Rabu, September 21, 2011

Cerpen - Tiga Belas Tahun Selepas Unjuk Rasa

Cerpen Tiga Belas Tahun Selepas Unjuk Rasa ini tersiar dalam akhbar Harakah sebanyak empat siri pada bulan Mei 2011. Kepada teman yang berjuang dan menghuni kiri dan kanan jalanan tiga belas tahun yang lalu, cerpen ini adalah untuk anda.

Selamat menghayati.



*****
Tiga Belas Tahun Selepas Unjuk Rasa
DIA ialah serpihan siswa yang sibuk dengan unjuk rasa akhir dekad lalu. Setiap Sabtu juga Ahad, dia dilihat berada di sebatang jalan di tengah ibu kota. Berteriak, menjerit, mengacu tangan ke udara, memegang sepanduk dan mengedar risalah provokasi. Bersama ribuan marhaen, dia kemudian disembur air gatal yang memedihkan mata. Lalu, dia yang tetap bersemangat meski berbaju kurung, menyinsing kain lari lintang-pukang menyelamatkan diri. Dia susup-sasap di lorong-lorong pejabat. Celah-mencelah di antara bangunan rumah kedai. Sorok-menyorok di masjid, rumah dan sekolah. Akhirnya, dia tiba dengan selamat di kampus.

Tiga belas tahun lalu dia saban waktu sibuk dengan perjuangan, kebenaran dan keadilan. Di kuliah, pensyarah turut serta membakar semangat ketika sibuk mengira statistik. Turut memberi soalan provokasi ketika menjawab matematik. Mereka mengukur pendapatan pemerintah dalam kelas percukaian, menimbang tara perbelanjaan untuk rakyat dalam kelas mikroekonomi. Selalu juga menilai debit-kredit akaun jabatan ketika menyiapkan imbang duga. Memerhati tadbir urus dan hierarki birokrasi dalam subjek pengurusan. Mereka semakin maklum akan peranan agama dalam kehidupan usai berkuliah selepas solat. Tidak ketinggalan, memahami hadis dan Quran ketika menghadiri kelas tafsir.

Sering dia mengingatkan teman-teman dan pimpinan persatuan, “Pejuang, kita berjuang. Jika ramai-ramai, kuatlah kita. Seorang diri, fikiran sengsara dan derita. Ayuh, kita sama-sama.”

Ketika usrah. Ketika mesyuarat pimpinan. Ketika perbualan di meja makan atau saat bicara di kelapangan, mereka pasti bualkan perjuangan. Dia turut melatih kader baru yang masih ayu usai sesi suai kenal. Dia tidak kenal penat mengecat sepanduk juga menaip berita terkini. Kemudian, ligat memfotostat buletin dan mengedar isu di setiap kamar asrama. 

Dia juga turut serta menjadi mata-mata kampus apabila SB dikhabarkan berkeliaran dengan pakaian awam. Waktu itu tidak seperti sekarang. Tiada telefon bimbit, Facebook, blog, myspace, friendster, mahupun twitter. Namun demikian, maklumat mereka tetap pantas. Malah dia tidak peduli untuk membuat semua kerja itu walaupun ada sesetengah pimpinan lelaki membeliakkan mata apabila mendengar  kisah tentang dia yang memanjat pagar untuk menampal poster.

Darahnya panas bersama api perjuangan. Bibirnya tidak henti dengan ajakan mencegah kebatilan. Mulutnya tidak putus membicarakan kebenaran. Dia tidak kenal rasa gentar. Tidak menghiraukan AUKU, ISA, OSA juga Akta Mesin Cetak. “Untuk apa takut sekiranya itu hal yang benar,” katanya. Maka seluruh negara pun gempar dengan bicara tentang perjuangan, kebenaran dan keadilan. 

Itu tiga belas tahun dahulu. Ketika dia tahu apa yang dicari, apa yang dimahukan. Dia pasti.
Kini selepas usia menjengah dewasa, dia tiba-tiba mahu menjejaki kawan-kawan seperjuangan dahulu.

Tiba-tiba, dia mahu melihat hasil perjuangan mereka. Apakah mereka sudah menjadi manusia atau hanyut dengan cita-cita sang kapitalis. Apakah masih berjuang atau senang menjadi manusia biasa. Dia sudah kehilangan mereka usai majlis graduasi. Mula-mula membawa diri ke selatan tanah air lalu bekerja dengan bermacam-macam syarikat. 

Dia tetap juga dengan sikapnya itu – memberontak bagi mencari perjuangan, kebenaran dan keadilan. Mujur dia tidak pernah dibuang kerja, sekadar bertelagah dengan majikan. Berbalas hujah dengan ketua yang bagi dirinya adalah biasa. Katanya, “Mereka kapitalis, untung sangat utama. Pekerja diperah, dikerah sehingga kering titik peluh dengan balasan yang tidak memadai.” Itu yang menyebabkan dia sering marah-marah.

Sehingga dia akhirnya bosan dengan pelbagai karenah majkan yang sungguh bobrok dan menjijikkan lantas memilih untuk menjadi sukarelawan dalam sebuah NGO. Itu pun selepas empat tahun. Setelah dia gundah melihat Acheh dibadai tsunami. Dia kerap ke luar negara selepas itu. Membantu menyulami kedaifan serta berhadapan dengan birokrasi bantuan untuk menyelamatkan mangsa bencana alam yang tetap juga wujud. Tetapi, dia menemui nilai kemanusiaan, keikhlasan, persahabatan dan kehidupan. Semakin mereka ditimpa pelbagai kemalangan alam yang menduga. Semakin juga dia memahami maksud kemanusiaan. Semakin hatinya dipanggil-panggil pulang mencari sahabat yang sudah bertebaran di pelosok negara. 

Dia mahu menanam sikap ikhlas, mahu mereka sepakat akan hasrat terhadap perjuangan, kebenaran dan keadilan. Semuanya berlaku selepas dia sedar yang dia tidak boleh lari daripada kedurjanaan dunia. Sang penindas ada di mana-mana. Insan yang angkuh ada di kiri dan kanan. Si rakus dengan harta dan kemewahan bersedia membaham segala peluang. Dia tahu mereka harus berani berhadapan. Seperti tiga belas tahun dahulu, ketika sibuk dengan unjuk rasa. 

Hari ini selepas terkial-kial melakukan pencarian menerusi laman maya, cuma lima teman punya kelapangan dan sepakat bertemu di sebuah kedai kopi di pinggir ibu kota. Ketika itu, matahari sudah tegak di atas kepala. Cuaca sangat terik dengan cahaya mentari memancar memanah bumi kekeringan. Dia tetap dengan baju kurung, belum berteman. Masih ayu, potongan badan yang sama tetapi dengan kematangan yang berbeza. Dia tetap tiba lebih awal dari masa yang ditetapkan. Selesa menunggu dari ditunggu. Senang menanti daripada dinanti. Lima temannya tiba seorang demi seorang. Paling lewat, sepuluh minit sebelum dia angkat punggung. Mereka pun membuka bicara dengan perbualan awal. Bermula dengan kehidupan diri. 

Lantas dia berfikir, “Ya, di mana-mana pun awalnya haruslah mudah sebelum memberatkan pengakhiran.”

Dia lebih senang diam daripada bercakap. Mahu mendengar dan menghayati sosok teman-teman. Setelah tiga belas tahun unjuk rasa menyatukan mereka dan selepas dia lari daripada kenyataan kehidupan. 

Mereka pun gigih bercerita dan dia pun telus memerhati. Amrul dahulu periang, tubuh tinggi renjong, jadi pujaan gadis memandang. Dia menjadi harapan bagi mengangkut teman-teman menghadiri perjumpaan dengan kereta kecilnya. Sering menjadi orang terawal menangkap isu sebelum dipanjangkan kepada teman lain. Kemudian terjun ke kancah politik, aktif lalu dilantik sebagai penasihat kepada seorang pemimpin kanan parti.

“Aku menyambung perjuangan kita dahulu,” katanya berapi-api dan muka berseri-seri. “Kita harus teruskan momentum perjuangan kita, jangan biarkan api semangat itu padam. Kita harus terus berjuang!”

