Selasa, Julai 31, 2007

Mataku - 2

Sesudah lima hari memakai cermin mata - sama ada sewaktu memandu, ketika menatap monitor pc di pejabat atau skrin projektor - barulah saya merasakan kelainan pada diri. Alhamdulillah, sakit kepala, mata yang pedih dan berair, denyutan yang mencucuk di sekitar mata bagaikan terhapus. Malah, sejak lima hari, masalah tersebut tidak langsaung singgah di mata atau di kepala saya.

Selama ini saya tidak terfikir pun ia adalah salah satu petanda rabun silau atau dalam bidang optometry dipanggil astigmatisma. Sungguh tidak saya sedar bahawa rabun itu bukan hanya dua tetapi tiga. Rabun jauh, rabun dekat dan rabun silau.

Oleh itu, jika anda mempunyai sebarang gejala di atas, cepat-cepatlah jumpa pakar mata. Dan saya amat menyenangi khidmat Menara Optometry. Layan, khidmat, bantuan dan pertanyaan saya semua di jawab dengan sempurna.

*Ini merupakan promosi percuma hasil dari khidmat yang baik. Saya tidak di bayar apa-apa oleh Menara Optometry, tetapi puas hati dengan layanan mereka. Cubalah!

Kawan-kawan yang jauh

1.
Ada seseorang yang saya kenali bila terjebak dalam dunia blog. Tinggalnya jauh di sebuah negara padang pasir. Pulang bercuti ke Malaysia membawa bersama anak-anak. Malam Ahad dia menelefon untuk bertemu muka. Eloklah, kerana selama ini sekadar bertemu di ruangan komen atau chat box, berbicara tentang entri dan seputar isu semasa.

Kebetulan pula saya dengan rutin bulanan pulang ke kampung, biasanya bertolak pulang pagi Isnin dan terus ke pejabat. Tetapi hari itu tergerak untuk pulang petang Ahad. Inilah yang di katakan rezeki, maka dapat saya bertemu dengan kenalan yang jauh ini.

Kami bertemu dan berbual. Sekadar perbualan ringan. Tidak banyak yang di perkatakan. Mungkin kerana pertemuan pertama dan masing-masing cuba mencari titik pertemuan. Sebelum berpisah, saya tergerak menghadiahkannya sesuatu. Empat buah buku yang saya pesan dari Ujana Ilmu tiba Sabtu sebelumnya dan saya rasa elok juga untuk di jadikan tanda mata kenal-kenalan untuk sahabat jauh ini. Ikhlas, kata saya kepadanya dan dia membalas dengan memberi sebotol minyak wangi dari tanah Arab. Boleh buat sembahyang, balasnya pula.

2.
Ini bukan kali pertama. Awal tahun ini, Tuan Tanah menghantar tanda mata dari Ireland. Saya simpan dengan sampul suratnya sekali. Tidak sangka, kerana dalam berbalas komen dan e-mel, saya menerima sesuatu sebagai kenang-kenangan. Kemudian, bertemu pula dengan sahabat yang terpisah sejak berakhirnya sesi buku dan exam di Taman Ilmu dan Budi, iaitu mereka yang sudah lama tidak saya temui tetapi kemudian bersapa berita di lama blog. Ada yang sering mengekori entri blog dan kami berbalas e-mel saban waktu. Berbual dari jauh, dan berbincang tanpa temu. Rupanya, ramai pula kenalan yang dapat saya kenali dari jauh dan semakin dekat melalui blog. Oh, macam-macam ada rupanya, contohnya seperti Putehseroja yang tidak pernah saya temui tetapi katanya cukup mengenali. Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya gerangan empunya diri. Musykil. Sabar ya cik Puteh. Bila ada kelapangan nanti kita duduk dan makan sama-sama.

3.
Inilah yang di katakan nilai persahabatan. Sukar nak dijangka, sulit untuk di lihat tetapi hikmahnya cukup besar. Kawan-kawan yang dekat juga kawan-kawan yang jauh, sama ada di kenali atau tidak, di benci atau di sukai adalah hasil dari dunia yang tiada sempadan. Dunia yang ketika ini tidak ada perkara yang mustahil untuk di capai.

4.
Mereka, selain kawan-kawan di sekeliling adalah mereka yang memberi pelangi dalam hidup saya. Amin

.

Orang kita (Islam/Melayu) vs berniaga.



*Entri ini dan entri sebelumnya dalah berdasarkan pengamatan saya sendiri. Tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak*

Orang kita (Islam & Melayu) seringkali fobia kepada perkataan berniaga. Masing-masing takut untuk berniaga. (Pendahuluan yang ringkas kerana dibawah ini lebih penting).

Saya dapati ada beberapa faktor yang menyumbang:

1. Sikap takut kalah atau rugi. Mungkin kita masih lagi ditakutkan dengan cerita Pak Kaduk, Lebai Malang, Mat Jenin atau Pak Pandir. Kita cuba mengelak dari memasang impian yang besar supaya nanti tidak jadi seperti Mat Jenin yang jatuh pokok kerana berangan yang teramat sangat. Atau seperti Pak Kaduk yang menang sorak kampung tergadai. Atau sepeti Lebai Malang yang menghilir ke sungai dan berpatah balik ke hulu dan akhirnya penat dan kelelelahan di sungai (saya ingat-ingat lupa, tetapi rasanya kisah Lebai Malang mahu menghadiri beberapa kenduri dalam waktu yang sama). Atau pun ditakut-takutkan dengan Pak Pandir yang sering di bodohkan oleh orang lain.

2. Mungkin kerana dasar pecah dan perintah semasa zaman British dahulu menyebabkan kita ada satu fikiran yang menetapkan bahawa orang Cina dibandar berniaga, orang Melayu dikampung bertani dan orang India di estet. Mungkin juga ia masih lagi di guna pakai hingga sekarang (saya meletakkan perkataan ‘mungkin’ kerana tidak semua yang fikir begini). Lalu keluarlah kata-kata seperti:

“Biarlah orang Cina berniaga, bukankah mereka pandai.”
“Kita mana ada modal nak berniaga.” (Walhal tanah banyak dibazirkan dengan menyemai rumput dan lalang)

“Kalau kita berniaga juga, mereka nanti tiada kerja. Kita beli sahaja.”


3. Drama atau filem melayu memberikan maksud negatif terhadap perniagaan. Saya mengambil contoh drama atau filem kerana hiburan mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat. Dalam kebanyakan aksi, orang berniaga digambarkan balik lewat malam, suka masuk ke pusat karaoke atau kelab dangdut, rumah tangga berantakan, anak isteri bermasalah, suka memberi rasuah, ada sikap dengki mendengki dengan kakitangan atau syarikat lain, derhaka pada ibu bapa dan akhirnya jatuh bankrap. Ia sekaligus menakutkan ibu bapa dan memberi contoh yang tidak baik pada anak-anak untuk menjadi orang bisnes. Cuba lihat siri drama Cina (Kantonis) yang ditayangkan pada waktu petang (bukan kisah purba, kisah polis atau komedi). Lihat bagaimana mereka menggambarkan usahawan dengan 10001 sikap positif. Bila jatuh, ada yang menolong. Bila ada masalah, mereka selesaikan bersama. Setiap seorang memasang impian membesarkan perniagaan hingga ke Macau, Shanghai atau Taiwan. Saya akan panjangkan hal ini dalam entri berikut.


4. Sekadar mengambil contoh apa yang Nabi Muhammad selaku idola Muslim lakukan. Tidak melihat sedalam-dalamnya apa yang ingin disampaikan oleh Rasul Allah yang mulia ini. Mereka mahu berniaga tetapi kosong ilmu tentang perniagaan, kemahiran bercakap, atau apa-apa kemahiran yang ada. Memang benar Nabi sendiri tiada ilmu berniaga, tetapi Nabi ada pakej lain yang menarik. Boleh bercakap, pandai melayan pelanggan, jujur dan amanah. Atau kalau mahu contoh mudah, ambil sahaja Lim Goh Tong. Dia datang dari China dengan beberapa keping duit dan hanya tahu bahasa ibundanya. Dia tidak tahu apa-apa tentang berniaga tetapi dia tahu bukit yang penuh hutan dan haiwan liar itu boleh ditukar menjadi pusat hiburan dan percutian yang besar di Malaysia. Dia cuma minta tanah dan diluluskan. Selebihnya ialah usaha dan impiannya menukar seseuatu yang mustahil kepada realiti.

Sebab yang kedua itu sebenarnya paling jelas. Ketika di tingkatan lima dahulu, bila cikgu tanya apa cita-cita kami satu kelas, hanya seorang sahaja yang menjawab mahu menjadi usahawan. Yang lain sama ada wartawan, peguam, pegawai polis, atau guru (ini cita-cita tipikal anak luar bandar). Saya terpegun, terdiam dan kagum dengan jawapan kawan saya itu. Tidak sangka kerana dia memberi saya satu idea bagi membolehkan saya menukar cita-cita menjadi orang bisnes secara drastik. Saya tidak menoleh ke belakang lagi sejak hari itu. Dan sehingga hari ini ia masih lagi menjadi cita-cita yang mahu saya jadikan kenyataan, bukan sekadar bercita-cita, Insya Allah!

Seperti biasa, ini adalah pandangan bebas saya. Apa yang saya lihat, saya perhati dan saya fikirkan. Tidak ada kena mengena langsung dengan mana-mana institusi atau pihak tertentu.

Menjadi kaya bukan perkara yang salah

“Kita tidak di larang menjadi kaya kerana di dalamnya terkandung perintah Allah dan tujuan syariat.” (Saya Tidak Mahu Kaya Tetapi Harus Kaya, Aa Gym, ms 2)

1.
Oleh itu, kaya dijadikan sebagai alat melaksanakan syariat. Berzakat dan memberi sedekah adalah dua perkara penting dalam menyumbang kepada kemajuan ekonomi. Wang yang disumbangkan diguna sebaiknya memajukan negara, membina prasarana itu ini, sebagai bantuan modal untuk berniaga, bantuan pelajaran pelajar, atau bagi mengadakan kursus memambah ilmu dan kemahiran.

Sebenarnya masyarakat kita yang terdedah dengan hiburan yang melampau ini telah perkataan kaya itu penuh dengan perkara negatif. Semuanya kerana terpengaruh dengan rancangan drama yang sering menyamakan sikap orang kaya atau orang berduit dengan pengaruh yang tidak elok. Seringkali dalam drama, orang kaya dilabel dengan watak yang hitam. Sikapnya suka berfoya-foya, sombong dan berakhlak buruk. Jarang sekali di letakkan dengan budi bahasa, berbudi pekerti dan akhlak mulia.

Sebab itulah agaknya, sukar untuk kita mendengar anak-anak bercita-cita untuk menjadi jutawan atau usahawan. Ibu bapa sudah menetapkan didalam kepala anak-anak (dengan bantuan tv) bahawa menjadi kaya itu tidak elok dan akan mengundang pelbagai kejahatan. Jadi tidak hairanlah jika bangsa Melayu yang beragama Islam sendiri tidak mahu meliat kekayaan sebagai keperluan diri. Sekaligus mereka menidakkan hadis Nabi Muhammad, iaitu “sembilan persepuluh rezeki adalah datang dari perniagaan.”

