. Pernah jadi atlit, pernah jadi pengurus, wakil sekolah sampailah wakil U (wakil negara sungguh tak layak). Segala sepak terajang dan birokrasi sudah saya telan. Pernah berangan jadi atlit negara yang sungguh Muslimah. Saban petang berlatih di tepi tasik bagi menguatkan stamina, setiap semester tak balik rumah sebab menyertai pelbagai acara. Setiap kali ada acara sukan, sayalah orang yang terpacak depan tv. Sebutkan apa sahaja - Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Olimpik, Piala Dunia, Piala Malaysia. Siapa menang, siapa kalah, siapa hebat, malah boleh saya sebutkan sejarahnya sekali tanpa silap. Semuanya dihujung jari. Tiada satu pun terleps dari tatapan saya. Setiap suratkhabar jadi sasaran, buat buku skrap dan simpan segala liputan dan berita kejohanan. Sehingga kini, berkotak-kotak khazanah saya simpan sebagai kenangan. Sambil menonton itu pula, berangan juga nak jadi pengganti Dato Rahim Razali, Datuk Hasbullah Awang atau Sherkawi Jirim, jadi pengulas sukan wanita pertama di Malaysia. Bercakap depan tv, depan cermin, dan kemudian saya menyedari yang saya tidak petah berbicara!
Itu semua kenangan yang tiba-tiba mengusik memori tatkala melihat kejohanan dunia ini. Ada banyak perkara menarik yang mengusik sebenanrya. Tba-tiba juga terasa mahu meluahkan segalanya disini. Apakah ia bakal menjadi satu catatatan Kenang-Kenangan Seorang Atlit? Heh!

Sabtu, September 03, 2011

Mau tulis apa?

Banyak perkara yang mahu dituliskan disini, tapi tidak tertulis. Banyak yang mahu dikata tapi tidak terucapkan. Maka ia terus tersimpan, terkunci dalam diri, terbenam dalam hati, tersisip kemas dan kejap hingga kemudian hilang dimakan hari.

Begitulah hasil jika selalu bertangguh, menangguh, menanti dan ternanti.

Eid mubarak. Kullu 'amm wa antum bikhair. Semoga eid memberi lebih pengertian terhadap kejayaan kita kembali kepada agama. Selamat tinggal Ramadhan. Jumpa lagi tahun depan andai Tuhan masih mengizinkanku bernyawa lagi.


0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...