Jumaat, Mei 30, 2008

Bas no lima

Saya selalu mendengar ada orang berkata, jika kita risaukan akan sesuatu dan selalu memikirkannya, perkara itu akan berlaku juga kepada kita. Misalnya jika terlalu risau di timpa kemalangan ketika memandu, dan memikirkan yang buruk-buruk tentangnya, maka perkara itu akan terjadi. Jika berjalan dan takut terjatuh ke longkang, maka kita akan jatuh juga ke longkang. Jika terlalu risau, perkara itu juga berlaku.

Hakikatnya, saya tidak berapa setuju. Tetapi dari segi psikologi (kalaulah betul), jika fikiran sudah ditetapkan ke satu perkara, maka ia akan duduk dalam kepala dan mind-set bertukar. Ia menjadi objektif utama. Mungkin ada benarnya dan itulah yang terjadi kepada diri sendiri.

Saya kembali ke Bangi menaiki bas Cepat Ekspres no 5 dari pekan Jertih pada pukul 9.45 malam pada malam Rabu. Seorang diri, saya terkial-kial. Hendak bertanya, malas pula. Dengan keadaan stesen bas yang tak berupa stesen, saya berdiri saya berpandukan nasihat ringkas - “tunggu je, nampak bas Cepat Ekspres terus naik. Warna kuning. Macam naik bas biasalah.” Nasihat yang tak boleh di pakai langsung.

Saya menunggu. Ramai juga yang berdiri. Saya sendirian, enggan bertegur sapa. Saya pegang kejap tiket. Dalam kepala pelbagai perkara sudah bermain. Bagaimana jika saya salah naik bas, atau ketinggalan bas atau bas yang dibawa rosak? Saya teliti tiket, melihat nombor bas, tarikh, nombor tempat duduk dan destinasi sehingga renyuk. Belek dari depan hingga belakang. Dalam hati, saya ketawa sendirian. Macamlah tak pernah naik bas.

Pukul sepuluh, bas tiba. Beberapa kali saya melihat cermin depan bagi memastikan nombor bas yang betul. Ketika menyerahkan tiket kepada pemandu, saya pastikan si pemandu membaca destinasi tiket saya dengan betul. Tetapi saya tidak menyoal, diam sahaja. Betullah agaknya. Andainya saya salah bas, belum terlewat untuk bertukar bas.

Segala-galanya nampak teratur. Tempat duduk pula belakang sekali, betul-betul di tayar belakang. Mujur bukan lelaki di sebelah saya. Mungkin pelajar. Dan saya masih lagi mengunci mulut. Malas berbual biar pun hati meronta-rota mahu bertanya satu dua perkara. Dia juga tidak mengendahkan saya. Entahlah, saya rasa sedikit risau. Macamlah kali pertama naik bas, dan macamlah kali pertama dari Pantai Timur. Saya tidak pasti kerisauan saya atas sebab apa. Dalam hati macam-macam doa dibaca agar terhindar dari sebarang perkara buruk.

Perjalanan lancar. Bas berhenti beberapa kali untuk si pemandu membuang kantuk dan mengambil penumpang. Diringkaskan cerita, sampailah ke Hentian Putra tepat pukul 6 pagi. Saya mengira dalam kepala. Perjalanan ke Hentian Kajang mengambil masa lebih kurang 45 minit ke satu jam. Syaitan menyuruh saya solat Subuh di Hentian Kajang, tetapi saya fikir mengapa tidak solat sahaja di Hentian Putra jika ada kesempatan.

Si pemandu memberitahu bas akan berhenti selama 20 minit untuk sesiapa yang ingin menunaikan solat Subuh. Saya lihat tidak ramai yang turun. Tak mengapalah, panggilan Tuhan lebih penting. Saya turun tanpa meninggalkan pesan kepada penumpang sebelah. Beg sandang yang saya bawa, saya tinggalkan di kerusi.

Keluar dari tandas, bas bergerak. Saya sedikit hairan. Baru lima minit, masakan sudah mahu bergerak terus. Saya tidak mahu fikirkan perkara lain, solat sahaja biarpun tidak tenang. Sebaik tiba di tempat bas berhenti tadi (dan sekarang sudah lesap), saya di tegur oleh dua orang wanita (err..perempuan) yang terpinga-pinga.

“Akak naik bas tu ke tadi?” dia bertanya, walaupun saya tidak pasti dia merujuk kepada bas yang mana.

“Ya. Tadi bas tu bergerak keluar dari sini,” kata saya teragak-agak. Sangka saya, bas tersebut menunggu di luar Hentian. Siapa tahu yang hentian ini dilarang parkir lama-lama?

Dia bertanya kepada beberapa orang yang menegur kami kerana terpinga-pinga sambil menjenguk-jenguk keluar, ke Jalan Kuching yang lengang. Kelibat bas tiada. Di tepi jalan dihadapan sana, berdekatan lampu isyarat juga tiada.

Tuhan! Pelbagai perkara yang saya fikirkan sejak naik bas tadi timbul lagi. Saya menuju ke kaunter mencari nombor telefon yang boleh di hubungi. Kaunter kosong. Panggilan tidak berjawab. Begitu juga yang terdapat pada tiket. Senarai nombor telefon pemandu tertampal, tetapi mustahil untuk menelefon setiap seorang. Saya cuba tenangkan diri, sambil menyumpah diri kerana terlalu memikirkan perkara buruk. Sekarang betul-betul kena batang hidung sendiri.

Saya cuba mengingat apa yang ada dalam beg sandang. Mujur kad pengenalan dan kad ATM ada di poket. Juga duit dan dua telefon genggam. Memang saya senang menyimpan semuanya ke dalam poket jika pergi ke mana-mana biarpun membawa beg. Untuk keselamatan.

Kami berbincang. Sempat mereka bercerita kepada pengawal yang kurang membantu (mujur bukan pengawal dari syarikat saya, kalau tidak saya cari pegawai operasinya). Berbincang lagi. Kami cuba menunggu, mana tahu bas tersebut mengambil pusingan atau berpatah balik. Tetapi beberapa orang yang kami tanyakan memberi maklum balas yang sama. Bas yang berhenti di Hentian Putra memang suka tinggalkan penumpang.

Dua kenalan baru ini memberikan cadangan mengejar bas hingga ke Seremban, kerana destinasi bas ialah Jertih-Hentian Putra-Kajang-Nilai-Seremban. Saya pula memberikan idea yang lebih bernas. Naik teksi hingga Hentian Kajang, tunggu bas di sana. Jika tiada, barulah pecut ke Seremban. Sebelum itu saya menelefon seorang teman yang sepatutnya di tugaskan mengambil saya di Hentian Kajang. Kereta saya tinggalkan padanya bagi memudahkan dia mengambil saya nanti. Saya minta dia berkejar ke Hentian Kajang dan menahan bas Cepat Ekspres no.5 sehingga kami sampai.

Maka berlakulah perkara yang tidak patut saya lupakan sehingga ke akhir hayat. Adegan mengejar bas pada dinihari! Ketika itu jam menunjukkan pukul 6.40 pagi. Bas meninggalkan Hentian Putra (sewaktu saya keluar dari tandas) kira-kira 15 minit yang lalu. Si pemandu teksi memberitahu mana-mana bas di Hentian Putra begitulah sifatnya. Biarpun di beritahu akan menunggu, penumpang akan di tinggalkan. Sudah banyak kali berlaku. Dan si pemandu juga sudah beberapa kali membawa penumpang mengejar bas.

Mujur si pemandu cekap, menggunakan Lebuhraya Cheras-Kajang yang lebih cepat berbanding terus ke tol Sungai Besi. Pagi masih awal dan jalan belum lagi sibuk. Sempat juga berdoa diselamatkan perjalanan ini serta beg yang berada di perut bas. Saya tenang sahaja, kerana sudah merencana dalam fikiran. Jika terlepas di Hentian Kajang, saya akan memandu hingga ke Seremban. Jadi, saya tidaklah terlalu risau. Mungkin kerana - pertama, peristiwa ini selalu berlaku; kedua, di temani oleh dua orang yang mengalami nasib yang saya; ketiga, saya maklumi destinasi bas dan yakin boleh dapat beg dan keempat, inilah hasil dari kerisauan saya sepanjang perjalanan! Alhamdulillah terlepas dari sebrang malapetaka, tetapi pengalaman lain pula datang. Inilah dia, perkara yang terlalu dirisaukan pula menjadi kenyataan.

Pukul 7 pagi, teman memberitahu bas belum muncul. Dia bergegas ke Hentian Kajang sebaik sahaja saya mengarahkan dan berjalan mengelilingi Hentian Kajang mencari bas yang dimaksudkan. Kami tiba sepuluh minit kemudiannya. Memang tiada tanda bas Cepat Ekspres akan berhenti berdasarkan kepada tanda nama pada terminal bas. Kami menunggu lebih kurang lima belas minit. Memang tiada bayang bas tersebut biarpun ada beberapa bas ekspres menunrunkan penumpang. Lalu jalan terakhir ialah mengejar bas hingga ke Seremban.

Adegan kejar mengejar berulang lagi sekali. Saya memecut sehingga meter mencecah 160 (saya tidak pernah memandu selaju ini. Maksimum pun 140). Berbual-bual dengan dua kenalan baru, rupa-rupanya mereka senasib dengan saya. Kedua mereka merupakan guru pelatih Maktab Perguruan Raja Melewar, baru lepas bercuti ke rumah kawan di Pantai Timur dan dalam perjalanan pulang menyambung cuti. Pertama kali menaiki bas dari Jertih. Pengalaman pertama yang tidak akan dilupakan. Patutlah tidak ramai penumpang yang turun mengerjakan solat Subuh, rupanya mereka tahu yang bas ini akan bergerak cepat. Sesuai sungguh dengan namanya.

Bas Cepat Ekspres No.5 dari Jertih-Hentian Putra-Kajang-Nilai-Seremban muncul ketika sebaik sahaja melepasi Nilai. Elok sungguh. Saya memberhentikan kereta di tol Seremban, menahan bas dan mengambil beg. Bersalaman dengan dua kenalan baru (yang tidak saya tanyakan namanya), si pemandu dengan tiada perasaan bersalah bertanya, “turun mana?”

“Kajang,” jawab saya ringkas sambil turun tanpa menoleh. Kemudian kereta berpatah balik ke Bangi untuk saya dan teman bersiap-siap ke tempat kerja pula. Waktu ketika itu pukul lapan.

Cepat Ekspres. Hmm..pengalaman menarik, juga pengalaman yang cukup mengajar. Mahu saya blacklist bas ini? Siapa pula saya mahu menghakimkan yang tidak elok untuk mereka. Biarlah saya jadikan ia kenangan yang indah, sebagai sebahagian dari diari perjalanan ke Terengganu. Bukan pengalaman pahit. Saya tidak suka perkataan ini. Pengalaman semuanya mengajar, bukan menyedihkan semata-mata. Biarlah saya bersangka baik dengan si pemandu. Tidak sampai hati memarahi atau menyumpah seranahnya kerana meninggalkan penumpang tanpa periksa. Mungkin dia letih, mungkin tidak perasan, mungkin juga sudah menjadi tabiat. Doa saya, biarlah kejadian ini menyedarkannya supaya lebih berhati-hati di hari muka.

Juga inilah agaknya balasan tidak mahu bertegur sapa, sama ada dengan si pemandu, para penumpang lain atau dengan orang sebelah. Andai saya berbual-bual dengannya, mungkin dia boleh membantu dengan memberitahu si pemandu memandangkan beg sandang saya terletak di bahagian kaki. Jelas dan boleh dilihat. Tiada perasaan kasihan langsungkah pada diri saya yang ditinggalkan bas? Dan mujur juga dua kenalan baru menegur, walhal saya tidak langsung mengecam mereka sebelum itu.

Saya? Tidak sudah-sudah ketawa pada diri sendiri. Mengutuki diri sendiri juga ada. Lain kali, jangan fikirkan yang buruk-buruk. Fikir positif. Kerisauan akan sesuatu perkara akhirnya jatuh pada batang hidung sendiri. Padan muka.

Begitulah kisah bas no.5. Yang paling di ingati ialah adengan kejar mengejar bas di jalan raya. Ada sesiapa lagi yang punya pengalaman naik bas yang tidak dapat dilupakan?


.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Saya pernah naik bas tetapi bas tidak mahu berhenti walaupun dibunyikan loceng beberapa kali.
Rupanya ada dua jenis bas satu yang terus dipandu sehingga tiba ke stesyen dan satu lagi berhenti pada setiap hentian pondok bas.Apabila tidak membunyikan loceng pada tempat yang ditetapkan saya terpaksa turun berjalan kaki berpatah balik ke destinasi.Ada kalanya hadir rakan yang sememangnya tahu destinasi saya tetapi didiamkannya tanpa sedia menegur memberitahu bahawa destinasi saya telah tiba.
Juga pernah memandu mengejar kereta dari Senawang ke Seremban sewaktu menagih hutang sewa rumah tertunggak berbulan-bulan lalu pengalaman Ziati amat difahami.

Yang utama syukur kerana keadaan dan stuasi itu tidak menyesatkan jalan saya untuk sampai semula ke destinasi.

Tanpa Nama berkata...

Kalau skrip hollywood, yang tertinggal sama tu mamat hensem, bukan perempuan... :D

aj

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...