Selasa, April 27, 2010

Ruginya mereka yang tidak mengerti

Komandan mengeluh lagi, entah keberapa kalinya tidaklah saya tahu. Saya pasti ia berkisar kepada perkara yang sama.

"Kenapa orang kita ini susah nak sertai pasukan sukarela? Sedangkan sukarela kita ini bukannya percuma, kita dibayar atas khidmat yang kita beri"

Dari tingkap yang berjeriji, saya melepaskan pandangan keluar. Cuaca terik membakar kulit. Matahari megah dipuncak kepala memanah cahayanya yang bersinar-sinar. Kemudian saya merenung sekilas ke wajah Komandan.

"Masa?" Saya meneka.

"Sabtu dan Ahad bukannya kerja. Bila diajak, macam-macam alasan yang diberi. Sedangkan mereka itu - cuba lihat, bangsa cha-ya-nun-alif dari muda hingga ke tua masih sanggup masuk ke kelas untuk mendapatkan sijil jurulatih. Niat mereka itu bukannya kita tidak tahu, kerana duit," sambung Komandan lagi.

Saya memandang wajah-wajah berkulit cerah dan bermata sepet di dalam kelas di sebuah sekolah Cina persendirian yang kami tumpangi. Ya, saya sedar, bangsa mereka memenuhi kelas ini dan kami berdua dijemput atas ihsan seorang kenalan Komandan. Malah, setelah hampir dua bulan menyertai pasukan sukarela ini, ada budaya yang saya lihat tidak disedari pihak luar. Kami boleh bergerak bagi mendapatkan keuntungan.

"Rasanya kita perlu betulkan persepsi masyarakat. Sukarela tidak bermakna percuma. Kita menerima upah juga, mendapat gajaran atas tenaga yang kita sumbangkan disini. Mana ada khidmat percuma di dunia ini?" tukas saya, sambil mengenangkan beberapa teman yang teragak-agak menyertai kami biarpun awalnya sudah menyatakan ya.

"Cuba lihat, jurulatih dari ibu pejabat adalah orang kita. Anak muridnya semua bukan sebangsa kita. Ilmu itu disampaikan kepada mereka, nanti kalau tidak kita sertai alamat pupuslah bangsa kita dalam persatuan ini."

Saya diam. Ini bukan kenyataan berbau perkauman, kiasu atau apa sahaja. Ini adalah kenyataan. Tanyalah mana-mana persatuan sukarela, atau mana-mana persatuan di Malaysia, siapakah anggotanya yang paling ramai. (Kalau namanya persatuan, bukankah memang sukarela, dan mana ada persatuan yang membayar kepada ahlinya? Mengutip yuran adalah!) Kekuatan mereka adalah kerana bersatu diatas nama persatuan yang beribu-ribu sedangkan kita berpecah-pecah atas nama persatuan yang kita sertai. Sedangkan penternak, pengedar, penjual ayam, itik juga babi pun berpersatuan! Bukankah kuat ukhuwwah mereka berbanding kita?

Di mana tali Allah dan tali manusia yang kita pegang?

Sungguh rugi mereka yang tidak mengerti. Andainya mereka tahu ada banyak peluang terhidang, maka akan berbondong-bondong mereka masuk menyertai kami. Tetapi, bilakah impian itu bakal menjadi kenyataan?




Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...