Itulah bahan asasnya.
Untuk makluman, kami bukan orang Negeri Sembilan sejati. Dua keluarga membiak dan terhasil dari benih negeri hujung tanah. Darah selatan jati berakar kukuh dalam diri sehinggakan kami, walaupun sudah hampir dua puluh enam tahun tinggal di negeri minangkabau ini, lidah pun masih belum mampu dilentur dengan loghat nogori. Bukan tidak bercampur, tapi amat kurang orang dari tanah adat tinggal di tanah rancangan. Maka kamilah yang mencampuradukkan budaya dari negeri hujung tanah dengan minangkabau sehinggalah imejan Satu Malaya terpapar sejak kecil, bukan ketika usia menjengah tiga abad ini.
Sudah. Ini cerita tentang lemang Aidilfitri. Kisah rakyat dari negeri hujung tanah berbondong-bondong di jemput ke tanah adat akan saya ceritakan nanti bila rasa mahu dan rasa perlu.
Kali ini saya mahu bercerita proses membuat lemang. Lebih mudah diceritakan dalam gambar sejak ia menjadi beras pulut sehinggalah ia sedap di makan, apatah lagi ketika sedang berpuasa. Terliur tengok lemang yang lemak bersantan tu! Oh, entri ini juga khusus buat mereka yang ingin tahu azab dan nikmat dalam proses melemang.
Langit cerah tak bermakna hujan tak turun. Teknologi kampung menggunakan tulang empat kerat. Jangan kata tak menolong ya, tangga tegak tu siapa punya angkara?
Daun pisang elok ambil yang muda. Untuk mendapatkan yang seperti ini, perlu ambil di bahagian pucuk. Maka perlu bantuan tangga, pisau yang diikat pada buluh (untuk dikait) atau anak bujang yang tinggi menggalah.
Masukkan pulut kedalam buluh, isi agak-agak penuh dan ketuk sedikit supaya padat. Jangan terlalu padat, nanti tak sedap, santan pun tak boleh masuk
Batang buluh yang terisi beras pulut. Belum bubuh santan lagi
Dulu perah, sekarang mesin.
Untuk proses ini memerlukan tenaga tiga manusia – tukang mesin, tukang perah dan tukang pukul gambar. Anak jiran, emak jiran dan anak emak jiran tu!
Ini rupa kelapa yang telah siap diparut.
Ibu santan (ada yang panggil kepala santan). Satu kali mesin dan perah. Pekat.
Tuang santan kedalam buluh yang telah diisi pulut. Tuang setakat mana pulut terisi, ketuk buluh supaya sama padat, sama masuk
Beras pulut 10kg habis, buluh 40 batang sudah terisi. Masih berbaki 10 batang. Pergi kedai kejap, tambah pulut. Kali ini kiraan chef lari sebab diameter buluh lebih besar dari yang sebelum ini.Satu lagi teknologi kampung. Tak perlu fire starter. Cari tiub motor, cucuh api, letak tempurung, cepatlah marak
Hampas kelapa tadi dicampak ke perdu pokok pandan. Menjadi santapan insan kelaparan. Usah malu, makanlah!
Menyusun kayu pun ada caranya
Biar menyala dan menanti menjadi bara. Kita perlukan bara, bukan api
Menyusun buluh pun ada seninya
Cantik! Tunggulah 6 jam lagi ya. Sekarang pukul 1.14 petang
Baru separuh masa
Nampak tak santannya menggelegak tu?
Masa ni api kena jaga, jangan sampai marak macam sebelah sana. Bara sahaja. Bila dicampak tempurung, apinya marak. Inilah gaya anak muda tak sabar menunggu masak. Kesudahannya?
Pusingkan buluh supaya masak sama rata. Yang ni tak tahan – melawan asap dan bahang
Dua jam sebelum masak
Yang hitam-hitam tu akibat api marak. Inilah yang tak best
Selepas menggelegak, ketuk bagi padat. Jangan ketuk masa menggelegak, nanti masak tangan disambar santan panas!
Wow! Tapi kena masak sikit lagi
Sebenarnya, kali ini sedikit mengecewakan. Warna hitam ditengah buluh petanda tak baik – sedikit berkerak didalam gara-gara kurang memusingkan buluh dan mencampak banyak tempurung bagi menaikkan api sedangkan cuma bara yang diperlukan. Inilah kesan jika anak muda yang menjaga.Hendak cepat masak, malas menunggu lama, tidak mahu kepanasan dibakar mentari dan bara juga kelemasan diselubungi asap
Jiran membuat kesimpulan bila selesai membakar:
“Lain kali kita jangan bakar lemang untuk raya puasa, sebab semua letih nak jaga lemang. Apatah lagi mahu menyediakan juadah berbuka.”
Saya terdiam kemudian menambah:
“Betul juga ya. Kita letih, penat. Nak makan tak boleh, kena tengok sahaja. Mana-mana lemang yang dah masak, hanya mampu telan air liur. Nak merasa tak boleh.”
Melemang kali ini kurang menjadi, tetapi tidak semua. Namun pengajarannya besar. Anak muda hati panas, semua mahu cepat. Orang tua banyak bersabar, pentingkan kualiti dari kuantiti. Hasilnya berbeza. Pengalaman banyak membezakan dua generasi.
Tak mengapa, hujung tahun nanti, kita bakar lagi, jangan serik!
Tak mengapa, hujung tahun nanti, kita bakar lagi, jangan serik!
7 ulasan:
Zeti..aku rindu zaman kecik2 di kampung...sekarang semua menjauh..hanya kerana harta keluarga berantakan..bawa hati yang lara..hanya berhari raya di kota..sob..sob..sob..pertahankan apa yang kau ada...aku ceemburu..wlaupun tak suka lemang!
Zeti...
Seronokkan... kami x sempat nak mengambil gambar semasa hari memasak (alasan: x cukup tenaga kerja).... bila baca di sini, aduh.... masih terasa keseronokan memasak lemang dan rendang...
K. Fidah
Nowwa, nanti beli tanah, buat rumah stail kampung. Bila nak bakar lemang, panggil aku untuk jaga api. Itu je skill yang aku mampu beri. Tapi aku bukan penyebab lemang tu berkerak sebelah!
Kak Fidah, nikmat lemang ialah bila dimakan semasa panas dan sedang berasap. Bila puasa, memang terliur. Tapi bila dah buka, tak pandang langsung. Sekarang ni terbayang-bayang lemang tu yang tak dijamah sangat kerana frust jadi berkerak sampai macam tu sekali. Menyesal tak pusingkan buluh tu selalu!
Kecuali emak dan ayah, ahli keluarga kami tak pandai makan lemang. Orang Hulu Langat pun sudah malas bawa. :-)
Mungkin jika dihidangkan yang panas baru terbuka selera. Hmm….
a
a, cara nak makan lemang ialah dengan melihat 'derita' membakarnya. heh, kemudian barulah datang semangat nak makan sambil menikmati 'penderitaan' yang telah berakhir
duk kampung mmg best. tp x semestinye duk kmpung jer leh wat lomang. aku skrg duk kwsn tmn perumahan, tp jiran2 pun sporting.. pakat2 la buat aktiviti bersama barulah ikatan ukhwah terjalin rapat. semlm baru kitorang set up punjut (panjut ke ape aku pun tak tau name betul die) sepanjang lorong umah kitorang sempena aidilfitri thn ni.. kool... fyi, kwsn kejiranan aku ade cina ngan hindu gak...
Catat Ulasan