Khamis, Disember 17, 2009

Hijrah yang perlu

Hari ini sudah masuk tahun baru bagi kalendar Hijrah. Sudah masuk 1431 tahun selepas berlaku peristiwa hijrah Nabi dari kota Mekah ke Madinah, membawa seruan Islam, membuka ruang perjalanan yang lebih luas untuk Islam menerangi alam.

Setiap kali kalendar Hijrah bertukar, maka saya akan menulis sebuah entri khas di blog kerana ia turut bermakna ulangtahun kelahiran blog ini empat lima tahun yang lalu. Ya, sudah empat tahun saya menjadi warga blog, dan empat tahun itu banyak memberi perubahan secara perlahan-lahan terhadap penyampaian dan penulisan di blog. Kata orang, sudah menampakkan kematangan biarpun pada skala kecil.

Tatkala hari berubah ke tahun baru senja tadi, selepas melihat Malaysia memenangi emas bolasepak di Sukan SEA Laos, usai menunaikan perkara wajib bersama Tuhan hingga ke Isyak, saya termenung sebentar memikirkan sesuatu. Hampir tidak perasan akan perubahan tahun disebabkan jadual kerja yang kian mencengkam. Dan hasil dari muhasabah terhadap kerja yang tidak kesudahan, membawa kepada hidup, impian, masa dan keperluan diri, masa saya fikir sudah sampai masanya saya mencari makna sebenar HIJRAH pada diri.

Keinginan berhijrah ini datang secara tiba-tiba. Sudah sampai waktu untuk saya melakukan sesutu yang lebih drastik terhadap diri, karya dan kerjaya. Harus lari dari zon selesa yang nampaknya sudah menyesakkan, menyelaraskan perkara yang perlu buat diri, menyudahkan hal yang banyak dicicirkan sebelum ini, membetulkan perjalanan yang kian tersasar dari matlamat dan mengubah banyak perkara kearah kebaikan.

Kali ini saya menetapkan segalanya harus drastik - terhadap diri, karya dan kerjaya. Merancang, bertindak dan menunggu hasil.Hijrah kali ini adalah hijrah yang perlu.

Hijrah yang perlu.






Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...