Isnin, Julai 21, 2008

Proses penulisan yang amat payah

Sejak menapak dalam bidang penulisan mahupun karang-mengarang, ada beberapa perkara yang tidak pernah saya fikirkan akan terjadi. Mungkin perkara yang sama berlaku juga kepada orang lain.

Perkara wahid ialah bagaimana menyiapkan sesuatu karya dalam waktu yang telah di tetapkan. Ini bukan soal idea, bukan tentang pengisian. Semuanya sudah ada, siap tersusun, sumber yang cukup, maklumat yang banyak. Tetapi, mengapa ya, saya sendiri tidak mampu menyiapkan semua itu?

Bayangkan ini. Idea datang mencurah-curah, tetapi semangat lari-lari. Sekejap ada, sekejap hilang. Macam biskut. Bila semangat menggunung, idea pula entah kemana. Bila dua-dua ada - semangat yang membuak-buak untuk menulis di ikuti dengan idea yang melimpah ruah, masa pula tiada. Oh, dugaan sungguh.

Hal ini di akui oleh beberapa kenalan. Ya, menulis tidak semudah mengambil pen dan tulis, atau duduk di hadapan monitor dan menekan keyboard. Menulis harus datang dengan hati, dengan yakin, dengan akal. Juga dengan iman. Jadi, dugaan besarnya ialah iman juga. Menjadikan empat perkara ini selari dan sejadi, kadangkala payah. Tambah-tambahan pula jika melakukan perkara yang wajib sahaja, meninggalkan yang sunat. Maka idea yang sepatutnya turun tatkala menekan keyboard terasa bagai di tahan-tahan. Ini bukan rekaan. Memang betul.

Apatah lagi bila berada dalam satu keadaan dimana nak menulis pun malas, apatah lagi membaca. Maka terpusing-pusinglah mencari semangat, mencari idea. Bertungkus lumus memeram maklumat, membetulkan fakta, tetapi hasilnya tiada. Saat ini, yang perlu di betulkan ialah antara diri sendiri dengan tuhan, dengan Maha Pencipta. Ilham, idea, semangat itu semua datang darinya. Jika tidak dia yang mengizinkan, mana mungkin sesuatu penulisan itu boleh terhasil.

Hanya dengan hati, keyakinan, akal dan iman, ditambah-tambah dengan idea, semangat dan masa, maka sesuatu penulisan itu terhasil dengan baiknya. Secara teorinya begitulah. Tetapi praktikalnya, Tuhan sahaja yang tahu bagaimana mahu menyiapkan sesuatu naskhah.

Cikgu memberi tugasan supaya kami menyiapkan sekurang-kurangnya senaskhah novel. Sudah enam bulan berlalu. Awalnya saya begitu bersemangat, dan amat teruja. Hari-hari mencari bahan, menulis, membaca, menyunting. Kemudian menjadi perlahan, perlahan, dan perlahan. Momentum semakin kurang. Sasaran sudah lari dari landasan. Matlamat sudah tersasar. Sekarang ini, nak menyentuh manuskrip pun rasa malas. Apatah lagi mahu menyunting bahagian yang perlu. Semangat bagai di tarik-tarik.

Saya amat terkesan dengan perkara ini. Memang benarlah, menulis itu bukan mudah, bukan seperti yang saya rasakan sebelum menjejakkan kaki ke bidang ini. Mencari semangat, masa dan idea, mengumpulkan semua supaya dapat terhimpun pada satu masa yang sama. Ada yang mengatakan, menulis itu perlu banyak bertafakur. Pada saya, perlu kurangkan dosa, banyakkan amalan sunat. Atau sebelum menulis, tunaikan solat sunat dan berdoa supaya di permudahkan usaha.

Apakah ini kerana kita mahu hasil tulisan itu meninggalkan kesan yang mendalam, menjadi best seller atau menjadi rujukan ilmiah yang tersohor. Apakah kerana niat yang tidak betul pada awalnya mengundang dugaan yang macam-macam ditengah perjalanan? Hmm...tepuk dada, tanya iman. Tetapi, apakah salah niat seperti ini? Sudah pasti kita menulis dengan harapan ia laku di pasaran, para pembaca terkesan dengan watak atau sering dibincangkan di mana-mana forum ilmiah. Bukankah itu sebenarnya yang diinginkan oleh penulis?

Saya terkenangkan para penulis sepenuh masa, seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron (sekadar mengambil beberapa nama). Bagaimana agaknya dugaan mereka ya?

2 ulasan:

Jong berkata...

Salam
Buat jangan tak buat!
Wassalam

Norziati Mohd Rosman berkata...

Tabik cikgu!!

:-)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...