Sejak PRU12, sejak pembangkang kuasai lima negeri, ada satu ketakutan hadir kepada ahli peniagaan yang giat menjadikan kontrak kerajaan sebagai sumber pendapatan syarikat. Hendak sokong kerajaan pembangkang, dikhuatiri boleh menjejaskan periuk nasi dalam mengejar kontrak kerajaan pusat. Nanti dikatanya tidak sedar diri. Sokong pembangkang tapi ada hati nak kejarkan duit kerajaan. Diibaratkan seperti kakitangan kerajaan yang memangkah parti pembangkang dalam pilihanraya.
Tambahan pula usia kerajaan pembangkang di lima negeri ini belum tentu panjang untuk lima tahun lagi. Entah-entah rakyat menghukum mereka pada PRU13 pula. Jadi, perasaan ragu-ragu dan was-was sentiasa dalam fikiran ahli perniagaan. Kalau disokong kerajaan pembangkang (negeri), nanti dilabel sebagai kontraktor pembangkang dan natijahnya, sukar mendapatkan kontrak kerajaan pusat yang bernilai tinggi. Kalau tidak menyokong kerajaan pembangkang (negeri), nanti dikata tidak pandai bersiasah dan kurang cerdik mengatur langkah dalam merencana perjalanan di negeri pembangkang. Nanti susah pula nak dapatkan sokongan kerajaan negeri terhadap apa-apa yang cuba diusahakan oleh kerajaan pembangkang ini.
Bila menyokong pembangkang terang-terangan, nanti diketepikan kerajaan persekutuan. Andai pembangkang tewas selepas lima tahun, sudah pasti syarikat menghadapi masalah memasuki mana-mana tender kerajaan dengan cap yang sudah tertera pada nama.
Inilah yang sentiasa difikiran ahli perniagaan yang bergantung nyawa terhadap pengagihan kontrak kerajaan.
Namun, selepas PRU12, ada pula mainan politik baru. Memasuki tahun kedua pemerintahan parti pembangkang di lima negeri, kerajaan pusat sudah pandai memainkan sentimen undi. Setiap tender yang dikeluarkan, kontrak yang ditawarkan, ditapis sebaiknya. Mereka sudah pandai mengagihkan kontrak kepada kroni sendiri – kepada cawangan Umno yang melobi mereka demi kepentingan kerusi sendiri dan survival politik sendiri untuk PRU akan datang.
Maka, ramailah syarikat yang teraniaya kerana tidak mempunyai regu politik dari kalangan pemimpin Umno, yang tidak mahu mencampuradukkan politik dalam perniagaan atau yang tidak mahu sebarang label politik melekat pada syarikat demi menyelamatkan periuk nasi sendiri. Malanglah bagi yang tidak menggunakan hubungan politik. Lebih malang lagi, tindakan memilih syarikat untuk ditawarkan kontrak semakin menyebabkan rasuah bertambah parah dan kualiti perkhidmatan atau penyempurnaan kontrak semakin merudum.
*Idea masih kasar dan akan disambung selepas sahur esok. Ada banyak lagi isu tersimpan yang belum diluahkan. Sabar ya!
Hakcipta terhadap entri ini adalah terpelihara. Sebarang usaha mencuplik tanpa izin boleh menyebabkan anda dimurkai Tuhan. Sila kreditkan ambilan terhadap entri ini dengan izin pemilik blog. Boleh e-melkan sahaja ke norziati@gmail.com. Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan