Sabtu, Disember 12, 2009

Memaknakan sebuah kejayaan melalui kegagalan dan jiwa kosong


Nota:
Saya sedang membuat sedikit kajian tentang tokoh yang berjaya didunia. Kebanyakannya berjayadari satu sudut dan gagal dari sudut lain. Ada jiwa yang kosong, ada persoalan yang mereka tidak temui jawapan. Nampak jelas pengisian jiwa itu perlu ada bagi memenuhi kehendak diri.

(Asalnya ia adalah untuk kajian novel, namun saya rasa tidak salah meletakkannya disini sebagai satu perkongsian). 

Ini adalah sebahagian dari kajian tersebut yang bersumberkan koleksi buku sendiri, Wikipedia dan Google sebagai sumber utama. Jika ada kesilapan dimana-mana, sila maklumkan untuk saya betulkan fakta tersebut.


***
Memaknakan sebuah kejayaan melalui kegagalan dan jiwa kosong

Kita tidak boleh dapat semua perkara didunia ini dan tidak semua yang kita inginkan itu dapat. Jika hari ini kita kurang duit, lalu bekerja keras mendapatkannya, tuhan akan balas dengan wang yang banyak. Tetapi apakah kita punya masa yang sama banyak untuk keluarga? Tuhan menjadikan kita dengan sesaksama mungkin. Tidak semua kita akan dapat. Ada yang tercicir dan perlu kita kutip, ada yang sengaja ditinggalkan untuk kita usaha lagi. 


Satu,
Mao Zedong merupakan negarawan China, mengetuai revolusi komunis China selepas dijajah kuasa asing dan berlakunya perang saudara selama beberapa dekad. Beliau bercita-cita besar mahu menjadikan China sebagai sebuah negara yang kukuh dan makmur, dan berusaha untuk membina sebuah negara perindustrian yang moden serta untuk mengurangkan kemiskinan para petani yang merupakan sebahagian besar bilangan penduduk China. Walau bagaimanapun, rancangan sosio-politik beliau tidak banyak membawa kemajuan malah menyebabkan berlakunya masalah ekonomi, kerusuhan sosial dan kebuluran yang meluas. Begitupun, beliau berjaya juga mengubah China menjadi sebuah negara yang moden biarpun mengamalkan komunisme, penididkan dinaiktarafkan dan taraf kesihatan rakyat meningkat. Beliau turut mengubah sistem ekonomi China dari sistem kapitalis ke sistem sosialis. Oleh itu, beliau dianggap sebagai Jurumudi Agung dan Penyelamat China. Ada bahagian yang beliau gagal, ada yang berjaya. 


Dua,
Albert Einstein menerima Hadiah Nobel dalam bidang Fizik dan berjaya dengan teori relativiti serta sumbangan yang besar terhadap perkembangan mekanik kuantum, mekanik statistik dan kosmologi.  Walau pun begtu, beliau pernah gagal dalam perkahwinan dan pernah merasa kehilangan dan kekosongan biarpun mengecap kenikmatan hidup sebagai insan yang berpengaruh didunia. Malah, pernah juga mengalami gangguan jiwa. Malah, kamu jangan tak tahu yang Einsten adalah orang yang bertanggung jawab mengaitkan sains dengan agama. Katanya, sains tanpa agama adalah tempang, agama tanpa sains adalah buta. Ini membuktkan betapa beliau sangat kekosongan. 


Tiga,  
Leo Tolstoy merupakan seorang penulis agung Rusia dan juga dikira sebagai ahli falsafah. Beliau hidup pada penghujung kurun ke-19 hingga pawal kurun ke-20. Antara karya agungnya ialah novel berjudul War and Peace dan Anna Karenina. Tetapi orang lupa yang beliau ada menulis sebuah novel berjudul Hadji Murat. Novel ini diterbitkan selepas pemergiannya bersama empat novel yang lain yang tidak sempat diterbitkan. Baiklah, satu soalan. Bukankah Tolstoy itu penulis agung Rusia dan Haji Murat itu nama seorang Muslim? Apakah kaitan antara mereka? Kamu tahu apa yang ada dengan Hadji Murat? Novel ini berkisar perjuangan bangsa Chechen menentang tentera Rusia, berlatar belakangkan alam pergunungan Kaukasia. Tokoh utamanya, Haji Murat merupakan pejuang bangsa yang luar biasa keberaniannya yang sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan haknya daripada sebarang pencerobohan. Beliau seorang yang taat dalam agama, malah masih berusaha menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimbiarpun setelah ditangkap. Tolstoy melukiskan kehidupan Hadji Murat sebagai seorang muslim dengan baik. Aneh bukan. Seorang yang berbeda agama boleh menulis dengan baik akan anutan pihak lain. Ada satu lagi kisah menarik. Tolstoy meninggalkan rumah pada malam menjelang kematiannya. Namun, apakah yang di carinya? Riwayat hidupnya mencatatkan bahawa sejak berusia 46 tahun (1874), Tolstoy mula memperlihatkan kecenderungannya untuk memasuki dimensi kerohanian secara lebih serius, serta mengeluarkan hujahan peribadinya. Dpendapatnya sering berkonflik dengan kaum ortodoks Rusia dan pihak gereja. Konfliks tersebut turut memberi palit negatif kepada isteri dan keluarganya. Tolstoy pernah menyatakan, “We search for mind, powers, goodness, perfection in all this, but perfection is not given to ma in anything....” Jadi, apakah yang dicari oleh Tolstoy sebenarnya?  Bukankah beliau kehilangan sesuatu dalam hidupnya. Nah, Tuhan maha adil, bukan?  


