Sewaktu membesar, saya di lingkungi oleh buku, akhbar dan majalah. Biarpun ketika kecil hidup kami tidak begitu mewah, suratkhabar adalah benda wajib yang harus ada di rumah. Saya tidak tahu kenapa abah melanggan suratkhabar, membacanya setiap hari. Saya tidak pernah tanya sehingga kini, tidak pernak mempersoalkan mengapa ia satu benda penting sedangkan saya tidak merasa ia satu keperluan. Sekadar membaca berita, apalah sangat. Abah mencari suratkhabar untuk dibaca sambil berehat selepas balik dari kebun pada waktu tengahari. Dan kami adik beradik dapat melihat kehampaan di wajah abah bila kami terleka dan berlengah membelinya sehingga kehabisan di kedai. Namun, ianya berakhir setelah kami melanggan akhbar yang dihantar ke rumah setiap pagi. Tiada lagi masalah bergaduh siapa yang harus ke kedai atau saling menyalahkan bila kehabisan.
Tabiat ini kemudian turun kepada kami adik beradik. Bila cuti sekolah, atau pada hari Sabtu dan Ahad, setiap pagi bila suratkhabar sampai, kami berebut-rebut mengambil untuk membacanya. Selalu juga kami dimarahi emak kerana leka dengan suratkhabar sehingga pernah emak menyorokkan suratkhabar yang kami baca kerana menyebabkan kerja yang sepatutnya disiapkan tergendala. Ketika itu emak buat kuih dan menjualnya dihadapan rumah bagi menambah pendapatan abah yang menoreh getah. Kami adik beradik membantu menjual kuih sambil emak mengemas dapur dan membasuh pinggan mangkuk sementara menunggu masa menyiapkan hidangan tengahari. Dan saya selalu makan hati bila melihat Angah membaca suratkhabar sedangkan saya curi-curi baca, kerana tidak mahu dimarahi emak kerana tidak menyiapkan kerja atau leka membaca tanpa menghiraukan pelanggan yang datang. Oleh itu saya segera mengemaskan meja jualan sebaik sahaja kuih habis di jual kerana boleh tekun membaca tanpa gangguan, dan saya juga tahu yang saat itu Angah juga sudah selesai membaca.
Minat membaca kemudian terbatas pada majalah Gila-Gila yang pada tahun 80-an laris di pasaran, diikuti majalah Dian dan Mastika (ada edisi Jawi) kepunyaan abah yang disimpan sejak dari zaman bujangnya dan terhenti ketika berkahwin – oleh wang yang tidak selalu berbaki. Walapun tidak banyak – sekitar 20 buah, majalah ini masih lagi disimpan dirumah sehingga kini. Ada diantaranya melebihi usia saya. Sehingga kini, bila balik ke kampung, masih sempat lagi saya membelek majalah yang ada. Sungguh banyak beza antara Mastika dahulu dan sekarang.
Sumber bacaan di sekolah pula terhad dengan apa yang ada di perpustakaan. Cukup malang apabila sekolah luar bandar, sekolah Felda, tidak mempunyai buku yang banyak, dan tidak langsung menambah minat saya untuk menguliti buku. Namun apa yang menarik, perpustakaan bergerak datang ke sekolah – kalau tidak silap dua minggu sekali - membawa buku yang lain daripada yang terdapat di perpustakaan. Saya menjadi ahli dan dapat meminjam beberapa buah dalam masa dua minggu. Malangnya, perpustakaan bergerak tidak mempunyai banyak bahan bacaan tempatan. Kebanyakannya dari Indonesia dan saya tidak begitu faham bila membacanya. Lalu seperti remaja lain, kami hanya memilih buku Enid Blyton, sehingga pernah menyebabkan saya menubuhkan pasukan penyiasat 3 sekawan akibat terlalu obses dengan pasukan penyiasat.
Namun, saya tetap juga membaca apa yang ada biarpun tidak menjadi ulat buku yang benar-benar menggilai semua buku di perpustakaan. Saya baca sekadar mengisi masa terluang. Namun, sumber ilmu saya banyak dicambahkan melalui akhbar. Berita Harian menjadi santapan utama (dan sehingga kini saya memusuhi Utusan dek kerana tidak gemarkan gaya bahasa ringkas dalam laporan beritanya). Setiap inci ruang saya geledahi, tidak ada satu berita pun tertinggal, sama ada faham atau tidak itu tidak menjadi soal. Lalu, dikalangan rakan sekolah, saya menjadi lebih arif akan hal ehwal semasa.
Keterbatasan sumber kewangan menjadikan saya berfikir cara mendapatkan ilmu tanpa mengeluarkan kos yang banyak. Saya tahu saya tidak harus membebankan emak abah terlalu banyak dalam urusan kewangan biarpun tahu jika melibatkan hal sekolah, wang tidaklah menjadi persoalan utama. Tetapi, saya ada tiga orang lagi adik yang turut sama bersekolah, yang turut sama menggunakan sejumlah wang yang banyak. Entah suatu hari, saya terbaca dalam sebuah antologi cerpen melalui buku yang dipinjam dari perpustakaan bergerak. Saya ingat lagi tajuknya – Guntingan Sukma. Sukma itu gabungan nama dua sahabat iaitu Sukran dan Maniam. Ia tentang tentang dua orang sahabat yang miskin, yang menghasikan buku skrap tentang pelajaran sekolah mereka. Ketika itu ada dipaparkan di dada akhbar, tentang panduan peperiksaan, contoh soalan, tips menjawab peperiksaan. Jadi, mereka menggunting rencana terbabit dan dijadikan buku skrap, sekaligus membantu mereka dalam peperiksaan. Keterbatasan sumber kewangan bagi membeli buku latihan menjadikan saya mencontohi idea dua sahabat ini, dan saya saban waktu menggunting artikel dari akhbar, ditampal didalam buku rampaian sekolah yang tidak lagi di gunakan dan disimpan. Tetapi yang lebih menarik ialah, saya tidak pernah buat walau satu pun latihan yang ada. Saya menjadi seronok menggunting dan menampal.
Hobi menggunting suratkhabar untuk dijadikan buku skrap ini tidak terhad terhadap matapelajaran sekolah. Saya semakin gila dengan gunting, dan idea satu persatu datang untuk buat buku skrap tentang macam-macam perkara. Waktu itu sekolah menengah, dan saya amat gila dengan sukan. Jadi, ruangan sukan menjadi bahagian pertama yang saya potong untuk ditampal. Sebut sahaja apa acara sukan – bola sepak, hoki, badminton, Sukan Sea, Sukan Olimpik, Piala Thomas, Piala Malaysia - saya boleh hafal satu persatu. Malah dalam bolasepak tempatan, saya kenal dan boleh menyebut nama setiap kesebelasan pemain dalam pasukan yang bermain. Ketika itu, bolasepak Malaysia, biarpun tidak mencapai tahap yang tinggi, begitu meriah sebelum terlungkup oleh rasuah yang melanda pada tahun 1997-1998. Selain itu, ada juga buku skrap khusus untuk pelancongan (kerana suka dengan binaan atau gambar yang menarik perhatian), artikel khas yang menimbulkan perasaan teruja juga yang khusus dengan komik. Tetapi yang lebihnya adalah kepada sukan.
Saya merasa amat gembira hasil dari buku skrap yang ada biarpun secara jujur tidak ada satupun buku yang benar-benar sempurna. Saya lebih banyak menggunting dan menyimpan, tetapi amat berat menampal kerana biasanya saya tidak akan berpuas hati dengan hasil tampalan. Saya akan koyakkan dan tampal semula, koyakkan lagi dan tampal semula sehinggalah ia menjadi buku skrap yang tidak pernah siap. Sehingga kini, saya lebih senang menggunting dan memasukkannya kedalam fail khas. Tidak perlu ditampal.
Begitulah obsesnya saya terhadap suratkhabar. Saya kira hobi ini lenyap bila menjejakkan kaki ke Taman Ilmu dan Budi, rupanya tidak. Dalam diam, saya mengumpul suratkhabar yang ada di bilik tv. Caranya ialah, saya akan menjejakkan kaki ke bilik tv selepas solat subuh dan mengambil suratkhabar semalam sebelum makcik cleaner bersihkan bilik tv. Perbuatan ini menjadi-jadi pada Piala Dunia 1998 yang ketika itu Perancis menjadi juara. Bila tamat belajar, barang yang perlu dibawa balik bukan kepalang banyaknya, kerana yang banyak adalah suratkhabar yang belum digunting dan ditampal.
Namun, minat membaca suratkhabar mulai menurun sejak 1998, bila berlakunya Reformasi. Kepercayaan terhadap berita yang dipaparkan menurun, saya menjadi tawar hati untuk membaca apa yang terhidang. Sekaligus ia menyebabkan saya kehilangan. Saya cuma membaca pada kadar perlu dan hobi terhenti seketika. Namun ruangan sukan tetap menjadi perhatian bila Euro 2000 berlangsung. Saya pernah ceritakan kegilaan saya terhadap bola suatu ketika di sini.
Bila bekerja, dan gelombang internet mula melanda pada awal abad ke-21, saya semakin jarang memegang suratkhabar. Tetapi masih lagi menjadikan akhbar sebagai sumber ilmu utama dan kini membaca semua akhbar dari pelbagai aliran supaya tidak ada unsur berat sebelah. Dengan gelombang internet dan segalanya yang dihujung jari, keinginan menggunting akhbar semakin kurang. Saya lebih banyak Copy-Paste atau Save As setiap artikel yang ada. Segalanya saya muatkan dalam folder khas di laptop. Namun, masih ada juga ruang untuk aktiviti menggunting kerana kejanggalan membaca dalam talian masih ada. Tambahan pula, rasanya lebih enak dan amat melekakan jika dapat memegang artikel yang digunting dari akhbar.
Saya masih lagi mengumpul artikel atau keratan akhbar. Tambahan pula saya amat memerlukannya sebagai bahan tambahan dalam mencari idea atau mencerna minda dalam berkarya. Setiap keratan akhbar saya kelaskan mengikut topik tertentu. Masalah yang tetap wujud dari dahulu hingga kini ialah cara penyimpanan yang sesuai. Macam-macam cara saya gunakan. Sejak saya bosan menampal artikel, saya kumpul semua keratan akhbar dan kelaskan mengikut topik, kemudian dimasukkan kedalam fail. Inilah cara terkini yang saya lakukan dan dirasakan terbaik. Artikel yang ada menyebabkan saya memperuntukkan sebuah bilik khas untuk keratan akhbar dan satu bilik lagi untuk buku-buku dan ruang kerja.
Penyimpanan juga satu masalah. Bila saya melanjutkan pelajaran, keratan akhbar semuanya saya simpan elok-elok dikampung. Bila balik bercuti saya belek dan susun. Malangnya ada pula yang memusuhi. Anai-anai dan semut serta lipas telah memusnahkan banyak khazanah yang ada. Itu belum lagi yang disimbahi hujan oleh atap yang bocor. Kadangkala merasa hampa pula bila melihat penat lelah hilang begitu sahaja. Oleh itu setiap kali habis cuti, saya pesan pada emak agar menjaga harta karun saya dengan elok. Emak pun seakan memahami dan tidak bersoal banyak. Malah emak macam tahu-tahu keinginan saya setiap kali balik cuti. Dia akan memberitahu saya yang mana satu susnan akhbar yang baru, dan yang mana susnan akhbar yang lama kerana saya akan terus menekuni akhbar lama untuk dibaca dan digunting. Hobi tidak pernah hilang dari dulu hingga kini.
Begitulah obsesnya saya. Memang pelik, ya memang pelik. Tetapi itulah kata orang, obses!
2 ulasan:
Panjang catatan ini. Elok kembangkan dan jadikan semacam otobiografi seorang pencinta buku.
Ya, mungkin suatu hari
:-)
Catat Ulasan