Khamis, November 12, 2009

Rezeki

Entri ini khusus terhadap novel sulung saya, Meniti Jalan Hadapan (MJH) yang telah diangkat memenangi tempat ketiga kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. Setelah 6 bulan dimasyhurkan dalam majlis yang gilang-gemilang di Istana Budaya pada Jun lalu, diikuti beberapa peristiwa yang terhasil dari novel ini, maka saya merasa bertanggungjawab membuat sedikit catatan terhadap apa dan mengapa disebalik novel ini. Semoga ada kebaikan yang tersirat disebaliknya.

1)
Meniti Jalan Hadapan (MJH) merupakan novel pertama yang saya hasilkan setelah bersungguh selama lebih setahun bertungkus lumus menyiapkannya. Jika dilihat kepada tajuk, mungkin ramai menyangka yang ia sebuah kisah biasa, seperti kebanyakan novel yang terdapat dipasaran. Mungkin ia kisah cinta, kisah melankolik seorang perempuan, kisah ala pop-Islami, atau kisah anak-anak muda. Ya, apalah yang ada pada tajuk, sedangkan tajuk itulah sebenarnya yang memberi setidak-tidaknya pencerahan terhadap pandangan keseluruhan novel.

Benar, saya menghadapi masalah mencari judul yang sesuai, apatah lagi diselubungi kepuasan selepas berjaya menghasilkan sebuah novel - yang pertama - dan kepuasan itu menyelimuti diri sehingga mengabaikan tanggungjawab mencari sepotong ayat yang catchy, yang mantap sebagai judul. Saya hilang punca untuk membuat sebarang pertukaran ketika itu biarpun telah ditegur cikgu yang mengajar, teman yang menyemak bahasa, sahabat yang memberi pandangan dan editor yang menerima manuskrip. Pada saya, apalah yang pada judul, jika isinya sudah cukup bagus. Saya lupa pada kata-kata cinta pandang pertama, ataupun judge the book by it's cover, kerana ia sebenarnya memainkan peranan yang maha penting.

Maka jadilah ia Meniti Jalan Hadapan, yang secara kasar jika dipandang tidak mencerminkan apa isinya. Namun, anda akan silap jika memandang hanya kepada kulit kerana judul ini merupakan sebaris ayat dalam novel ini.


2)
Sewaktu menghantar manuskrip, mencari jalan ke Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd memberi sedikit masalah, walaupun Taman Shamelin Perkasa berjarak setengah jam dari Bandar Baru Bangi. Saya bertanya kepada beberapa staff yang kemudiannya begitu baik hati melukiskan peta perjalanan ke sana.

Saya menghantar sendiri manuskrip pada hari Jumaat d penghujung Disember bersama seorang teman yang turut mencuba nasib. Cubaan pertama keluar dari pejabat pada sebelah pagi terhalang dengan satu panggilan telefon menyebabkan saya berpatah balik ke pejabat. Selepas solat Jumaat, saya mencuba sekali lagi dan terus membawa kami ke Dawama Ulu Kelang yang mengadakan ‘pesta’ jualan gudang. Banyak juga naskhah novel yang saya beli, yang kebanyakanya dari hasil tangan para sasterawan Negara.

Kisah MJH tamat disitu. Entah apa nasibnya tidak saya ketahui. Hendak menghubungi sesiapa untuk bertanya khabar manuskrip pun tidak tahu. Masih belummengenali sesiapa, masih cuak dengan suasana. Sudahnya, tertanya-tanya sendiri, hingga sampai satu tahap buat tidak tahu dan memulakan proses pengkaryaan yang baru.

3)
Pada suatu hari yang sibuk (tiada hari yang tidak sibuk dipejabat), saya menerima satu panggilan yang tidak sempat dijawab. Ya, saya sebenarnya menghadapi masalah menjawab panggilan telefon. Mempunyai dua buah telefon bimbit, satu milik sendiri dan satu milik syarikat bukanlah perkara yang mudah. Selalu saya membiarkan ia tidak berjawab. Lebih senang menghantar pesanan ringkas. Tetapi, jarang sekali saya lakukan perkara yang sama terhadap telefon milik peribadi, kerana panggilan yang datang biasanya adalah berkaitan urusan luar kerja.

Entah kenapa, hati tergerak membalas panggilan tersebut bila melihatkan ia datang dari nombor yang tidak dikenali, yang turut meninggalkan pesanan suara. Mendail peti suara, kurang jelas pesanan yang ditinggalkan. Maka saya mendail kembali. Suara En. Rozlan Mohamed Noor, Editor Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd dihujung talian meminta saya membaca e-mel yang dihantar, yang merupakan permintaan supaya saya menghantar manuskrip dalam bentuk salinan lembut (softcopy) kepadanya. Mendengar permintaan dan membaca e-melnya membuatkan hati rasa gembira. Terasa ingin melompat keluar dari tingkap! Apakah ini suatu petanda? Dan hati diselubungi teka-teki.

Apa yang berlaku seterusnya menjadi sejarah. Selepas menghantar salinan lembut, saya diminta datang untuk membincangkan beberapa perkara yang kurang jelas dalam manuskrip, membuat suntingan akhir dan berdebar-debar menunggu keputusan. Surat menyurat, e-mel dan panggilan telefon menyusul selepas itu dalam usaha menyiapkan sebuah karya serba lengkap. Ya, keputusan masih belum diumumkan, malah tidak tahu apakah yang akan berlaku seterusnya. Malah pihak Utusan meminta saya merahsiakan hal ini terlebih dahulu sebelum keputusan rasmi dikeluarkan. Saya menanti dalam debaran, menghormati permintaan pihak penganjur dan ternanti-nanti keputusan. Paling penting, nombor berapa.

Untuk menjadikan segala-galanya lebih gelisah, saya hanya tahu keputusan sebenar melalui siaran akhbar pada hari Ahad, 7 Jun 2009. Keputusan penuh dikeluarkan diikuti sinopsis tiga novel kategori novel remaja pada Rabu, 17 Jun.

Kali ini, buat pertama kalinya Kumpulan Utusan bersama Istana Budaya dan Astro menganjurkan pelbagai acara menarik sempena majlis penganugerahan HSKU diikuti majlis penyampaian hadiah secara gilang gemilang di Istana Budaya yang dihadiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku tetamu kehormat.

Tidak dapat digambarkan perasaan betapa bangga dan bertuah, namun debar dan resah turut mengiringi diri. Apakah ini satu permulaan ke puncak atau perhentian meredahi onak? Apakah  harus saya berpuas hati dengan pencapaian pertama yang membanggakan, lalu terleka dengan segala yang telah dianugerahkan. Perasan bercampur baur diatas pentas, apatah lagi berdiri dibelakang pentas bersama kelompok penulis mapan. Kerdil sungguh diri, karya pertama diangkat sebegini rupa, masih jauh di belakang dan tiba-tiba ditolak keatas. Takut mengusai diri secara tiba-tiba.

Namun jika ditanya, saya sangat gembira ketika berada dibelakang pentas berbandng dipentas bersama Tun. Bersama kelompok penulis mapan, dalam keadaan tidak dikenali, sangat menarik. Saya mengasingkan diri dibelakang (memang saya orang terakhir menerima hadiah malam itu), dengan peluh dingin memercik kerana perasaan seram sejuk yang teramat. Oh, alangkah.

4)
Novel Meniti Jalan Hadapan (MJH) merupakan sebuah novel yang saya angkat dari kisah benar. Ya, apapun karya adalah kisah benar belaka, yang berlaku disekeliling kita. Maka itu, saya cuba coretkan beberapa perkara yang berlaku seputar ruang kerja dan kehidupan agar menjadi pengajaran yang bernas dalam hidup. Malah ketika mula membuat draf novel saya sudah memasang hasrat yang ia bakal menjadi sebuah novel yang ‘bahaya’ – bahaya kepada saya dan kerjaya – kerana mengangkat sebuah kebenaran untuk paparan umum. Saya menggadaikan kerjaya saya untuk MJH kerana sedar risikonya. Ya, mempertaruhkan kerjaya, dan selalu membayangkan bakal dibuang kerja atau di ugut oleh pihak tertentu kerana membuka pekung.  Sehingga ke tahap itu.

MJH ialah seputar rasuah. Novel ini - masih saya ingat lagi ketika itu sedang sibuk berhari raya
- dan saya yang kebosanan dengan cuti panjang serta bau lemang, ketupat, membeli sebuah
buku tulis dan mencoretkan segala yang terpendam dalam kepala. Agak banyak juga yang berjaya ditulis, yang terlahir dari perasan tidak puas hati, lalu dilampiaskan segalanya dalam bentuk cerita. Puas hati dapat meluahkan segala perasaan. Dan sekali lagi saya ingatkan, ini adalah kisah besar. Sama ada benar kepada saya atau benar kepada orang lain, itu soal lain. Ia adalah kisah benar. Saat MJH disiapkan, pasukan penguatkuasanya masih bergelar Badan Pencegah Rasuah (BPR). Tatkala ia siap diangkat sebagai pemenang, saya menyuntingnya menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2009. Perkara paling mencabar ialah memperkasakan diri tentang  isu rasuah. Maka segala ruangan dalam laman web saya jelajahi, membaca laporan mahkamah serta kes, akta yang berkaitan, meneliti keratan akhbar dan rencana dari laman web BPR.
Paling mencabar ialah membaca buku karya Syed Hussein Alatas berjudul Rasuah, Sifat , Sebab dan Fungsi terbitan DBP, cetakan kedua 202. Ketika dibeli di Pustaka Mukmin pada Februari 2008, saya perasan yang cuma tinggal satu naskhah di rak kedai buku tersebut. Sangat mencabar, dan sempat mengadu pada cikgu. Saya akui cabaran utamanya ialah kerana ia adalah terjemahan dari penulis yang sama terhadap Corruption, It’s Nature, Causes dan Function terbitan Gower Publishing Ltd, England tahun 1990. Saya mengangkat dua bab sahaja – rasuah ketika empayar Rom dan China kuno. Itupun sudah menyiksa mental untuk dititipkan dalam novel. Apatah lagi dengan kisah rasuah yang maha dahsyat, serba mual melukiskan adengan terbabit.

Sumber kedua ialah buku berjudul Hukum dan Ancaman Rasuah Terhadap Masyarakat Dan Negara karya Abdullah al-Qari b Hj Salleh ( Al-Hidayah : 2004) yang memerlukan saya meneliti setiap potongan ayat dan hadis yang dikeluarkan kerana dikhuatiri memberikan maksud yang lain dari apa yang saya tafsirkan. Saya amat berhati-hati dengan buku ini. Sungguh berhati-hati.

Rujukan ketiga dan juga penting ialah Islam & Perjuangan Melawan Rasuah karya Ezam Mohd Nor dan Helme Hanafi terbitan Gerak Malaysia, tahun 2008 . Gerak Malaysia ialah kependekan dari Gerakan Rakyat Anti Korupsi yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajan (NGO) yang ditubuhkan untuk menentang amalan rasuah di negara ini. Buku ini amat istimewa kerana ditandatangani oleh Sdr Ezam, dengan nama penuh saya tertera didalamnya dan diserahkan melalui perantaraan cikgu saya, yang menyampaikan hasrat saya kepadanya untuk menghasilkan sebuah karya tentang rasuah. 



Jadi, proses pembacaan adalah seiring dengan penulisan. Ada juga saat dimana saya terganggu dengan tafsiran terhadap pembacaan, menyebabkan rasa terkilan yang amat kerana tidak dapat mendalami isu rasuah dengan mendalam. Namun, perasan membuak yang hadir bagi menceritakan busuk-kejinya rasuah memadamkan segala perasaan terkilan. Saya rasa bertanggungjawab memberitahu masyarakat bahawa rasuah adalah ini, dan kita harus lakukan itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Saya meneliti apa yang berlaku disekeliling bagi menghaluskan watak dan perwatakan supaya ia nampak relevan dengan suasana dan persekitaran.


5)
Tidak ramai yang mengerti apa sebenarnya rasuah. Tidak ramai yang tahu rasuah itu adalah perangkap  hidup. Tidak ramai yang faham mengapa kerajaan bertindak keras terhadap penerima rasuah. Dan tidak ramai juga yang faham rasuah itu bukan semata duit, tetapi melibatkan salah guna kuasa dan pangkat. Mahu menceritakan semua dalam sebuah buku, amatlah sukar kerana setiap satu tindakan itu perlu diperincikan bagi pembaca dapat menghayati dan memahami pokok persoalan bagaimana rasuah itu terjadi.

Rasuah adalah tema MJH. Saya memasukkan sedikit aura percintaan sebagai penambah rencah, namun ia bukanlah perkara utama yang menunjangi novel ini. Perbahasan isu rasuah – daya tarikan dan tolakan terhadap rasuah – diceritakan melalui dialog seumpama perbahasan oleh watak bagi memudahkan pembaca mengetahui mengapa seseorang itu tertarik terhadap atau menolak rasuah.

Saya tidak mahu menghuraikan panjang lebar tentang MJH, kerana tidak adil bagi seorang pengarang bercerita panjang tentang hasil karyanya sendiri. Adalah elok jika anda – pembaca –menilai sendiri karya ini. Saya mengalu-alukan sebarang komen dan kritikan mahupun ulasan terhadap MJH. Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan komen ke dalam kantung emel saya di norziati@gmail.com atau diruang komen entri ini. Saya menerima semua dengan berlapang dada.


6)
Entri ini adalah tentang rezeki. Rezeki yang lahir dari MJH. Ini hasil kedua saya selepas sebuah buku motivasi perniagaan berjudul Buat Duit Dengan MLM terbitan PTS Professional Publishing Sdn Bhd yang juga dari pengalaman melibatkan diri dalam MLM. Entah mengapa,

MJH amat murah rezeki. Selepas memenangi tempat ketiga, dibeli pula oleh Perpustakaan Negara Malaysia, saya menerima e-mel dari seorang pelajar yang menjadikan noveI ini sebagai projek akhirnya.

Segala kesyukuran saya panjatkan kepada-Nya, kerana jalan yang saya pilih ini setakat ini saya rentasi dengan tenang. Dia membuka jalan itu untuk saya lalui dengan penuh semangat.  Apa yang saya perolehi hari ini tidak pernah saya bayangkan atau gambarkan sebelum ini. Syulurlah, pilihan yang saya lalui, perancangan yang saya lakarkan mula menuaikan hasil. Lalu, apakah harus saya berpaling dari laluan ini?


Sudah pasti tidak.




.


3 ulasan:

ASaL berkata...

seperti tajuk novel, titi aja jalan itu. Terus jalan lurus sahaja. Jangan dibelok-belok.

MARSLI N.O berkata...

Saya suka membaca catatan Sdr yang ini. Tahniah.

Marsli N.O

Norziati Mohd Rosman berkata...

ASal, ok, saya teruskan

Tn Marsli N.O, terima kasih. Sila datang lagi

:-)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...