Ahad, Julai 27, 2008

Meminjam buku

Saya meminjam tiga buah buku dari Perpustakaan KL. Sejak menjejakkan kaki ke tempat ini hampir dua tahun yang lalu serta mendaftar menjadi ahli, saya langsung melupakannya. Jika tidak kerana ajakan Ida, memang saya tidak akan datang ke sini lagi. Alasan saya ialah 'tidak mahu masuk KL yang jam' (hari Ahad, mana ada jam!)

Kami memperbaharui keahlian yang sudah tamat. Dan saya rasa inilah kali pertama sejak bertahun-tahun meninggalkan alma mater, saya menjejaki perpustakaan. Oh, tidak rasanya. Pernah juga pergi ke Perpustakaan Bangi tetapi amat mengecewakan kerana ia buka ketika waktu pejabat sahaja. Susahlah untuk pergi ketika kita sedang kerja. Satu jadual yang pelik, bagai tidak membenarkan kita membaca pula.

Melihat buku yang tersusun rapi, dengan suasana dan susun atur perabot yang kemas, nampak begitu tenang sekali keadaannya. Saya mendaki ke semua ruang, melihat apa-apa yang boleh dicari di kemudian hari. Sekejap sahaja saya merasakan yang diri boleh menyenangi tempat ini. Dalam masa yang sama saya cuba membandingkan dengan alma mater, tetapi tidak mungkin memandangkan ruang lantai dan jumlah buku di alma mater lebih banyak. Sudah tentu universiti mempunyai jumlah yang banyak bagi menampung kehadiran ribuan penghuninya. Namun, apalah sangat dengan hal remeh temeh ini.

Saya meminjam tiga buah buku. Kemudian terlintas sesuatu perkara. Selama ini saya hanya fikir dengan membeli sahaja saya boleh membaca. Saya lupa yang dengan menjadi ahli perpustakan dan meminjam, saya boleh juga membaca. Mungkin kerana terlalu memberatkan faktor memiliki, lalu saya fikir wang menjadi kuasa untuk saya menguasai buku. Silap. Kemudahan perpustakaan membolehkan saya membawa keluar buku yang saya inginkan. Dan banyak juga buku yang menarik.

Jadi saya perlu lakukan perubahan. Meminjam juga merupakan satu usaha bagi memudahkan saya meluaskan pembacaan. Ini perkara yang saya lupa. Nantilah, selepas ini saya akan selalu ke mari meminjam dan meminjam.

.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...