Ketika
mendaftarkan Teach For The Needs (TFTN) di SSM KL Sentral pada 3 Mac 2012, saya
dan As - yang melakukan satu pusingan lengkap mengelilingi KL Sentral kerana
tersalah maklumat akan lokasi SSM - berbual-bual akan impian untuk menghasilkan
tulisan-tulisan berkenaan TFTN yang kemudiannya nanti dibukukan. Perkataan
dibukukan seperti satu mimpi kepadanya, sedangkan saya berkobar-kobar bercerita
untuk menghasilkan buku dibawah payung TFTN, mengumpulkan pengalaman
sukarelawan dan menghantar TFTN dihati setiap pembaca. Ketika itu TFTN baru
berusia tiga hari tetapi bicara saya mencecah awan. Sedangkan ketika itu saya
pun tidak ada pengalaman dalam dunia penerbitan atau cara menghasilkan sebuah
buku yang lengkap meskipun sudah menghasilkan tiga buah buku, beberapa cerpen
dan puisi. Namun saya yakin ketika meluahkan kata-kata itu kerana pasti apa
yang ada pada TFTN.
Setiap detik
yang berlalu kemudiannya sentiasa berkisar tentang TFTN. Perbualan kami pasti
tentang anak-anak TFTN. Aktiviti hujung minggu dipenuhi dengan agenda
mesyuarat, bengkel, seminar dan yang penting - meluangkan masa di rumah anak
yatim (RAY). Setiap sukarelawan kami yang turun ke RAY membawa pulang cerita
yang pelbagai. Ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang terharu, ada yang
kehilangan kata-kata. Kami cuma sarankan kepada mereka, "tulislah kisah
itu, jangan biarkan orang lain mencoret sejarahmu." Kami mengasuh mereka
menulis meskipun ragu-ragu kerana tidak pasti kemampuan diri. Tetapi kami tetap
menghantar nasihat, kerana "menulis tidak memerlukan kehebatan, yang
penting adalah cerita."
Mereka pun mula
mencoret, perlahan-lahan dan dengan beraninya meminta karangan itu dibaca,
dikritik lalu diperbetulkan. Mereka bersemangat mahu menyampaikan kata hati,
mahu masyarakat membuka mata kepada insan corot-terpinggir, yatim dan miskin
yang ditindas oleh sistem pendidikan yang kurang memberi ruang mereka untuk
memperbaiki diri. Sukarelawan ini datang memecahkan tembok yang mereka bina,
mengeluarkan mereka dari stigma kebodohan, mengajar mereka mengenali abjad,
memberitahu mengapa mereka perlu pandai membaca, mengajak mereka berbicara,
menghadirkan senyum pada bibir yang selama ini dirundung duka, membuatkan mereka
kembali ketawa dan gembira serta sering menjadikan mereka ternanti-nanti
kehadiran sukarelawan ini saban minggu.
Bukan lagi mimpi di sebalik buku
Atas iltizam dan
semangat tidak putus-putus ini, impian menghasilkan buku sudah sepatutnya
menjadi kenyataan. Sukarelawan diminta menghantar cerita lalu suntingan
intensif dilakukan dan mereka tanpa ragu-ragu menganugerahkan royalti kepada
TFTN sebagai tanda cinta. Selaku penyelaras penerbitan ini hati saya begitu
tersentuh memandangkan mereka beraktiviti tanpa apa-apa imbalan kewangan,
tenaga tercurah memenatkan fizikal malah mental pun beberapa kali cuba diganggu
gugat. Mereka seperti pohon yang teguh, yang dibajai dengan kasih sayang nan
padu dengan akar yang kukuh menjalar ke dasarnya supaya kukuh tak goyah ditiup
angin.
Kami Ada Mimpi
menjadi judul buku. Sebagai penyelaras, kepuasan saya ditahap maksimum melihat
buku ini berada ditangan pada pagi Jumaat yang tenang sewaktu bersama beberapa
orang sukarelawan menziarahi Khalifah Model School di Ampang. Menjadi editor
dan penyelaras buku ini sejak ia dalam bentuk kasar sehingga muncul dengan
fizikal yang gah merupakan detik indah dalam kehidupan saya – suatu kenangan
yang berbeza sekali dari perasaan ketika melihat karya pertama di media atau
naskhah novel disiapkan. Perasaannya jauh berbeza.
Jadi, apalah ertinya
perasaan dan kegembiraan yang saya lalui ketika itu berbanding para penulisnya
yang melihat buat pertama kali nama mereka tercetak di dalam sebuah buku.
Setiap seorang dari mereka – yang seramai 20 orang – seperti tidak percaya
melihat naskhah ini dihadapan mata, yang sebelum ini cuma diwar-warkan di dalam
media sosial kami. Saya tahu, mereka tidak percaya. Melihat senyuman yang
terzahir penuh ikhlas dan jujur menjadikan Kami Ada Mimpi seperti sebuah mimpi
yang nyata. Mereka membelek dari kulit ke kulit, membaca dengan teruja malah
dengan genangan airmata kerana tidak sangka ada yang menulis sehingga boleh
menyentuh jiwa.
Namun buku ini
bukanlah untuk sukarelawan bermimpi menulis. Ia adalah mimpi sukarelawan
membuka potensi anak-anak kelas corot-terpinggir, yatim dan miskin untuk berada
setakuk lebih baik dari semalam. Kami turun dengan tujuan dan pulang membawa
cerita. Maka kami akan lebih berpuas hati dan gembira jika anak-anak ini pandai
membaca, terkawal akhlaknya, hebat disiplinnya, teratur pembelajarannya dan senyuman
terukir sentiasa. Apalah yang ada pada sebuah cerita jika anak-anak ini masih
gagal membaca.
Kami Ada Mimpi
dilancarkan semasa Majlis Makan Amal bersama Yang Berhormat Mulia Tengku
Razaleigh Hamzah malam itu juga, 5 Julai 2013 yang bersejarah. Bersama wakil
korporat yang menyumbang, kami menghadiahkan Kami Ada Mimpi bagi mereka
menyelami mimpi kami dan saling membina mimpi baharu. Kami siap sedia mengorak
langkah ke hadapan dengan usaha yang berterusan dari anak muda yang sentiasa
teruja mengadakan pelbagai aktiviti tanpa putus-putus.
Kepada
sukarelawan ini, saya hadiahkan serangkap puisi dari T. Alias Taib berjudul
Bakat:
tidak semua penulis mempunyai bakat
tidak semua
bakat dipunyai penulis
atau dengan kata
lain
tidak semua yang
berkilau itu berlian
akan tetapi
semua berlian berkilau
Kepada para sukarelawan, jangan putus menulis.
Paling istimewa
sekali, saya pasti sejak hari pertama lagi TFTN sebenarnya mempunyai tempat
yang istimewa dalam hati saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan