Khamis, Disember 31, 2009

Catatan kecil sebuah kembara



Hari kedua di Taman Impian Jaya Ancol, menghirup nyaman udara bertiup di dermaga. Sayu memandang laut lepas, memerhati alam yang luas dicipta Tuhan


Sepanjang pengembaraan ke Jakarta selama lapan hari pada 19 hingga 26 Disember lalu, banyak kenangan indah tidak tertuliskan disini. Ia banyak menginsafkan, lantas menenangkan. Paling tidak membuka ruang persepsi baru terhadap pandangan khilaf terhadap tetangga yang selama ini dipandang sepi, juga berpeluang mendengar sendiri keluhan marhaen akan politikus yang melelahkan.

Saya datang dengan fikiran kosong - meninggalkan segala sesak kepala tatkala boarding ke dalam KLIA masuk ke perut pesawat Garuda Indonesia. Pelbagai perkara bermain difikiran, bermacam kerisauan timbul dan kesediaan menghadapinya satu persatu. Pagi masih awal tatkala kami tiba di Jakarta dan disambut dengan Mee Ayam di Jalan Panjang sebagai sarapan pagi, langsung mendengar cerita dari teman-kepada-teman-kepada-teman yang menjemput di Bandar Udara Soekarno-Hatta.

Saya ditemani teman sekerja anak jati Jakarta sepanjang perjalanan dengan ongkos yang terhad. Saya katakan kepadanya, saya cuma mahu jelajahi tanah Jakarta, kalau mampu seluruh tanah Jawa. Elakkan dari membawa saya ke pusat membeli-belah atau tempat yang berupa kegembiraan. Saya mahu cari apa yang tiada di Malaysia, khususnya menjejakkan kaki ke gedung bukunya yang sentiasa saya cemburui.

Beliau memahami hasrat saya. Lalu saya di bawa melihat anak gelandangan di pinggir jalan, menaiki pengangkutan awam ke sini sana, nongkrong (makan juga melepak) di kaki lima, ngobrol (berborak) bersama warga kota, mencium bau busuk longkang dan sungainya yang lesu, bersesakan di jalanan dengan usungan para peniaga yang tidak kenal lelah, memerhati warga kota bersungguhan mencari sesuap nasi, merasai menu yang pelbagai dan bervariasi, terpaku dengan hidangan sampingan ditepi jalan oleh anak muda bermain gitar, menari, menyanyi beramai-ramai danbermain seruling (dan macam-macam lagi), merasai kegelisahan warganya akan suhu politik yang sering berkocak dan merisaukan, lantas sentiasa membuka ruang perdebatan akan sebarang ketentuan bagi iklim politik pasca-Suharto.

Puas sudah setiap inci Jakarta kami jelajahi berjalan kaki dibawah mentari yang cerah namun tidak seperit dan seterik Kuala Lumpur. Bayangkan sahaja, saya ditegur sekembali dari sana kerana warna kulit berubah gelap sama sekali!

Kami bermula dengan agenda tepi jalan dan menamatkannya di gedung mewah yang berdiri di sekitar bandaraya, bertemu dan melihat warga yang hidup serba mewah. Jurang miskin kaya amat jelas kelihatan dan terlalu berbeza. Melihat pakaian yang disarung, alatan yang digenggam, makanan yang ditelan, mata yang memandang sepi dan segala yang berjurang itu menunjukkan masih ada ruang untuk membetulkan segala yang perlu.

Namun, jika membuat perbandingan, memang kita menang dari segi infrastruktur. Tetapi tidak semua berpihak pada kita. Ada yang kita kalah langsung dengan Jakarta. Oleh itu wahai warga Malaysia, janganlah selalu memandang rendah pada tetangga kita. Walaupun mereka datang mencari rezeki di tanah bertuah ini, tidak bermakna kita harus memandang jijik kepada mereka. Mereka juga punya maruah, punya harga diri. Paling penting, jatidiri mereka tidak serapuh kita.

Keadaan ini sentiasa membuatkan saya membandingkan tuah diri lahir di Malaysia, jika datuk nenek saya dahulu tidak berani berhijrah dari tanah Sumatera ke Johor bagi memugar tanah disana. Sepanjang kembara saya berfikir dan bersyukur, kerana diberi kesempatan berada ditanah yang bertuah sehingga pernah saya mengungkapkan kepada temah seperjalanan - "bagi yang tidak insaf hidup di Malaysia, harus dicampakkan ke Jakarta bagi merenung kembali segala yang kita ada, supaya timbul rasa bersyukur".

Di sini jugalah saya merasa hikmah memberi. Wang bernilai besar yang ada ditangan ditukar kepada yang kecil supaya mudah diagihkan kepada anak gelandangan yang menyanyi cuba menghiburkan atau kepada pemuzik jalanan yang merdu mengalunkan suara. Jika kita meminta mereka  menyanyikan lagu, ada bayaran tambahan yang perlu kita beri. Mahu lebih, beri lebih!


Hari ketujuh nongkrong di Blok S (Senopati). Sangat teruja dengan dua hidangan - menu dan pemuzik jalanan

Biar sejauh manapun kita berjalan, masih terkenang-kenang akan tanah sendiri. Hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri. Jauh perjalanan luas pengalaman. Ia kembara menginsafkan dan membuka persepsi baru diri terhadap sebuah negara yang selama ini sering diandang khilaf!

.

5 ulasan:

CERITAKUASN berkata...

Seronoknya menjelajah ke negara orang. Merasai pengalaman yang berbeza dari sebelumnya. Cerita lagi.. ;-)

Layla Haq berkata...

Suka dengan catatan ini. Mengembara dengan niat itu, akan beroleh apa yang dicari.

Semoga pengembaraan itu akan lebih mendekatkan diri kita dengan diri sendiri.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Ana, hasrat yang dipendam sekian lama akhirnya menjadi nyata.

Ila, ia perjalanan mencari dan mengenal diri. Moga-moga ada kebaikan disebaliknya

ila nursalida berkata...

ya, hujan emas di negeri orang..hujan batu de=i negeri sendiri..saya sedang merasai itu:)

Norziati Mohd Rosman berkata...

Ila, peluang itu harus dinikmati walaupun sesekali ada rasa rindu di negeri sendiri. Peluang yang tak selalu datang tu, kecapi sehingga kita lelah. Redah segenap bumi Saudi!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...