Malah ada yang menambah bahawa Islam sendiri menganjurkan umatnya untuk hidup sederhana. Ya, benar tetapi mereka perlu memerhatikan betul-betul akan keperluan ini. Nabi Muhammad dalam usaha menggerakkan dakwahnya disokong oleh kekayaan beberapa orang sahabatnya bagi menyelamatkan umat Islam yang ditindas, membebaskan hamba yang disiksa, membeli keperluan ketika menjalankan kegiatan dakwah dan juga bagi melakukan ibadah seperti bersedekah dan berzakat.


2.
Mungkin sebab itu, seorang peniaga di kampung saya sering disamakan dengan imej negatif. Mujur dia tidak mengendahkan pandangan ini dan sekarang mempunyai sebuah pasaraya dan sebuah kedai. Dia digambarkan sebagai tidak berniaga dengan betul dan menipu, mengguna ilmu hitam dan kedekut dengan tidak memberi hutang (sebab itu boleh kaya). Walhal dia berjaya kerana usahanya sendiri - sikapnya yang peramah, pandai melayan pelanggan dan pantas dalam bekerja. Dia juga pandai membuat pusingan modal biarpun tidak mendapat didikan formal dalam perniagaan dan akaun.

Apa yang saya dapat lihat ialah, dia selalu membeli secara borang dari pengedar. Biasanya, pengedar akan memberinya barang percuma sebagai saguhati. Contohnya, dia membeli dua kotak besar susu cair dan dapat percuma satu tin susu. Susu ini dia tidak guna dirumah tetapi di jual. Itulah cara bagaimana dia menerima keuntungan lebih. Dari situ juga dia juga dapat merendahkan harga jualan berbanding peniaga lain. Sebab itu dia di katakan membunuh peniaga lain. Dia melakukannya kerana mendapat pada harga kos yang rendah.

3.
Sememangnya kita tidak pernah dilarang menjadi kaya, tetapi kaya itu dilihat terlalu negatif. Bagaimana ya, untuk kita membersihkan pemikiran dan persepsi ini?

.

Isnin, Julai 23, 2007

Dua Cikgu

Faisal Tehrani bersemangat mendedahkan 'rahsia penulisan'

Sabtu lalu saya menghadiri Bengkel Novel Islami anjuran PTS Millenia. Tetapi kali ini yang memberi tunjuk ajar ialah novelis 'ngetop', Sdr Faisal Tehrani a.k.a FT. Alhamdulillah, saya berjaya mendaftarkan diri, malah mengajak sama Hidayah, teman seperguruan dalam AKRAB. Ini bengkel tertutup, yang mendaftar sahaja layak. Jarang PTS buat bengkel tertutup. Sempat saya menegur FT yang nampak kurus berbandingketika di Pesta Buku yang lalu. Memang dia sakit agaknya.

Sebelum ke bengkel, saya merasa khuatir. Sebelum ini, saya berada secara berasingan di bawah tunjuk ajar Pn Ainon dan FT - sama ada ketika bersama AKRAB (bengkel di bawah bimbingan FT) atau mana-mana bengkel kelolaan PTS. Kedua-duanya - jika dapat saya simpulkan - mempunyai mazhad penulisan yang tersendiri, pegangan yang berbeza dan idea masing-masing yang nampak seolah berseteru. Tidak perlu saya huraikan satu persatu kerana keduanya adalah betul dan mereka di landasan yang sama iaitu mahu memandaikan bangsa dan menegakkan Sastera Islami. Cuma bila menjadi anak murid, kadang kala menjadi keliru. Di sana kata boleh, disini kata jangan. Saya kata - hmm... selagi tidak melanggar batas syariah, teruskan!

Oleh sebab itu, saya berdoa agar semasa bengkel ini tidak ada perang hujah atau lontaran idea yang berbeza antara satu sama lain. Pandangan FT adalah dari sisinya sebagai penulis dan berkelayakan dalam bidang Syariah. Pn Ainon sisi lainnya ialah penerbit yang berusaha memandaikan dan mencelikkan bangsa yang selama ini di perbodohkan oleh puak-puak mata duitan. Dua-dua di jalan yang sama dan alangkah hebatnya jika kedua tenaga hebat ini digandakan dalam bidang penulisan. Rasanya perkara ini bukan sesuatu yang mustahil.

Alhamdulillah, saya dapat refresh semula memori terhadap bengkel AKRAB dan FT berjaya membuka mata peserta tentang Sastera Islami yang sebenar, atau menurut Pn Ainon, Syariah Compliance. Yang mana satu sastera Islami dan satera berunsur Islam, ciri-ciri penulisan dan idea-idea yang patut di lontarkan ke dalam novel atau karya.
Sumbangan dari Sifu PTS buat Faisal Tehrani

Empat jam tidak cukup menceritakan semuanya kerana FT terlalu banyak idea untuk di kongsikan. Rasanya PTS perlu memanggil FT sekali lagi kerana curahan ilmunya dan pengalamannya dengan sepak terajang menegakkan Sastera ISlami cukup banyak. Dan kahir kata, FT mengulangi sekali lagi kata-kata yang pernah di ucapkan sewaktu AKRAB dahulu, "Marilah kita sama-sama berjuang, saya dah penat buat seorang diri."

Mengapa tidak, dia terpaksa lari dari dunia blog dan menangkis tuduhan yang pelbagai. Itu pegangannya dan hasrat murninya. Tetapi yang penting, FT menyemarakkan dunia sastera Islami yang sebelum itu lesu. Kiranya sastera Islami kini memounyai pengikutnya yang tersendiri. Kepada bakal penulis, demand sudah ada, supplynya mana?