Dia pernah begitu kagum dengan Amrul. Masih tetap seperti dahulu. Dia mahu bertanya banyak cuma, sesaat kemudian nada Amrul berubah. Wajahnya menjadi sayu dan kelam. “Tetapi, ah! Politik, ah!” Dia terdiam. Tidak tahu apa terjadi dengan Amrul. “Benci! Aku benci! Benci!” Amrul menjerit-jerit. Lima cawan kopi hitam pekat yang tersusun di hadapannya bergegar setelah meja kayu kedai kopi ditumbuk geram. Mujur sedikit sahaja yang terpercik.

Badariah yang ralit memainkan aplikasi pada telefon bimbit cita rasa terkini di genggaman membeliakkan mata memandang Amrul. “Kau salah! Kau lelaki! Kau kena kawal isteri. Kau dayus membiarkan dia main kayu tiga,” Badariah kemudian ketawa mengekek. Mata Amrul tajam merenung Badariah. Mengetap bibir menahan marah.

Amrul segera menyandarkan badannya ke kerusi. Mendongak seraya  merenung kipas yang berputar perlahan di siling. Khabarnya rumah tangga yang berusia enam tahun itu sudah berantakan. Isterinya lari dengan lelaki lain akibat sering ditinggalkan lantaran kesibukan Amrul dengan parti. Amrul tidak membalas kata-kata Badariah tetapi mengomel sendirian. “Aku ke hulu ke hilir di pentas politik, isteri pula main kayu tiga dengan teman separti. Aku ceraikan talak tiga. Padan muka. Ah, persetan politik.” 

Dua anak tinggal bersamanya. Bekas isteri langsung menghilang tetapi kini datang menuntut hak. Dia tertekan dengan masa untuk menjaga anak dan khabarnya mahu mencari-cari pengganti. Lalu, dia menjadi seorang yang sering marah-marah kerana tidak puas hati diperlakukan begitu. “Aku sudah cukup baik, apa lagi yang dia mahukan daripada seorang lelaki? Wang, harta, masa? Cukup!”

Badariah masih menyambutnya dengan ketawa. “Politik?” dan dia ketawa lagi. “Kau bodoh! Dengan politik, aku dapat macam-macam.” Telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Dia senyum memandang skrin. Tanpa memohon izin, Badariah bangun mencari ruang privasi bagi menjawab panggilan. Dia menelan liur memerhati Badariah yang nampak moden dengan potongan rambut perang kemerahan. Badariah asyik dengan telefon. Senang melayan alat kecil itu daripada membalas kata-kata teman. Ada kalanya Badariah senyum. Ada saatnya masam mencuka. Dia tidak tahu permainan Badariah melalui telefonnya. Tetapi dia pasti, gaya yang menggoda itu mampu saja menarik pelbagai habuan daripada kontrak dan wang ke akaun simpanan.

Dia beralih kepada Dalilah yang duduk di sebelah kirinya. Dalilah dahulu sangat berbangga dengan namanya. “Maksudnya pemimpin, dan akulah pemimpin sebenar.” 

Benar, dia dahulu antara pimpinan wanita yang digeruni. Kata-katanya sering mematahkan hujah lawan. Sudah beberapa kali dipanggil menghadap meja pengadilan kampus kerana terlalu lantang bersuara. Sangat kuat mempertahankan hak pelajar. Tidak langsung gentar. “Aku pemimpin,” ulangnya selalu. 

Kini, Dalilah memang sebenar pemimpin. Menjadi ketua bagi sekumpulan kakitangan yang berada di bawahnya. Memimpin sekumpulan pakar yang merencana dasar, menggubal akta, mengkaji peraturan. 

Memang Dalilah sangat yakin diri dan tegas peribadi. Sering dia melihat Dalilah muncul di kaca televisyen menjawab soalan pemberita. Mengulas perkembangan terkini politik negara. Menghadiri perhimpunan besar bersama rakyat jelata. Dia tahu susuk tubuh Dalilah sangat kuat dan berpengaruh. 

Lalu dia mengimbas Dalilah kini dan dahulu. Pemimpin. Kereta hitam berkilat milik Dalilah menjalar di parkiran. 

Dia menilai: duduk di bandar, berkereta besar. Dengarnya sebuah rumah agam diperbukitan itu juga miliknya. Dia berkira-kira. Nilai pendapatan selaku penjawat awam dengan harta di pangkuan terserlah tidak sepadan. Dia mengetap bibir. Bukankah dahulu Dalilah sangat menentang pemerintah?

Dia cuba menguji Dalilah dengan memuji. “Hebat kau sekarang, selalu di kaca tv, wajah dalam akhbar. Punya ruangan sendiri di majalah. Aku kagum.” Dia sebenarnya menyindir tetapi Dalilah sangat gembira. Perempuan memang suka dipuji!

“Kau anggap aku berubah?” Dalilah senyum. “Ya, dahulu ya. Kita menentang kerana kita tidak faham. Aku puas mencari kerja selepas tamat belajar. Ke mana-mana saja, permohonanku ditolak kerana dikatakan bahaya dan menakutkan. Kau mahu aku sara apa untuk diri sendiri dan adik-beradik? Pinjaman pelajaran perlu dibayar, makan pakai perlu diusahakan sendiri. Mana bisa meminta-minta lagi daripada ibu bapa.” 

Dia terasa secawan kopi yang masih berasap di cawan tersimbah ke muka.

“Bila dalam keadaan begini, aku senang. Ke mana-mana masyarakat memandang aku. Mereka sambut aku. Tak perlu marah-marah, terjerit pekik yang akhirnya kita rugi dihambat polis dan pemerintah. Hidup dalam ketakutan,” sambung Dalilah sambil menghirup nikmat kopi pekat.

“Kamu semua penakut,” balas Amrul. Dia merenung Amrul yang berwajah tidak puas hati. Dia tahu dalam kepala Amrul ada jadual padat ketua politiknya. Ada anak-anaknya yang ditinggalkan berdikari di rumah. Ada kes bekas isterinya yang menuntuk hak penjagaan. Sementelahan, dirinya sendiri tidak terurus.

“Kamu semua takut berhadapan dengan realiti. Itu yang kita perjuangkan dahulu. Kau semua menjaga perut sendiri,” Amrul berbicara tegas, menampakkan ketidaksealiran pemikiran mereka berlima. Sedikit sebanyak dia setuju dengan Amrul.

Ghazi yang sedari tadi diam akhirnya bersuara, “Amrul, kau lihat diri sendiri. Hidup kau porak-peranda bukan? Kau harus berubah, berpalinglah kepada kenyataan. Aku tahu pendapatan kau di sana kecil. Ikut aku, nanti kau tahu bagaimana menjadi kaya. Isteri kau tinggalkan keluarga kerana dia sudah tidak tahan dengan kesempitan hidup, bukan? Mengaku sahajalah. Ariani selalu memberitahuku begitu. Kau masih muda, punya tenaga. Alirkan momentum kau ke tempat yang sepatutnya. Bukan dengan membangkang mengikut nafsu.”

Amrul bangun. “Celaka kau Ghazi. Kau gunting dalam lipatan!” Amrul menudingkan jari ke Ghazi. Ada kata-kata yang mahu disambung tetapi terputus sebaik sahaja mata Amrul berbalas pandang dengannya. Amrul terus meninggalkan mereka, mengenakan topi keledar dan memecut laju dengan motorsikal tanpa menoleh ke belakang. Dia terpempan. 

Drama apakah ini?

Badariah yang masih di talian segera memutuskan perbualan dan kembali ke kerusi sebaik-baik melihat kekecohan.

“Mar, tidak ada gunanya kita melawan. Kita diikat kiri dan kanan. Ke depan melanggar api. Undur belakang terpijak duri. Apa yang kita dapat nanti? Daripada melawan habis-habisan dan kau makan pasir, ikutkan sahajalah arus. Tidak terseksa, tidak terbeban. Malah, habuan dan ganjaran jatuh bertimpa-timpaan.” Ghazi bersuara lagi sambil memujuk. Dia merenung Ghazi. 

Dia tahu Ghazi – seorang kontraktor – ada lesen kelas A dan berpuluh kelas F. Dia pandai mencari kontrak, kemudian dipecahkan kepada syarikat kelas F-nya. Semua wang masuk ke poket sendiri. Dia akur Ghazi hebat merancang, dan itulah senjata Ghazi. Sejak dahulu menjadi pakar strategi pimpinan dan sering merancang agenda untuk persatuan. Kini, Ghazi memanjangkan kehebatannya terhadap perniagaan dan nyata dia berjaya.

“Aku berniaga, kalau tidak diturutkan, ah, masuk angin keluar asap. Bisnes harus untung cepat. Ahli politik kena rapat. Perlu cari kroni. Pandai melayan kehendak. Menurut arahan dan jangan melawan. Turutkan segala yang diminta, kontrak juta-juta pasti dalam tangan. Wang harus kau alirkan pada arus yang betul supaya kantungmu sentiasa kembung!”

Ghazi, Dalilah dan Badariah ketawa. Kini dia mengerti mereka bertiga sangat rapat dalam urusan perniagaan. Dia dapat mengesan sumber kereta Dalilah, punca tawaran kontrak Ghazi dan strategi pemasaran Badariah yang mencari ahli politik sebagai mangsa. Dia semakin gelisah lalu meneguk kopi. Terasa seperti menggelegak di kerongkong. Inikah sahabat seperjuanganku dahulu? Dia sudah berkira-kira mahu bangun apabila Arif terkocoh-kocoh tiba.

“Tiba-tiba aku dipanggil ke sekolah. Ada pelajar bergaduh, warden tidak tahu apa yang harus dibuat.” Dia terus memesan kopi dan membuka kotak rokok. Terus dicucuh api dan asap disedut rakus. 

“Macam-macam pelajar sekarang. Cikgu tak dipandang hormat. Mujur sahaja mereka itu perlu aku jaga dengan elok. Kalau tidak, sudah kutampar semuanya.” Arif menyedut asap lagi.

Ghazi ketawa menyindir Arif. “Hah, Ustaz Arif yang mengajar Pendidikan Jasmani sudah mula bersuara!” Mereka ketawa lagi. Arif juga, sebelum menyambung bicara.

“Kau tahu Mar, tiga tahun aku tiada kerja tetap. Sekadar kerja sementara atau kontrak dari bulan ke bulan. Mujur sahaja bukan menganggur. Akhirnya akur dengan bidang ini. Aku berusaha mengajar mereka bersungguh-sungguh. Ikhlaskan diri. Kasihan anak bangsaku jika aku cepat berputus asa. Tapi kami dibebani tugasan luar bidang. Aku perlu siapkan kertas soalan peperiksaan. Aku cuba yakinkan diri. Tapi aku harus bawa mereka ke pertandingan sukan saban minggu. Aku harus pastikan anak bangsaku dapat ilmu, tapi mesyuarat memanggil tidak kira masa. Aku perlu berdepan dengan disiplin pelajar. Tapi ibu bapa sibuk nak saman sekolah. Dengan kokurikulum, dengan sukan sekolah, PIBG, musabaqah membaca al-Quran, susu percuma, skim pinjaman buku teks. Argh!”

“Kau sudah di bawah telunjuk pemerintah, apa bisa kau lakukan mengikut kehendak peribadi? Sudah tentu kau perlu turutkan!” Dia membalas geram. Arif serba salah melihatkan dia mula bersuara.

“Jangan kau ungkit kisah lepas. Inilah perjuangan aku sekarang. Tetapi beginilah nasib guru, berbuat baik tidak dipandang. Silap sikit, jadi muka depan akhbar.”

“Kau degil, aku dah kata dahulu berhenti sahaja. Kerja dengan aku. Berapa sangatlah gaji kau di sekolah. Kononnya kejar bonus, cuti panjang, jaminan hari tua. Kalau setakat gaji kecil, berapa sangatlah kepuasan kau di sekolah? Jurusan agama mengajar Pendidikan Jasmani?” Ghazi ketawa kuat. Arif diam menyedut lagi asap rokok yang semakin pendek puntungnya.

Dalilah mencelah. “Sudah, jangan fikir panjang lagi. Tawaran kami masih lagi terbuka. Kau tahu, Mar, Badariah sudah dapatkan Arif kerja sebagai pembantu peribadi. Tugasnya senang, sekadar menjadi penasihat agama seorang Tan Sri. Kau tahu sahajalah sekarang ini, isu agama sangat sensitif lalu Tan Sri perlukan pakar agama untuk mendampinginya. Membantunya mengulas perkara yang tidak mampu dijawab.”

“Arif, kau boleh mula pada bila-bila masa. Aku sudah usahakan gaji kau tiga kali ganda daripada yang kau dapat sekarang. Jangan fikir panjang, buat surat peletakan jawatan segera,” Ghazi menambah semangat.
“Selepas ini nanti, urusan kita bertiga jadi mudah. Kita sudah ada pakar macam-macam bidang,” Dalilah memberi saranan. “Dan kau Mar, bila mahu menyertai kami? Aku akan cuba tempatkan kau di pejabatku. Aku perlukan kau sebagai pembantu peribadiku untuk membuat kajian atas arahan pemerintah. Aku telah berjaya mendapatkan geran penyelidikan juga untuk pelbagai agenda. Aku perlukan kepakaran kau seperti dahulu.”

Dia mengetapkan bibir sambil memandang tepat ke arah Dalilah. Dadanya berombak kencang menahan marah dan geram. Dia sudah tidak dengar segala perbualan Ghazi, Badariah, Dalilah dan Arif selepas itu. Dia teringat akan kejadian sewaktu tiba di kedai kopi tadi. Seorang gadis berjaya menyelamatkan diri daripada diragut selepas menendang pemuda yang mahu merampas telefon dalam genggaman. Beberapa orang di sekeliling bersiap sedia mahu membantu tetapi pemuda itu lekas melarikan diri. Dia gembira dengan situasi itu kerana pada pandangannya, tanah air ini sudah berubah. Rakyat sudah yakin, ada keberanian. Boleh bertindak di luar kawal. Mampu melanggar undang-undang dan peraturan. Inilah bicara yang dia mahukan daripada teman-teman. Bukannya seputar hal keuntungan dan kekayaan. 

Sikap mereka kini serupa dengan para majikan kapitalisnya dahulu yang memerah keringat pekerja tanpa habuan yang setimpal. Mementingkan diri sendiri untuk kepuasan peribadi. Melaksanakan dasar matlamat menghalalkan cara. Kiranya, dia tidak boleh mengaitkan kejadian ragut dan ketangkasan anak gadis tadi sebagai simbolik kebebasan. Masih ada lagi yang tewas dengan kapitalis, fikirnya. Dia mengelamun jauh. Selepas itu, dia cuma dengar perkataan ‘kontrak’, ‘perolehan’, ‘duit’, ‘kereta’, ‘tender’, ‘perempuan’, ‘karaoke’, ‘melancong’, ‘skuba’, ‘Gold Coast’. 

Kapitalis. Kapitalis. Kapitalis!

Tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil beberapa kali. Dia memandang Arif.

 “Kau, apa jadi dengan kau sekarang?”

Empat pasang mata menanti jawapannya. Dia mengambil masa yang lama sebelum menjawab. Menghela nafas panjang, memikirkan ayat penamat. Dia mahu berundur. Situasi di situ rupa-rupanya lebih kalut!

“Aku jadi manusia.” 

“Apa, kami bukan manusia? Apakah menjadi manusia itu dengan terjerit-jerit di jalan macam dahulu?” Ghazi membalas sinis.

Seorang demi seorang dipandangnya. Celaka apakah ini? Selepas tiga belas tahun. Lebih banyak perkara yang bobrok terpapar. 

“Mar, sudahlah. Berpijaklah di bumi yang nyata. Nanti aku cuba ... .”

Dia bangun. Tiba-tiba, dia jadi benci. Jadi marah. Dia menuju ke kaunter, membayar dan meninggalkan semua tanpa pamit. Dalilah memanggil. Arif melambai. Badariah mengilai. Arif terkekeh. 

Mereka sudah besar, perjuangan yang sudah bermula dahulu tidak benar masuk ke hati. Apa yang merubah fikiran dan keyakinanmu sahabat? Mengapa kau tunduk dengan keadaan?

Tiga belas tahun selepas unjuk rasa, sahabat – kamu benar-benar menjadi manusia!



Tamat

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...