Khamis, Julai 31, 2008

Syukur

Kita tidak menyedari yang kita ini telah selalu banyak di beri. Dan kita masih lagi meminta-mnta tanpa sekelumit rasa berterima kasih.

Meneliti usia lalu dan usia sisa, apakah masih ada ruang untuk kita melakukannya?


.

Rabu, Julai 30, 2008

Cetakan kedua

Khabar gembira dari editor, buku sulung saya memasuki cetakan keduanya hari ini.

Alhamdulillah. Sejak di pasarkan Februari yang lalu, nampaknya cepat juga jualan buku ini. Khabar gembira ini menceriakan diri saya yang sejak beberapa hari yang lalu diserang resah gelisah.



Ahad, Julai 27, 2008

Meminjam buku

Saya meminjam tiga buah buku dari Perpustakaan KL. Sejak menjejakkan kaki ke tempat ini hampir dua tahun yang lalu serta mendaftar menjadi ahli, saya langsung melupakannya. Jika tidak kerana ajakan Ida, memang saya tidak akan datang ke sini lagi. Alasan saya ialah 'tidak mahu masuk KL yang jam' (hari Ahad, mana ada jam!)

Kami memperbaharui keahlian yang sudah tamat. Dan saya rasa inilah kali pertama sejak bertahun-tahun meninggalkan alma mater, saya menjejaki perpustakaan. Oh, tidak rasanya. Pernah juga pergi ke Perpustakaan Bangi tetapi amat mengecewakan kerana ia buka ketika waktu pejabat sahaja. Susahlah untuk pergi ketika kita sedang kerja. Satu jadual yang pelik, bagai tidak membenarkan kita membaca pula.

Melihat buku yang tersusun rapi, dengan suasana dan susun atur perabot yang kemas, nampak begitu tenang sekali keadaannya. Saya mendaki ke semua ruang, melihat apa-apa yang boleh dicari di kemudian hari. Sekejap sahaja saya merasakan yang diri boleh menyenangi tempat ini. Dalam masa yang sama saya cuba membandingkan dengan alma mater, tetapi tidak mungkin memandangkan ruang lantai dan jumlah buku di alma mater lebih banyak. Sudah tentu universiti mempunyai jumlah yang banyak bagi menampung kehadiran ribuan penghuninya. Namun, apalah sangat dengan hal remeh temeh ini.

Saya meminjam tiga buah buku. Kemudian terlintas sesuatu perkara. Selama ini saya hanya fikir dengan membeli sahaja saya boleh membaca. Saya lupa yang dengan menjadi ahli perpustakan dan meminjam, saya boleh juga membaca. Mungkin kerana terlalu memberatkan faktor memiliki, lalu saya fikir wang menjadi kuasa untuk saya menguasai buku. Silap. Kemudahan perpustakaan membolehkan saya membawa keluar buku yang saya inginkan. Dan banyak juga buku yang menarik.

Jadi saya perlu lakukan perubahan. Meminjam juga merupakan satu usaha bagi memudahkan saya meluaskan pembacaan. Ini perkara yang saya lupa. Nantilah, selepas ini saya akan selalu ke mari meminjam dan meminjam.

.

Jumaat, Julai 25, 2008

Teladan

Sudah lama saya tidak mengemaskini blog saya yang lagi satu ini. Usahkan kemaskini, buka pun tidak. Sama seperti dengan dua blog yang lain. Kali terakhir tarikh yang tertera ialah Disember 2006. Lama. Masuk Disember ini, hampir dua tahun.

Pada permulaan entri, saya tuliskan satu entri khusus seperti berikut:
Salam untuk semua.

Blog ini saya buat khusus untuk mereka yang gemar membaca cerita-cerita pendek (atau kadangkala menjadi panjang) tentang kisah para Nabi, sahabat, alim ulama, abid dan sebagainya sebagai renungan dan teladan buat kita semua.

Kisah yang saya paparkan disini saya ambil dari pelbagai sumber. Ada yang saya ambil dari laman web yang telah saya SAHKAN kebenarannya melalui sumber yang BOLEH dipercayai. Ada yang saya ambil daripada bacaan - sama ada melalui buku, suratkhabar mahupun artikel yang telah lama saya simpan sebagai khazanah yang berkotak-kotak dirumah sewa dan dikampung.

