Pasport dan rupee. Buku yang ada cuma tentang Agra dan Delhi
1. Aku akan membuat catatan
ringkas perjalanan dan pengalamanku di Chennai. Ada yang telah ku tulis, ada
yang tersimpan dalam kepala. Semua itu perlu aku zahirkan di sini. Kalau tidak,
semuanya lebur di telan waktu
2. Rancangan ke Chennai sudah
masuk dalam agenda Pena sejak tahun lalu. Juga bersekali dengan lawatan ke
Makassar. Kedua-duanya bagi memenuhi undangan aktiviti persatuan penulis di
sana, bukannya sekadar jalan-jalan kosong. Setelah semua setuju, kami AJK Pena
cuma bayar tambang pada kadar minimum.
3. Kami diminta menghantar
puisi yang akan dikumpul bersama dengan pemuisi Chennai dan diterbitkan dalam
buku dwibahasa. Tiga bahasa sebenarnya – BM, Tamil dan English. Tidak seperti
di Jogja – yang aku gagal menghantar puisi – kali ini aku cari puisi yang belum
terbit dan ku hantar begitu sahaja. Judulnya ‘Sarapan pagi’
4. Perjalanan ke Chennai
ternyata tidak semudah disangka. Cabaran pertama ialah mendapatkan visa. Itu
adalah kewajipan untuk memasuki India. Agak menghairankan juga bagi sesama
negara Komanwel yang memerlukan visa, sedangkan Britain, Australia dan new
Zealand yang besar itu pun tidak memerlukan kita mendapatkan visa.
5. Ada kemudahan mengisi borang
visa secara online tetapi cukup bermasalah. Aku isi dua kali dan salah. Pertama
kerana tujuan lawatan, kalau ditulis seminar tidak sama jika tujuan melancing.
Jika seminar, perlu pula sertakan dokumen lain sebagai sokongan untuk pihak
sana semak kesahihannya. Jika atas tujuan melancong, mudah sahaja urusannya.
Kali kedua salah kerana nama yang tidak diisi dengan meletakkan ‘binti’. Urusan
kecil yang merumitkan.
6. Namun bukan aku seorang yang
buat silap tetapi semua peserta. Mujur Presiden seorang yang tidak suka buat
kerja saat akhir dan mahu semuanya diselesaikan segera. Menyedari bahawa untuk
meminta yang lain mengisi dan menghantar borang pun akan memakan masa kerana
tidak semua berada di Lembah Klang, maka dialah yang berusaha menyelesaikan
segala urusan visa di kedutaan bersama beberapa AJK yang lain. Untuk urusan
visa sahaja, perlu RM200 dan dua keping gambar mengikut spesifikasi yang
ditetapkan
7. Jadual penerbangan kami
ialah 9 Jun (Isnin) hingga 13 Jun (Jumaat). Bertolak jam 6.30 pagi, tiba di
tanah air 12.30 pagi Sabtu. Jadual yang sangat awal untuk pergi dan pulang.
Soalnya, bagaimana aku harus pergi ke lapangan terbang?
8. Ketika ini, KLIA2 sudah
mula digunakan pada awal Mei. Tiada lagi LCCT yang menyesakkan. Macam-macam
pujian aku dengar tentang KLIA2. Teruja juga ada.
9. Aku mula merancang
perjalanan. Nak suruh siapa hantar? Nak guna perkhidmatan teksi? Nak memandu
sendiri? Perlu berada di KLIA2 paling tidak seawal 3 pagi. Ini bermakna perlu
bertolak seawal jam 2. Jiranku bawa teksi. Bila ku tanya kadar hantar dan
ambil, dia kata RM180. Terdiam sebentar aku. Kena cari jalan lain.
10. Dalam pada itu ku teruskan
juga hari-hari yang ku lalui dengan tenang. Cuti sekolah pun sudah bermula,
perjalanan pagi ke pejabat lebih cepat tanpa kesesakan. Cuma bila aku tidak
memegang kunci maka duduklah aku di tangga pejabat sebelum mereka tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan