Novel Gulat Di Jakarta ialah kisah orang baik-baik, bekerja dengan berbuat kebaikan dengan harapan kebaikan dibalas kebaikan. Tapi bila saat kebaikan dibalas kejahatan, maka mulalah dia mempersoal diri - mengapakah dia harus dibalas sedemikian rupa. Dia mula memeriksa diri melihat kekurangannya, melihat apa yang telah dibuat sehingga datangnya kebinasaan. Pada fikiranya, ini mungkin akibat dari sikapnya yang kurang memberi yang menyebabkan dia kurang dihargai. Lalu dia cuba memberi lebih pada pihak lain dengan harapan yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Sama-sama merasa susah dan senang.
Novel nipis 82 muka ini, jika merujuk kepada Wikipedia di terbitkan pada 1953. Novel yang berada di tangan saya ini di terbitkan oleh Wira Karya pada 1995, sebuah syarikat yang letaknya di Petaling Jaya. Ini bermakna ia diterbitkan secara sendiri oleh sebuah syarikat yang saya kira sudah tidak wujud lagi.
Secara ringkasnya, gulat bermakna pertempuran, pergaduhan, pertentangan. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan yang tajuknya sahaja menunjukkan pertentangan kehidupan di Jakarta. Gulat Di Jakarta ialah perjalanan kehidupan seorang anak muda yang terlibat dalam dunia perniagaan dalam usaha membawa keluar keluarganya dari lembah kemiskinan. Sulaiman membina kembali hidupnya di kota Jakarta bersama isteri dan seorang anaknya selepas dua orang anaknya ditembak Belanda dan kediaman mereka dimusnahkan. Sebagai seoang anak muda yang jujur dan ikhlas, Sulaiman sebelum itu telah di nasihatkan oleh ayahnya untuk mencari jalan mengubah kehidupan. Sangat ringkas pesanan ayahnya ketika itu:
Dunia ini diciptakan Tuhan untuk makhluknya. Karena itu, anakku, perbuatlah sebaik-bauknya menurut pertimbangan akalmu sebagaimana engkau dapat menyelamatkan hidupmu, agar tidak mengalami kegagalan seperti aku ini.Sulaiman bekerja di sebah bengkel dan menjadi kesayangan majikan kerana kerajinan dan kejujurannya. Dia mohon berhenti kerja bagi membuka sendiri bengkel, dan di anugerahkan sedikit bantuan dari majikannya yang amat bersedih tetapi gembira dengan keputusan Sulaiman.
Berkat kerajinan dan usahanya, bengkel yang diusahakan sendiri maju dan sentiasa menerima pelanggan yang tidak putus-putus lalu menggaji dua pekerja bagi membantunya di bengkel yang semakin maju. Namun kehadiran seorang perompak pada suatu hari mengubah kedamaian perniagaan Sulaiman. Dia tertembak di pelipis, banyak alatan bengkelnya di curi orang ramai sewaktu bergelut dengan perompak menyebabkan dia menanggung hutang yang banyak. Sulaiman terlantar lama di hospital dan perniagaannya di jaga oleh dua pembantunya yang setia dan isterinya yang tabah. Sulaiman menjadi bingung memikirkan hutang, dan sebaik sahaja keluar dari hospital fikirannya semakin terganggu. Dia risau memikirkan keadaan bengkelnya yang dikhuatiri akan di rompak lagi oleh orang yang sama yang berdendam dengannya akibat dari kejadian pertama, oleh kesetiaan tidak berbelah bagi dua pekerjanya, oleh peniaga dikiri kanan yang menjaga periuk nasi sendiri dan oleh hutang yang semakin banyak.
Sulaiman mahu menjadikan dua pekerjanya sebagai rakan kongsi dengan harapan dia tidak mahu menanggung beban seorang diri dan bagi memberi peluang dua pekerjanya ruang memiliki perniagaan sendiri. Tetapi dia lebih risau dengan liabiliti yang ditanggung seorang diri jika ada apa-apa berlaku kepada bengkelnya sekali lagi. Isterinya membantah, sekaligus memberi tekanan kepadanya. Kemudian, bengkelnya benar-benar dirompak lagi biarpun telah di siapkan dengan pelbagai langkah termasuklah bantuan jiran niaga. Kali ni, seorang pekerjanya terbunuh dan ini menambah lagi tekanan kepadanya sehingga Sulaiman tidak mampu mengawal dirinya lagi. Sulaiman dimasukkan ke wad pesakit gila manakala isterinya, Mina mengambil alih perniagaan dan dek kerana tidak tahan tekanan, meninggal dunia akhirnya.
Gulat Di Jakarta mungkin satu-satunya novel Pram berkisarkan kehidupan dunia perniagaan. Mengambil kira latar Jakarta yang ketika itu baru merdeka dan masih punya 'sisa cengkaman Belanda', banyak persoalan yang timbul dalam usaha membebaskan diri - sama ada dari kancah peperangan, mencari kemerdekaan atau membuang keraguan terhadap diri sendiri untuk berusaha dan berjaya. Namun, ia sangat relevan dengan situasi terkini. Siapakah dewasa ini yang sanggup menanggung beban atas kesusahan pihak lain? Mereka mahu senang, mahu tenang. Tidak mahu disusahkan, tidak mahu dibebankan. Jadi, andai seseorang itu dalam pergulatan, biar dia selesaikan segala urusan pergulatannya dahulu barulah timbul campur tangan dari pihak lain. Oh, adilkah begitu?
Gulat Di Jakarta seolah membayangkan yang kebaikan sudah pergi dan cuma beberapa kerat orang sahaja yang melakukan kerja dengan penuh kebaikan. Yang lainnya penuh kejahatan. Jadi kebaikan tidak punya saingan disini. Si jahat sekadar bersaing dengan si jahat bagi menunjukkan tahap kejahatan sendiri yang akhirya akan tewas di pintu sel atau di hujung senjata Polis.
Ya, Gulat Di Jakarta di tulis hampir 60 tahun lalu, namun masih sangat signifikan dengan dunia hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan