Tadarus diadakan selepas tarawikh selama satu jam atau sehingga jam sebelas. Sesiapa yang berminat, sangat-sangat dialukan. Saya bersandar pada tiang yang besar yang turut menempati penghawa dingin bersaiz besar sambil membelek beg yang berisi telekung, air mineral dan Qur’an. Handphone ditinggalkan sahaja di kereta. Tak kuasa membawa dunia bersama-sama ke masjid. Cukuplah melayan pada waktu yang lain.
Moreh berupa semangkuk bubur dihidangkan di ruang legar bersebelahan dewan solat dan banyak belum terusik. Yang tinggal bertadarus hanya beberapa orang sahaja. Entah ke mana agaknya makanan ini akan di hantar kemudian nanti. Di buang atau di sedekahkan?
Saya mendengar mereka mengaji sambil bersandar - bukan oleh kepenatan berterawikh atau kekenyangan - tetapi memudahkan saya menuliskan catatan ini. Tidak berhajat pula menyertai mereka kerana dalam kepala terawang-awang pelbagai perkara yang harus saya catatkan segera. Hmm..mengejar dunia nampaknya.
Mendengarkan mereka merangka-rangkak mengaji di usia tua, saya merasa amat insaf. Insaf pada diri sebagai tanda ingatan untuk segera mengejar ilmu sebagai bekalan disana, juga insaf kerana mereka masih punya kecekalan belajar dan tidak mahu ketinggalan biarpun telah berada di penghujung usia. Hilang segala perasaan malu demi mencari ilmu. Ah, betapa kita ini sentiasa dalam kerugian.
Pergunakanlah masa mudamu wahai teman-teman dengan segala perkara kebajikan dan kebaikan. Ssungguhnya masa itu amat singkat bagi kita. Entah bila dipanggil pergi, entah sampai atau tidak pada Ramadan akan datang. Malah esok bernafas atau tidak hanya Allah yang jua mengerti.
Masjid Putra
8 September 2008
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan