Ahad, Oktober 04, 2009

Jiran yang baik

Orang kata resam hidup berjiran jika sekali tidak pernah bermasan muka atau terluka dengan kata, tak payahlah hidup dengan orang. Duduk sahajalah di dalam gua atau dalam hutan bertemankan hantu atau binatang buas.

Tetapi jiran, fungsinya bukan sahaja menjadi peneman disebelah rumah, bukan sahaja menjadi teman ketika susah, bukan sekadar berkongsi ketawa saat gembira. Jiran itu fungsinya maca-macam. Bila jauh dari keluarga dan saudara mara, maka jiranlah tempat mengadu nasib berkongsi cerita. Masa susah dan senanglah jiran menjadi tempat bergantung harapan dan kekuatan.

Pernah juga kita dengar jiran bergaduh tidak bertegur sapa. Ada disebabkan hal kecil seperti dahan kelapa jatuh ke dalam kawasan rumah, atau air longkang yang mengalir melepasi batasan rumah boleh dianggap pencetus perang mulut dan balas kata. Hal tetek bengek inilah yang kemudiannya mengundang bencana. Lalu tidak bertegur sapalah mereka buat berapa ketika.

Alangkah baiknya jika sesama jiran duduk aman dalam satu komuniti. Alangkah indahnya hidup sesama tetangga yang bertimbangrasa, saling memahami, bantu membantu dan harmoni dalam setiap tindak tanduk. Tidak sukar rasanya berbuat demikian, bukan?

Tetapi bayangkan ini. Kita selalu menjadi seorang jiran yang baik. Mungkin ajaran Islam menyebabkan kita merasa tiada ruginya berbaik sangka sesama jiran dan membantu bila mereka di perlukan. Kita beri mereka makan, bukan sekali tetapi berkali-kali. Anak-anak mereka setiap hari datang bertandang ke rumah kita bertanya tentang kerja kosong yang boleh mereka laksanakan demi sesuap nasi. Kita alu-alukan kehadiran mereka. Kita beri mereka latihan, kemudian ajari mereka cara kerja kita supaya tidak kekok. Mereka tekun dan cekal bekerja sehingga membawa pulang berjuta-juta nilai wang mereka bagi membolehkan keluarga mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Kemudian bila mereka sudah pandai, sudah rasa maju, timbul pula rasa besar diri. Jiran ini merasakan tidak perlu lagi bantuan dari kita, lalu cuba-cuba berusaha sendiri. Ada yang lari dari rumah meninggalkan anak kecil kehausan, ada yang melarikan anak kecil, kemudian pandai mencuri, membawa lari harta tuannya. Tidak lama kemudian pandai pula mereka secara berkumpulan memecah masuk rumah kita, merompak, membunuh, merogol, menyebabkan kita mula merasa tidak selamat duduk di rumah sendiri. Alangkah!

Tetapi kita juga tahu, tidak semua jiran kita ini berlaku jahat. Ada juga yang baik, ada yang murni akhlaknya, ada yang memang datang bertandang dengan niat tulus dan ikhlas. Tetapi kita amat kesal dengan perlaku mereka yang tidak kenal budi. Susu yang kita beri, tuba yang mereka balas. Madu yang kita minta, racun yang mereka beri. Apa boleh buat, kerana nila setitik, rosak sebelanga susu!

Kita teringat beberapa tahun lepas, rumah mereka habis roboh musnah dilanda badai yang tingginya melampaui pokok kelapa tua. Kita jugalah yang terkejar-kejar memberi mereka sepinggan nasi mengalas perut dan pakaian bagi menutup aurat. Tiba-tiba suatu hari anak-anak kita yang belajar di rumah mereka merasa terganggu bila mereka cuba menyapu mereka keluar hanya kerana kita difitnah yang tarian separa bogel itu milik kita. Tarian separa bogel milik kita?

Syawwal nampaknya tidak memberi apa-apa perubahan. Kita pula rasa terganggu bila kain baik yang selalu kita pakai tiba-tiba hilang dari ampaian. Alunan gamelan yang selalu menjadi latar majlis pun dikata milik mereka. Kita pula difitnah mencuri, menjadi maling, mengambil sesuatu yang dikatakan milik mutlak mereka. Kita keliru, mengapa kita dituduh sebegini. Mereka ini buta sejarah atau kita yang tak pandai membaca sejarah?

Belum habis mereka beraya dengan kain batik, tiba-tiba kita rasa gegar pada suatu petang. Terlintas yang rumah kita ini bukan dalam Lingkaran Api Pasifik, lalu mengapa ada rasa goyang. Lantas kita teringat akan jiran kita yang tidak habis ditimpa musibah. Apakah mereka dilanda petaka lagi? Ya, benar. Sewaktu kita menonton tv, terlihat satu kawasan dalam rumah jiran kita itu musnah ditelan bumi. Tuhan, petunjuk apakah ini yang Kau kurniakan kepada jiran kami tatkala kita ditimpa tuduhan yang memedihkan naluri.

Namun sebagai jiran yang baik, kita tiada sifat buruk sangka atau dengki mendengki. Kita hantar ubat, kita beri nasi, kita berikan pakaian supaya luka mereka dirawat, perut mereka terisi dan aurat mereka terjaga. Kita buka tabung, kutip derma, mohon bantuan untuk disampaikan kepada mereka. Walau pedih hati kita dengan kata-kata mereka, tiadalah kita ambil pusing kerana kita mahu menjaga jiran tetangga yang dilanda derita, ditimpa bencana. Kita ketepikan segala prasangka yang tidak perlu, kerana kemanusiaan itu besar ertinya pada kita.

Bila kita fikir lagi, inilah agaknya drama hidup sesama tetangga. Tetapi sampai bilakah kita harus menahan hati yang sering diguris luka dengan kata-kata mereka yang seolah tidak kenal erti persaudaraan.

Wahai tetanggaku, insaflah dengan apa yang menimpa kalian!


2 ulasan:

ila nursalida berkata...

heran kan dengan jiran yang satu itu...di saat ita melaungkan slogan bersatu, mereka melempar angin perang...insyaAllah, kebaikan kita kjalau tidak di bals di dunia akan dirasa disyurga

Norziati Mohd Rosman berkata...

Amin. Begitulah yang kita harapkan

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...