Selasa, Mei 13, 2008

Yang indah dan tidak di Pulau Indah

Apa yang indah di Pulau Indah?

Itu pertanyaan yang sering ditanyakan oleh rakan sepejabat. Malah, dia pernah berhasrat jalan-jalan makan angin di sana. Padanya, Pulau Indah tidak lebih dan tidak kurang seperti pulau percutian lain. Mungkin ia mempunyai pantai seindah Morib yang pernah kami jejaki, atau mungkin seperti Pulau Perhentian yang sering menjadi sebutan kami sejak akhir-akhir ini. Mungkin ada pantai, ada laut, tempat mandi-manda dan juga resort serta chalet.

Mungkin itulah yang digambarkan dalam fikirannya, seindah namanya.

Setiap kali bercerita tentang Pulau Indah, saya akan ketawa. Mujur saya pernah ke sana beberapa kali. Itu pun kerana syarikat pernah mendapat kontrak kawalan keselamatan di Terminal Caltex. Jika tidak, fikiran saya turut menggambarkan yang indah-indah sama sepertinya.

“Kamu tahu apa yang ada di sana? Pulau Indah di penuh dengan terminal minyak, kilang dan bangunan yang tidak berpenghuni. Ia bukanlah sebuah pulau yang indah dengan pantai yang cantik.”

Dia tidak berpuas hati malah sering menyebut. Bagi memuaskan hati dan mengisi luang waktu yang panjang di hujung minggu, saya membawanya dan seorang lagi teman sepejabat ke Pulau Indah. Semoga dia berpuas hati dengan perjalanan ini. Pemanduan petang Sabtu lancar tanpa ada kesesakan kecuali ketika melewati bandar Klang. Kami ceria di dalam kereta dan perbualan berkisar kepada perkara yang sering mengundang tawa.

Apa yang ada di Pulau Indah? Ia sebuah pulau kecil, letaknya hampir 30 km dari bandar Klang, tersepit di antara Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan. Ia ibarat sebuah kawasan terbengkalai yang tidak di majukan. Ada jambatan luas dua lorong menghubungkan tanah besar dengan pulau. Jika tidak di perhatikan betul-betul, kita tidak akan perasan ia adalah sebuah jambatan kerana kiri dan kanan pemandangan terlindung oleh paip-paip besar dan mungkin binaannya sengaja menghalang pemandangan untuk lepas ke luar. Jambatannya tidak terlalu panjang, mungkin dalam 500 meter.

Di kanan ialah jambatan bagi laluan kenderaan biasa, manakala disebelah kiri ialah jambatan keretapi. Di seberang sana ialah Pulau Indah.

Tiba di pulau, di hujung jambatan, pokok-pokok yang tidak terjaga tumbuh di kiri kanan, ibarat hutan kecil yang menggambarkan ia benar-benar seperti kawasan yang tidak dapat dimajukan oleh mana-mana pihak. Sepanjang pemanduan, wajah yang sama terlukis. Dipenuhi pokok-pokok meliar dan rumput tidak dipotong. Mungkin ada usaha dari pihak tertentu memajukan kawasan ini sebelum ini, tetapi tidak ada hasil yang menarik. Ada satu papan tanda besar bertulis “Halal Hub’ tetapi ia telah dimamah masa. Mungkin ada perancangan terhadap tanah yang terbiar. Mungkin juga menunggu saat untuk dimajukan. Begitulah komen-komen dan bualan kami sepanjang perjalanan.

Tetapi di penghujung perjalanan, banyak kilang didirikan dengan lori keluar masuk sesuka hati melanggar peraturan jalan membawa kontena dan barang-barang keperluan ke terminal dan pelabuhan. Lori memang raja di sini. Sesekali berpapasan mencuit debar kerana saiznya yang besar bila-bila masa boleh menerkam kami dalam kereta yang kelihatan kecil saja. Jalan dua lorong yang cukup besar tidak rata dan bertampal-tampal, mungkin pecah akibat tekanan berat lori yang sering melewati jalan. Saya sekadar memandu hingga ke pelabuhan, kemudian berpatah balik kerana ia laluan larangan. Saya kira, ia adalah pelabuhan, kerana di situ di tempatkan satu binaan seperti tol untuk polis dan kastam melakukan pemeriksaan terhadap lori dan kenderaan keluar masuk ke pelabuhan.

Berpatah balik, saya menyinggahi terminal Star Cruise yang letaknya kira-kira 5 km dari jalan besar. Malangnya laluan terhalang lagi. Papan tanda di larang masuk, sama ada sengaja di bina atau memang di larang masuk di letakkan menghala ke terminal. Ada kolej swasta yang cukup besar dibina di sini, lengkap dengan asrama di celah bangunan yang terbiar yang sepatutnya menjadi kawasan perindustrian. Dalam hati, saya melahirkan perasaan kasihan kepada pelajar kolej tersebut yang tinggal di kawasan seperti ‘tempat jin bertendang’, jauh dari sebarang kemudahan malah sukar untuk ke mana-mana kerana kemudahan pengangkutan awam yang tidak langsung kelihatan. Bagaimanakah agaknya kehidupan mereka di sana? Apakah kerana kolej mahu menjimatkan kos sewaan dengan mencari tempat yang ‘tidak laku’, maka kebajikan pelajar di korbankan? Hanya mereka yang lebih mengerti.

Sepanjang pemanduan ke terminal Star Cruise yang letaknya di penghujung perjalanan, kiri kanan hanyalah lot-lot rumah kedai yang terbiar tanpa ada usaha dibangunkan. Lot bangunannya cukup luas, dan sempat saya memandu melihat keluasan kawasan yang terbiar ini. Di seberangnya, ada kawasan perumahan yang mungkin di huni oleh para pekerja kilang dan pelabuhan. Rumah double storey juga flat kos sederhana yang kemas terjaga. Cuma satu dua kedai yang dibuka, yang menjual barangan keperluan penduduk. Ada juga tanda ‘kanak-kanak melintas’ petanda ada sekolah dibina, tetapi saya tidak pasti di mana lokasinya.

Di sebelah kanan, di seberang jambatan keretapi, kapal dagang besar, feri serta bot yang besar berhimpun dan berlabuh

Berpatah balik, kami singgah di bawah jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan pulau. Melihat orang memancing, menyaksikan pemandangan ringkas yang tidak begitu mengujakan. Ada dua jambatan dibina, satu bagi kenderaan biasa, dan satu lagi untuk laluan keretapi, yang saya pasti adalah komuter yang menghubungkan stesen terakhir yang dinamakan Pelabuhan Klang. Saya kira itulah nyawa yang menghubungkan Pulau Indah dengan dunia luar. Jika tidak, ia sekadar pulau mati. Hanya menjadi tempat orang datang mencari rezeki dan tidak lebih dari itu.

Suasana di bawah jambatan. Bot-bot kecil terdampar di sisi sungai tanpa perhatian.

Kami memerhati orang-orang yang memancing. Mereka memanjat tangga buatan sendiri yang terletak di hujung jambatan dan mencari tempat betul-betul di bawah jambatan. Tiang-tiang jambatan yang besar dan luas memberikan mereka tempat memancing yang selesa. Beberapa orang pula memancing di tebing. Di sebelah kiri, pandangan di batasi oleh hutan paya dan bot-bot kecil yang usang. Di sebelah kanan, kapal dagang besar, feri serta bot yang besar berhimpun dan berlabuh. Dua suasana berbeza pada petang yang tenang tanpa sinaran matahari yang memeritkan.

Memancing dan berkhayal – dua perkara sinonim. Diatas tiang-tiang yang besar, ada pemancing duduk melemparkan joran, memanjat dari tangga buatan di darat mencari lokasi sesuai memancing dan bersendirian.

Angin bertiup perlahan sahaja. Para pemancing sesekali menarik joran melihat umpan yang di makan. Ada juga hasilnya, biarpun melihat keadaan sungai yang saya kira seperti bukan lubuk ikan. Tambahan pula memancing di bawah jambatan, bunyi bising lori yang lalu lalang serta motor yang menjerit-jerit tidak memberi suasana yang tenang. Namun, ada juga yang berhasil memancing satu plastik ikan. Sesuai untuk santapan sebelah malam nanti.

Pakcik ini memancing dihadapan kami tanpa menghiraukan kami bertiga. Dia menggunakan umpan anak udang yang di jala di tempat yang sama bila sambil menunggu umpan disambar ikan. Dapat juga beberapa ekor sewaktu kami singgah di sini.

Lama juga kami duduk di sini. Melihat orang memancing, memerhati suasana petang dan memikirkan keindahan Pulau Indah. Indah pada nama, bukan pada tempatnya. Bagaimana cara memajukan atau menaik taraf pulau kecil ini, terpulanglah kepada yang bijaksana memikirkannya. Janganlah menjadi seperti Putrajaya yang lengang pada hari minggu tetapi sesak pada waktu kerja sahaja.

Kami pulang dengan kepuasan. Puas kerana melihat pulau yang ‘indah’. Puas juga kerana dapat berjalan dan melihat suasana baru. Moga-moga teman yang tertanya-tanya mengenai Pulau Indah, dapat menilai sendiri betapa indahnya pulau yang kecil ini.

6 ulasan:

rose berkata...

Assalamualaikum...sy x penah pegi lg ke Pulau Indah tp dr ape yg sy baca dlm blog saudari menggambarkan Pulau indah ni adalah Pulau mati..xade satu pun yg istimewa ke ttg Pulau ni...sy nk tahu sangat pasal pulau nii..harap saudari dapat beri maklumat lebih lanjut ttg pulau Indah utk sy...terima kasih..

linsayang berkata...

Heeemm...bagus betul blogger atau rencana yang ditulis ni tp rasanya Pulau Indah sekarang sudah semakin maju dan dapat dibangunkan mungkin kerana pengusaha atau pemaju baru nampak kelebihan pulau ini dan mulalah ramai manusia dan pemaju-pemaju yang mula menapak di kawasan Pulau Indah ini. Bukan nak kutuk bukan nak mengata tp artikel ini terlalu keterlaluan kutukannya...memang benar dulu orang tak nampak betapa indahnya pulau ini tp kalau anda mampir ke pulau ini sekarang anda akan dapat melihat kelainan di sini dan sudah banyak pemaju dan kontraktor-kontraktor yang telah membuat research dan berebut-rebut pulak yang berminat membina dan menjalankan pembangunan kawasan-kawasan perumahan...memang pulau ini tersepit antara dua pelabuhan tp research telah dibuat dan kedudukan geografinya memang ternyata mengujakan dan terlindung dari ancaman tsunami yang amat-amat ditakuti....dan ini memang telah dibuktikan kawasan pulau dan penduduk pulau ini terselamat dari ancaman tsunami semasa kejadian tsunami dulu....Hairan???Tp memang benar dan saya tak sangka semasa saya diarahkan bertukar di Pulau Indah saya rasa memang berat hati terasa macam nak mati tp setelah 2 tahun berlalu saya bertukar di Pulau Indah dan berkhidmat dengan salah sebuah anak syarikat Oil&Gas yang terkemuka dan dikenali ramai, saya rasa amat seronok sekali bila dapat bertukar di Pulau ini...sebab segala-galanya mudah, segar dan nyaman suasana yang memang tenang dapat saya rasakan dan saya tak perlu bimbang tentang trafik jam...tak perlu bimbang ngan abang-abang kontena...mereka semua baik jugak walaupun kadangkala ada yang tak berdisiplin juga tp mereka amat membantu bila ada orang yang terlibat dengan kemalangan jalanraya merekalah orang-orang yang rajin menolong...kalau tak percaya cubalah datang dan buat kajian kembali jangan kutuk habis rasalah kenikmatan dan kedamaian yang masih ada di sini......salam sayang dari -Linda-

Norziati Mohd Rosman berkata...

Linsayang, jangan marah. Itu mungkin persepsi luaran saya. Nanti saya datang lagi dan minta Linsayang belanja makan kan bakar di Tanjung 'gila'...hehe

Unknown berkata...

nanti bila suatu hari nanti manusia dah semakin ramai di bumi ini. penuh la orang kat pulau indah tu.. tah tah pulau yg bersebelahan dgn pulau indah pun dah ada org duduk.

Nuril berkata...

Salam,
Anak jati pulau indah yang terkejut baca persepsi anda tentang pulau indah.

Rasanya saudari hanya berada di luar tak telusuri ke dalamnya sekali.Itu yang digambarkan seperti pulau mati ya?

Tanpa Nama berkata...

Salam , saya rasa saudari tidak menyelusuri lagi perkampungan yang ada di pulau indah..dimana sebelum adanya jambatan yang menghubungkan pulau dan tanah besar..sudah ada penduduk yg telah meneroka dan menduduki pulau tersebut...dan dahulunya hanya bot yang menghubungkan mereka utk ke tanah besar.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...