Dr Sharol Lail Sujak dan novel Andrea Hirata yang dibawa bersama
Saya tidak pernah dengar namanya sehinggalah dijemput menghadiri sesi Borak Buku hujung minggu lalu. ketika mengGoogle namanya, tidak ada maklumat yang keluar tentang dirinya kecuali himpunan buku yang ditulis tentang buku perubatan.
Dr Sharol Lail Sujak seorang Doktor perubatan tetapi mempunyai minat dalam bidang perngkaryaan. Seperti pengenalan oleh Sdr Rahimidin, tidak ramai Doktor dinegara kita yang menulis, cuma beberapa nama yang keluar, seperti Dr Rahmat Haroun dan Dr Hashim Yaacob.
Seperkara menarik, beliau datang bagi membicarakan hasil penulisan Andrea Hirata - tetralogi Laskar Pelangi dan dwilogi Padang Bulan. Jadi, ia satu perkara yang sangat bertentangan - buku bukan dari genre serius dan kerjaya yang serius. Maka, Dr Sharol ini bukanlah seserius doktor saya kira!
Memang, sebaik sahaja beliau tiba. Becky segera berbisik, "eh, macam U-Wei kan gayanya". Masakan tidak, beliau dengan gaya ranggi anak muda - rambut panjang meskipun penjawat awam, baju t-shirt dan seluar jeans - kelihatan lebih muda dan santai. Kami hilang rasa malu-malu kucing dan cepat pula rasa mesra.
Tanpa ditanya, beliau menjawab soalan yang bermain-main dalam kepala kami - mengapa memilih Laskar Pelangi? Mudah sekali jawapannya. Tetralogi Laskar Pelangi ini merupakan satu fenomena, harus dicontohi oleh semua penulis Malaysia. Bukan sahaja cetakannya diulang-ulang, tetapi memberi nilai tambah terhadap struktur ekonomi Pulau Belitong. Bayangkan sahaja, provinsi Bangka-Belitong tidak diketahui ramai. Mana letak duduknya pun tidak diendahkan orang. Apa yang ada disana pun tak siapa yang tahu. Namun dengan Laskar Pelangi - menerusi Andrea Hirata seorang diri sahaja - berjaya menaikkan nama Pulau Belitong menjadi lokasi pelancongan hingga 800% berbanding sebelumnya. Angka yang dahsyat?
Beliau bertanya kepada kepada kami, "ada tak penulis di Malaysia yang karyanya dibaca sebegitu rupa? Atau memberi impak sebegitu kuat?" Kami tidak mengangguk atau menggeleng. Tak tahu apa jawapan kami.
Apabila ditanya mengapa kami harus kekal dengan kerja hakiki dan usah berenti dengan tujuan menjadi penulis sepenuh masa, beliau dengan sinis menjawab, "Kenapa?" Terdiam sebentar kami dari gelak ketawa. "Mengapa harus berhenti?"
"Kerana tak cukup masa menulis."
"Ah itu alasan yang..." kemudian dia menyambung, "you kalau nak menulis, sekarang pun boleh menulis. Dengan teknologi, dengan i-Pod, i-Pad, Blackberry (menunjukkan Blackberry dihadapannya). Saya tengok Sutung siapkan novel dalam henfon sahaja." Dan Sdr Rahimidin pun mengiyakan.
"Saya rasa Andrea Hirata bukan penulis sepenuh masa. Dia tulis semasa dia student, pekerja, tapi boleh siap LP"
Beliau mengambil contoh Sdr Rahimidin disebelahnya yang masih kekal bekerja di Istana Budaya tetapi boleh pergi hingga ke Frankurt, Seoul. Malah lebih hebat dari orang bekerja atau penulis sepenuh masa. Oh...tiba-tiba rasa panas muka. Bukankah dengan wang royalti saya sudah mengecop passport beberapa kali? Jadi, beliau menyarankan sekadar freelance sahaja. Ingat itu.
Beliau berpendapat salah satu sebab mengapa golongan profesional tidak memandang penulis sebagai kerjaya yang baik atau dihormati. Itu salah penulis sendiri. "Cuba bezakan kalau you seorang engineer yang berkuasa meluluskan projek besar, atau Ir yang sign projek tapi juga seorang penulis berbanding bukan Ir yang jadi penulis. Yang mana dipandang orang?"
Oh, sukar sekali menjawab soalan ini. Dan saya lihat Becky mengangguk-angguk. Dia faham agaknya :-)
Beliau menasihatkan kami agar mengubah mentaliti bahawa penulis adalah bidang yang susah, berpendapatan kecil, melarat dan merempat. "Nak beli i-Pad pun tak dapat," katanya. Dan dia menyarankan agar kami sentiasa menulis di Starbucks, di Coffee Bean, di mana-mana. "Kalau orang kaya, jutawan boleh berbisnes di Starbucks, di Coffee Bean, mengapa penulis tak boleh buat begitu?" Zaman ini katanya, pejabat ada dimana-mana. Tiada pejabat fizikal. Jadi penulis harus keluar. Penulis harus berubah.
Beliau mengambil contoh Pak Samad yang tidak berhenti kerja biarpun giat berkarya. "Pak Samad bertegas tetapi dia seorang sahaja. Jadi tak dapat ubah sistem."
Beliau mengakui kekangan masa menghalangnya dari membaca banyak buku atau membaca buku sehingga habis. Tetapi LP katanya sangat berbeza. Beliau membaca semua tetralogi LP, dan sekarang sudah dua bulan membaca dwilogi Padang Bulan. "Muka surat tiga puluh dua," katanya.
Dan tanpa disangka-sangka, beliau memberi kami kerja rumah. Beliau kagum dengan latar belakang kami yang berbeza, maka beliau mahu kami menghasilkan sebuah cerpen berdasarkan bidang masing-masing. Buat cerpen dan terbit sendiri. Beliau juga akan menulis. Dua bulan masa diberi dan dilancarkan selepas Ramadhan. Aha, terdiam semua. "Asyik borak buku sahaja, tak ada hasil. Apa kata kali ini kita buat sesuatu yang lain." Oh, beliau seorang doktor dan mementingkan outcome dari sekadar kata-kata.
Selepas beliau pulang, kami berbual seketika tentang dirinya. Lutfi kata, "dia bentuk yang tidak berbentuk". Rahimidin kata, "dia lebih under dari underground". Becky kata, "dia bukan mewakili mana-mana pihak". Dan saya kata, "dia unik!"
Dan cerpen perlu disiapkan. Dua bulan ya!
6 ulasan:
Rugi la saya x join. Saya ada cerpen tentang profesion :)
Lain kali kena naik train lebih awaL.
Jurutera yang menulis, hebat tu analoginya. Kita sudah ada, Prof Dr Zaini Ujang.
Bila Dr.Sharol tu cakap pasal Laskar Pelangi, saya sokong 100% pendapat beliau. Laskar Pelangi bukan hanya tulisan biasa-biasa tetapi satu fenomena.
Saya akui, sehingga ke hari ini, saya mengulang baca tetralogi Laskar Pelangi hinggakan terpaksa membeli semua Laskar Pelangi dan Edensor kerana kedua-duanya telah "lasam" di buka tutup.
Prof Zaini lebih kepada ilmiah. Dan dia juga tegar menyedarkan rakyat tentan kelestarian alam. Moga semakin ramai para ilmuan 'merakyat'
:-)
Mr Rocky, patutnya filem LP tu ditayang sempena Hari Guru. Sebagai tanda ingatan kepada guru dan kerajaan..
LP ditayang di Astro malam Hari Guru :)
Thats my bos!!!
Catat Ulasan