Ayuh! Usah tangguh! (Juga berpesan kepada diri sendiri)

* Gambar-gambar di ambil dari al-Watary

Rabu, Julai 18, 2007

Sesungguhnya

“Sesungguhnya salah seorang daripada sekumpulan sahabat Nabi sallallahu alayhi wa sallam telah berkata, “Berkenaan dengan diriku, maka aku akan berpuasa dan tidak berbuka. Berkata seorang yang lain: Aku akan berQiyam di malam hari dan tidak akan tidur. Dan berkata lagi seorang yang lain: Aku pula, aku tidak akan mengahwini perempuan. Seorang lagi berkata: Aku pula, sekali-kali aku tidak akan memakan daging. Lalu Baginda Sallallahu alayhi wa sallam bangun dan berucap, lantas Baginda berkata, “Apa halnya dengan pemuda-pemuda yang setiap seorang mereka ini berkata begini begitu? Aku sendiri berpuasa dan berbuka, bangun malam dan aku juga seorang yang mengahwini perempuan juga aku memakan daging. Barangsiapa yang tidak ingin kepada Sunnahku maka dia bukan dari kalangan (pengikut)ku”

(Dari Sunan al-Nasaa’ie, no. 3217)

Sumber asal dan bacaan selanjutnya di Saifulislam



Isnin, Julai 16, 2007

Mataku

1)
Saya sedar sejak akhir-akhir ini yang mata saya mempunyai masalah yang saya tidak sedar. Kebetulan, staff baru saya bekas pekerja kedai cermin mata. Saya mengutarakan kemusykilan kepadanya. Mata yang sering berair, pedih dan sakit hinga menyebabkan sakit kepala. Sejak akhir-akhir ini ia menyebabkan sakit kepala yang teramat sangat.

Dia membawa ke kedai cermin mata. Tidak sukar rupanya, cuma perlu jalani ujian mata. Keputusannya, saya di katakan mempunyai rabun silau, istilah yang digunakan bila mata terlalu terdedah kepada cahaya. Contohnya skrin atau monitor komputer dan televisyen. Juga bila memandu di waktu malam bila pancaran lampu dari hadapan menyebabkan peman duan menjadi tidak stabil

2)
Memang saya akui sejak akhir-akhir ini sakit kepala saya menjadi-jadi. Pantang berfikir lebih, mulalah ia datang. Berdenyut-denyut di kepala dan kemudian berdunyut-denyut di sekitar urat mata sekaligus menyebabkan rasa tidak selesa. Kadang kala bila mandi dan basahkan rambut pun belum mampu melegakan.

Memang saya akui mata saya menatap skrin pada jangka waktu yang lama. Selepas waktu pejabat, saya menyambung di rumah. Mata ini rehat ketika tidur sahaja. Tambahan pula saya sedar yang apabila memandu pada waktu malam di lebuhraya, balancing pemanduan selalunya tersasar. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Saya sama ada mengikuti rapat kenderaan di hadapan atau bila memandu di lorong kanan menjadi tidak stabil. Inilah yang dikatakan rabun silau. Cahaya kenderaan yang bertentangan menyebabkan pemanduan tidak stabil.

3)
Tetapi sukurlah, saya belum lagi mengalami rabun jauh atau rabun dekat. Saya boleh membaca papan tanda biarpun jaraknya masih jauh. Masih boleh kenal siapa yang datang biarpun kelibatnya sahaja yang kelihatan. Nampaknya saya perlu lebih berhati-hati. Beri rehat yang secukupnya supaya mata boleh berfungsi dengan baik dan menjaga kesihatan mata supaya boleh di gunakan lebih lama.

Antara Durian dan Helikopter

i)
Hujung minggu yang lalu saya menghadiri Kursus Induksi bersama kawan-kawan sebagai persediaan awal dan membincangkan beberapa perkara penting bagi menghadapi semester baru ini. Beberapa muka baru di panggil sebagai Assistant Trainer memandangkan ada beberapa Trainer dan Assistant Trainer melepaskan jawatan kerana komitmen kerja. Tanggungjawab kami masih sama, iaitu mengendalikan First Aid Skill Package, satu pakej skill yang di wajibkan ke atas pelajar UIA.

Kami bersetuju mengadakan perbincangan di luar, dan memilih Taman Metropolitan Kepong sebagai tempat perjumpaan. Dengan makanan, buku, nota dan tikar, kami duduk di atas rumput di tengah-tengah suasana yang cukup damai. Tambahan pula, matahari seolah segan memancarkan sinarnya, maka dapatlah kami berbincang dalam suasanan yang cukup selesa. beberapa orang kawan yang sudah bekeluarga membawa bersama anak dan isteri serta suami, serta menjadikan diskusi ini sebuah perjumpaan keluarga. Mereka juga bukanlah orang asing bagi kami, kerana kebanyakannya kahwin sesama ahli persatuan juga.

Menjelang tengahari, langit bertukar gelap. Perbincangan masih belum tamat. Kami segera berkemas dan kemudian berkumpul di rumah salah seorang dari kami di Seri Gombak. Sambil berbincang, mulut rancak mengunyah. Sebaik sahaja segala-galanya tamat lebih kurang pukul 3, ada seseorang mengajak kami ke kebun durian milik keluarganya, yang terletak di Mimaland. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, kami berkonvoi empat kereta ke sana.

2)
Mimaland merupakan sebuah kawasan percutian atau theme park yang cukup popular suatu ketika dahulu. Menurut maklumat dari Wikipedia, Mimaland di buka sekitar tahun 1970a-n dan di tutup pada 1994 kerana kedudukannya yang bahaya di lereng bukit. Maklumat lain yang saya jumpa:
Situated along old road to Bentong about 30 minutes drive northeast of Kuala Lumpur. It is a recreational centre covered an area of 121 hectares of land. It is located on a hill surrounded by tropical jungle and has one of the largest swimming pools in Malaysia fed by a natural stream. There are many activities here such as boating, fishing, and trekking. Overnight accomodation is also available in chalets or Bagan styled housed built on stilts on the lake
Saya sudah biasa dengan jalan lama ke Bentong ini kerana dahulu sering menjalani latihan berbasikal keluar dari UIA menuju ke Alang Sedayu dan berpatah balik. Melewati jalan ini seakan mengimbau kembali nostalgia lama.

Berbalik kepada cerita durian. Hujan renyai-renyai tidak meghalang kami untuk berpesta durian. Menurut cerita kawan saya ini, datuknya dahulu merupakan Pengurus Mimaland. Pemiliknya merupakan seorang warga Taiwan. Ia di tutup kerana pemiliknya balik kampung (balik Taiwanlah tu). Kemudian, tanah milik syarikat itu di tukarkan namanya kepada kakitangan syarikat. Boleh tahan juga, kalau setiap seorang dapat 2 ekar, berbaloi juga untuk ditanam dengan durian, rambutan, manggis, pulasan, langsat atau duku.

Lokasi kebun ini hampir ke puncak gunung. Tetapi dimana puncaknya tidak pula dapat di kesan. Agak mencabar juga mendaki jalan ke kebun dengan jalan yang curam dan licin. Tetapi apabila sampai, wah, durian sudah menanti di pondok. Kawasan kebunnya kemas dan terjaga. Mendaki sedikit di atasnya akan nampaklah kawasan gunung-ganang banjaran Titiwangsa yang saya kira kawasan Genting dan lebuh raya Karak yang samar-samar kelihatan di telan kabus tebal. Helikpter dari pasukan Mencari dan Menyelamat (S&R) pula terbang rendah melihat kawasan mencari helikopter yang hilang. Saya melihat sekeliling kawasan berhutan tebal dan membayangkan betapa sukarnya mencari helikopter tersebut kerana sememangnya sukar dikesan dari udara.

Kami menjamah durian dengan cukup berselera. Maklum sahajlah semua belum makan tengahari, setakat makan-makan ringan. Terasa nikmat pula bila mendengar bunyi durian jatuh dan kami berlarian mencarinya. Segalanya selesai lebih kurang pukul 6 dan beberapa biji di bawa pulang sebagai buah tangan. Alhamdulillah

3)
Operasi mencari dan menyelamat masih belum menemui apa-apa petunjuk. Tetapi melihatkan hutan tebal di Banjaran Titiwangsa ini, tambahan pula dengan hujan serta kabus yang tebal, pencarian melalui darat rasanya lebih mudah. Tetapi cabarannya ialah, keadaan yang berbukit bukau dan bercerun curam. Kami pernah melalui latihan dengan JPA3, Bomba dan Mastem dan sedikit sebanyak tahu mengenai operasi S&R ini. Ada juga yang berseloroh, pergi mencari durian yang gugur, terjumpa pula dengan mangsa helikopter. Manalah tau...


* Gambar dari Utusan Malaysia menunjukkan keadaan semalam, suasana ketika kami menjamah durian.

Jumaat, Julai 13, 2007

Kena tembak

Bagaimana agaknya menyelamatkan diri dari 'di tembak?'

Mesyuarat yang saya hadiri hari ini agak panas. Pelanggan kami dari sebuah syarikat multinasional terkemuka datang ke pejabat bagi menghadiri mesyuarat atas permintaan mereka sendiri. Ringkas sahaja, lebih kurang satu jam setengah. Tetapi suasana di dalamnya menyebabkan kami gelisah. Penyaman udara yang suhunya berada di tahap minimum juga tidak mampu menyejukkan suasana.

Pelbagai komen dilemparkan. Juga kritikan yang seolah menampakkan khidmat kawalan yang kami berikan selama ini tidak memberi kesan. Kami gelisah. Begitu juga Pengarah Urusan. Pegawai Operasi pula teruk menjadi mangsa 'tembakan'. Peluru keluar bertalu-talu. Ada yang dapat di tepis, ada yang boleh dielak, ada yang langsung menerjah ke badan. Bila di medan perang dan berhadapan satu sama satu dengan pihak lawan, tiada gunanya menyerah. Lawan sahajalah. Tetapi jangan sesekali mengalahkan mereka. Pertahan diri tetapi jangan menyerah. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Dua-dua harus menang.

Saya mencatatkan satu persatu butiran perbincangan. Dua-dua - masalah dan jalan penyelesaian di bangkitkan. Tetapi nampaknya lebih banyak membongkar cerita dan punca masalah. Tetapi saya tidak terlalu mencatat isi perbincangan. Saya lebih tertarik dengan cara pelanggan menembak kami. Nampak kemas dan profesional.

Mereka datang bertiga. Seorang ketua berpangkat Kolonel. Dua pembantu duduk di kiri dan kanan. Ketuanya diam. Pembantunya sahaja yang bercakap. Pegawai Operasi kami menjawab dan sesekali Pengarah Urusan membantu. Ketua mereka juga mencelah sesekali. Ibarat anak buah menembak dahulu, ketua pula membuat tembakan terakhir atau tembakan yang perlu sahaja. Tembakan yang nampaknya menjatuhkan.

Saya puji cara mereka. Kemas, tersusun dan profesional. Pengakhirnya, mereka bukanlah mahu memperlekehkan kami. Tetapi satu peringatan kepada Pegawai Operasi dan Security Audit supaya menjalankan tugas dengan betul. Banyak kelemahan kami di peringkat bawahan yang perlu di perbetulkan. Komunikasi, reporting line, recruitment, latihan, leadership... oh.. banyak lagi yang di sentuh.

Alhamdulillah. Saya melihat dari aspek yang lain. Banyak juga yang saya pelajari hari ini. Mereka kuat mempertahankan hak dan tidak mahu mengalah. Kami juga begitu. Keputusannya mudah - buat sehabis baik selepas ini.

* Leader is to lead and to decide.

Khamis, Julai 12, 2007

Hijrah Yang Perlu

1)
Selesai menemaninya ke kafe siber, kami duduk minum. Ruang waktu cukup singkat tetapi pelbagai cerita keluar. Tentang kerja, tentang buku, tentang jodoh.

"Kenapa tukar kerja?" saya bertanya kerana dia akan menghantar surat perletakan jawatan pada keesokan harinya.

Dia senyum sebelum menjawab, membiarkan sedetik dua berlalu tanpa kata-kata. "Semasa saya di temuduga tempohari, soalan yang di tanya ialah mengapa saya sanggup bertukar kerja sedangkan gaji saya sekarang ini lebih banyak daripada yang di tawarkan?" Dia berhenti seketika.

"Saya katakan bahawa beberapa hari sebelum, itu saya memikir balik tentang arah hidup saya. Kemudian, saya atur perjajalanan hidup dan menyusun semua perancangan. Kemudian saya dapati bahawa, bidang yang saya ceburi sekarang ini tidak sesuai sebenarnya dengan jiwa saya,"

"Apa yang sesuai?"

"Saya sepatutnya pergi ke bahagian sales. Itu yang masuk dengan jiwa saya." Jeda lagi.

"Itulah sebabnya mengapa saya tiba-tiba merasa perlu untuk berhenti. Saya menjawab soalan itu dengan air mata yang hampir jatuh. Mungkin itulah sebabnya mengapa saya di terima," katanya.

"Ya, kerana menjawab dengan hati," saya mengiyakan.


2)
Saya pernah mengalami situasi yang sama. Kadang kala kita tidak pasti apa sebenarnya yang patut untuk diri sendiri. Perlu cuba-cuba dan merasa yang macam-macam.

Bila kita berlari, ada saatnya dimana kita perlu berhenti seketika, memperlahankan kelajuan atau berpatah balik bagi mengambil apa-apa yang tercicir dan terjatuh atau yang sengaja di tinggalkan. Kita tidak tahu apa gunanya benda-benda itu tetapi yang pasti, ada sebab mengapa sesuatu itu di ciptakan-Nya. Mungkin hari ini kita rasa ia tidak perlu, tetapi esok siapa yang tahu?

Hanya Allah yang lebih mengerti

Isnin, Julai 09, 2007

Buku : The 100 - A Ranking of the Most Influential Persons in History


Buku "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History" karya Michael H. Hart merupakan buku terbaru yang saya beli di MPH awal bulan ini. Hajat sebenar ke MPH ialah sekadar 'melihat-lihat.' Malah dalam fikiran saya, tidak terlintas langsung untuk membeli buku. Tetapi, faham-faham sahajalah bila sudah memandang buku. Dan buku ini saya beli kerana saya sedang membuat kajian tentang tokoh-tokoh dunia untuk satu projek yang tertangguh sejak sekian lama.

Saya sejak kecil suka membaca tentang kisah kehidupan manusia - sama ada insan biasa atau tokoh yang terkemuka - tidak kira mereka ini pemimpin, ahli politik, tokoh agama, pakar ekonomi, ahli falsafah, pemimpin berhaluan kiri, atlit, tokoh revolusi, pakar penciptaan dan sebagainya. Saya suka meyelami kisah hidup mereka sejak kecil dan proses bagaimana mereka menjadi seorang 'manusia.' Selalu timbul kekaguman terhadap diri sesetengah individu dan ada kalanya menjadikan mereka sebagai idola dan contoh untuk saya tekuni. Ada juga yang mendatangkan kebencian dan ada juga saat dimana kehidupan mereka seakan ditutup dan di sembunyikan dari sejarah.

Saya tidak menafikan, semakin banyak saya mengkaji kehidupan tokoh ini, semakin dekat saya dengan junjungan besar kita, Nabi Muhammad dan ajaran Islam yang di bawanya. Nyata, kehidupan Nabi yang ringkas tetapi penuh ranjau itu nampaknya lebih signifikan kepada manusia. Thomas Alva Edison yang mereka cipta beratus dan beribu ciptaan pun tidak setanding Nabi. Albert Einsten yang dikatakan manusia paling genius pun tidak mampu mempengaruhi pemikiran manusia yang lain. Teorinya boleh diterima oleh mereka yang mengkaji. Bagi insan biasa, tidak ada apa keistimewaan padanya. Genghis Khan yang di geruni kerana kehebatan di medan perang juga tidak mendatangkan kesan kehebatannya hingga sekarang. Malah, Mongolia bukan merupakan sebuah negara yang kuat berbanding ketika dia berkuasa.

Tidak hairanlah jika Michael H. Hart meletakkan Nabi diranking yang pertama. Dia tahu, tindakannya ini pasti menimbulkan kontroversi. Oleh itu, Hart merasionalkan tindakannya di permulaan buku. Dan rasionalnya nampak logik. Dia
bukanlah menyenaraikan tokoh yang teragung malah menggunakan kriteria berpengaruh - pengaruh hingga kini dan bukan sekadar berpengaruh di zamannya. Tetapi Hart tidak berat sebelah, malah memperincikan mengapa dia meletakkan kedudukan seseorang tokoh itu lebih tinggi berbanding yang lain.

Pada saya, bukan ranking yang menjadi keutamaan. Kehidupan mereka itu lebih signifikan. Seperti yang saya katakan tadi, lebih dalam saya membaca kehiduan tokoh, semakin dalam kecintaan saya terhadap tokoh-tokoh Islam yang dahulu. Bacaan saya sekarang menjadi selari - mengkaji tokoh Islam dan juga tokoh yang lain. Banyak buku yang saya beli tentang tokoh-tokoh ini sebagai rujukan supaya bacaan tidak menjadi berat sebelah. Semakin banyak saya baca, semakin banyak persoalan yang timbuk menyebabkan keinginan saya membuat kajian semakin membuak-buak.

Rasanya selepas ini saya mahu selitkan entri tentang tokoh-tokoh. Mungkin juga saya mengusahakan blog baru tentang tokoh-tokoh ini atau menghidupkan blog sedia ada. Insya Allah.

* Gambar ini bukanlah imej sebenar buku yang saya beli. Buku terbitan di Malaysia, kulitnya berwarna putih dan tulisan merah. Gambar sebenar akan menyusul kemudian.



07.07.07

Saya terlupa hari Sabtu yang lalu ialah 07.07.07. Seorang kawan dari Sarawak datang bertandang ke rumah meminta saya menjadi 'pemandunya' menghadiri kenduri ke Kuala Kubu Baru dan Melaka. Saya menerimanya dengan rela hati, dan pada masa yang sama dapatlah juga berjalan-jalan ke tempat orang. Bersama dua lagi teman, saya bertemankan peta dan kata hati. Dari Bangi memandu ke Kuala Kubu hampir 2 jam. Rupa-rupanya tempat kenduri tidak jauh dari sempadan Perak (Tg Malim). Kemudian, bergegas pula ke Melaka. Perjalanannya hampir 4 jam dari Kuala Kubu. Tempatnya juga tidak jauh dari sempadan Johor. Kiranya saya masih lagi boleh memandu jarak jauh, walaupun kaki terasa lenguh menekan brek dan memainkan minyak. Maklum sahajalah, kereta manual.

Bila menghadiri kenduri, soalan yang biasa pun keluarlah. Maka ada yang menjawab '20.07.2007'. Kalau rasa tarikhnya terlalu dekat, tunggulah 08.08.08. Kalau tidak, 09.09.09 atau 10.10.10 atau 11.11.11 atau 12.12.12. Kalau tidak ada juga, carilah tarikh sendiri!"

Kerja dan kerja dan kerja

Tiba-tiba sahaja bos memanggil saya bersama dua staff yang lain. Yang seorang - credit control - baru sahaja berhenti selepas berperang mulut dengan staff yang lain tetapi berjaya di pujuk masuk kembali. Alhamdulillah. Jika dia setuju masuk semula bermakna kuranglah sedikit beban di bahu. Seorang lagi pula kerani yang kerjanya lebih kepada logistik dan urusan tender dan taip-menaip.

Demi menyelamatkan beberapa hati yang sudah mula berpecah belah di dalam pejabat, maka dua orang staff ini berada di bawah perhatian saya. Maksudnya, apa sahaja kerja yang dilakukannya perlu dimaklumkan kepada saya. Setiap perkembangan mereka berada di bawah tanggungjawab saya. Tambahan pula, saya memangku tugas Akauntan yang cabut lari. Segala bayaran masuk dan keluar, pinjaman, komisyen, gaji, advance, KWSP, Perkeso dan sebagainya bukan setakat berada ditangan, tetapi juga dikepala.

Alhamdulillah. Saya menerimanya dengan rela hati. Mungkin sudah sampai masa untuk saya berada sedikit atas dari mereka yang lain. Merasa untuk memegang amanah yang lebih besar dan tanggungjawab yang melebihi segala-galanya. Inilah saatnya untuk saya memimpin setelah sekian lama di pimpin. Ada yang mempersoalkan tugas Pengurus Tadbir kami yang sedia ada namun, biarlah yang berhak sahaja menilai kerja kita. Saya tidak mahu mendabik dada. Saya lebih suka jika usaha saya dinilai melalui hasilnya. Action speaks louder than words. Tambahan pula saya perlu selalu berinteraksi dengan Pengarah Kewangan yang baik hati (merangkap isteri Pengarah Urusan). Maka segala perkembangan akaun perlu saya maklumkan secara SMS kepadanya saban waktu. Ini bermakna telefon saya tidak boleh kehabisan kredit.

Walau apa yang terjadi, cabaran yang saya lalui disini memang cukup hebat. Ibarat menjadi orang tengah kepada pengurusan dan pekerja biasa (maksudnya disini para pengawal). Fokus saya juga terpecah dua - mahu mengembangkan syarikat dan juga mengawasi kebajikan pekerja. Ibarat menarik rambut dalam tepung, biarlah dua-dua menang. Hati pekerja /pengawal perlu dijaga. Matlamat syarikat juga perlu di pastikan berada dalam situasi yang positif. Barulah senang hati untuk bekerja.

Setiap kali melangkah ke pejabat, saya sering berdoa agar Allah jauhkan saya dari sifat bongkak dan angkuh terhadap jawatan yang saya pegang. Saya juga berdoa agar mereka selesa bekerja dengan saya, dan saya juga selesa bekerja dengan mereka.

Selasa, Julai 03, 2007

Mari..mari....




Laman web Half Of A Yellow Sun ini di cadangkan oleh seorang cyberfriend. Katanya, buku ini menarik. Marilah masuk dan ambillah ilmu yang sesuai buat kita.

Manusia

Saya secara umum ialah seorang yang lambat mesra dan berat mulut. Ada waktu tertentu saya menjadi terlalu ramah, dan ada kalanya bertukar menjadi kejam (macam sesumpah pula, boleh bertukar-tukar). Tetapi, ramai orang kata saya baik (hehe..masuk bakul angkat sendiri). Itu orang kata, bukan saya. Saya cuma menyampaikan sahaja.

Masalah sebenar saya ialah untuk berurusan dengan 'manusia', sama ada secara langsung atau tidak (contohnya melalui telefon). Dua situasi ini sering memerangkap saya.

Kerjaya saya memerlukan saya berurusan dengan beratus orang pengawal keselamatan. Apabila mereka menghadapi masalah dengan Pegawai Operasi, pejabatlah tempat mereka mengadu. Saya adalah sasarannya. Kadang kala mereka datang ke pejabat. Ada kalanya membuat aduan melalui telefon. Mereka biasanya mengadu tentang kiraan gaji yang salah, di buang kerja, di kenakan penalti, di gantung kerja kerana masalah disiplin atau mahu memohon pinjaman dari syarikat.

Setiap kali mereka buat aduan, saya akan pastikan ada yang menapis panggilan sebelum saya menjawab. Jika ada yang datang mahu berjumpa, saya cuba mengelak dan menyerahkannya kepada orang lain untuk 'ambil laporan.' Masalah utama saya ialah kerana tidak pandai menolak, tidak mahu menghampakan harapan orang lain dan mudah kasihan. Mereka yang datang mengadu mudah mengundng kasihan saya. Sebelum ini, saya mudah memberi dan mereka kebanyakannya mengambil kesempatan.

Ada ketika saya terkena, dan ada juga saya menjadi mangsa. Kini saya belajar dari kesilapan. untuk mengelakkan perkara yang lalu berulang kembali, saya mengambil sikap unuk mengelak. Mungkin itu jalan yang selamat dari terperangkap. Bila saya menjawab panggilan, alasan saya ialah, 'buat surat dahulu, nanti kami proses' atau 'tulis laporan dahulu, nanti kami siasat' atau 'nanti saya rujuk kepada pegawai Operasi.' Sedangkan, dalam hati saya, jawapannya ialah tidak. Jika ada sesiapa yang memohon sesuatu, saya akan minta staff lain menjawab bagi pihak. Saya berdiri di sebelah melihat mereka menangkis permintaan. Dalam hati, perasaan kasihan ada, tetapi saya tahu jika saya mengizinkan atau membenarkan, masalah akan timbul. Adat manusia, di beri betis, mahukan peha.

Selain itu, saya juga tidak gemar menjawab panggilan telefon. Saya sebenarnya kurang gemar bercakap melalui telefon. Setiap kali telefon genggam saya berbunyi, saya akan lihat dahulu nombor yang tertera sebelum menekan kekunci hijau. Bila melihat nombor yang tidak dikenali, saya biarkan atau serahkan kepada orang lain untuk menjawab. Saya tidak sanggup menolak hajat mereka dan pada masa yang sama tidak sanggup menanggung risiko. Oleh sebab itu saya enggan memberi nombor telefon kepada para pengawal sesuka hati. Mereka bila-bila masa sahaja mengganggu, tidak kira pagi, petang, siang atau malam. Kadangkala menjadi gangguan pula.

Talian yang di sambungkan ke meja saya juga merupakan satu masalah. Seboleh-bolehnya saya berpesan kepada mereka, tolonglah tapis panggilan sebelum masuk. Jika ada sesiapa yang ingin bercakap, tanyakan siapa dan beritahu saya dengan perlahan. Jika saya rasa saat itu masa yang sesuai untuk menerima panggilan, saya akan melayan dengan baik. Jika tidak, saya akan beri alasan sama ada keluar ke bank atau mesyuarat. Apatah lagi jika panggilan itu adalah dari orang yang sekadar 'bising-bising'. Mereka sekadar mengetuk tin yang kosong. Kuat berbunyi tetapi tiada isi. Kadangkala sekadar membuang masa bercerita hal yang tidak perlu. Namun kelebiihan saya di sini ialah, saya boleh mendengar tanpa 'register' sebarang maklumat ke dalam memori. Mengiyakan tetapi tidak menerima. Mendengar tetapi tidak membenarkan. Sebaik letak gagang, saya tidak tahu apa yang mereka ceritakan dan saya lupa apa yang saya cakapkan. Mungkin itu caranya mengajar orang yang terlebih ajar.

Inilah sebenarnya saya. Sebelum ini kalau orang bertanya saya mahu pekerjaan yang bagaimana, jawapan saya ialah yang tiada hubungkait dengan manusia. Biarlah saya kerja dengan robot atau mesin. Manusia lebih kompleks untuk di dekati. Tetapi takdir saya di sini. Allah mahu saya berhadapan dengan realiti supaya saya boleh atasi kelemahan diri. .

Tetapi saya memang mengerti yang saya sebenarnya menghadapi masalah bila berhadapan dengan manusia. Bagaimana agaknya cara mengatasinya?

Isnin, Julai 02, 2007

Mengintai Masa


Sudah bebrapa orang bertanya bila agaknya pilihanraya kita ini akan berlangsung. Memang sejak akhir-akhir ini, pilihanraya adalah topik paling hangat untuk di bicarakan. Mana-mana mata yang hampir tertutup akan segera terbuka. Telinga yang tidak mahu mendengar tiba-tiba rasa segar. Pilihanraya adalah perkara yang mengujakan untuk smeua mendengar.

Pilihanraya bagi saya merupakan satu nostalgia. Teringat kepada suasana 1999. Rasanya macam pesta. Poster di sana sini, kempen dan rapat umum (diharamkan atau tidak?), perjumpaan dan mensyuarat. Masih mentah ketika itu tetapi sepak terajang politik kampus tidak jauh bezanya dengan situasi sebenar. Dari situ, banyaklah yang saya tahu. Istilah politik, prosedur pengundian, kempen mencaci dan memburukkan orang lain, poster fitnah dan macam-macam. Sememangnya 1999 adalah kempen pilihanraya paling buruk dalam sejarah dan paling bersejarah. Mengapa? Itu boleh dijawab oleh mereka yang terlibat sahaja.

Saya terlibat secara langsung, maksudnya bukanlah sebagai orang kuat. Sekadar menjadi petugas. Dan ketika itu sebenarnya masih lagi ada title besar yang saya pegang. Dan saya tahu, kalau orang yang dengki tahu status saya ketika itu, pastinya saya tidak dibenarkan kembali menelaah buku!

Oppsss!!!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...