Dua tiga hari lagi, Syawal menjelang tiba. Hari yang dinanti selepas sebulan puasa. Ada yang gembira kerana tidak perlu lagi berpuasa. Ada yang suka sebagai menyambut kemenangan selepas berjuang di madrasah Ramadhan. Ada juga yang berduka meninggalkan Ramadhan yang entah akan dapat dirasa lagi pada tahun hadapan. Ada yang sedih, takut-takut dan risau yang puasanya sekadar menahan lapar dahaga sedangkan sebulan dia berusaha sedaya upaya tidak makan dan tidak minum bagi menjayakan Ramadhan.
Sebelum bergembira beraya, apa kata kita muhasabah dahulu kualiti dan darjat Ramadhan kita kali ini (ala audit ISO):
- Apakah mulut bebas berbicara kisah orang lain sedangkan hati melompat-lompat melarang kita dari mengumpat?
- Apakah amalan sunat yang digandakan pahalanya kita lakukan dengan sebaiknya atau leka dengan membeli belah dan membazirkan duit menukar perabot mengecat rumah, bukannya menghulurkan tenaga melakukan amalan?
- Berapa rajinkah kita bangun malam bertemu dengan Sang Pencipta dari bergebang lama-lama di kedai kopi yang hidup sehingga sahur dengan pelanggan tak putus datang?
- Betapa rajinnya kita bertadarus dan bertilawah selain dari buat nightwalk kerana Bazaar Ramadhan dan Uptown buka santak ke pagi?
- Berapa kuatnya kita mengerjakan solat terawikh setiap hari? Dan tidak malukan kita yang muda melihat makcik yang tak larat berdiri lama mengerjakan terawikh hingga tamat 20 dan witir 3 rakaat, sedangkan kita buat lapan pun fikiran melayang entah ke mana?
- Betapa rajinnya kita mendengar tazkirah dan ceramah, menghadiri majlis ilmu sepanjang Ramadhan daripada mendengar kisah-kisah 'dalaman' yang memalukan, konflik yang mengaibkan, isu politik yang memualkan dan seribu satu kisah yang kita tumpang dengar?
- Berapa ramai yang kita sedar Ramadhan ini adalah yang terakhir kerana belum tentu mereka akan hidup lagi tahun hadapan?
Memandangkan semua dalam mood raya, maka elok juga saya ambil kesempatan membuat ucapan seperti yang tertera dalam ruangan Facebook:
Andai hari ini adalah hari terakhir anda dialam maya, mohon ampun diatas segala salah kata dan silap bicara. Terkadang lisan lancar bertutur tanpa berfikir sebaiknya. Berhati-hati dalam perjalanan pulang menemui orang tua. Makan kuih-muih jangan tak ingat dunia. Jumpa lagi selepas raya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan