Jumaat, September 26, 2008

Perjalanan mencari cahaya yang bukan mudah

Tidak semua dari kita dikurniakan kesempatan untuk mengecapi segala nikmat yang terhidang di muka bumi ini ketika hayat masih wujud. Ada yang merentasi waktu dengan amat payah. Tidak kurang pula merasakan dia seolah-olah di pinggirkan dari kehidupan. Malah, ada yang memilih untuk menggelapkan diri dalam kehidupan juga membiarkan dirinya ditentukan oleh masa yang tidak pasti.

Nikmat yang dikurniakan-Nya pelbagai. Ada orang lahir dengan segala kemewahan. Segala apa yang diminta boleh wujud dalam sekelip mata. Apa yang dinginkan hadir dengan mudah. Yang lain pula perlu berusaha, kadang kala bukan sekali tetapi berkali-kali sehingga terbit perasaan berputus asa.

Begitu juga hidup. Tidak semua orang dikurniakan kesempatan untuk menerima segala apa yang diwahyukan kepada Muhammad. Tidak semua orang berpeluang menerima hidayah dengan mudah. Tidak ramai yang hidup di tengah cahaya nan terang, di suluhkan perjalanannya di dunia dan melihat kehidupan dengan mata hati yang ikhlas.

Ada diantara kita benar-benar di uji. Ada yang lahir tanpa sekelumit suasana yang menggalakkannya untuk mengenali Islam dengan sempurna. Ibu bapanya begini, masyarakatnya begitu, sekolah pula entah macamana. Lalu, mereka jadi keliru. Tidak tahu mana Islam yang syumul, dan mana yang palsu. Mereka tidak pasti apa yang dicari, siapa yang harus di ikuti, apakah yang harus dilakukan. Akhirnya, tenggelamlah ia bersama keluarga dan masyarakat yang tidak begitu membantu mencorakkannya dengan sempurna.

Saya kesal kadang-kadang dengan orang yang serba sempurna ini. Mereka tutup mata dengan kejahilan sesetengah kawan dan jiran. Buat-buat tidak tahu dengan apa yang berlaku. Tidak berusaha mencegah atau menyedarkan. Seolah-olah syurga telah tertulis untuk dirinya, bukan untuk orang-orang yang di tengah kejahilan itu. Dia sahaja yang layak, orang lain tidak.

Saya sering menasihatkan diri untuk berada di tengah-tengah sebagai usaha menyedar dan menginsafi kejadian diri. Meletakkan kaki sebelah pada bahagian putih, dan sebelah pada bahagian hitam-kelabu. Maksudnya, saya berkawan dengan semua, kerana saya asalnya bukanlah dari golongan yang serba putih tetapi bukan pula hitam. Kemujuran hanyalah kerana saya ditengah keluarga dan masyarakat yang tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu sesat.

Dengan yang putih, saya bergaul dengan orang yang mengaku hebat dalam Jemaah, melaksanakan syariat dengan sempurna, cukup amal ibadahnya, tutur katanya adalah yang berunsur peringatan, sering menunjukkan hal kebaikan dan meluncurkan ingatan terhadap matlamat kehidupan.

Pada bahagian hitam-kelabu, suasana masyarakat sebenar terdedah dan jelas terpapar kehidupan yang serba merimaskan. Keluarga porak poranda, hidup kucar kacir, sekolah tak habis, kawan-kawan yang rosak akhlak, menjadi mat dan minah rempit kemudian jadi bohsia, bergaduh sesama adik beradik, terlibat dalam jenayah, tinggal serumah dengan yang bukan muhrim sehingga bersekedudukan melahirkan anak luar nikah, sumbang mahram dan pelbagai lagi perkara yang cukup membimbangkan.

Saya kadang kala rasa senang berkawan dengan kelompok hitam-kelabu. Kalau sesetengah orang [perempuan terutamanya], dalam mencari rumah sewa kriteria utamnya ialah menyelidik bakal teman serumah. Baik atau buruk, kawan atau lawan. Tetapi tidak bagi saya. Apalah sangat dengan itu, kerana mereka adalah sebahagian kehidupan yang penuh warna warni. Saya pernah serumah dengan macam-macam orang. Orang di hadapan baik tetapi di belakang bawa tunang masuk bilik, pergi kerja pakai tudung sebagai syarat, minah-minah kilang, kaki merokok dalam diam dan macam-macam lagi. Dalam banyak hal, adalah mereka yang bawa lelaki balik rumah waktu saya tiada dan akhirnya mereka terkantoi kerana saya suka menyinggah atau balik rumah mengejut ketika waktu kerja [biasanya insiden tertinggal barang].

