1)
Saat ini saya sedang menikmati naskhah Pram yang di tulis oleh adik kandungnya. Kisahnya pendek-pendek tetapi setiap satunya punya cerita tersendiri. Ada seringkas satu muka sahaja, ada sepanjang dua tiga helai. Tetapi itu pun masih pendek.
Hasil nukilan Koesalah Soebagya Toer secara tidak langsung memberi peluang untuk kita mengenali Pram lebih dekat menerusi kacamata adiknya sendiri. Penceritaan Koesalah yang santai dan ringkas memudahkan pembaca menghayati dan meneliti suka duka dan rusuh jiwanya terhadap dunia pengkaryaan yang amat dicintainya. Seharusnya kita perlu mengetahui mengapa Pram menjadi sedemikian – maksudnya karyanya yang amat vokal dan mengesankan, menyentuh insan dan meruntun perasaan, menjadikan pemerintah begitu terasa sehingga menekannya. Sekaligus ia membawa saya kembali ke Jakarta, ketika menjejakkan kaki ke sana hujung tahun lalu. Akhirnya saya menyimpulkan bahwa selain peribadi diri; struktur masyarakat, keadaan ekonomi dan ragam pemerintah adalah aspek yang sangat-sangat membantu menambah rencah pengkaryaan. Itupun jika kita tahu bagaimana membancuhnya dengan betul.
2)
Ketika menghadiri sesi Dialog Orang Muda di Rumah Pena minggu lalu, ahli panel membicarakan topik “Kebebasan? Penulis Tercekik.” Persoalannya ialah benarkah penulis dicekik sehingga tidak bebas berkarya. Selama beberapa hari selepas itu, saya turut sama memikirkannya, dan memerhatikan situasi yang berbeza antara Jakarta dan KL, saya mengerti yang hidup dalam keselesaan atau zon selesa sebenarnya tidak memberikan buah fikiran kreatif (atau setidak-tidaknya menyumbang). Oleh itu saya setuju dengan pendapat Jimadie Shah Othman - bila kita berada dalam keadaan tidak bebas, kita akan semakin bebas berkarya. Dan dari situlah wujudnya karya bermutu. Lihatlah naskhah agung yang dihasilkan ketika musim-musim rusuh dan derita, seperti War and Peace, Dr Zhivago, The Old Man and the Sea juga Keluarga Gerilya.
Jadi, haruskan kita menunggu saat kita terbelenggu barulah karya supra kreatif tercipta dan meledak di arena penulisan?
3)
Saya selalu mencari sebab bagaimana sesebuah karya baik itu dapat dihasilkan. Menurut cikgu, selain dari banyak membaca, otak kita juga harus kreatif berfikir. Dari itu, saya cuba menyelami bagaimana Shahnon menulis Ranjau Sepanjang Jalan, Pak Samad dengan Salina, Cikgu Azizi dengan Seorang Tua di Kaki Bukit, Usman Awang dengan Tulang-Tulang Berserakan atau Arenawati dengan Sudara.
Sekali imbas, semua novel tersebut dihasilkan pada zaman 60, 70 dan 80-an. Ketika itu hidup kita masih lagi susah dan sukar. Negara baru lepas merdeka, masih hijau. Segala prasarana dan infrastruktur masih dalam proses pembinaan. Air, api, jalanraya adalah isu utama. Kemiskinan menjadi topik hangat. Pertanian masih menjadi periuk nasi hampir kebanyakan masyarakat. Pendidikan diutamakan jika mahu mengubah keadaan hidup. Mahasiswa menjadi agen menyampaikan suara bagi pihak masyarakat, menyelami kesusahan hidup mereka dan memberitahu kepada kerajaan menerusi apa sahaja cara yang boleh – tulisan, suara atau semangat.
Dewasa ini, kita sudah senang dengan semuanya. Novel seperti itu masih kita baca dan ramai penulis cuba menjejaki tema yang sama bagi mendapatkan tempias kehebatan pengkaryaan tersebut. Namun, apakah dengan membaca tanpa merasa, melihat tanpa menanggung siksa itu sama beratnya? Lalu, jadilah naskhah itu seperti separuh masak, pada satu tempat ia seperti betul, pada tempat lain ia lari dari nyata. Misalnya menulis kisah seorang penoreh getah tidak memadai dengan melihat pokok getah dan membelek gambar di majalah. Ada sebab mengapa pelan getah ditoreh serong. Ada sebab kenapa getah tidak boleh ditoreh ketika hujan. Atau menulis kisah seorang nelayan, atau pesawah atau penternak lembu tanpa merasa mabuk laut, menjejakkan kaki ke sawah atau mengusap lembu di kandang.
Kesenangan seperti tidak mengkreatifkan kita dalam berkarya. Kita masih lagi senang menulis isu setinggan, ada juga tentang pertanian dan penternakan, kemiskinan dan kebuluran. Seputar isu yang sama. Kita masih membaca naskhah tentang derita hidup abad lalu di saat kita ‘senang’ dan ‘mewah’ begini. Malah, cuma ada beberapa sahaja karya yang dianggap baik pada zaman moden ini, dihasilkan menggunakan latar moden oleh penulis moden (wujudkah istilah ini?). Jadi, benarkah kesenangan itu memerangkap minda?
Namun dalam masa yang sama, saya akur proses menulis bukan semudah menyebutnya. Ia memerlukan masa dan proses kematangan menulis adalah seiring kedewasan penulisan. Selain banyak membaca, dia juga perlu juga cekap mengamati dan meneliti masyarakat dan kehidupan. Dari situ akan lahirlah sebuah karya yang indah.
4)
Buah fikiran diatas itu adalah untuk saya sebenarnya, kerana merasai sendiri betapa lesunya menulis disaat diri gembira tetapi ilham melonjak-lonjak ketika sibuk dan sengsara jiwa. Jadi, memang benarlah agaknya saat sukar itu mendatangkan ilham yang bukan-bukan.
Selamat berkarya
3 ulasan:
setuju dengan sdr. saya fikir kesengsaraan membesar dalam dekad 70an sebenarnyaamat indah untuk dikenang. tentang perigi, tentang sawah dan haruan, semuanya... boleh menitiskan air mata juga. saya sedang membina kekuatan menulis tentang itu.
huhu, ada signifikan. rusuh akan membuahkan idea kreatif.
hasil kreatif saya kebanyakkannya ditulis dalam keadaan yang amat tertekan.
kerana itu saya selalu rasa serik setelah selesai menulis satu-satu karya. seriknya, sampai tidak mahu menulis lagi.
jadi, benarkah, ketika penulis rusuh akan menghasilkan karya yang super hebat?
untung Pram, jiwanya bebas meski terpenjara. kerana itu, karyanya karya yang lantang, tidak takut-takut, dan kental jati diri. kerana dia menulis apa sahaja, tanpa takut apa-apa. penulis yang baik adalah penulis yang ada pendirian bukan?
kita?
Sdr Mohamadkholid > ia adalah kenangan yang mendewasakan kita. SSemoga ia terus menjadi rukun kekuatan berkarya
As > usah rasa serik. Ia adalah kenangan juga, yang mendewasakan, yang memberi nostalgia. Waktu rusuh seperti itu bukan mudah datang lagi. Di waktu senang nanti, kita akan terkenang-kenang
Catat Ulasan