Rabu, September 10, 2008

Nota Ramadan 7

Alhamdulillah, Ramadan ini saya menemui apa yang hilang sejak beberapa tahun yang lalu. Yang hilang sejak meninggalkan Taman Ilmu dan Budi. Yang hilang ketika Ramadan menjelma. Sejak sebelum Ramadan kali ini lagi saya sudah memasang azam untuk mencari kembali Ramadan, dan usaha ini tidak langsung saya ceritakan kepada sesiapa. Biarlah saya cari dan usaha sendiri.


Biasanya apa yang diniatkan, jika diusahakan pasti temui hasilnya. Apa yang dicari, cukup mudah dan terhidang dengan amat indah. Lalu saya memanjangkan langkah ke Masjid Putra, Putrajaya. Dari mana saya dapat jawapan, hanya Tuhan yang tahu. Disinilah, segala-gala yang hilang terhidang dengan cukup lazat dihadapan mata. Menatap kubah Masjid Putra, saya rasakan ketenangan. Berbuka bersama-sama dengan mereka yang tidak di kenali kemudian berjemaah Maghrib, Isyak dan terawikh, diselang selikan dengan membaca Qur’an, ah sungguh mengujakan. Makanan yang di hidang tidak semewah mana, tetapi sebanarnya cukup-cukup untuk mengalas perut selepas berpuasa di siang hari. Dan oleh kerana makana yang cukup-cukup ini, solat menjadi mudah. Tidak terasa mengantuk, badan lebih ringan dan tidak pula rasa (asyik) mahu ke bilik air sekaligus boleh menganggu solat.


Jemaah pula tidak ramai, penghawa dingin pada tahap yang nyaman cukup-cukup menyenangkan. Bacaan imam cukup jelas, mungkin oleh sound system yang canggih. Paling penting, jemaah perempuan tidak perlu bersusah payah memanjat tangga untuk berada di bahagian atas. Di sini, jemaah wanita berasa selantai jemaah lelaki dan di pisahkan oleh penghadang pada bahagian tengah tetapi tidak pada bahagian depan. Lalu, kami merasa amat dekat dengan imam dan terasa dihargai. Suasanan ini jarang terdapat pada masjid lain yang seolah menyusahkan jemaah wanita. Anak-anak dikawal oleh mak guard yang garang dan pak guard yang meronda dengan rotan sedepa supaya tidak mengganggu. Saya boleh membaca Qur’an sebanyak-banyaknya. Malah sempat juga mencerna idea dan membuat catatan untuk karya seterusnya. Terasa sungguh ini Ramadan yang indah. Dan pada saat saya terhalang untuk melaksanakan rutin yang sama buat beberapa hari, terasa airmata mahu mengalir seolah merasa tidak berkesempatan lagi berada di sini. Sungguh, saya dapat kembali Ramadan yang telah hilang beberapa tahun yang lalu.


Maaf, ini entri bukan untuk menunjuk-nunjuk kebaikan diri. Inilah apa yang saya rasakan. Tak percaya, datanglah ke Masjid Putra. Dan saya amat terasa akan kehadiran Ramadan kali ini.


Bandar Baru Bangi

7 September 2008


.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...