Perlu diingatkan bahawa saya cuba sedaya upaya memastikan setiap kisah yang tersiar adalah benar dan sahih, atau dengan kata lain bukan sekadar cerita yang disampaikan, tetapi ia berdasarkan kepada sumber yang diakui kebenarannya.

Saya amat mengalu-alukan sebarang komen mahupun kritikan bagi menjadikan blog ini lebih menarik. Jika ada cerita yang didapati tidak benar, segeralah beritahu saya agar segera juga saya edit atau delete, atau apa-apa juga tindakan yang perlu.

Saya boleh dihubungi di norziati@gmail.com atau SMS di 019-6357148.

Sekian, dan semoga blog ini memberikan teladan untuk semua.

Mewujudkan blog ini bukan mudah. Saya mengambil masa yang lama mencari, membaca, menyunting dengan bahasa yang mudah, membuat rujuk silang dengan mencari bahan-bahan yang berkaitan kerana dikhuatiri sumbernya tidak sah. Saya memang amat berhat-hati akan hal ini. Berhati-hati. Terlalu berhati-hati. Apa yang ada difikiran saya ialah 'persoalan orang lain tentang status saya untuk menghidangkan cerita seperti ini'. (Ingat ya, orang kita amat berkira dengan status kau-siapa- aku-siapa)

Blog Teladan in asalnya saya bina dengan dua tujuan. Pertama ialah untuk diri sendiri, supaya mudah membaca tanpa perlu mencari buku. Dan tujuan kedualah yang menyemarakkan lagi SUATU hasrat. Dan apabila hasrat itu saya lengah-lengahkan, maka blog ini terbiar. Tidak terjaga. Segala komen tidak berbalas, tidak bertukar wajahnya dan settingnya tetap begitu.

Sejak sebulan yang lalu, saya banyak menerima e-mel bertanyakan mengenai laman blog ini. Hairan juga. Tetapi bila difikirkan mengapa, mungkin kerana kita menghampiri Ramadhan. Mungkin. Dari e-mel yang saya terima, ada yang meminta izin mencetak bahan cerita, ada yang menyatakan gembira dengan wujudnya laman yang menghimpunkan cerita teladan. Tetapi ramai yang menegur frasa akhir yang saya letakkan di akhir setiap cerita. Ramai yang tidak setuju. Ramai yang memberikan rasional dan menegur dengan alasan yang amat saya senangi. Kebanyakan darinya meminta saya untuk membuang frasa tersebut, yang menimbulkan perasaan kurang senang.

Saya tahu frasa tersebut tidak begitu disenangi. Apa yang boleh saya lakukan disini, saya perlu bertanya dan merujuk kepada yang pakar. Bukanlah niat saya untuk menjadikan entri tersebut milik mutlak saya. Masih boleh berkongsi, masih boleh di baca, masih boleh diambil, dicetak dan disebarkan. Saya tahu ini adalah antara usaha yang Allah kurniakan kepada saya untuk berkongsi ilmu, menyebarkan ilmunya di muka bumi dan menegakkan agama-Nya. Inilah juga doa saya kepada-Nya, dan saya harap saya tidak tersasar dari matlamat nan satu ini. Frasa tersebut memang nampak menganggu, tetapi bukan itu niat saya sebenarnya. Saya berharap agar tidaklah menjadi masalah kepada semua untuk mengambil apa-apa sahaja dari dalam blog ini tanpa sebarang perasaan prejudis atau prasangka. Saya izinkan sepenuh hati.

Semoga semua memaklumi niat saya.

(Apabila saya lihat kembali blog ini, saya perlu betulkan kembali niat dihati. Janganlah kerana terpaksa, janganlah dengan niat yang salah. Saya akan hidupkan kembali dengan entri yang terbaharu)







Selasa, Julai 22, 2008

Berubah? Berubahlah

(1)Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (7) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Berubah adalah satu perkataan yang susah di terima orang. Berubah sikap, berubah pemikiran. Ada yang boleh menerima dan membuka hati terhadap segala nasihat dan kata-kata. Ada pula yang keras dan tidak mahu mengalah atau tunduk kepada keadaan. Mereka mahu keadaan tunduk pada diri mereka.

Berubah ibarat membuka hati menerima hidayah, menerima ilmu, membawa pencerahan. Membuka ruang-ruang pilihan dalam hati, memberikan masa untuk diri menimbang dengan wajar, dan sesekali membenarkan apa yang dikata orang. Memang berat untuk menerima dan menelan bulat-bulat apa yang orang kata. Tetapi tiada ruginya jika kita sekali sekala mengikut arus. Orang-tak-kata-kalau-kita-tak-buat. Jadi, bila di tegur, janganlah mudah melenting. Lihat dahulu, fikirkan kewajaran dan timbangkan kebenaran. Tidak salah mencuba untuk berubah. Tiada harga mahal yang perlu di bayar andai itu untuk kebaikan diri.

Faisal Tehrani ada berkata (saya tak ingat ayat yg sebenar)... "Hidayah itu ibarat cahaya yang tidak masuk ke dalam kamar yang tidak di buka tingkapnya." Sama seperti hijrah atau berubah. Jika seseorang itu tidak sudi membiarkan hidayah masuk ke dalam hatinya atau memberikan peluang untuk dirinya berubah, maka susah juga ya untuk berhijrah dan berubah. Banyak kes, kebanyakannya memandang sinis sahaja jika kita ajak ke jalan kebaikan. Ada menolak mentah-mentah, ada tegar dengan sikapnya yang keras. Banyak alasan di beri, walhal ia bukanlah perkara yang susah. Bayangkan kalau orang dah tak suka dengan sikap kita, mengapa harus kita menentangnya? Fikirkan dahulu sebelum melenting.

Entahlah. Saya sudah banyak kali bercakap tentang berubah, hijrah, hidayah. Mungkin saya belum sampai tahap untuk menjadikan semua magik - sentuh, sebut maka semua jadi. tetapi saya tidak minta semua berubah jadi baik. Ada sebab mengapa Allah cipta syurga dan neraka, dosa dan pahala. Tetapi kalau berubah untuk kebaikan tiada salahnya ya?

Maaf, jangan salah sangka. Saya bukan memaksa semua orang menjadi baik. Tidak. Saya mahu mereka fikrikan tentang hijrah, tentang berubah. Mereka ada hak memegang kepada apa yang mereka katakan, kepada apa yang mereka fikirkan. Itu pilihan mereka. Tambahan pula ia tidak boleh dipaksa-paksa. Ia datang sendiri. Tetapi (saya ulangi) kalau tak buka tingkap, mana mungkin cahaya boleh menerobos masuk ke ruang gelap?

Dalam perjalanan kita mencari jalan merentasi kehidupan menuju hidup yang abadi, ada kalanya kita perlu membuat keputusan yang drastik dalam hidup. Pilihan-pilihan seperti ini - berubah dan berhijrah - adalah salah satu daripadanya. Sekali lagi saya katakan, bukan saya mahu sesuatu itu berubah. Tetapi jika berubah kearah kebaikan, tiada salahnya. Dan tiada apa yang perlu dibayar untuk itu.

Bukalah hati, kawan. Bukalah hati. Life is about choice. And the choice is yours.

Isnin, Julai 21, 2008

Proses penulisan yang amat payah

Sejak menapak dalam bidang penulisan mahupun karang-mengarang, ada beberapa perkara yang tidak pernah saya fikirkan akan terjadi. Mungkin perkara yang sama berlaku juga kepada orang lain.

Perkara wahid ialah bagaimana menyiapkan sesuatu karya dalam waktu yang telah di tetapkan. Ini bukan soal idea, bukan tentang pengisian. Semuanya sudah ada, siap tersusun, sumber yang cukup, maklumat yang banyak. Tetapi, mengapa ya, saya sendiri tidak mampu menyiapkan semua itu?

Bayangkan ini. Idea datang mencurah-curah, tetapi semangat lari-lari. Sekejap ada, sekejap hilang. Macam biskut. Bila semangat menggunung, idea pula entah kemana. Bila dua-dua ada - semangat yang membuak-buak untuk menulis di ikuti dengan idea yang melimpah ruah, masa pula tiada. Oh, dugaan sungguh.

Hal ini di akui oleh beberapa kenalan. Ya, menulis tidak semudah mengambil pen dan tulis, atau duduk di hadapan monitor dan menekan keyboard. Menulis harus datang dengan hati, dengan yakin, dengan akal. Juga dengan iman. Jadi, dugaan besarnya ialah iman juga. Menjadikan empat perkara ini selari dan sejadi, kadangkala payah. Tambah-tambahan pula jika melakukan perkara yang wajib sahaja, meninggalkan yang sunat. Maka idea yang sepatutnya turun tatkala menekan keyboard terasa bagai di tahan-tahan. Ini bukan rekaan. Memang betul.

