Ketika membaca buku ini, terlintas dihati saya - patutlah kerajaan sungguh-sungguh mahu ketatkan ISA dan AUKU. Demonstrasi boleh menjatuhkan. Tapi ia menyerlahkan sifat penakut. Ish, penakut!
Saya membaca buku ini bagi mendapatkan maklumat sejauh mana kekuatan dan keberkesanan student power ketika berlangsungnya zaman demonstrasi anti-perang pada 1960-70-an.
Demonstrasi anti-perang di Amerika Syarikat bermula apabila kerajaan AS memutuskan untuk menghantar tentera ke Vietnam bagi membantu kerajaan Vietnam selatan menentang tentera dari wilayah utara yang dikatakan menganut fahaman komunis. Apabila membaca mengenai sejarah Vietnam yang cukup panjang, kita perlu tahu yang Vietnam, atau Indo-China (Kemboja, Laos, Vietnam) merupakan jajahan Perancis sejak kurun ke 18. Perlu diingatkan, nusantara terpecah kepada beberapa kolonial barat. Filipina dijajah Sepanyol dan kemudiannya Amerika, Malaysia dan Singapura oleh British dan Indonesia oleh Belanda. Hanya Thailand terselamat dari sumpahan kolonial. Jepun kemudiannya menghalau dan memalukan penjajah barat dan menakluk negara nusantara ini sewaktu perang dunia kedua sehingga mencetuskan gagasan nasionalisme terhadap negara sendiri. Selepas itu satu demi satu negara nusantara berusaha membebaskan diri dari cengkaman penjajah.
Selepas perang dunia kedua, Perancis mendapati diri mereka tidak larat untuk terus menduduki Vietnam. Ini memberi peluang kepada AS untuk menjadi hero dalam usaha mengelakkan Vietnam mengisytiharkan kemerdekaan. Tetapi semua orang tahu tujuan utama AS adalah untuk menjadi kuasa besar demokrasi memandangkan Vietnam yang terpecah kepada kerajaan utara dan selatan sudah mula di resapi fahaman komunis disebelah utara. Kerajaan utara yang didalangi oleh Soviet Union dan China menjadikan Amerika berusaha membantu kerajaan Selatan sambil menegakkan fahaman demokrasi. Situasi inilah yang semakin mencambahkan perang dingin antara AS dengan Soviet Union dan China.
Selepas itu semuanya menjadi sejarah. Awalnya AS menghantar sekumpulan 400 orang anggota Green Beret ke Vietnam Selatan pada 1961 sebagai Penasihat Khas untuk melatih tentera Vietnam Selatan. Presiden Kennedy membuat keptusan ini selepas tertarik dengan penggunaan Pasukan Khas dalam operasi mencegah darurat seperti yang dilaksanakan oleh tentera British di Malaya. Khabarnya, Pasukan Khas itu berjaya mengawal darurat dengan baik biarpun berlangsung selama 12 tahun iaitu sejak 1948. Selepas Kennedy mati ditembak di Dallas, Presiden LB Johnson mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-36. Bermula dari Presiden Johnson, peranan Green Berret sebagai penasihat bertukar dan bertambah sedikit demi sedikit. Pada Julai 1964, jumlahnya meningkat kepada 21,000.
Protes anti-perang dimulakan sekitar 1962 oleh para mahasiswa kolej dan universiti yang menyedari bahawa ada perkara tersirat sebalik penghantaran tentera ke AS. Bukan hanya berperanan mengekalkan keamanan di Vietnam Selatan, para tentera didapati bertindak diluar batasan dengan membunuh orang awam yang disyaki terlibat. Mereka tidak dapat membezakan antara tentera komunis dan orang awam. Biasanya tentera komunis akan susup sasap ke kampung apabila dikejar tentera AS. Orang kampung sudah pastilah akan membantu warga tempatan, sama ada menyorokkan atau pura-pura tidak tahu apabila ditanya. Ini menyebabkan tentera AS bertambah berang.
