Mencecah April, saya segera mengingatkan diri akan peristiwa setahun yang lalu. Tarikh 7 April menjadi saksi keberangkatan saya dari KLIA menuju ke Jeddah. Pemergian saya tengahari itu dilambai oleh ahli keluarga. Semua adik beradik saya turut serta. Yang bersekolah pun bercuti. Yang bekerja apatah lagi. Seperti satu peristiwa besar rasanya.
Hakikatnya begitulah. Dapat menjejakkan kaki ke KLIA merupakan satu pengalaman menarik bagi orang kampung seperti keluarga saya. Malah emak sudah beberapa kali menyebut mahu naik kapal terbang meskipun saya sudah bercerita bahawa naik kapal terbang itu sama seperti naik bas. Bezanya, tayar bas mencecah tanah. Kapal terbang menyapu awan. Saya pun memikirkan waktu yang sesuai untuk membawa keluarga bercuti ke mana-mana dengan kapal terbang sambil-sambil mencari sumber kewangan tambahan bagi membawa mereka bersama.
Setahun yang lalu, pada waktu seperti ini saya di Tanah Suci. Dapat merasa pengalaman dua kali solat Jumaat - sekali di Masjid Nabawi dan sekali di Masjidil Haram. Sesekali saya merasakan waktu yang berlalu terlalu cepat sehingga kenangan di Tanah Suci bagaikan terlalu pantas berlari. Ketika itu saya merasa sangat sihat dan segar. Bukan kerana berada di tanah haram tetapi aktiviti jogging yang saya lakukan hampir dua bulan sebelum berangkat menjadikan berat badan saya turun dan terasa cergas sepanjang hari. Langkah menjadi laju dan badan terasa ringan. Saya dapat tidur yang nikmat dan mudah bangun pagi lebih awal sebelum penggera berbunyi. Hasilnya, saya dapat melaksanakan segala ibadah dengan penuh kepuasan di sana, mengintai Tanah Haram dengan sepuasnya dan menikmati pengalaman di tempat orang dengan seribu satu hikmah tersembunyi.
Saya kira pengalaman mengerjakan umrah bukan sekadar menunaikan ibadah umrah tetapi persiapan fizikal yang saya lakukan memudahkan segala perancangan. Selama ini kita sering disogokkan dengan keperluan membaca banyak buku bagi menambah ilmu dan pengetahuan tetapi kita meninggalkan persiapan fizikal yang sebenarnya penting.
Saya memandang kembali persiapan fizikal ini dan cuba menjejaki segala aktiviti yang saya lakukan ketika itu. Selepas setahun, saya tidak menjaga fizikal dengan baik dan pola pemakanan menjadi caca merba. Saya harus kembali kepada situasi setahun yang lalu. Perlu memperuntukkan masa untuk bersenam dan mengeluarkan peluh. Saya sudah merasa kesannya yang amat hebat ketika itu. Jika tidak, mata sudah mengantuk ketika malam masih muda. Ataupun sekadar bermalasan di tilam dengan buku sehingga terlelap dengan lampu menyala sampai pagi. Kali ini saya perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan badan sihat dan segar sentiasa.
Alhamdulillah, walau apa perancangan kita, perancangan Tuhan juga yang paling sempurna.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari
Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...
-
Terdengar lagu ini dalam kereta ketika memandu ke pejabat pagi tadi. Bait-bait liriknya indah di telinga dan sedap dibibir. Cepat-cept cari ...
-
Judul :Saga Penulis : Abdul Talib Mohd Hassan Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Cetakan :15, 1998Tebal : 388 ISB...
-
Hujung minggu yang lalu saya menghadiri aktiviti perkhemahan di Hutan Lipur Lentang, Karak atas undangan sebagai Pembantu Jurulatih. Saya di...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan