1)
Tahun baru masihi. Jalan cukup lengang dari Putrajaya menuju Damansara melalui LDP. Jam menunjukkan pukul 12, tetapi hari cuti pada awal tahun baru mungkin memberi mood segar kepada penghuni kota supaya tidak keluar, sebaliknya bermalas-malasan dirumah atau mungkin di atas katil. Mungkin ramai yang masih lena sesudah penat berjerit tempik dan berhibur di mana-mana arena malam tadi – sempena sambutan tahun baru yang mengkhayalkan dan melalaikan.
Hari ini, di awal tahun aku akan bertemu Kiah dan Norul di Borders, The Curve. Ini pertemuan pertamaku dengan mereka, kerana sejak tamat belajar, masing-masing membawa haluan. Kiah dan Norul selalu juga bertemu, masalahnya aku ini yang sentiasa ketinggalan.
Kami sengaja memilih Borders, kerana aku belum pernah ke sini manakala Kiah pula tidak mahu ke KL yang cukup menyesakkan apabila cuti. Sementara menanti mereka tiba, aku memilih beberapa buku di Borders dan MPH, buku yang aku jadikan sumber dan menambah bahan penulisanku selepas ini.
2)
Kami – aku, Kiah dan Norul - ketiga-tiganya anak sulong dan masih solo. Sepertimana aku sebutkan, kami dahulu ditemukan oleh buku. Dari Kiah aku belajar mengenali DBP, dibawa menyertai program baca puisi di rumah Pena, berkenalan dan mengenali Sasterawan Negara, membakar semangat aku (dalam diam) untuk menulis sekaligus menyebabkan aku berada di dunia aku sendiri sekarang ini. Dia aktif dengan persatuan yang ada hubung kait dengan seni dan budaya, sambil-sambil terlibat dengan Kelab Debat UIA yang mahsyur itu. Aku pula memilih haluan lain – yang tidak semua siswa siswi UIA sanggup – panjat gunung, turun bukit, berekpedisi, berbasikal, berkayak, berkhemah, belajar tentang paramedik dan standby duty, aktiviti kolej dan kuliyyah dan macam-macam perkara yang menjadi kenangan yang cukup indah dalam hidupku. Norul pula mempunya komitmen dengan keluarga – tetapi kekaguman aku dengannya ialah bila bercerita, dia tidak boleh berhenti dan ceritanya pula macam-macam. Selalunya aku akan ternganga dan terdiam.
Tetapi kali ini buku bukan lagi topik wahid. Masing-masing yang sudah bekerja dan bekerjaya membuka cerita tentang dunia yang satu itu. Aku banyak mendiamkan diri, memandangkan suasana kerjaku yang tidak memberangsangkan dan jauh dari apa yang mereka bualkan – ISO, SOP, rules & regulation, procedures. Oh, kalau aku buka cerita, memang semuanya tidak menepati peraturan dan standard dunia kerja. Tempat kerjaku cacamerba dan huru hara. Penuh birokrasi dan prejudis.Tetapi aku berdiam diri bukan sahaja kerana itu, tetapi juga kerana merasa loya, meluat dan bosan bila topik perbualan juga berkisar tentang kerja. Rasanya aku sudah tidak boleh menerima perkara-perkara yang boleh menambahbaik situasi mahupun memperbaiki prestasiku. (Apakah ia petanda aku harus tukar kerja?)
Aku belajar, melihat dan meneliti tentang apa yang mereka bualkan. Sesekali aku termenung memikirkan, bila agaknya syarikat aku akan menjadi seperti mereka? Mungkinkah kerana ia di miliki oleh seseorang yang mempunyai kuasa penuh dan boleh membelakangkan Ahli Lembaga Pengarah, maka semua keputusan boleh dibuat dan bertukar sesuka hati mengikut mood Pengarah? Entahlah, dan aku berdoa yang baik-baik sahaja.
3)
“Aku belum habis baca Tuhan Manusia (TM),” kata Kiah sewaktu melangkah ke escalator. “TM aku dapat sempena hadiah harijadi, kemudian adik aku beli pula TM. Jadi sekarang ada dua,” sambungnya.
“Aku belum beli lagi,” kata Nurol. Mungkin dia belum bertemu lagi dengan kedai yang menjual TM. Aku memandang kedua mereka. Inilah titik persamaan yang aku maksudkan itu.
“Beli online-lah. Lagi senang,” balasku. “Aku dah habis baca. Buku yang bagus.mula-mula rasa berat. Tetapi bila tiba ditengah, kau akan laju sahaja membacanya,” sambungku.
Memang begitulah perasaanku bila membaca TM. Diawal buku, aku berkerut-kerut dahi cuba menghubungkaitkan peristiwa yang berlaku didalamnya dengan idea dan prinsip serta unsur falsafah pluralisme dan liberalisme.
