Selasa, Januari 30, 2007

Merancang

Manusia merancang, Allah juga merancang. Namun, perancangan manusia itu lemah dan serba kekurangan. Perancangan Allah itu Maha Hebat.

Setiap hari saya merancang itu ini. Sebelum melangkah keluar ke pejabat, saya ambil masa membelek diari melihat apa yang telah saya tulis malam tadi. Bila di pejabat, saya kemaskini perancangan selepas kerja. Selalunya, banyak destinasi yang perlu saya singgah sebelum tiba ke rumah, kerana selepas itu saya tidak akan keluar. Duduk memerapkan diri dengan timbunan kerja. Salah satu destinasi ialah CC, memandangkan saya masih tidak dapat berkomunikasi menggunakan internet di pejabat.

Namun dari sehari ke sehari apa yang dirancang tinggal perancangan. Selalu juga saya batalkan atau tangguhkan apa yang tertulis dan berharap tiada aral yang mengganggu selepas ini. Selalu juga saya kecewa kerana terganggu dengan halangan kerana apa yang dirancang dengan baik, tiba-tiba tidak jadi. Ini bermakna saya terpaksa mencuri masa di lain hari bagi menyiapkan sesuatu perkara. Sekaligus jadual harian saya terganggu. Terpaksa juga saya ubahsuai jadual supaya boleh diisi dengan perkara yang terganggu ini.

Namun, siapa saya untuk merasa kecewa kerana saya juga manusia biasa yang lemah serba serbi. Apa yang boleh saya lakukan ialah membuat perancangan dengan baik lengkap dengan back-up plan atau pelan tambahan atau masa yang mencukupi supaya boleh digunakan dengan sebaiknya. Kalau mengeluh sahaja, tidak ada gunanya. Sebaliknya, berusaha sedaya upaya yang ada bagi mengusahakan sesuatu dengan berfaedah.

Selamat pagi Cikgu!

Semester ini saya berpeluang lagi menjadi tenaga pengajar part-time di UIA. Walau pun kelas seminggu sekali dan hanya merupakan subjek ko-kurikulum, saya terasa bebannya. Tambahan pula saya perlu bergegas dari tempat kerja ke kelas dalam masa 15 minit. Nyata tanggungjawab menjadi tenaga pengajar ini amat berat dan tidak semudah disangka.

Saya terbayangkan cikgu dan para pensyarah saya dahulu. Mujurlah saya jenis yang tidak beri masalah kepada mereka, sama ada dari segi kedatangan, kerja rumah, assignment dan sebagainya. Tetapi menjadi pelajar dan tenaga pengajar adalah dua tugas yang amat berbeza.
Subjek yang saya ajar ini merupakan subjek First Aid skill, satu kemahiran yang saya terima sewaktu aktif dan terlibat dalam aktiviti berpersatuan ketika belajar dahulu. Maka yang mengajar adalah ahli persatuan tersebut – lebih kurang 10 orang - yang banyak menimba ilmu secara terus dari para Doktor serta menjalani sesi attachment sebanyak 120 jam di wad Kecemasan dan Kemalangan (A&E) HKL.

Selaku tenaga pengajar, kami perlu bersedia dari awal tentang perkara yang hendak di ajar. Perlu juga ada ilmu tambah tentang subjek tersebut, bukan sekadar bergantung kepada buku wajib. Setidak-tidaknya pelajar dapat tambahan ilmu. Kemudian perancangan masa juga betul supaya subjek yang diajar habis tepat pada masanya, tidak terlalu cepat atau tidak terlalu lambat. Inilah sebenarnya yang menjadi masalah kepada saya, kerana selalu habis lebih cepat dari masa yang sepatutnya.

Bila mengajar, kami perlu pandai ambil perhatian pelajar. Jika tidak, mereka akan mengantuk, merasa bosan lalu berbual-bual. Tambahan pula kelas saya diadakan lewat petang, saat dimana tenaga telah habis digunakan pada waktu pagi. Maka saya perlu memerah lebih idea supaya mereka tidak mengantuk. Selain itu, kami perlu lebih banyakkan komunikasi dua hala antara tenaga pelajar dan anak murid, bukan sekadar syok sendiri atau bercakap seorang diri. Bila buka sesi soal jawab, bersedialah menjawab soalan. Jika dapat soalan cepu emas, carilah cara menjawabnya. Kalau tak dapat jawab, pandai-pandailah cari alasan. Itu belum lagi berhadapan dengan pelajar yang bermasalah seperti datang lambat, ponteng kelas, tidak beri kerjasama atau jenis yang suka membodek.

Kadangkala kami perlu menggantikan kelas kawan-kawan yang hadapi masalah untuk mengajar (seperti saya yang masuk hospital tempohari). Bila masuk pertengahan semester, kami akan bermesyuarat untuk menentukan assignment, sesi praktikal, serta kertas soalan bagi peperiksaan akhir. Oleh kerana ini adalah subjek ko-kurikulum, maka ada sesi praktikal yang memerlukan kami berkampung dua tiga hari bagi menilai pelajar seorang demi seorang. Bila final exam, kami sama-sama menjaga peperiksaan dan menanda kertas soalan. Kemudian, markah dihantar ke pejabat bersama dengan borang claim. Hujung bulan, menanti duit masuk. Kami selalunya claim pada hujung semester supaya duitnya banyak!

Ini semua bukanlah usaha sehari dua. Ia datang dengan pengalaman. Saya sendiri baru dua semester mengajar dan perlukan masa mengasah kemahiran. Terima kasih juga buat kawan-kawan yang banyak memberi bantuan. Terasa seronok juga. Saya terkenang kepada kawan-kawan yang menjadi cikgu atau tenaga pensyarah. Mujurlah mengajar bukan bidang saya kerana saya tahu saya bukan jenis yang boleh sabar dengan budak-budak. Tahu-tahu nanti ada yang masuk suratkhabar kerana cikgu dera murid..hahahaha

Yang lesu dan pilu

Saya menerima lagi satu tesis oleh mahasiswa K*** yang meminta saya menterjemahkannya dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Sebenarnya saya cuba menolak menerima tesis seperti ini. Saya menghadapi kesukaran memahami apa yang cuba mereka sampaikan biarpun ia di tulis dalam bahasa ibunda saya. Ada kalanya bila menterjemah, saya terdiam seketika memikirkan apakah ini sebenarnya standard dan pemikiran mahasiswa sekarang? Apa yang saya baca boleh dikatakan bukan menepati standard tesis, malah nak dikata standard assignment pun jauh sekali. Buat bagai lepas tangan.

Andai saya pensyarah yang bertanggungjawab terhadap tesis ini, muka pertama lagi saya sudah tolak mentah-mentah. Bagi yang telah biasa menulis assignment atau tesis ketika di universiti atau kolej, tentu tahu apa yang dikatakan sebuah tesis atau assignment (yang baik). Bayangkan, tesis yang saya terima ini bukan seperti yang ditulis oleh seorang pelajar. Bahasanya berbelit-belit dan sukar difahami. Ayatnya jauh menyimpang dari struktur bahasa Melayu. Mengapa harus berpusing-pusing membiarkan pensyarah mencari makna ayat yang sebenar. Bukankah lebih elok jika terus sahaja tanpa perlu belok-belok.

Saya tahu ragam pelajar, kerana saya pernah menjadi seperti mereka. Bagi jenis yang suka studi last minute, tesis atau assignment mereka akan disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa dan pada tahap kualiti yang rendah. Paling teruk, mereka sekadar copy & paste. Kalau dahulu, copy & paste terus sahaja dari buku. Prosesnya agak lambat kerana perlu mencari beberapa buku, dibaca dan ditaip semula. Tetapi zaman internet sekarang memudahkan kerja. Taip sahaja kata kunci pada Google dan enjin carian itu akan menyenaraikan bahan yang diperlukan. Klik sahaja pada yang dimahukan, kemudian copy dan terus paste. Bagi yang rajin sedikit, akan baca dan copy & paste dari pelbagai sumber. Bagi yang terlalu malas, copy & paste sahaja dari satu sumber. Mudah yang teramat sangat!

Saya teringat pada seorang kawan yang merungut kerana ahli kumpulannya – agak malang kerana bercampur dengan pelajar lelaki – sekadar copy & paste tanpa membuat sebarang suntingan langsung. Ibarat pergi lab computer, search, copy, paste dan terus bagi pada kawan itu untuk dikumpulkan assignment mereka.

"Langsung tidak edit apa-apa. Font dan link pun masih ada, tidak berubah langsung," dia merungut. "Kalau kita ni pelajar perempuan, mahu tak mahu akan edit itu ini, tukar bahasa, campur dengan pelbagai sumber atau ubah sedikit ayat supaya tidak nampak macam 100% copy & paste," dia menambah lagi.

Pelajar seperti ini harus disedarkan dengan pelbagai kemungkinan. Plagiat, peniruan, adaptasi, undang-undang, hakcipta dan pelbagai hak dan kepentingan pemilik asal perlu diketahu. Setiap satu punya hak biarpun diambil dari internet. Pensyarah juga harus mainkan peranan penting dalam mengingatkan pelajar akan perkara ini. Zaman langit terbuka sekarang ini yang memudahkan semua kerja menyebabkan kita menjadi semakin malas dan seolah tidak mahu menghargai kesenangan. Mungkin itulah sebab agaknya bila sesekali kita diduga, kita menjadi termangu ibarat dunia hampir kiamat.

Sabtu, Januari 20, 2007

Sekali sekala...

Allah akan duga kita sekali sekala. Di tarik nikmat yang kita rasa sekarang ini sekelip mata dan sekejap sahaja. Itu pun dah membuatkan kita macam sudah putus hidup dan rasa macam dunia seperti mahu kiamat.

Oleh itu, bersyukurlah selalu atas nikmat yang diberi kepada kita. Sama ada udara yang kita hirup, kesihatan badan, kecerahan mata atau apa sahaja yang kita terima untuk hidup sempurna.

Dan ingat juga - nyamuk itu, walaupun seekor, gigitannya mampu menumbangkan seorang manusia yang gagah. Oleh itu, selalulah bersihkan rumah, cuci longkang dan jangan bagi air bertakung. Kalau tidak, masuk hospital empat hari dan terima enam botol air (macam saya..huhuhu)

Salam Maal Hijrah buat semua. Ini sekadar tazkirah ringkas sebelum saya kembali ke alam maya.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...