Jumaat, September 05, 2008

Nota Ramadan 3

Berpuasa dengan iman berbeza dengan puasa tanpa iman. Puasa orang Islam berbeza dengan orang bukan Islam. Yang membezakannya ialah iman. Bila ada iman, diri lebih kuat, lebih yakin, lebih berwawasan, lebih bermatlamat dan lebih tenang. Iman menjadi paksi keyakinan kita terhadap kepercayaan. Ia menjadi pendinding diri dari melakukan perkara yang meleka dan melalaikan.


Ibadah puasa yang sedang kita laksanakan ini adalah satu pancaran iman dari dalam diri seseorang. Di saat semua syaitan, iblis dan sahabat mereka dirantai dan di kurung, kita hanya perlu melawan diri sendiri, melawan nafsu yang berkampung dalam diri. Kekuatan kita adalah diri sendiri. Puasa, kalau di Malaysia, lebih kurang 12 jam tanpa makan, minum dan juga perkara-perkara yang masuk dalam senarai yang boleh membatalkannya. Iman sahajalah yang membentengi diri dari sebarang keinginan untuk makan dan minum. Iman sahajalah mendindingi diri dari mengucapkan kata-kata yang tidak enak, sekaligus menyuruh kita menjaga perlakuan juga lidah.


Analogi mudah untuk ini ialah –mengapa tidak kita minum atau makan secara senyap, ditempat tersorok, terlindung dari pandangan manusia? Tiada siapa yang tahu, tiada orang yang nampak, tiada manusia yang sedar melainkan kita sendiri yang memberitahu mereka. Tetapi mengapa kita sanggup berlapar dan menahan haus sehingga petang? Ya, kerana kita ada iman. Kita tidak tergamak membohongi sesiapa, kita tidak tergamak makan atau minum biarpun secara sembunyi. Dan yang paling penting, kita percaya Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar. Atas kepercayan inilah, puasa kita laksanakan dengan sepenuhnya dan iman menjadi sumber kekuatan untuk mengerjakan rukun yang penting ini.



Bandar Baru Bangi

5 September 2008



.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...