“Kadang-kadang susah memikirkan soal hidup, apatah lagi bila sudah
berkeluarga begini,” Kak Miah membuka bicara. Saya memasang telinga sambil
membuka getah yang mengikat pembungkus nasi lemak. Bau harum daun pisang dan
sambal tumis menyerbu ke hidung, menambah nada keroncong pada perut yang selalunya lapar
pada waktu pagi begini. Khalil di hadapan saya senyum tanpa kata. Dia mengunyah sebiji
karipap berintikan daging yang di bawa Kak Miah dari rumah.
Saya belum mahu membalas kata-kata Kak Miah. Malas rasanya membicarakan
masalah pada waktu pagi. Pada firasat saya, semangat bekerja seharian akan terketepi
dan menjadi lemah gemalai bila hal negatif dibacarakan pada awal waktu.
“Kamu ni, tak kahwin lagi, hah! Hati-hati. Sebelum kahwin fikir dahulu
elok-elok, biarlah memilih yang terbaik. Jangan nanti bila dah dapat, menyesal
pula." Kak Miah mengambil sebiji karipap dalam tupperware merah yang selalu dibawa bagi mengisi bekalan ke pejabat. Dia membelek-belek karipap tersebut tanpa rasa mahu mengunyah. Wap
dari secawan air milo yang baru di kacau menyerbu naik memenuhi ruang pantri.
Pagi masih awal. Beberapa teman sepejabat baru sahaja sampai, menghidupkan
komputer kemudian menyertai kami di pantri. Masing-masing menjenguk hidangan
pagi yang kami bawa, kemudian keluar semula. Mungkin mencari santapan pagi di
gerai berhampiran untuk di makan bersama.
"Hendak hidup bersama bukan untuk sehari dua, tetapi hingga ke akhir
hayat. Dengan anak, dengan kerja, dengan keluarga. Itu belum lagi hal mak bapak yang
kita perlu juga ambil tahu.” Kak Miah menggigit hujung karipap yang kembung dengan inti daging. Perlahan-lahan dia mengunyah. Saya kira dia memikirkan ayat seterusnya. Saya menanti, Khalil juga masih membisu. Nasi lemak saya gaul dengan sambal kerang yang merah menyala.
“Kenapa Kak Miah cakap begitu?” Ah, Khalil penyelamat. Biarlah dia melayan
kak Miah. Saya menyudu nasi lemak ke mulut. Tekak menelan cepat,
telingaku memasang dengar.
“Kamu perlu faham. Orang lelaki ni, bila kuasa ada ditangan mereka, suka
hati nak digunakan. Tak fikir rasional, tak tahu baik buruknya. Jangan ingat
perempuan ni tak tahu apa-apa.” Kak Miah menambah. Dia menghirup milo panasnya
sambil memerhatikan saya yang makan tidak menoleh kiri kanan. Tangannya mencapai
karipap yang kedua.
“Apa maksudnya? Kak Miah mahu kuasa pada lelaki itu di samaratakan kepada
kita?” Saya membidas kata-kata Kak Miah sambil mengesat mulut dengan sehelai
tisu yang tersedia. Khalil senyum sumbing memandang saya kemudian kepada Kak Miah
silih berganti.
“Ah, untuk apa. Kalau dah setakat itu hak yang Islam berikan kepada kita,
untuk apa pula kita persoakan. Cuma cara hak itu di gunakan kadangkala tidak
menepati cara,” Kak Miah berusaha mengimbangi kata-kata dengan mulutnya yang penuh. Pipinya kembung kempis.
“Ini bukan masalah hak atau kuasa. Ini masalah si pemegang hak, bagaimana
ia menggunakannya. Macam kereta.” Saya berhenti lalu meneguk teh yang telah
sejuk di cawan. Kak Miah menanti kata saya seterusnya.
“Kereta yang kita beli, baik atau buruknya keadaan kereta selepas empat
tahun adalah ditangan tuannya. Bagaimana ia di jaga oleh tuannya, semua perlu
diperhatikan. Kalau selepas empat tahun kereta saya sudah luntur warnanya,
tetapi kereta Kak Miah masih elok dan bersinar, maknanya saya tidak pandai
menjaga dengan elok. Mungkin jarang dibasuh, jarang di polish. Belum lagi dengan kesan
kemalangan, kemik atau calar balar yang ada.”
Kak Miah diam. Mungkin memikirkan kata-kata itu atau ada perkara lain yang
ingin di kemukakan. Saya tidak mahu beri dia peluang.
“Oleh itu, tuannya sendiri harus main peranan. Untuk memastikan keadaan
keretanya baik, jika mahu ia elok tanpa rosak maka sentiasalah servis. Macam
kita juga, kalau hari-hari minum milo panas, boleh kena kencing manis. Ambillah
jalan untuk mengatasinya.”
Kak Miah merenung milo panas yang tinggal separuh di dalam cawan. Khalil
mencapai karipap lagi, dan saya menyudu nasi lemak yang terakhir untuk pagi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan