Khamis, Mac 24, 2011

Puisi: Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya


Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya

1)
Kami masih merangkak belajar mengenal hidup ketika
memerhati abah menyalakan karbid di puncak kepala
membonceng bonda pada pagi yang masih muda
membelah titis embun yang menusuk temulang
lalu kami kembali mengerekot di bawah selimut yang sama.

Abah bahagia dengan rutin tanpa pernah kami
mendengar keluh kesah terhambur dari tubuh keringnya
walau musim mentari memanggang pohon dan meluruhkan daun
hujan rontok berhari-hari membasahkan bumi tanpa simpati
turun naik harga menggelisahkan baki pada hujung bulan gaji
abah tetap setia dengan pisau toreh yang saban petang ditajami
bagi menggores setiap kulit sehingga mentari menggamitnya pulang
dan menyambung usaha pada esok yang penuh teka teki


2)
Hari ini berkata diriku sendiri yang mereka semua adalah racun
cuma sekali dalam berpuluh tahun kami merasa nikmat bahagia
mereka galak mengejar menghebahkan pada dunia bahawa
kami ini jutawan segera, kerja sejam dua untuk sebulan wisata
sedang kami berhari-hari lapar dan derita
tidak seorang pun wartawan datang bertanya
atau menyumbatkan cerita kami pada berita
setiap malam di ruangan niaga dengan analisa pasaran semasa.

Akhirnya aku mengerti dunia ini memang pura-pura
tatkala abah masih membongkok hingga mencecah perdu akar
dibiarkan jurukamera membawa wajahnya ke kaca tv
untuk di tonton manusia naïf yang tertipu mengomel
‘alangkah bertuahnya si penoreh getah yang menjadi jutawan’


Norziati Mohd Rosman
Bandar Baru Bangi

Mingguan Malaysia, 20 Mac 2011 

4 ulasan:

mr kordes berkata...

oo..yang ni la yang keluar paper baru baru ni......chantieksss!!!

Norziati Mohd Rosman berkata...

Terima kasihhhhh!!!

Unknown berkata...

Patutlah semalam post di FB. Rupa-rupanya menang hadiah.

Tahniah! :)

Tanpa Nama berkata...

Tahniah, sy br bc dr harakah harini ttg artikel puisi ini.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...