Bila bersama dengan mereka, semakin saya sedar bahawa ramai yang mahu menjadi baik tetapi tidak tahu bagaimana mencari jalan pulang ke pangkal. Tiada siapa yang sudi menunjukkan jalan yang sepatutnya mereka lalui, sebaliknya dibiarkan mereka sesat tanpa ada usaha memberitahu atau mengingatkan. Lalu mereka terpinga-pinga, keliru kerana tidak tahu siapa yang harus di dekati. Bukan mudah sebenarnya mengaku diri sendiri jahil jika ia bukan atas dasar benar-benar mahu berubah. Mereka seperti ombak – datang ke pantai kemudian kembali ke laut. Ada masanya mereka mahu berubah, tetapi pada masa yang sama tidak mahu meninggalkan kehidupan yang telah mereka lalui. Ia boleh di betulkan dengan masa dan saya tahu jauh di sudut hati mereka, matlamat menjadi insan putih sebenarnya ada pada setiap diri insan hitam-kelabu ini.

Bukan mudah mencari orang yang boleh bersahabat dengan insan hitam-kelabu. Bukan mudah juga bagi insan hitam-kelabu ini berusaha mendekati orang putih yang selalu memandang jelik terhadap mereka. Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan jika mereka terus bergelumang dengan dosa dan ada yang berterusan mencari pahala untuk diri sendiri? Berapa ramai yang sanggup keluar berdakwah di jalanan, bergaul bersama kelompok yang sering merambu keluar malam santak ke pagi? Bukannya meminta mereka berubah sekelip mata, tetapi menunjukkan dan mengigatkan sudah memadai.

Ada juga sesetengah kes, golongan hitam-kelabu terasa insaf tiba-tiba, lalu apa yang harus mereka lakukan? Bertaubat? Tetapi bagaimana bertaubat? Apakah sekadar solat dan doa? Bagaimana jika mereka tidak tahu solat, tidak mengerti bacaan dalam solat, tidak tahu membaca Qur’an, lidah tidak pernah berzikir, bertahmid atau bertasbih? Siapa yang harus di rujuk? Apakah ia semudah pergi ke surau atau masjid dengan sekadar memakai jeans dan t-shirt lengan pendek yang akhirnya dihalau oleh pak guard dengan pandangan penuh sindiran? Apakah boleh mereka menyertai kelas fardu ain, kelas mengaji yang di hadiri oleh mak Datin-Puan Sri yang tidak senang kehadiran orang yang tidak sedarjat mereka? Inilah selalu berlaku.

Hidayah bukan mudah. Untuk berubah juga bukan mudah. Jika golongan putih terus meminggirkan golongan hitam-kelabu, maka masalah tidak akan selesai. Seorang mencari kebaikan, yang lain terperangkap dalam kesesatan. Kita bukannya mahu angkut kutu lepak terus ke masjid atau menyuruh minah rempit pakai tudung, tetapi segala-galanya melibatkan proses. Dan proses bukanlah mengambil masa yang sekejap.

Saya paling benci orang hiporit yang dihadapan memuji tetapi dibelakang mengeji. Mereka yang hitam-kelabu itu lebih ramai yang ikhlas dan setia biarpun mereka terjerat dengan kekeliruan hidup. Benar kata orang, mencari cahaya didalam terang amat sukar sekali berbanding melihat cahaya didalam gelap. Islam di negara kita dipisahkan oleh kekeliruan antara agama dan adat. Satu garis pemisah yang amat kelabu dan tidak jelas. Mana satu yang baik, mana yang benar. Maka kekeliruan itu semakin membesar dan bertebar.

Persoalannya kini, siapa yang sanggup berakwah di jalanan? Siapa yang nak berkawan dengan mat dan minah rempit? Siapa yang mahu melepak dan bergebang di kedai kopi hingga ke pagi? Siapa yang sudi menegur teruna dan dara yang berbual bertepuk tampar? Ada siapa yang berani memeriksa sama ada jirannya itu sudah kahwin atau belum? Ada siapa yakin untuk menebarkan dakwah dengan cara yang terbalik ini?

Ada siapa yang mahu jawab?

Marilah kita sama-sama duduk dalam realiti masyarakat sebenar. Janganlah di ketepikan mereka yang benar-benar memerlukan pecerahan. Syurga bukan untuk masuk seorang diri, tetapi beramai-ramai.


"Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap orang yang diberi tanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia sudah memeliharanya atau mensia-siakannya." (Riwayat Ibnu Hibban).


BBBangi

0431, Jumaat 26 Ramadan


.

2 ulasan:

ASaL berkata...

salam eidulfitri
kullu am wa antum bikhair

jalur hitam-kelabu - Allah akan mengampuni dengan janjiNya dengan taubat bersungguh-sungguh

jalur putih - jika rasa suci menguasai, siapa yang akan perasan riak & ego yang menyelinap masuk? Dan kala itu bukankah mereka akan mendekati kemurkaan?

Teruskan zati, hingga akhir, juang jangan lelah.

Maaf zahir batin :)

JAMALUDIN MD.ISA berkata...

Tidak apa-apa ulasan.


sekadar menjemput anda ke blog saya http:.//jamaludinmdisa.blogspot.com/

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...