Ahad, Januari 13, 2008

Menjadi Cikgu

Seingatku ini kali ketiga aku menerima khabar yang menyebabkan ku terfikir sendiri. Dalam perjalanan kita mencari jalan merentasi kehidupan menuju hidup yang abadi, ada kalanya kita perlu membuat keputusan yang drastik dalam hidup.

1)

Aku sedang duduk sesudah solat Asar sambil menunggu beberapa orang teman yang bergilir solat sambil menanti barang-barang yang kami tinggalkan. Tiba-tiba aku terpandang seraut wajah yang pernah ku kenali dahulu. Aku cuba memberi senyum sambil kepala memutar memori memikirkan siapakah namanya. Ingat-ingat lupa.

Aku menyapanya. Ternyata dia masih ingat diriku. Di kolej (asrama) dahulu, dia juniorku dan antara pembantuku yang baik, yang banyak menyumbang tenaga dalam membentuk pasukan atlet kolej. Dia antara yang terbaik dalam bola jaring. Manakala aku ketika itu ditugaskan mencari dan menguruskan para pemain yang sudi mewakili kolej ke kejohanan sukan tahunan, satu kerja yang sukar. Masakan tidak, disini, tidak ramai yang gemar berpeluh dan melompat-lompat di lapangan sukan. Ramai yang segan silu. Yang terlibat pun, muka yang sama dalam apa acara sukan.

“Buat apa sekarang?” soalku. Soalan biasa yang aku tanyakan bila bertemu orang yang sudah lama menghilang. Lagipun, aku pasti dia sudah tamat belajar.

“Saja datang ke mari. Biasanya hujung minggu Sabtu dan Ahad, saya akan datang ke mari. Duduk-duduk di masjid, berlegar-legar disini.” Dia tidak menjawab soalan tetapi aku menyedari ada sesuatu dalam kata-katanya.

“Oh, bagusnya. Melepak di masjid,” aku memuji.

“Saya ambil master disini sebenarnya. Tapi sekarang saya ambil leave.”

“Kenapa?”

“Saya ambil KPLI. Masih lagi dalam kursus,” katanya ringkas.

“Di mana?”

“Di KL juga.” Aku diam. Ambil KPLI, jadi cikgu. Tiba-tiba aku teringin menanyakan satu soalan yang aku sendiri pun tidak terfikir.

“Kenapa ambil cikgu?” soalku sambil senyum. Aku pasti dahulu cita-cita sebagai cikgu tidak pernah keluar dari mulutnya. Lagipun, aku pasti itu bukan impiannya.

Dia diam seakan memikirkan sesuatu. “Ketika saya kerja dahulu, saya rasa lost. Pergi kerja balik kerja. Saya rasa macam saya kehilangan sesuatu.” Aku mendengar kata-katanya satu persatu.

"Ketika itu saya ambil keputusan untuk buat master. Sambung belajar. Tapi saya rasa masih ada lagi yang tak cukup dalam hidup. Saya rasa saya macam tidak menyumbang apa-apa.”

Aku memahami kata-katanya. Malah, aku sendiri pernah berasa di situasi sama sepertinya suatu ketika dahulu. Saat dimana aku rasakan ijazah yang aku genggam itu bagaikan tiada makna bila kerjayaku tidak mengaplikasikan apa yang ku pelajari. Tetapi ku sedapkan hati bahawa aku belajar bukan kerana segenggam ijazah. Aku melangkah ke universiti kerana itu adalah satu impian, dan ia sebenarnya banyak membentuk diriku menjadi seorang manusia. Supaya ada bezanya aku dengan yang diluar sana.

“Kemudian saya memilih jadi cikgu, ambil KPLI. Barulah saya rasa hidup saya ada tujuan, ada arah. Alhamdulillah, rasanya saya dah jumpa apa yang saya nak.”

“Alhamdulillah,” balasku.

Yang bagusnya, saya dapat sekolah di KL. Jadi bila ada kelapangan, saya datang ke UIA. Kadangkala, saya rasa lebih selamat berada di sini dari di luar. Walaupun saya tiada tujuan datang ke mari, duduk sahaja dalam masjid sudah memberikan ketenangan,” sambungnya lagi.

Aku mengiyakan kata-katanya itu. Memang ada benarnya. Tarikan pada UIA ini pada firasatku ialah masjid. Memang tenang berada disini, biarpun bila solat berjemaah aku terasa ada yang pelik. Maklum sahajalah mazhab yang datang disini macam-macam. Maka janganlah dipersoalkan lebih tentang itu.

Selepas berbual ringkas, aku memohon izin untuk pergi. Laut fikirku memutar-mutarkan kata-katanya tadi.

“Mohon KPLI, jadi cikgu.”


2)

Dua hari lepas sewaktu bermalasan membelek 1511H (Kombat) yang sudah lama dibeli tetapi masih gagal dihabiskan, ada satu pesanan ringkas menyapa telefon. Pesanan dari sahabat yang bila berhubungan ada sahaja berita yang ingin disampaikan.

“Tengah buat apa? Aku tengah kemas-kemas barang. Lusa aku masuk maktab buat KPLI. Tukar profesion.”

Aku mengambil masa membalas sambil membayangkan dirinya. Situasi sama juga. Dahulu, hasrat mahu jadi cikgu tidak pernah keluar dari mulutnya. Memang dia antara teman yang rapat, malah aku tahu apa yang dia fikirkan sebenarnya. Kali ini, aku rasa dia memang benar serius. Apatah lagi dia sudah mempunyai dua orang anak kecil manakala suaminya bukan calang-calang orang.

Aku membalas syukur. Dia membalas lagi.

“Seronok ada, berat hati pun ada. Tapi aku nak pergi juga. Anak-anak aku di kampung, emak jaga. Abang aku di Taiping. Nasib baik aku di Ipoh.”

Nampak sungguh dia nekad. Aku rasa situasinya sama seperti kisah di atas. Mencari sesuatu dalam hidup. Lalu aku balas lagi dan semoga ia boleh membakar dirinya.

“Selamat menjadi cikgu yang ikhlas da berjiwa besar. Didiklah anak bangsa sebaik yang boleh. Masuk maktab, duduk asrama adalah tahun-tahun yang penuh dugaan. Tabah dan sabar ya.”

Memang itulah harapanku. Semoga ada yang terkesan dihatinya. Dalam diam, aku memasang niat melawatnya bila ada kesempatan nanti.


3)

Sebaik tamat belajar, aku rajin juga menghubungi teman-teman lama melalui forum di internet yang wujud untuk alumni batch kami. Aku tidak tahu masih wujud lagi atau tidak sekarang ini.

Ada seorang kawan. Lelaki. Aku kenali dia biasa-biasa sahaja. Tidaklah rapat. Lagipun dia antara pelajar UiTM yang sepatutnya ‘terbang’ – study overseas - tetapi hasrat mereka dibatalkan oleh kerajaan sewaktu krisis ekonomi dahulu. Lalu dia memilih UIA sebagai pengubat hatinya yang lara.

Sewaktu majlis konvokesyen dia memberitahu yang dia bekerja dengan sebuah syarikat insurans. Kerjanya lebih kurang menyiasat kes-kes yang di claim oleh pelanggan. Bagiku, kerjanya agak bagus juga bagi seorang fresh grad tatkala aku ketika itu masih sibuk menghantar resume dan menghadiri sesi temuduga.

Kemudian melalui forum, aku dapat tahu yang dia memohon KPLI, mahu jadi cikgu. Ramai juga yang terkejut dan bertanya mengapa. Tambahan pula lelaki kurang minat menjadi cikgu, dan jika ada ia terhad pada kes tertentu. Mungkin emak atau ayahnya cikgu maka dia mahu jadi cikgu juga. Itu kes biasa yang aku jumpa.

Lalu dia menceritakan bagaimana keinginan itu hadir. Akupun ingat-ingat lupa. Katanya, sewaktu sekolah dahulu asalnya dia seorang pelajar yang cukup nakal. Ada sahaja masalah yang memeningkan cikgu. Malah, ada juga cikgu yang putus asa mahu membetulkannya. Tetapi ada seorang cikgu lelaki yang benar-benar berjaya mendidiknya sehingga dia mampu berubah menjadi baik. Dengan bantuan cikgu ini, dia belajar bersungguh-sungguh dan menjadi seperti apa yang dia jadi sekarang.

Maka hasratnya sekarang ialah menjadi cikgu supaya dia dapat berkhidmat seperti cikgunya itu. Mendidik sambil membetulkan apa yang patut. Dia amat menghargai jasa cikgu tersebut dan berimpian mahu mencontohi apa yang telah dilakukannya. Aku tidak tahu dimana dia sekarang. Berita terakhir yang aku dengar ialah di Johor dan tinggal bersama keluarganya. Aku berdoa agar dia mampu mengejar impiannya itu.


4)

Tiga kisah diatas ini, padaku amat besar kesannya. Niat menjadi cikgu itu murni dan bukan semua orang boleh didorong atas niat mahu mendidik. Ada yang menjadikan cikgu sebagai kerjaya last resort – bila dah tak ada peluang kerja lain barulah ambil borang KPLI atau JQAF atau maktab. Bila dapat, mengajar dengan separuh hati. Niatnya – asal ada kerja dan gaji masuk pada hujung bulan, itu sudah memadai. Tanggungjawab itu bukan yang utama.

Tetapi bagi yang benar-benar ikhlas dengan niat mendidik, walau apa pun dugaan yang datang, ada perkara yang dicari dan ada benda yang dikejar. Bagi kisah pertama, dia menang benar-benar mendidik kerana mahu menyumbangkan tenaganya membentuk anak watan. Dia mahu kehidupannya ada tujuan, tenaganya dicurahkan kepada perkara kebaikan dan mahu melihat kesannya pada insan yang tidak punya impian. Pada kawanku, aku amat hargai pengorbanannya meninggalkan anaknya yang masih kecil. Mana ada ibu yang sanggup meninggalkan anak bagi tempoh beberapa tahun bagi mengejar cita-cita. Aku pasti dia ada sesuatu yang dicarinya.


5)

Amat besar harapanku agar semua cikgu mempunyai niat yang sama seperti ini. Bukannya aku mengatakan cikgu tidak memasang niat, tetapi perhatikanlah beza akan peranan cikgu dahulu dan sekarang. Dahulu cikgu adalah kerjaya paling suci, menjadi idaman semua dan amat dihormati kerana ia adalah orang yang pandai dan celik ilmu. Dewasa ini, institusi perguruan seorang dipermainkan. Kerjaya cikgu dianggap kelas kedua, dan cikgu di tuduh tidak serius mendidik anak bangsa. Macam-macam yang timbul, pelbagai idea yang keluar dan dilemparkan.

Ada kalanya aku merasa kasihan dengan cikgu-cikgu yang diluar sana. Sebelum membuat tuduhan yang pelbagai, lihatlah dahulu beban tugas cikgu. Mendidik anak ‘orang’ dalam keadaan ibu bapanya sendiri ada yang gagal mendidik, kemudian tanggungjawab dijatuhkan kepada cikgu andai gagal membentuk. Adilkah itu? Ada ibu bapa yang lepas tangan – menyerahkan anak-anak bulat-bulat kepada cikgu. Bayangkan, dari jam tujuh pagi hingga satu petang (lebih kurang lima jam) banyak manalah yang dapat di ajar berbanding dengan yang di rumah. Lebih-lebih lagi dengan keadaan anak-anak sekarang terdedah dengan pelbagai perkara yang besar, tanggungjawab cikgu juga semakin besar. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan juga berlaku.


6)
Dahulu, aku pernah ditanya kenapa tidak minta jadi cikgu? Jawapanku mudah sahaja – aku tidak dikurniakan dengan bakat mengajar. Kalau anak murid datang bertemu, pasti ada yang lari. Serahkan sahaja kepada yang benar-benar mahu menjadi cikgu. Yang mahu dengan ikhlas dan niat yang betul.

Aku amat menyanjungi semua cikgu, pensyarah, ustaz dan apa sahaja gelaran untuk mereka, sama ada yang mengajarku secara formal atau tidak. Cikgu adalah lilin yang memberi cahaya terhadap kehidupan. Aku amat memandang hormat terhadap tanggungjawab sebagai cikgu. Melihat kawan-kawan yang dapat KPLI atau JQAF, aku tahu niat mereka ikhlas. Ada tanggungjawab yang mereka pikul, ada beban yang mereka galas. Aku pasti niat mereka satu – mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna. Tidak ada cikgu yang mahu melihat anak murid mereka gagal.

Walau apapun, hanya masa yang menentukan segalanya.


.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...