Khamis, Januari 15, 2009

Rehat

Blog ini berusia 3 tahun tanggal 1 Muharram 1430 Hijrah. Ya sudah tiga tahun sejak saya melahirkannya. Sejak tiga tahun itu, banyak yang berlaku. Begitu juga perubahan terhadap diri, terhadap hasil blog, pengkaryaan, cara penyampaian, penghasilan entri dan semangat yang berkobar untuk membuka blog setiap pagi dan memasukkan entri terbaru.

Namun akhir-akhir ini saya terpaksa mengakui yang keghairahan terhadap blog semakin pudar, semanagtnya kian hilang dan debarannya tidak lagi terasa. Untuk menulis entri yang baru, terasa seperti tiada semangat, ideanya hilang melayang-layang, tangan mahu menaip terasa amat lambat dan fikiran semakin berkocak dengan pelbagai agenda dunia yang tidak pernah selesai. Beban di bahu terasa semakin berat, tanggungjawab yang di pikul semakin bertambah. Kerjaya memerlukan penumpuan yang lebih hinggakan sesekali dunia menjadi perkara yang ditumpukan teramat sangat. Apa yang berlaku di Palestin tidak dapat saya ambil peduli, krisis ekonomi yang sibuk dikatakan tidak dapat saya teliti, membuka blog yang biasa di baca tidak lagi menjadi kebiasaan, e-mel tidak dapat di balas pada waktunya, membaca berita pun sudah terpinggir dari agenda harian kecuali dapat curi-curi dengar dan baca.

Saya teringat zaman awal berblog yang penuh keghairahan, setiap pagi agenda pertama ialah mengembara dari satu blog ke satu blog, membaca dan meneliti, menjadikan tulisan mereka sebagai panduan, memerhati hidup mereka yang macam-macam. Sanggup bersengkang mata menjelajah dunia siber hingga menemukan kepada teman siber yang tidak pernah di temui tetapi sekadar berutus e-mel, berbincang akan perlbagai perkara, setiap hari bersemangat mencanai idea menaip entri baru untuk dikongsikan dengan semua. Terasa yang hidup amat bermakna bila ada yang membuat ulasan dan meninggalkan pandangan, terasa ada yang memerhati insan yang baru merangkak dalam dunia blog.

Tetapi itu dahulu. Dan adakah saya terlalu banyak mengeluh?

Saya harus berehat seketika dari berblog, menghilangkan diri sejenak dari khalayak siber. Mungkin belakang tabir sahaja memadai dari sibuk di tengah gelanggang sabung. Saya harus kembali pada diri sendiri, sebelum memulakan sesuatu yang lebih baik. Tambahan pula tahun 2009 ini saya sudah menetapkan yang ia adalah tahun untuk melengkapi segala-galanya - dari segi hidup, kerjaya dan karya. Saya harus lebih melihat kepada diri. Nampak seperti pentingkan diri sendiri pula, tetapi itulah hakikatnya.

Dan seperkara yang penting, doa ini amat menyedarkan bahawa saya perlu lebih fokus. Doa inilah yang kemudiannya saya tampal di sudut kiri monitor untuk di baca saban waktu sebagai peringatan kepada diri.

Saya akan kembali apabila sudah pulih dengan urusan dunia. Saya akan sentiasa memerhati blog ini, bukan sebagai pemilik tetapi sebagai pengunjung.

Salam Maal Hijrah 1430H dan selamat tahun baru Masihi 2009.


.

Khamis, Januari 08, 2009

Subhanallah

Tiada kata-kata yang dapat di ucapkan tatkala melihat gambar-gambar yang di paparkan. Saya membayangkan diri sendiri berada dikalangan yang berhimpun.

Subhanallah.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...