Para mahasiswa juga menyedari pihak kerajaan menyembunyikan banyak fakta perang. Mereka tidak memberi laporan yang betul dan menyembunyikan kejahatan mereka disana. Apatah lagi kos perang semakin melambung, cukai dinaikkan semata-mata menampung kos penghantaran tentera. Warga berusia 18 hingga 26 tahun dipanggil menyertai latihan untuk dihantar ke Vietnam. Tiada pengecualian diberikan kecuali sudah berkahwin atau menyambungkan pelajaran. Maka mereka punya dua pilihan - mengemaskan beg untuk ke pusat latihan atau lari ke Kanada.
Keadaan semakin buruk apabila wartawan yang dihantar ke medan perang mula menceritakan perkara yang berbeza dari apa yang dilaporkan oleh kerajaan. Mereka bertambah berang apabila mendapati mereka ditipu. Maka para pelajar semakin ghairah berdemonstrasi. Mereka berkumpul di dewan beramai-ramai dan berdebat, berpidato, dan bersyarah. Kelas di pulaukan. Dari satu persatuan merebak kepersatuan yang lain. Dari satu universiti merebak ke universiti dan kolej yang lain. Dari satu negeri merebak ke negeri yang lain. Protes kemudian melibatkan orang awam yang semakin memahami sebab musabab protes yang berpanjangan. Mereka sudah berani berarak beramai-ramai sehingga ke Pentagon dan Rumah Putih. Tetapi pergerakan aman ini tidak langsung diganggu oleh polis mahupun tentera. Sebaik habis perarakan, emmbawa sepanduk, mengahntar petisyen dan berucap, mereka pun pulang.
Kemudian timbul istilah teach-in yang melibatkan perhimpunan beramai-ramai dengan dipenuhi pelbagai acara tanpa henti. Ada sehingga mencecah 36 jam dengan 100,000 pengikut. Aktiviti yang mereka lakukan tetap sama. Ucapan para pemimpin persatuan, debat oleh pensyarah, laporan oleh jurnalis, pengkisahan pengalaman oleh wartawan, nyanyian lagu puisi dan berunsur kedamaian. Mereka membawa poster, sepanduk, dan mengedar risalah kepada orang awam bagi menyedarkan masyarakat dan memaksa kerajaan tunduk.
Tetapi kerajaan AS tidak mengendahkan mereka. Sedangkan protes ini meyebabkan Presiden Johnson tidak mempertahankan jawatan dalam pilihanraya Presiden dan digantikan oleh Richard Nixon pada 1969. Namun begitu, Nixon tidak bertahan lama di Rumah Putih apabila dikaitkan dengan skandal Watergate pada 1974 sebelum sempat menghabiskan penggal pertama pentadbirannya. Dikatakan para pemimpin dibelakangnya menyalahgunakan peruntukan wang yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan Vietnam Selatan sehingga menyebabkan dia mengundurkan diri akibat tuduhan yang memalukan. Presiden Ford pula naik sebagai Presiden pada 1974.
Tetapi sebelum itu, protes pelajar yang tidak dilayan oleh kerajaan menyebabkan mereka berang dan mula bertindak agresif. Semakin banyak universiti dan kolej yang menangguhkan pengajian. Mereka berkumpul beramai-ramai dan membakar draf atau surat panggilan tentera. Mereka beramai-ramai pergi ke Pentagon dan menahan trak dan keretapi yang membawa tentera ke pelabuhan. Beberapa kali keretapi terhenti kerana landasan dipenuhi para pemprotes. Dalam satu teach-in di Chicago pada 1968, mereka di pukul polis dan tentera yang sehingga mengakibatkan bantahan orang awam terhadap tindakan agresif polis dan tentera. Selepas itu, mereka semakin dibantai teruk oleh polis dan tentera sehingga menyebabkan kematian.
Begitu pun, Nixon - ketika berkuasa - sudah mengumumkan dasar Vietnamisasi, iaitu pengunduran tentera AS dari Vietnam Selatan. Maka proses membawa pulang tentera pun berjalan. Beliau menetapkan sehingga 1975 untuk AS keluar sepenuhnya dari Vietnam. Pertengahan 1975, pengunduran besar-besaran berlaku selepas mendapati tentera Utara semakin menghampiri Saigon. Helikopter bekerja tanpa henti mengangkut keluar tentera dan orang awam yang berkumpul dikedutaan sehinggalah akhirnya Saigon jatuh sepenuhnya pada 30 April 1975. Saigon jatuh kerana tentera AS lari, bukan kerana tewas dalam perang seperti yang sering mereka gembar gemburkan.
Banyak yang belaku dalam zaman protes. Seorang Presiden dibunuh, seorang lagi meletakkan jawatan. Martin Luther King Jr, pemimpin kulit hitam juga mati terbunuh pada 1968. Kemudian wujudnya istilah Yippies dan Hippies. Kejayaan Nixon ke China juga menerbitkan istilah menarik seperti Only Nixon could go to China atau It took Nixon to go to China. Bayangkan sahaja ketakutan AS kepada China. Dan haruslah kini China sekali lagi menjadi mangsa ketakutan AS dari segi ekonomi.
Selepas itu, tentera komunis menguasai sepenuhnya Vietnam. Fahaman komunis dipraktikkan dan berlakulah mencabulan hak asasi manusia yang menakutkan. Rakyat Vietnam yang tidak tahan dengan penderitaan melarikan diri menaiki bot kayu yang usang. Ada hanyut hingga ke Hong Kong, Filipina, Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand dan Malaysia. Bagi membantu mereka yang kesempitan, kerajaan Malaysia bermurah hati mewartakan Pulau Bidong sebagai penempatan pelarian Vietnam sehinggalah ia di tutup sepenuhnya pada 1991.
Hampir 500,000 tentera AS ditempatkan di Vietnam. Pelarian Vietnam pula mencecah satu juta orang. Separuh dari jumlah itu berkubur dilautan, dibunuh lanun dan matiakibat kebuluran sepanjang perjalanan. Separuh lagi berjaya tiba dan dihantar ke negara ketiga yang sudi menempatkan mereka. Kebanyakan mereka di AS, New Zealand, Kanada, Australia sudahpun memasuki geneasi ketiga.
AS gagal menjadi hero dunia dalam menegakkan demokrasi. Di AS, para tentera yang pulang mengalami trauma akibat perang. Tidak kurang yang bunuh diri kerana tertekan. Ada yang diserang rasa bersalah dan berdosa. Bayangkan sahaja, mereka insan biasa yang tidak tahu tentang perang, dipanggil menjalani latihan dan terus dihantar berperang. Bayangkan sahaja trauma yang mereka alami.
Hampir 500,000 tentera AS ditempatkan di Vietnam. Pelarian Vietnam pula mencecah satu juta orang. Separuh dari jumlah itu berkubur dilautan, dibunuh lanun dan matiakibat kebuluran sepanjang perjalanan. Separuh lagi berjaya tiba dan dihantar ke negara ketiga yang sudi menempatkan mereka. Kebanyakan mereka di AS, New Zealand, Kanada, Australia sudahpun memasuki geneasi ketiga.
AS gagal menjadi hero dunia dalam menegakkan demokrasi. Di AS, para tentera yang pulang mengalami trauma akibat perang. Tidak kurang yang bunuh diri kerana tertekan. Ada yang diserang rasa bersalah dan berdosa. Bayangkan sahaja, mereka insan biasa yang tidak tahu tentang perang, dipanggil menjalani latihan dan terus dihantar berperang. Bayangkan sahaja trauma yang mereka alami.
Sehingga kini, AS tidak pernah belajar dari pengalaman. Masih berusaha menjadi polis dunia. Protes pelajar yang begitu menggugat pada 1960-70-an yang turut dirasakn tempiasnya di Malaysia dirasakan satu ancaman. Tidak tahulah apa undang-undang yang digubal di AS terhadap para mahasiswa tetapi kerajaan Malaysia ternyata amat takut dengan student power. Lalu mereka menggubal undang--undang dan mewartakan AUKu di setiap IPT dan IPTA. Mahasiswa disenyapkan sehingga lesu kini. Nak pergi mintak kerja pun tak pandai bercakap, hingg akahirnya selesa menganggur dan menunggu dibantu kerajaan. Nah, akhirnya berbalik juga pada kerajaan kan!
Nota:
1) Semua gambar diambil dari Google
2) Saya sedang menulis kembali kisah yang berlaku ketika perang Vietnam dalam bentuk mudah. Semoga usaha ini mendapat manfaat dan keredhaanNya demi kebaikan semua pihak. Doakan saya berjaya dalam usaha ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan