Jumaat, Jun 26, 2009

Akhirnya

Ketika menerima satu panggilan yang tidak sempat berjawab, diikuti e-mel dari En. Rozlan, hati berdetik pantas.

"Berita baik atau...?"

Peristiwa selanjutnya menjadi sejarah. Yang nyata, hari Jumaat 19 Jun yang lalu, saya dengan agak gementar dan berdebar, juga risau dalam ria melangkah ke pentas Istana Budaya nan indah menerima anugerah yang tidak disangka.

Sempat berseloroh dengan pengiring, "semasa convo pun tak rasa berdebar sebegini, pergi interview pun taklah bersedia rapi sebegini."

Saya masih kerdil, masih hijau dalam pentas ini. Berdiri sebaris dengan penulis mapan, yang sudah ada nama cukup menunjukkan betapa kecilnya saya disamping mereka. Seperti yang saya catatkan dalam facebook,

Betapa kerdilnya diriku disamping mereka yang tersohor, betapa kecilnya diriku di mata hadirin yang memenuhi IB. Seram sejuk di belakang pentas, berdebar berdepan Tun M, limpahan flash kamera, di temuramah wartawan, menandatangani buku, di temubual pembeli buku, dihampiri mereka yang pernah mengenaliku suatu ketika dahulu dan pelbagai pengalaman yang tidak terucapkan. Maha suci Allah!

Terus terang, inilah pengalaman menulis novel yang pertama. Novel sulung yang banyak memakan emosi. Banyak pengalaman terhasil dalam tempoh setahun menyiapkan novel setebal 261 muka surat ini. Saya perangi semua perkara - emosi yang turun naik, fizikal diri, kemampuan yang terbatas, waktu kerja yang memakan tenaga, malah jiwa dan rasa saya serlahkan kedalamnya. Bila sampai satu waktu saya terfikir, apakah mampu saya menamatkan novel ini?

Kini saya bertanya pula kepada diri, bagaimanakah saya mampu menamatkan penulisan novel ini?

Paling utama ialah melawan emosi, dan inilah kelemahan utama saya. Benar, saya amat perlukan Tuhan waktu itu dan mujurlah dikurnia kekuatan menghabiskan hingga ke penamat. Dan tiga bulan terakhir sebelum tarikh tutup, termasuk juga Ramadan dan Syawal, merupakan tempoh yang cukup azab.
Liputan dalam Utusan Malaysia, Sabtu 20 Jun

Usaha ini, dengan rujukan dan fakta kadangkala memenatkan. Saya aku, menulis sesebuah novel seperti ini, memang memakan tenaga dan jiwa, namun saya tahu, ada tanggungjawab lain yang perlu saya berikan bukan dengan menghasilkan sebuah novel sahaja. Tanggungjawab kepada Tuhan dan kepada pembaca. Saya harus pegang dengan jatidiri. Justeru, memilih rasuah sebagai tema memberikan kepuasan kepada saya dalam mencurahkan segala yang tersimpan di dada selama ini. Ibarat air yang terlepas dari empangan, begitulah kiranya.

Banyak rasanya hendak di coretkan tetapi biarlah ia menjadi kenangan buat diri. Yang utama sekarang ini ialah meneruskan laluan ke depan, seperti tajuk novel, Meniti Jalan Hadapan. Dan juga seperti kata Pn Nisah:

Sekali kita bermula, seorang penulis itu tidak boleh berhenti. Amanah telah disanggupi. Kail yang sejengkal mesti dipanjangkan lagi, lautan kian luas. Air pasang kian tinggi, kukuhkan dinding rumah penulisan, agar tidak lebur dihempasnya...

Ya, dayung sudah di tangan. Kaki juga sudah melangkah. Maka, saya perlu teruskan perjalanan ini hingga ke akhirnya.




.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya bangga mengenali anda. Tanpa anda sedari ada beberapa perkara yang saya belajar dari anda (halalkannya...:-)) saya tidak malu mengatakan yang saya kagum dgn anda. Teruskan perjuangan. InsyaAllah dirahmati..

Norziati Mohd Rosman berkata...

Saya halalkan dan ya, terima kasih atas sokongan biarpun siapa anda.

Terima kasih

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...