Selasa, Julai 15, 2008

Buku, buku dan buku

Dua Ahad yang mengujakan. Dua Ahad yang terisi dengan perkara yang bermanfaat.

Ahad pertama 6 Julai. Selepas berjogging, mencuci kereta, membasuh baju dan mengemas, saya menepati janji menemani seorang teman ke Hospital Ampang Puteri. Dia menelefon termengah-mengah kerana asma dan katanya mahu mendapatkan rawatan di sana. Sementara menanti ketibaannya, saya ke Ampang Point – tempat yang tidak pernah saya jejaki biarpun ia adalah laluan utama saban waktu.

Saya tidak pasti arah ke mana berpusing-pusing di antara kedai yang padat. Kaki yang sakit (kerana jarang-jarang berjogging) tidak saya endahkan. Pasaraya masih lengang biarpun waktu menghampiri tengahari. Saya tahu ada Popular, tetapi teragak-agak untuk ke sana. Namun mata tertancap kepada Pay Less Books. Hati bagaikan di tarik-tarik. Ditarik-tarik. Di tarik-tarik. Ada magnetkah disana?

Ada poster promosi jualan dan potongan 50%. Saya tidak endahkan. Tetapi saya tidak lepaskan peluang membelek buku yang tersusun rapi di rak. Hajat mahu melihat-lihat sahaja. Melihat sahaja? Matlamat saya ialah Pesta Buku Selangor hujung bulan ini. Saya harus membuat lebih simpanan. Kalau dibelanjakan hari ini, nanti kurang pula bajet untuk pesta buku.

Hati berkata-kata. Kepala mengira-ngira. Mata melihat, memandang. Tangan memegang, membelek. Ambil, letak. Maju kedepan, patah balik. Hati memujuk, tak mengapalah, satu pun boleh. Selling for Dummies oleh Tom Hopkins dibelakangnya bercop harga RM 25.90. Ketika membayar ia menjadi RM 12.95. Betulkah 50% semuanya? Jurujual mengiyakan. Mata menjadi bersinar. Tetapi, tidak!

Saya turun ke tingkat bawah mencari teman yang baharu tiba, lalu membawanya ke Pay Less Books. Dia juga gila buku. Katanya hari ini hari terakhir jualan ‘murah’ oleh Pay Less Books. Dia sudah pergi ke gudangnya di Puchong, tetapi tidaklah sehebat disini. Saya membelek lagi dan menemui dua lagi buku hebat. Do What You Are oleh Paul D. Tieger berharga RM 11.45 dan The Greatest Salesman in the World oleh Og Mandino berharga RM 5.45. Kedua-duanya harga selepas potongan. Cukuplah, saya tidak sentuh lagi buku-buku lain yang teratur pada rak. Nanti ada lagi yang dibeli.

Selepas ke hospital, kami berbual singkat akibat ruang waktu yang pendek. Tentang buku, politik, kerja, masa lapang. Semua di sentuh sepintas lalu. Sempat kami berbincang tentang satu modul latihan yang perlu saya siapkan. Dia melakarkan idea ada kertas, sekaligus meredakan bebanan pada fikiran untuk menyiapkan kertas kerja yang sudah tertangguh seminggu. (Ini juga satu peluang, tetapi saya sering terganggu memikirkannya).

Dapat berbiacara tentang buku dengannya, cukup melegakan biarpun sedikit. Ada teman yang boleh di bawa berbual tentang hobi yang sama, lalu membuka fikiran tentang bberapa perkara dan idea yang selama ini terawang-awang di kepala.

Ahad kedua ialah pada 13 Julai yang lalu. Saya ke Seremban dalam perjalanan pulang Ke Bangi dari kampung. Teman saya ini, yang sangat saya hormati merupakan junior di alma mater yang cukup matang. Membentuk peribadi saya , sering menasihati serta menyarankan perkara yang positif untuk saya lakukan. Dia baru tiga minggu kehilangan bayi sulung berusia tujuh bulan kerana pre-eclampsia. Satu penyakit terpencil di dunia dan kes seumpamanya di Malaysia dilaporkan cuma 2%.

Saya menghadiahkan buku sulung – kredit kepadanya kerana dia banyak menyumbang idea dan penyunting pertama sebelum manuskrip dihantar kepada editor - sambil mendengar cerita tentang kehilangan tersebut. Rasa serba salah ada juga, tetapi saya tahu dia seorang yang kuat dan positif. Nyata benar. Malah perbualan tempohari adalah berkisar tentang buku kemudian politik, kembali kepada buku kemudian kerja. Buku lagi dan buku sehingga hampir empat jam. Dari Asar membawa ke Maghrib, hingga saya rasa malu kerana bersembang terlalu lama.

Perbualan kami disertai oleh ibunya yang sangat saya hormati. Saya membawa bersama seorang kawan, yang kemudiannya cukup teruja mendengar topik perbualan kami. Sudah lama saya ingin berbual dengan ibu, yang saya ketahui dari anaknya itu cukup banyak membaca, berfikiran terbuka dan seorang yang berilmu. Maka petang itu menjadi satu perbualan ilmiah.

Tiga buah buku yang saya beli dari Pay Less Books adalah buku hasil saranan teman saya ini. Malah dia menyarankan saya membaca Do What You Are supaya saya boleh ‘discover the perfect career for you through the secrets of personality type’. Sebelum itu dia meminjamkan saya buku ini dan saya pulangkan kembali kepadanya bila berjaya membelinya. Memang ia sebuah buku yang bagus untuk mengenali pekerjaan yang sesuai dengan diri. Saya akan ulas buku ini nanti.

Teman saya dan ibunya sehati sejiwa dalam hal-hal buku. Si ibu membaca dan mempraktikkan kepada anak-anaknya. Anaknya pula menyampaikan kepada teman-teman. Ia menjadi satu aliran ilmu yang berpanjangan. Teori yang di baca dan di amalkan. Maka dapat dilihat kesan kepada indvidu yang terbabit. Lebih terbuka, rasional dan menjadi sumber maklumat.

Kami menyentuh pelbagai ruang ilmu. Ekonomi, agama, motivasi, psikologi juga politik. Teman saya inilah juga yang menyarankan saya membeli The Secret. Banyak rahsia di dalamnya. Dan paling menarik, kata ibu, “Ibu sudah lima kali baca buku ini. Ibu baca kerana nak tahumengapa buku ini sangat laku.” Malu sungguh saya rasa, kerana sejak di beli pada 8 September 2007, saya hanya mampu membaca tak sampai 20 muka. Ibu sudah khatam lima kali! Aduuhh!!

Buku ini, kata ibu memang bagus. Malangnya kita sebagai orang Islam cukup rugi, kerana apa yang ada dalam The Secret, adalah apa yang terdapat dalam al-Qur’an. Kita tidak praktikkan apa yang Allah kata, tetapi bila omputih tulis, kita ambil bulat-bulat.

"Tetapi The Secret,” kata ibu, “sekadar menceritakan apa yang patut kita lakukan. Kadang kala bila baca, kita tak perasan apa sepatutnya. Dan untuk memudahkan, bacalah Law of Attraction.” Ibu mengambil buku tersebut. Katanya lagi, Law of Attraction mempermudahkan apa yang ada dalam The Secret, step-by-step approach. Kemudian ibu mengulas apa yang ada di dalam The secret, mengaitkannya dengan al-Qur’an, kelas agama yang di hadiri dan sesi soal jawab dengan ustaz dan ustazah. Semuanya ada kaitan.

Kemudian ibu mengambil satu lagi buku. ESQ. “Kita selalu dengar IQ, EQ. Tetapi kali ini wujud konsep ESQ.” Ibu menyerahkan buku kepada saya. Saya membelek.

“Ah, kalau buku terjemahan mesti datangnya dari Indonesia,” saya merungut. Memang industri terjemahan di Indonesia cukup hebat. Segala buku yang baru diterbitkan akan cepat di terjemah. Tetapi saya silap. Saya sangkakan buku ESQ adalah terjemahan buku barat, rupanya ia di tulis oleh Ary Ginanjar Agustian dari Indonesia. Konsep ESQ menarik untuk di bincangkan, kerana ia melibatkan emosi, rohani dan spiritual. Ibu kemudian menceritakan tentang kursus-kursus ESQ yang dianjurkan dan bagaimana konsep ESQ banyak merubah dan membentuk diri mereka yang menghadiri seminar. Juga membetulkan persepsi barat tentang IQ dan EQ yang mereka sangka sudah cukup kuat. Rupanya ada konsep lain yang lebih penting, yang cukup dekat dengan Tuhan.


Saya membelek Law of Attraction dan ESQ. Dalam hati saya membayangkan kekaguman terhadap mereka. Dekat dengan ilmu, lebih akrab dengan Tuhan. Tetapi saya? Tersangkut di tengah-tengah. Baca tak habis, buku tersadai. Malang sunguh.

Saya kemudian di sarankan melayari www.oprah.com bagi mencari tips dari Marcus Buckingham. Tetapi saya dapati segala tips-tips yang ada didalam laman web tersebut amat menarik. Satu perkara yang saya usahakan tanpa jemu hingga kini.


Dalam perjalanan pulang, saya menanam azam. Saya harus habiskan buku-buku yang saya beli. Saya harus beli buku berunsur motivasi. Dan saya harus kuatkan semangat untuk membaca semua buku.


Dua Ahad yang mengujakan. Dua Ahad yang membuka mata. Syukurlah saya di kurniakan kawan-kawan yang banyak membantu. Saya hanya perlu melawan diri sendiri sahaja sekarang ini.

:-)

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...