Empat,  
Leonardo da Vinci merupakan tokoh kelahiran Itali. Beliau dianggap pintar dan masyhur dengan lukisan Mona Lisa dan The Last Supper. Mungkin sahaja beliau tokoh yang berbakat, arkitek yang masyhur tetapi sumbangannya amat kecil. Tiada satupun bangunan yang betul-betul dibina hasil rekaannya, tiada satupun patung yang dilakar ditemui sekarang. Beberapa lukisan yang menakjubkan hasil usahanya tidak sampai dua puluh lima jumlah yang masih tinggal.  Jadi, apakah beliau seorang yang benar-benar hebat atau digembar gemburkan hebat oleh lukisan Monalisa dan The Last Supper yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap agama Kristian (dengan merujuk kepada filem dan buku Da Vinci Code)?

Lima,  
Christopher Columbus  adalah pengembara dan pedagang. Beliau mahu mencari jalan ke bahagian timur dunia sekaligus mahu membuktikan yang dunia ini benar-benar bulat. Begitupun, penemuannya yang di dakwa sebagai Dunia Baru yang sebenarnya adalah benua Amerika itu sebenarnya suatu yang gagal, malah sebenarnya membuka ruang yang besar terhadap penjajahan dan ekplorasi oleh bangsa Eropah terhadap penemuannya. Beliau bagaikan membuka pintu bangsa Eropah untuk kawasan kependudukan baru, menyebarkan penduduk dan menyediakan sumber kekayaan mineral dan isi bumi yang mengubah wajah Eropah sekaligus menghancurkan kebudayaan bangsa Indian dan melahirkan satu bangsa baru di Barat. Columbus kemudian dipecat dari jabatan dan dihantar pulang ke Sepanyol dengan tangan terikat. Sampai di Sepanyol, beliau dibebaskan tetapi diketepikan. Beliau mati dalam kemiskinan tanpa sesen wang.  


Enam, 
Napoleon Bonaparte merupakan tokoh revolusi Perancis, panglima perang yang hebat dan dilantik sebagai maharaja Perancis. Beliau amat genius dalam perang dan mempergunakan taktik terbaik yang ditemui dari pelbagai sumber. Kempen perangnya menjadi bahan kajian di akademi perang seluruh dunia sekaligus menjadikannya seorang komander perang terbaik di dunia. Namun begitu, diakhir hayatnya kempen perangnya musnah dan tentera Perancis tewas teruk. Beliau di penjara disebuah pulau dan meninggal dunia akibat penyakit kanser.            


Tujuh,   
Abraham Lincoln punya kisah hidup yang turun naik. Ketika kecil, beliau dan keluarga diusir dari rumah. Ibunya meninggal dunia, gagal dalam bisnes lalu menanggung hutang yang banyak. Beliau mengalami banyak ketewasan dalam politik dan perlu menentang kemiskinan dan kegagalan yang sering melanda. Apabila tunangnya meninggal dunia, beliau diserang penyakit saraf dan terlantar dikatil selama enam bulan. beliau bangkit selepas itu namun tewas lagi dalam pemilihan wakil presiden, sidang senat, dan beberapa pemilihan lain. Beliau tidak putus asa. Akhirnya pada usia 51 tahun Lincoln menjadi Presiden Amerika ke-16. Beliau seorang yang paling termasyhur dan tokoh politik yang mengagumkan yang pernah dimiliki oleh Amerika Syarikat.  Sewaktu pemerintahannya, pelbagai dugaan tetap melanda. Beliau berusaha membebaskan 3,500,000 orang hamba serta mempertahankan kesatuan Amerika Syarikat yang ketika itu menghadapi usaha pemisahan dari negara-negara bahagian sebelah selatan negeri.

.






1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya ingin mencadangkan supaya sdr membuat kajian tokoh pemimpin revolusi Islam Iran Ayatollah Khomeini. Sukar sekali untuk menemukan sudut yang gagal, apatah lagi sudut "jiwa yang kosong". Hebat sunguh beliau.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...