Apatah lagi bila berada dalam satu keadaan dimana nak menulis pun malas, apatah lagi membaca. Maka terpusing-pusinglah mencari semangat, mencari idea. Bertungkus lumus memeram maklumat, membetulkan fakta, tetapi hasilnya tiada. Saat ini, yang perlu di betulkan ialah antara diri sendiri dengan tuhan, dengan Maha Pencipta. Ilham, idea, semangat itu semua datang darinya. Jika tidak dia yang mengizinkan, mana mungkin sesuatu penulisan itu boleh terhasil.

Hanya dengan hati, keyakinan, akal dan iman, ditambah-tambah dengan idea, semangat dan masa, maka sesuatu penulisan itu terhasil dengan baiknya. Secara teorinya begitulah. Tetapi praktikalnya, Tuhan sahaja yang tahu bagaimana mahu menyiapkan sesuatu naskhah.

Cikgu memberi tugasan supaya kami menyiapkan sekurang-kurangnya senaskhah novel. Sudah enam bulan berlalu. Awalnya saya begitu bersemangat, dan amat teruja. Hari-hari mencari bahan, menulis, membaca, menyunting. Kemudian menjadi perlahan, perlahan, dan perlahan. Momentum semakin kurang. Sasaran sudah lari dari landasan. Matlamat sudah tersasar. Sekarang ini, nak menyentuh manuskrip pun rasa malas. Apatah lagi mahu menyunting bahagian yang perlu. Semangat bagai di tarik-tarik.

Saya amat terkesan dengan perkara ini. Memang benarlah, menulis itu bukan mudah, bukan seperti yang saya rasakan sebelum menjejakkan kaki ke bidang ini. Mencari semangat, masa dan idea, mengumpulkan semua supaya dapat terhimpun pada satu masa yang sama. Ada yang mengatakan, menulis itu perlu banyak bertafakur. Pada saya, perlu kurangkan dosa, banyakkan amalan sunat. Atau sebelum menulis, tunaikan solat sunat dan berdoa supaya di permudahkan usaha.

Apakah ini kerana kita mahu hasil tulisan itu meninggalkan kesan yang mendalam, menjadi best seller atau menjadi rujukan ilmiah yang tersohor. Apakah kerana niat yang tidak betul pada awalnya mengundang dugaan yang macam-macam ditengah perjalanan? Hmm...tepuk dada, tanya iman. Tetapi, apakah salah niat seperti ini? Sudah pasti kita menulis dengan harapan ia laku di pasaran, para pembaca terkesan dengan watak atau sering dibincangkan di mana-mana forum ilmiah. Bukankah itu sebenarnya yang diinginkan oleh penulis?

Saya terkenangkan para penulis sepenuh masa, seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron (sekadar mengambil beberapa nama). Bagaimana agaknya dugaan mereka ya?

Ahad, Julai 20, 2008

Serabut

Ada banyak benda dalam kepala. Macam-macam perkara terawang-awang. Rasa banyak nak di tulis, nak di cakap, nak di luah, nak di lukis, nak di baca, nak di ulas, nak di buang.

Tapi.

Ah, rasa mengantuk pula.


zzzzzzzzzzzzzzzzzzz.....

Jangan Mengalah!

Kita hanya memiliki, tidak pandai mendominasi

Ini serpihan ayat dari satu SMS yang panjang. Saya meneliti berkali-kali, hingga merasa ada kebenarannya. Kita hanya memiliki, tidak pandai mendominasi, hatta memanipulasi. Apa yang kita ada, selalu tanpa fikir kita serahkan kepada orang lain, kepada pihak lain. Harta, tanah, maruah, impian, cita-cita, petroleum……Serah tanpa sedar tetapi selalunya dengan sengaja.

Apa yang tinggal dengan kita jika semuanya kita biarkan? Orang Islam punya sumber petrol yang banyak, tetapi tidak pandai memanipulasi dan mendominasi untuk menolong teman seIslamnya yang lain. Ada yang sengsara dan kebuluran di tanah Afrika, tetapi mereka lebih senang bermegah dengan binaan tertinggi, termahal, boleh berpusing berputar. Apa agaknya yang ada di fikiran mereka tatkala teman seagama yang kelaparan mengemis kepada yang lain, yang memberi simpati berniat. Berapa ramai sukarelawan asing di bumi Afrika yang pergi bukan sekadar menyuapkan makanan, tetapi menyuntik doktrin dan pemikiran mereka sendiri. Fikirkanlah, selepas perut mereka kenyang, kemana mereka akan pergi sesudah itu?

Rabu, Julai 16, 2008

Selepas ini

Saya tidak mahu mengeluh lagi. Apatah lagi memandang kebelakang. Jadi sekarang ini, saya harus:
  1. Membaca The Secret hingga tamat
  2. Menilai diri melalui Do What You Are
  3. Mengkaji Selling for Dummies dan The Greatest Salesman in the World untuk projek seterusnya
  4. Menyiapkan kertas kerja untuk projek keusahawanan.

Dalam masa yang sama, saya juga membaca Why We Want You To Be Rich dan Tulang-Tulang Berserakan, mengulang baca novel Imam serta cuba menyentuh The Magic of Thinking Big. Malangnya, Hikayat Amir Hamzah tidak terusik, manakala dua manuskrip novel yang empat puluh peratus siap menanti tarikh akhir.

Jadi petua yang saya amalkan ialah jangan bertangguh. Salah satu usaha ialah saya mengelak dari berada di rumah kerana selalu tertewas. Oleh itu, selepas Maghrib saya akan duduk di stesen Shell (Projet) untuk membaca, menulis dan menyunting di wakaf yang banyak membantu saya menyiapkan kerja yang tertangguh hampir dua bulan.

Segala-galanya perlu saya selesaikan dalam masa satu bulan atau paling lewat sebelum Ramadhan. Tidak mustahil kali ini.


Selasa, Julai 15, 2008

Buku, buku dan buku

Dua Ahad yang mengujakan. Dua Ahad yang terisi dengan perkara yang bermanfaat.

Ahad pertama 6 Julai. Selepas berjogging, mencuci kereta, membasuh baju dan mengemas, saya menepati janji menemani seorang teman ke Hospital Ampang Puteri. Dia menelefon termengah-mengah kerana asma dan katanya mahu mendapatkan rawatan di sana. Sementara menanti ketibaannya, saya ke Ampang Point – tempat yang tidak pernah saya jejaki biarpun ia adalah laluan utama saban waktu.

Saya tidak pasti arah ke mana berpusing-pusing di antara kedai yang padat. Kaki yang sakit (kerana jarang-jarang berjogging) tidak saya endahkan. Pasaraya masih lengang biarpun waktu menghampiri tengahari. Saya tahu ada Popular, tetapi teragak-agak untuk ke sana. Namun mata tertancap kepada Pay Less Books. Hati bagaikan di tarik-tarik. Ditarik-tarik. Di tarik-tarik. Ada magnetkah disana?

Ada poster promosi jualan dan potongan 50%. Saya tidak endahkan. Tetapi saya tidak lepaskan peluang membelek buku yang tersusun rapi di rak. Hajat mahu melihat-lihat sahaja. Melihat sahaja? Matlamat saya ialah Pesta Buku Selangor hujung bulan ini. Saya harus membuat lebih simpanan. Kalau dibelanjakan hari ini, nanti kurang pula bajet untuk pesta buku.

Hati berkata-kata. Kepala mengira-ngira. Mata melihat, memandang. Tangan memegang, membelek. Ambil, letak. Maju kedepan, patah balik. Hati memujuk, tak mengapalah, satu pun boleh. Selling for Dummies oleh Tom Hopkins dibelakangnya bercop harga RM 25.90. Ketika membayar ia menjadi RM 12.95. Betulkah 50% semuanya? Jurujual mengiyakan. Mata menjadi bersinar. Tetapi, tidak!

Saya turun ke tingkat bawah mencari teman yang baharu tiba, lalu membawanya ke Pay Less Books. Dia juga gila buku. Katanya hari ini hari terakhir jualan ‘murah’ oleh Pay Less Books. Dia sudah pergi ke gudangnya di Puchong, tetapi tidaklah sehebat disini. Saya membelek lagi dan menemui dua lagi buku hebat. Do What You Are oleh Paul D. Tieger berharga RM 11.45 dan The Greatest Salesman in the World oleh Og Mandino berharga RM 5.45. Kedua-duanya harga selepas potongan. Cukuplah, saya tidak sentuh lagi buku-buku lain yang teratur pada rak. Nanti ada lagi yang dibeli.

Selepas ke hospital, kami berbual singkat akibat ruang waktu yang pendek. Tentang buku, politik, kerja, masa lapang. Semua di sentuh sepintas lalu. Sempat kami berbincang tentang satu modul latihan yang perlu saya siapkan. Dia melakarkan idea ada kertas, sekaligus meredakan bebanan pada fikiran untuk menyiapkan kertas kerja yang sudah tertangguh seminggu. (Ini juga satu peluang, tetapi saya sering terganggu memikirkannya).

Dapat berbiacara tentang buku dengannya, cukup melegakan biarpun sedikit. Ada teman yang boleh di bawa berbual tentang hobi yang sama, lalu membuka fikiran tentang bberapa perkara dan idea yang selama ini terawang-awang di kepala.

Ahad kedua ialah pada 13 Julai yang lalu. Saya ke Seremban dalam perjalanan pulang Ke Bangi dari kampung. Teman saya ini, yang sangat saya hormati merupakan junior di alma mater yang cukup matang. Membentuk peribadi saya , sering menasihati serta menyarankan perkara yang positif untuk saya lakukan. Dia baru tiga minggu kehilangan bayi sulung berusia tujuh bulan kerana pre-eclampsia. Satu penyakit terpencil di dunia dan kes seumpamanya di Malaysia dilaporkan cuma 2%.

Saya menghadiahkan buku sulung – kredit kepadanya kerana dia banyak menyumbang idea dan penyunting pertama sebelum manuskrip dihantar kepada editor - sambil mendengar cerita tentang kehilangan tersebut. Rasa serba salah ada juga, tetapi saya tahu dia seorang yang kuat dan positif. Nyata benar. Malah perbualan tempohari adalah berkisar tentang buku kemudian politik, kembali kepada buku kemudian kerja. Buku lagi dan buku sehingga hampir empat jam. Dari Asar membawa ke Maghrib, hingga saya rasa malu kerana bersembang terlalu lama.

Perbualan kami disertai oleh ibunya yang sangat saya hormati. Saya membawa bersama seorang kawan, yang kemudiannya cukup teruja mendengar topik perbualan kami. Sudah lama saya ingin berbual dengan ibu, yang saya ketahui dari anaknya itu cukup banyak membaca, berfikiran terbuka dan seorang yang berilmu. Maka petang itu menjadi satu perbualan ilmiah.

Tiga buah buku yang saya beli dari Pay Less Books adalah buku hasil saranan teman saya ini. Malah dia menyarankan saya membaca Do What You Are supaya saya boleh ‘discover the perfect career for you through the secrets of personality type’. Sebelum itu dia meminjamkan saya buku ini dan saya pulangkan kembali kepadanya bila berjaya membelinya. Memang ia sebuah buku yang bagus untuk mengenali pekerjaan yang sesuai dengan diri. Saya akan ulas buku ini nanti.

Teman saya dan ibunya sehati sejiwa dalam hal-hal buku. Si ibu membaca dan mempraktikkan kepada anak-anaknya. Anaknya pula menyampaikan kepada teman-teman. Ia menjadi satu aliran ilmu yang berpanjangan. Teori yang di baca dan di amalkan. Maka dapat dilihat kesan kepada indvidu yang terbabit. Lebih terbuka, rasional dan menjadi sumber maklumat.

Kami menyentuh pelbagai ruang ilmu. Ekonomi, agama, motivasi, psikologi juga politik. Teman saya inilah juga yang menyarankan saya membeli The Secret. Banyak rahsia di dalamnya. Dan paling menarik, kata ibu, “Ibu sudah lima kali baca buku ini. Ibu baca kerana nak tahumengapa buku ini sangat laku.” Malu sungguh saya rasa, kerana sejak di beli pada 8 September 2007, saya hanya mampu membaca tak sampai 20 muka. Ibu sudah khatam lima kali! Aduuhh!!

Buku ini, kata ibu memang bagus. Malangnya kita sebagai orang Islam cukup rugi, kerana apa yang ada dalam The Secret, adalah apa yang terdapat dalam al-Qur’an. Kita tidak praktikkan apa yang Allah kata, tetapi bila omputih tulis, kita ambil bulat-bulat.

"Tetapi The Secret,” kata ibu, “sekadar menceritakan apa yang patut kita lakukan. Kadang kala bila baca, kita tak perasan apa sepatutnya. Dan untuk memudahkan, bacalah Law of Attraction.” Ibu mengambil buku tersebut. Katanya lagi, Law of Attraction mempermudahkan apa yang ada dalam The Secret, step-by-step approach. Kemudian ibu mengulas apa yang ada di dalam The secret, mengaitkannya dengan al-Qur’an, kelas agama yang di hadiri dan sesi soal jawab dengan ustaz dan ustazah. Semuanya ada kaitan.

Kemudian ibu mengambil satu lagi buku. ESQ. “Kita selalu dengar IQ, EQ. Tetapi kali ini wujud konsep ESQ.” Ibu menyerahkan buku kepada saya. Saya membelek.

“Ah, kalau buku terjemahan mesti datangnya dari Indonesia,” saya merungut. Memang industri terjemahan di Indonesia cukup hebat. Segala buku yang baru diterbitkan akan cepat di terjemah. Tetapi saya silap. Saya sangkakan buku ESQ adalah terjemahan buku barat, rupanya ia di tulis oleh Ary Ginanjar Agustian dari Indonesia. Konsep ESQ menarik untuk di bincangkan, kerana ia melibatkan emosi, rohani dan spiritual. Ibu kemudian menceritakan tentang kursus-kursus ESQ yang dianjurkan dan bagaimana konsep ESQ banyak merubah dan membentuk diri mereka yang menghadiri seminar. Juga membetulkan persepsi barat tentang IQ dan EQ yang mereka sangka sudah cukup kuat. Rupanya ada konsep lain yang lebih penting, yang cukup dekat dengan Tuhan.


Saya membelek Law of Attraction dan ESQ. Dalam hati saya membayangkan kekaguman terhadap mereka. Dekat dengan ilmu, lebih akrab dengan Tuhan. Tetapi saya? Tersangkut di tengah-tengah. Baca tak habis, buku tersadai. Malang sunguh.

Saya kemudian di sarankan melayari www.oprah.com bagi mencari tips dari Marcus Buckingham. Tetapi saya dapati segala tips-tips yang ada didalam laman web tersebut amat menarik. Satu perkara yang saya usahakan tanpa jemu hingga kini.


Dalam perjalanan pulang, saya menanam azam. Saya harus habiskan buku-buku yang saya beli. Saya harus beli buku berunsur motivasi. Dan saya harus kuatkan semangat untuk membaca semua buku.


Dua Ahad yang mengujakan. Dua Ahad yang membuka mata. Syukurlah saya di kurniakan kawan-kawan yang banyak membantu. Saya hanya perlu melawan diri sendiri sahaja sekarang ini.

:-)

Isnin, Julai 14, 2008

Kita ini manusia

Bagaimana cara kita menghadapi masalah? Bagaimana menyelesaikan? Bagaimana mencari penyelesaian?

Hampir dua bulan berperang dengan kerja di pejabat, saya memendam perasaan yang amat. Terlalu terikat dengan kerja, kurang waktu untuk diri, tidur yang kurang sempurna (dan diganggui pula dengan mimpi buruk tentang kerja…aduh!) dan rehat yang jarang-jarang ada menyebabkan diri menjadi tertekan. Kadang-kadang diri menjadi terlalu emosi, cepat marah, mudah hilang sabar. Perangai yang buruk semua keluar. Maka staff di sekeliling menjadi mangsa. Kena marah, kena jerit, kena sindir, kena maki. Argghh…

All work and no play make Jack a dull boy.

Ya, benar. Buat seketika saya mengakui kata-kata ini. Tetapi saya tidak mahu menjadi sorang yang bodoh, yang lembab. Saya harus keluarkan diri dari belenggu kerja yang terlalu mengikat. Lari dari masalah? Sejauh mana pula saya boleh pergi. Masalah jika tidak diselesaikan, ia tetap disitu. Jauh mana kita lari, ia akan tetap mengejar.

Seperkara yang penting ialah, saya sudah menjadi jauh dengan buku, dan jauh dari sebarang aktiviti tulis-baca. Segala perancangan sudah lari, masa yang dinanti pula sudah semakin hampir. Sasaran kian tersasar. Saya harus lakukan sesuatu. Drastik!

Buku. Hampir dua bulan saya menghalang diri dari membeli buku baru. Alasannya ialah kerana saya membeli tetapi tidak membaca. Alasan tidak membaca ialah kerana masa yang kurang. Masa kurang ialah akibat dari kerja yang banyak. Kerja menjadi banyak kerana…banyak sekali kerja yang perlu diselesaikan. Tetapi saya tahu itu alasan. Alasan. ALASAN. Saya memberi alasan kepada diri, dan cuba mencari penyelesaian mudah. Mencari excuse bagi menyedap hati.

Ini sudah tahap bahaya. Saya berusaha mencari jawapan. Gawat jika masalah terus membelenggu diri.

Penyelesaiannya ialah muhasabah diri. Lihat kembali kepada matlamat, merancang kembali jadual, mengemaskini kembali sasaran. Merangka kembali tarikh-tarikh yang perlu di patuhi. Jangan beri alasan pada diri. Delegate kerja kepada staff di pejabat dan jangan di bebani kepada diri sendiri sahaja. Syarikat adalah tanggungjawab bersama, dan itulah yang membantu saya menyusun atur kembali hidup. Inilah yang saya pegang. Jangan lagi bertangguh, jangan lagi beri alasan. Tetapkan matlamat dan fokus.

Sukar juga berdepan dengan masalah (siapa pula yang boleh lari dari masalah? Sudah namanya kita ini manusia!). Mujur ada kawan yang boleh memberi nasihat, menyarankan tips-tips dari buku. Sempat juga melayari laman web yang sedikit sebanyak membantu. Mana yang perlu, saya praktikkan. Mana yang elok, saya sarankan kepada yang lain.

Dalam masa yang sama pergilah ke tempat yang boleh memberi ketenangan. Berehat di taman selepas solat Subuh sambil menghirup udara segar pagi dan memerhati matahari naik. Berjalan-jalan di pantai sambil melihat ombak yang menghempas pinggir pantai tanpa henti, atau memerhati burung-burung yang berterbangan bebas di angkasa nan luas. Lihat dan saksikan semua kejadian, dan tafsirkan segala keindahan ini dengan mata hati. Pastinya ia terapi rohani yang hebat.

Saya sudah semakin sembuh (huh...bunyinya macam orang yang sakit. Mungkin juga). Jangan fikir masalah. Fikirkan penyelesaian. Cari jawapan. Tenangkan hati. Banyakkan berdoa. Jangan bertangguh. Usah beri alasan.

Tiada manusia tanpa masalah. Tetapi jangan biarkan ia mengikat kita.

:-)

Rabu, Julai 09, 2008

Cerita tentang kesihatan

Ahad yang lalu, saya menemani seorang teman untuk di temuduga tentang kesihatan di Hospital Pakar Ampang Puteri. Mungkin betul ayat temuduga tu, sebab konsultan mereka sedang mempromosikan satu pakej kesihatan yang lengkap. Rasa berat juga mahu turut serta kerana takut saya 'tertewas' tetapi akhirnya saya menerima banyak perkara yang cukup membuka mata.

Awalnya, si konsultan bertanyakan soalan tentang gaya hidup kami, terutamanya dari segi pemakanan, penjagaan kesihatan dan pengambilan makanan tambahan (supplement). Hah, banyak soalan saya dapat jawab, dan banyak juga yang saya jawab tetapi pada markah yang kurang. Contohnya, kalau satu soalan 10 markah, saya layak dapat antara 5-8. Sepuluh tu kuranglah. Akhir sekali barulah si konsultan bercerita tentang pakej kesihatan yang mereka promosikan. Ia berupa pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh di mana-mana Hospital Pakar di bawah Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) di seluruh negara, hatta di luar negara. Harganya memang menarik, pada harga yang telah di diskaunkan. Tetapi saya perlu fikir tentang perkara lain yang lebih penting. (heh..alasan sebenarnya)

Jadi, untuk yang benar-benar sedar tentang kesihatan dan 'nyawa', maka jawablah soalan di bawah dengan jujur ya! Soalan inilah yang di tujukan kepada saya dan kawan seorang tuh..
  1. Bila kali terakhir bersenam?
  2. Jadual makan sehari teratur atau tidak?
  3. Berapa kali makan sehari?
  4. Pengambilan makanan tu seimbang atau tidak?



* akan bersambung

Selasa, Julai 01, 2008

Lemas

Politik mutakhir menjadikan saya letih, lemas, muak, loya, benci, menyampah, naik darah, geram, marah...

Saya rasa penat membaca warna politik Malaysia. Biarlah apa yang berlaku. Saya mahu dengar end-result.


.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...