Apa yang berlaku pada 31 Ogos 1957? Menerusi pelbagai sumber yang saya temui, disimpan dan diperap sekian lama tanpa menghasilkan apa-apa, marilah kita hayati suasana pada hari kemerdekaan Tanah Melayu.
- 30 Ogos 1957 merupakan hari Jumaat. Pada pagi Jumaat
itu, Tunku Abdul Rahman merasmikan Stadium Merdeka yang berharga RM
2,300,000.00. Stadium ini akan digunakan bagi membuat perisytiharan
kemerdekaan. Sebab itulah ia dinamakan Stadium Merdeka.
- Dua tiga hari sebelum kemerdekaan, Kuala Lumpur telah dihiasi dengan lampu yang
berwarna-warni. Huruf M yang besar dibina melalui susunan beratus mentol lampu
yang menyala dan berkelipan di bangunan. Huruf M yang besar sekali dibina di
kemuncak Menara Telekom yang tingginya 400 kaki terletak di Bukit Nanas. Saiz
yang besar itu dapat dilihat kira-kira beberapa batu disekeliling KL.
- Di Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka) berhadapan Bangunan Sekretariat, cahaya terang benderang
dipasang menerangi kegelapan malam. Perkataan ‘Merdeka’ dibina setinggi 12 kaki
dan dihiasi dengan beratus mentol.
- Pada malamnya, hampir 30,000 orang berkumpul. Tepat pukul 9 malam, bendera Union Jack dinaikkan. Di kanan dan kirinya adalah bendera UMNO dan bendera Perikatan.
- Tepat jam 12 tengah malam, lampu dihidupkan kembali. Seperti menunjukkan zaman kegelapan telah berlalu dan membuka usia baru sebuah negara. Lagu God Save the Queen pun berkumandang buat kali terakhir. Serentak dengan itu, bendera Union Jack diturunkan. Bendera Persekutuan Tanah Melayu pula dinaikkan bersama-sama lagu Negaraku. Tunku menjerit merdeka beberapa kali diikuti ucapan. Doa pun dibaca.
- Pada hari Sabtu, 31 Ogos hujan turun bercurahan sejak jam 3 pagi. Hujan pagi ini adalah hujan rahmat seolah-olah petanda untuk membawa keluar segala lumpur dan kekotoran penjajah keluar dari Tanah Melayu.
- Pukul 730 pagi hujan mulai berhenti dan matahari memancar dengan cerianya. Tunku memakai baju Melayu serba hitam. Samping dan tengkolok bersinar dengan benang emas. Kaki seluarnya bertepian putih seinci lebarnya. Pakaian ini ibarat simbol sebagai berkuasanya kembali orang Melayu dan raja Melayu terhadap Tanah Melayu yang selama 117 tahun ditangan penjajah.
- Sir Donald MacGillivray yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu yang terakhir memakai pakaian seragam Gabenor Jajahan berwarna hitam. Hari ini merupakan hari terakhirnya berkhidmat. Seolah-olah di takdirkan dalam sejarah bahawa ditangannya Persekutuan Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang merdeka.
- Duke of Gloucester selaku wakil Ratu British, Ratu Elizabeth pula memakai seragam putih Field Marshal, iaitu pangkat yang tertinggi sekali dalam Angkatan Tentera British. Duke merupakan bapa saudara Ratu Elizabeth yang dihantar sebagai wakil di dalam penyerahan dokumen perlembagaan yang akan memberikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka
- Pagi itu panas kurang dirasai. Langit masih berawan sungguhpun hujan telah berhenti. Matahari memancar terang tetapi lembut cahayanya.
- Raja-raja Melayu juga tiba. Tengku Mahkota Johor mewakili Sultan Johor memakai seragam tentera dan berkaca mata hitam. Sultan Kedah memakai pakaian serba biru berbenang Perak. Sultan Pahang berpakaian ungu berjalur benang emas. Sultan Selangor dan Sultan Perak berpakaian kuning. Raja-Raja Melayu yang lain memakai pakaian berbenang emas dengan berlainan corak dan warna.
- Tempat duduk Duke of Gloucester terletak ditengah pentas bertentangan meja. Di sebelah kanan ialah MacGillivray manakala sebelah kiri ialah Tuanku Abdul Rahman yang dua hari selepas itu akan ditabalkan sebagai yang di Pertuan Agong yang pertama. Baginda berpakaian perang tua. Sebelah kiri baginda ialah Tunku Abdul Rahman. Kecuali MacDillivray dan Tunku, yang lain berpayung.
- Duke membacakan perutusan dari Ratu yang mengalu-alukan Tanah Melayu ke dalam negara Komanwel serta mengharapkan agar Tanah Melayu menunjukkan kepada dunia teladan-teladan kerjasama dan muhibah antara semua kaum yang menjadi sebahagian dari nadi rakyatnya. Sebaik tamat Duke menyampaikan perutusan Ratu, Tunku bangun menuju ke arah Duke.
- Duke mengambil surat kuasa dan menyerahkannya kepada Tunku. Sebaik sahaja tunku menerima, secara tidak langsung segala kuasa kerajaan British terhadap negeri Melayu dan dua buah negeri selat diserahkan kembali kepada rakyat Tanah Melayu. Ketika itu, beribu orang di stadium berdiri serentak melihat kuasa bertukar tangan dengan tepukan gemuruh serta teriakan Merdeka memenuhi stadium. Tunku kemudian berucap.
- Kemudian, surat pemasyhuran kemerdekaan dalam sebuah kotak kain yang kecil tetapi panjang dibawa oleh seorang anggota tentera berbaju putih berseluar hitam, bersongkok hujau. Tunku membaca perisytiharan kemerdekaan. Antara lain menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang baru bermula dan termansuhnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
- Sebaik tamat perisytiharan di baca, Tunku berdiri tegak, tangannya diangkat lurus keatas, tapak tangannya terbuka ambil berteriak “Merdeka!” sebanyak 7 kali. Setiap kali dia berteriak, beribu-ribu orang didalam stadium menyambut dan berteriak bersama-sama. Ia seolah satu perasaan yang dikeluarkan dan diluahkan bersama-sama
- Habis teriakan merdeka, lagu Negaraku dimainkan. Bendera Persekutuan dikibarkan. Saat itu, matahari bersinar indah. Lagu Negaraku menjadi satu melodi yang sangat indah. Dari jauh kedengaran bunyi tembakan meriam sedas demi sedas.
- Tamat Negaraku, azan di laungkan dari tempat diraja. Kemudian, beratus-ratus ekor burung merpati dilepaskan. Teriakan merdeka kedengaran lagi.
- Merdeka!!!
1 ulasan:
meresap ke dlm jiwa...
Catat Ulasan