“Kau beruntung dapat berguru dengan Faisal,” kata Kiah. Aku terdiam seketika. Memang ramai yang berkata begitu.
“Alhamdulillah, memang banyak aku belajar. Peluang yang tak semua orang dapat,” balasku. Kemudian perbualan kami berkisar pula tentang FT – gaya penulisannya, buku-buku yang ditulisnya, kajian yang dilakukan serta hasrat memenuhkan koleksi dengan karya FT. Tidak susah bercerita dengan mereka, kerana sebagai orang yang celik ilmu dan tahu perkembangan dunia seni dan sastera, perkara-perkara ini semuanya dihujung jari.
Bagiku, peluang itu datang ketika aku sedang mencari sesuatu untuk diriku. Sesuatu yang aku lakukan kerana minat dan iklas hadir kemudiannya bila bakat aku diasah dari dua tempat – melalui perguruan dengan Faisal Tehrani dan Puan Ainon di PTS – perguruan dari dua mazhab berbeza yang kemudiannya memberi aku peluang untuk menilai dan menimbangkan kewajaran fikrah pegangan mereka yang berlainan. Aku tidak mahu mengulas tentang ini, biarlah aku simpan sahaja kerana setiap insan ada hak sendiri untuk menyatakan pendirian. Jika ada yang bertanya kepadaku, aku akan beri jawapan supaya mereka boleh berfikir juga – 'Imam Syafie berguru dan belajar dengan Imam Malik, malah menghafal al Muwatta’. Namun, Imam Syafie mempunyai pendirian sendiri yang melahirkan Mazhab Syafie.’ Ada soalan lain?
Sempat juga mereka bertanyakan tentang buku pertamaku yang dalam proses akhir. Menunggu masa untuk di pasarkan. Insya Allah, akan tiba saatnya. Kiah antara yang teruja. AKhirnya aku berjaya melahirkan sesuatu.
"Semangat, itu yang penting. Namun ada bagusnya juga untuk terjun dalam bidang ini. Setidak-tidaknya ada benda lain yang boleh kita fikirkan selain dari soal kerja," kataku kepada mereka
“Dahulu aku banyak tulis puisi, kemudian aku bakar semua. Tak tahu nak buat apa,” kata Norul.
“Aku kenal dengan Kiah ni sebab, bila aku pergi kebilik dia mesti ada buku Arenawati di atas meja,” kata Norul. Kiah memang suka membaca buku Arenawati, kerana ia membuatnya berfikir. Aku pernah juga baca melalui buku yang dipas-pas dari Norul-Kiah-aku, tetapi aku tak mampu habiskan. Surrender. Aku pernah beli buku beliau yang dilelong di Jalan masjid India tahun lalu, tetapi masih lagi duduk elok di rak.
Dahulu, Kiah pernah memceritakan kepadaku proses kepengarangan Pak Arenawati. Katanya, “dia akan buat mind map dahulu. Merangka-rangkaikan cerita dari satu episod ke satu episod dan berlingkar-lingkar. Kemudian, Pak Arena akan memulakan ceritanya dari lingkaran yang paling bawah sekali.”
Dahsyat bukan? Dan sekarang Kiah berusaha menambah koleksi buku Pak Arena.
4)
Kami – aku, Kiah dan Norul – berusaha memenuhkan rak buku dengan pelbagai bacaan. Tetapi citarasa kami ialah buku atau novel yang orang lain tak baca. Atau dengan bahasa mudah, bila orang tengok rak buku, dia akan kata ‘wah, banyaknya buku.’ Tapi bila dia menghampiri, membelek, dia akan letak semula dengan dahi berkerut. Bila disuruh ambil satu bawa balik dan pinjam, dia akan kata ‘tak apalah.’ Atau ayat lain bermaksud, ‘aku tak baca buku-buku macam ni.’
Citarasa kami bukan novel cinta atau buku biasa. Mungkin baca juga novel cinta tetapi mahu menjadikannya sebagai koleksi, kami akan fikir berkali-kali. Maaf, bukan memandang rendah. Kami lebih selesa dengan karya sasterawan seperti Pak Arena, Pak Samad atau Pak Abdullah, mahupun buku self help yang bertujuan membantu diri dan kerjaya.
5)
Kami berpisah selepas solat Maghrib. Dua jam terasa singkat. The Curve sudah mula dipenuhi orang ramai. Mujur ruang lantainya luas, maka tidaklah terasa sesak. Aku mengharapkan ada lagi pertemuan selepas ini. Berbual tentang minat dan citarasa yang sama bagiku, buka semua orang boleh lakukan memandangkan kami ini bercitarasa berbeza.
Memandu pulang, perbualan tentang kerja ibarat satu siaran radio yang diulang-ulang ditelingaku. Sesekali mengeluh, sesekali menggeleng – entahlah. Aku berdoa yang baik-balik sahaja sambil aku meneruskan perjalanan ke bidang yang aku gemari ini.
It is just a matter of time.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan