Selalu-selalu bila berbual kosong, terkeluar cerita tentang untung nasib masing-masing. Ada beberapa orang staff yang masih tinggal dengan ibu bapa mereka sejak kecil hingga kini, tidak pernah merasa hidup terasing. Sudah lahirnya di KL, kerja di KL, maka tinggal dengan famili menjadi kewajipan. Sewa rumah tak perlu fikir, urusan makan minum selesai, kain baju berlipat cantik, bilik pun kemas sentiasa. Semuanya diatur indah, di jaga rapi di bawah kawalan ibu bapa. Kalau ibu bapanya bekerja, maka anak yang tertua menjadi pengganti ibu bapa, menjadi mata dan telinga supaya adik beradik yang lain sentiasa di bawah kawalan, tidak terlepas dari jagaan dan sentiasa melaporkan perkembangan adik-adik. Kemana-mana mereka sentiasa bersama keluarga, sejak kecil hingga dewasa dan setiap perlakuan adalah diatas kesedaran ibu bapanya.
Bagi orang yang begini nasibnya, agak mudah hidup dibawah ketiak isteri ibu bapa. Dari segi kos, banyak yang dapat dijimatkan. Mereka boleh berkongsi rasa, bertukar pendapat secara langsung, dan bergelak ketawa, bersedih dan berduka, bergembira dan bersenda bersama. Tiada apa yang dirahsiakan, semuanya adalah milik bersama. Ibu bapa dapat melihat perkembangan anak-anak serta merasai proses tumbesaran mereka dihadapan mata, apatah lagi bila menjelang usia remaja hinggalah dewasa yang penuh cabaran dan dugaan.
Di pihak yang satu lagi, ramai juga yang meninggalkan kampung halaman untuk menggadai hidup di tempat orang. Bagi ibu bapa yang berada dikampung atau dikawasan luar bandar, mereka perlu berhijrah ke bandar untuk menyambung nasib. Ada berhijrah sejak dari belasan tahun, tinggal di asrama, kemudian melanjutkan pelajaran dan meniti alam pekerjaan. Semuanya atas kekuatan diri sendiri dan atas usaha sendiri. Ada yang gemar menghubungi keluarga dan menceritakan perkembangan diri setiap hari. Ada pula yang bercerita perkara yang penting sahaja, bukannya melaporkan tindakan setiap saat. Selalu-selalu, mereka mengambil keputusan untuk tidak menceritakan semuanya. Ada yang tidak langsung diceritakan, ada yang tidak perlu di bualkan, ada yang perlu di sorok dan ada yang cuba merahsiakan. Disinilah pentingnya perasaan tanggungjawab dan sikap amanah. Ibu bapa mana yang tidak risaukan anak diperantauan biarpun sekadar satu jam perjalanan jarak mereka. Mereka mengharapkan anak-anak berlaku jujur dan tidak sekali-kali menipu, biarpun apa yang mereka ceritakan itu kadang kala sukar untuk dipercayai seratus peratus. Tetapi bila sudah berada jauh dari mata, hanya keyakinan pada anaknya dan penyerahan terhadap Tuhan adalah penyedap rasa supaya anak-anak ini di jauhkan dari sebarang perkara buruk. Doa ibu bapa manalah yang tidak direstui Tuhan?
Bila sudah jauh dari keluarga, jauh dari kawalan dan kongkongan, maka bukan sedikit perkara buruk yang berlaku. Kurang suara menegur, kurang juga kata nasihat. Mengharap kepada kawan-kawan apalah sangat, itupun jika bertemu dengan kawan yang boleh membantu. Jika ia kawan yang menghancurkan, maka kesannya tidak dapat digambarkan. Resam anak muda di perantauan, mereka seolah mahu mencuba semua perkara. Maka melengkapi diri saat ini hanyalah iman yang dipasakkan dalam diri sebagai pedinding kepada perkara yang tidak dingini.
Tetapi kedua-duanya ada baik dan buruk. Apa yang penting ialah bagaimana mereka didik pada awalnya. Memberi contoh yang baik kepada anak-anak, mengajar mereka erti kepercayaan kepada Tuhan supaya mereka mengerti bahawa setiap tindak tanduk itu di nilai dosa pahalanya. Juga kepatuhan terhadap murninya ajaran Islam sebagai agama yang diredhainya, supaya Islam itu bukan sekadar ritual ibadah tetapi menjadi satu cara hidup.
Ya, kedua-duanya ada baik dan buruk. Iman kitalah yang menapis perkara baik dan buruk itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan