Jumaat, Jun 12, 2009

Obses 2

Entri ini akan di kemaskini dari semasa ke semasa bagi memastikan kesahihan faktanya dengan diri saya



Kali ini saya mahu bercerita tentang buku.


Bagi yang gemar membaca, pastinya ada buku yang begitu menyentuh hati, menarik perasaan dan membuatkan diri sering teringat-ingat. Tidak cukup dengan meminjam, pasti ada yang berusaha mencarinya untuk dijadikan koleksi kemudian menyarankan kepada kenalan untuk dibaca bersama. Kemudian selama berhari-hari, ada kalanya seminggu, sebulan atau lebih, di buai-buai perasaan dengan ceritanya, dengan wataknya, dengan falsafahnya, dengan kisahnya. Ada yang dilanda keharuan dengan kisah sedih, ada yang mengundang geram dengan antagonis, ada yang membenci dengan watak, ada pula membenci penulis. Macam-macam kesan terhasil akibat obses yang teramat.


Mungkin ada yang terfikir, bagaimanakah agaknya sesebuah buku itu boleh menarik hati si pembaca untuk jatuh cinta, sekaligus menjadi obses terhadap buku terbabit, dan penulisnya barangkali. Apakah ‘ilmu’ yang dipakai sehingga menjadikan karya mereka menjadi sebutan juga kajian.


Sewaktu keluar dengan Ida buat beberapa kali, dia selalu menyebut tentang sebuah buku yang telah lama dicarinya. “Saya baca buku itu ketika sekolah lagi, entah beberapa kali. Setiap kali saya baca, pasti airmata saya mengalir.” Saya senyum sambil memikirkan apakah kisah yang tersembunyi hingga menyebabkan air matanya. Saya tidak ambil pusing kata-kata Ida, tetapi setiap kali kami bertemu dia mengutarakan harapan agar bertemu dengan buku tersebut dimana-mana untuk dibacanya lagi dan dijadikan koleksi. Ketika Pesta Buku yang lalu dia menyatakan kegembiraan bila bertemu dengan buku yang dimaksudkan. Korban kasih oleh Fatimah Saidin. Buku ini sudah lama di terbitkan, dan di terbitkan kembali oleh DBP – mungkin oleh sambutan dari pembaca. Ida memberi peluang saya membacanya kerana katanya dia dah baca banyak kali, dah hafal jalan ceritanya dan setiap kali baca pasti akan menangis. Saya tidak ambil pusing soal menangis tapi ingin tahu apa yang menyebabkan dia menangis. Saya baca, dan memang saya turut menangis! Nak tahu kisahnya, lebih elok dapatkan sendiri neovel ini. Apa yang menarik ialah, gaya bahasanya amat ringkas dan bila membacanya, tiada langsung unsur yang menyebabkan kita dipaksa menangis. Air mata akan jatuh dengan sendirinya. Cubalah!


Dalam masa yang sama, saya cuba membaca naskhah Sasterawan Negara. Hasrat di hati mahu mencontohi karya terbabit sambil cuba menyelami teknik dan gaya penceritaan. Tetapi usaha ini bukan mudah. Saya merasa amat payah hendak menghabiskan naskhah yang ada. Boleh di bilang dengan jari, sedangkan yang di beli cukup banyak tersusun. Sekadar yang boleh saya baca ialah Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Sudara, Imam dan Tulang-Tulang Berserakan. Saya cuba membaca Hujan pagi, Mevrouw Toga, Patriarch dan Begawan tetapi terkandans di beberapa helaian awal. Selebihnya dahi akan berkerut dan perasaan bosan mula melanda kerana tidak mampu menangkap mesej yang tersirat. Saya perlu usaha gigih lagi untuk menghabiskan semuanya.


Saya masih ingat yang saya berusaha membaca karya Pak Samad ketika di sekolah menengah. Ketika kawan-kawan sibuk dengan novel remaja DBP yang ketika itu memang laris, saya cuba meminjam Daerah Zeni dan Lazri Meon. Membaca Daerah Zeni menyebabkan dahi saya berkerut-kerut, apatah lagi Lazri Meon. Selalu saya marahkan diri kerana gagal menangkap maknanya dengan baik sehingga saya terfikir apakah menjadi sasterawan perlu menulis karya sebegini rupa? Apakah ada orang yang membaca atau membelinya jika yang membacanya (sayalah tu) tidak faham apa yang cuba disampaikan? Agaknya saya terlau naif ketika itu hingga tidak memahami falsafah disebalik karya yang begitu besar nilainya.


Namun seperkara yang menarik ialah, saya berhasil membaca Keluarga Gerila karya Pram ketika di sekolah menengah. Saya tidak kenal siapa Pram, malah tidak memahami dengan mendalam apa yang di tulis. Namun buku yang abah simpan ini selalu menyebabkan saya tertanya-tanya. Siapakah Pram, dan apakah buku ini sehinggalah jawapannya saya temui beberapa tahun kemudian.


Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah saya baca juga ketika sekolah menengah. Angah yang membelinya dari sebuah kedai buku dan saya tahu dia membeli kerana harganya yang murah. Dan saya juga pasti dia tidak membacanya. Saya tahu buku itu tidak menarik minatnya dan sayalah yang membacanya dengan perasaan yang bercampur baur. Bagaimanalah mahu menggambarkan kaki di gergaji?


Saya berkenalan dengan buku Lepaskan Kembali Aku ke Laut karya Saari Isa di perpustakaan bergerak ketika di sekolah rendah. Tidak tahulah mengapa saya amat tertarik dengan buku ini, agaknya oleh patung duyung yang seolah merayu dan memanggil agar di lepaskan ke laut ataupun kerana perinciaan penceritaannya yang memukau sehingga saya sering berangan-angan mahu kembali ke zaman dimana Kazman dan Izma berada. Saya berusaha mencari sambungannya - jilid kedua dan ketiga dan hajat itu tercapai bila saya berjaya menemuinya di perpustakaan UIA. Apabila telah tahu jalan ke kedai buku di DBP, saya berjaya membeli jilid satu dan dua dengan harga murah dan ia menjadi satu koleksi yang amat berharga kerana mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi. Buku ini amat membantu saya menyelami suasana kehidupan ketika sebelum dan sebaik sahaja negara merdeka.


Oleh kerana saya tidak mampu membeli buku dan membaca pelbagai naskhah ketika kecil dan ketika melanjutkan pengajian akibat kekangan kewangan, saya menanam azam untuk memperuntukkan sedikit daripada gaji setiap bulan bagi membeli buku. Alhamdulillah sehingga kini, hajat ini tercapai dan kegilaan terhadap buku mengundang perasaan lain pula – bagaimana menghabiskan bacaan jika telalu obses membeli?

Bila menyebut tentang kaki buku, saya amat bersyukur di temukan dengan ramai penggemar, pengikut buku yang saya kenali di gerbang maya. Daripada mereka, saya tahu dimana lubuk buku murah, bila jualan buku diadakan, saranan terhadap buku yang telah mereka baca sehingga menimbulkan minat untuk menjadikan ia sebagai koleksi peribadi. Sehingga kini, dibeli banyak yang belum di baca tetapi niat untuk membeli tidak pernah terhakis memaksa saya menjauhkan diri dari menyinggah ke kedai buku jika keluar. Tetapi, masakan saya mampu berbuat demikian, sekadar menasihati diri agar tidak membeli bolehlah.


Selebihnya, tatapilah gambar yang ada - yang merupakan sebahagian dari koleksi peribadi. InsyaAllah, dalam proses menambah dan menambah

Selain itu, saya juga menjadi penggemar collector’s item – mengumpulkan buku yang sukar di temui. Contohnya, Jejak Langkah Karya Pram ini saya temui sewaktu Pesta Buku PKNS Bangi pada awal tahun ini.

Dua versi berbeza Perempuan Politiks Melayu yang sengaja saya beli untuk simpanan

Juga dua versi Dari Salina Ke Langit Petang. Versi asal berkulit nipis terlipat kerana ditimba badan sendiri akibat membaca sambil baring.

Karya terjemahan yang belum ada usaha untuk di mulakan. Sekadar belek dan selak

Buku langka seperti ini menarik juga untuk dibaca

Koleksi karya Sasterawan yang di jual murah oleh DBP

Jumpa ini di Giant Shah Alam - di kedai buku murah





6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam... kagum.... karya Abdullah Hussein boleh melekat d hati. Ada juga cuba baca karya Arenawati (teringin nak baca sebenarnya), buku pertama akak beli Sukma Angin... aduh... x berjaya menghayati. cuba cdgkan yg lain.... (saya kurang seni orgnya....).... K. Fidah

z'kea m.s berkata...

Zeti..aku excited tgk buku arenawati. Ko tau aku memang peminat Arenawati dari dulu lagi. Banyak juga koleksi karya beliau yang aku ada. Cuma buat masa ni aku stop dulu beli buku sebab masalah penyimpanan. Lagipun asyik pindah-randah... buku-buku bila dah simpan dalam kotak.. nak keluarkan susah. Minta-minta satu hari aku boleh buat satu library di rumah sendiri.

Kak Fidah... nak baca karya arenawati cuba akak mulakan dengan Begawan. Sukma angin agak complicated sebab latarnya dalam kapal laut... kita tak biasa dengan latar tu, jadi tak boleh nak imagine. Lagi satu... baca jangan berhenti lama, nanti terputus plot cerita.. bila mula semula akan jadi tak faham.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Kiah...Ya, aku ingat kau pernah cerita pasal Begawan. Buku ArenaWati agak susah dibaca sebab kena fahami maksudnya yang berlapis-lapis. Setakat ni yang aku boleh baca ialah Sudara dan dalam proses nak habiskan Sandera. Mevrouw Toga rasanya kena ulang semula sebab dah tertinggal dan hampir surrender.

Bila baca buku ArenaWati ni barulah aku perasan jalur diri sendiri. Aku boleh baca buku berteraskan sejarah tapi bila masuk politik macam Mevrouw Toga dan Begawan, kadang-kadang fade-up nak habiskan.

Kak Fidah, mungkin boleh ikuti saranan Kiah. Selamat membaca!

Shahrulrock berkata...

Saudari,
Kita mungkin mempunyai minta yang sama,membeli dan membaca.
Saya amat teruja dengan karya Pak Samad,baik yang besar atau yang kecil(tetapi semua karya Pak Samad sedang di angkat untuk menjadi "besar".)Saya menelaah hampir ke semua karya Pak Samad dan setiap kali itu juga, saya akan di paksa untuk masuk ke dalam jalan ceritanya.Hujan Pagi umpamanya, telah meletakkan diri saya pada takat halusinasi yang tinggi, sejajar dengan watak utama iaitu Lokman.Keperitan perang yang berjaya saya jelmakan ketika membaca Adik Datang.Lorong hanyir dan kotor yang meloyakan dalam cerpen Longkang dan selalunya, Pak Samad akan menyerlahkan kekhuatiran menjadi sesuatu yang perlu kita telan.Salina umpamanya, menenggelamkan perkataan pelacur yang sering di pandang hina.Ahhh...tulisan Pak Samad memang begitu dalam maksudnnya.
Arenawati...saya benar-benar mabuk ketika membaca Sukma Angin dan begitu memberontak sekali jiwa saya ketika membaca Pantai Harapan.Tidak lengkap kiranya tidak membaca Armagedon yang banyak sirinya itu.
Pramodeaya.Saya seperti saudari, saya memulakannya dengan Keluarga Gerila(atau bagaimana ejaannya).
Saya juga secara jujurnya meminati karya Shahnon Ahmad.Ranjau Sepanjang Jalan,Tunggul-Tunggul Gerigis atau bukit yang hodoh dalam Serengenge.Sesekali, saya kembali menyelak-nyelak Sutan Baginda.
Koleksi "emas"saya juga terdiri daripada beberapa nama yang semakin kita tenggelamkan.Antaranya, karya besar Keris Mas,Rimba Harapan dan Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.Azizi Haji Abdullah juga tidak pernah mengecewakan saya sejak Seorang Tua Di Kaki Gunung.Sangeetha yang sudah dua kali saya ulang baca juga masih lagi saya sifatkan sebagai karya besarnya.
Setakat ini, setiap kali saya membaca karya-karya "berat" yang sebegini, saya mudah terbuai dan di serap bersama jalan cerita.
Di samping karya yang Bahasa Melayu, saya juga amat menggemari karya penulis luar.Antaranya, Arundhati Roy dan VS Naipul.Dan Brown melalui karya Da Vinci Code juga amat perlu di hormati kerana keberaniannya menyelongkar sisi ajaran Kristian.
Suatu hari, kita boleh bercerita panjang mengenai buku.
Oh ya...Untuk Siapa Gema Bergenta yang di terjemahkan juga amat menarik sekali jika di hayati.Watak Robert Jordan karya Hemingway itu sudah beberapa kali mengejutkan saya.....

Norziati Mohd Rosman berkata...

Sdr Shahrul,

Ya, suatu hari nanti kita boleh bercerita panjang mengenai buku

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih Kiah & Zeti utk cadangan. Sdg menunggu waktu yg sesuai untuk mencari "Begawan"... Smpi skrg x berjaya lg menghabiskan Sukma Angin..

Ada satu buku yang dibaca masa zaman sekolah, jenuh korek semua data tp masih x ingat tajuknya. mcmana nak cari pun entah haha.

Ada ke buku tajuk Universiti Kedua... saje tanya.

K. FidahPG

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...