Ahad, Februari 07, 2021

Kisah Pembunuh Ekonomi

Aku pernah baca ulasan buku ini dalam blog Jiwarasa lama dahulu, ketika buku ini baru diterbitkan. Ketika membacanya, aku rasa tak percaya rupanya ada satu pekerjaan yang tugasnya menghancurkan ekonomi sesebuah negara. Rupanya ada orang yang dihantar bagi mengkucar-kacirkan masyarakat dan memecahbelahkan perpaduan negara. Bukan dengan senjata, bukan dengan peperangan. Memadailah dengan wang. Kefahaman ini terjadi sebelum teori konspirasi berkembang dan menjadi wadah pertikaian sesama warganet yang menggunakan Yahudi, Rothschild, Freemason, sebagai penyebab kemiskinan negara-negara di dunia.

Buku ini tentang bagaimana seorang lelaki - si pembunuh, Economic Hit man (EH) - yang dihantar ke sebuah negara sasaran, membuat jangkaan keadaan ekonomi berdasarkan keperluan semasa dan menawarkan kaedah membangunkan negara tersebut dengan janji bahawa negara ini akan maju dengan sumber-sumber yang ada di negaranya. Sejumlah pinjaman ditawarkan dari Bank Dunia atau IMF dan sebagai timbal balik, kontrak pembangunan di negara itu hendaklah diserahkan kepada syarikat tertentu. Tidak langsung diketahui yang pinjaman yang diberi itu ialah sejumlah wang yang tidak akan menyebabkan bayarna balik dapat diselesaikan dalam tempohnya kerana kadar bunga yang tinggi dan kerana...kerana pinjaman itu dibuat bagi membolehkan negara itu tidak mampu membayar balik. Memang sengaja dilakukan. Jadi banyak negara yang tidakperasan akan perjanjian merapu ni akhirnya terperangkap dan jatuh miskin kerana perlu membayar balik pinjaman leboh daripada 50% GDP manakala peruntukan pembangunan terpaksa dikurangkan bagi melunaskan pinjaman. Akhirnya apa yang dapat dilakukan mereka? Menandatangan perjanjian baharu bagi membawa sejumlah wang untuk membangunkan infrastruktur tetapi akhirnya terbeban dan terikat dengan hutang lagi dan lagi. Kontrak dan pembinaan diserahkan kepada syarikat luar (baca: US) dan anak tempatan tidak dapat memberi khidmat kepada negara kerana tidak dapat pelajaran yang sempurna, kesihatan yang merosot dan keadaan kehidupan yang kian mendesak. Negara ini semakin miskin, dilanda kekacauan rakyat dan berlakunya pertumpahan darah. keadaan ini boleh dilihat berlaku di Ecuador, Mexico, Panama, Afghanistan, Iraq dan beberapa lagi Di beberapa negara lain, seperti Arab Saudi, pemimpin mereka dilimpahi kekayaan dan kemewahan yang berterus dari para pembunuh ini dengan kontrak-kontrak pembinaan diberi kepada syarikat Amerika. Bagi pemimpin yang menyedari permainan ini dan berkeras tidak mahu menerima pinjaman, mereka tiba-tiba akan mati terbunuh (dibunuh) dan digantikan dengan pemimpin baharu yang lemah dan tunduk kepada desakan EH. Negara itu kemudian jatuh seperti segara-negara lain yang didesak mengambil pinjaman. Ini berlaku kepada Presiden Ecuador, Jaime Roldos dan Presiden Panama, Omar Torrijos. Banyak lagi kisah-kisah di negara lain yang menjadi mangsa seperti Indonesia (menerusi Jakarta), Venezuela, Colombia, Iran dan beberapa lagi.

Justeru buku ini tentang apa? Ia tentang penyesalan seorang EH yang menyesali perbuatannya memiskin dan memporakporanda negara hingga hilang kedaulatannya. Namun penyesalannya berlaku berpuluh tahun selepas dia membunuh ekonomi negara itu, dan dia membalasnya dengan menjadi pencetus kesedaran kepada ekosistem hutan, kelestarian alam, dan kesedaran masyarakat orang asli terhadap kehidupan mereka yang cuba dimusnahkan. EH masih ada, masih hidup dan sedang bergerak setiap masa di seluruh dunia. Modus operandi mereka mungkin sama, mungkin berubah. Mereka menjaah negara-negara ini tanpa perlu melepaskan sebutir peluru. Mereka dijajah dan dimiskinkan dengan cara yang licik hingga terikat dan tidak dapat membebaskan dirinya lagi.

Sepanjang membaca buku ini kita akan sentiasa menginsafi keadaan negara kita yang tidak jatuh dalam strategi licik sambil mengenag negara-negara yang menjadi mangsa. Kita akan dibawa jauh ke dalam hutan kemudian ke kota-kota besar, dihinggapi rasa marah dan geram membuak-buak dan diakhiri dengan sumpah seranah kepada John Perkins kerana terlalu mengambil masa untuk bertaubat meskipun dia sudha menyedari perkara pelik sejak dari awal dia dihantar ke Jakarta bagi merancang 'pembangunan pulau Jawa.' Keinsafan John Perkins pada kita tidak boleh dimaafkan, tangannya sudah dipenuhi darah anak bangsa yang mengalir meskipun dia cuba mencuci dosa-dosanya dengan kerja kebajikan kepada insan yang hidupnya di dalma hutan sana. Ini kerana kita tahu beratus mungkin beribu John Perkins sudah dilahirkan dari seorang John Perkins sebelum itu.


0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...