Khamis, November 30, 2006

Nasib


“Aku tak tahulah sama ada hari ini aku kena tipu ke atau apa,” dia bersuara sebaik sahaja duduk. Tidak langsung menoleh kiri kanan. Tetapi bibirnya menguntum senyum. Senyum ikhlas, yang memang datang dari hati. Dan wajahnya pula berseri-seri.

“Kenapa?” saya bertanya kehairanan. Melihat dia terseyum-seyum begini, hati didesak bertanya tanpa mampu menanti walau sedetik.

Dia diam sambil tersenyum sendiri. Jarinya pantas menekan kekunci telefon bimbitnya. Entah apa yang ditekannya pun, tidak pasti.

“Cakaplah. Kalau kena tipu mana boleh senyum macam ni sekali.” Saya tidak sabar. Pelik pula perangai sahabat seorang ini.

“Sabar, kita minum dulu,” dia melambai ke arah pelayan, memesan minuman dan beberapa lagi menu tambahan.

“Tadi beria sungguh semasa telefon. Aku dah berlari bagai tak cukup tanah ke mari tahu tak?” saya merungut kecil, seolah marah. Geram juga ada. Terasa pula seperti dipermainkan. Beberapa pelanggan di restoran memandang ke arah kami. Mungkin terdengar suara kasar saya agaknya.

“Kau percaya pada tilik nasib?” dia bertanya sambil tersenyum girang. Matanya tepat memandang kearah saya.

“Tilik nasib?” saya membeliakkan mata, menyandarkan badan ke kerusi, meletakkan telefon di atas meja, meregangkan tangan dan badan seketika. Petang selepas kerja begini, mengeliat sekuat hati memang sesuatu yang nikmat. Tetapi bukannya di sini, tempat awam.

“Beginilah. Aku cerita dari awal.” Perbualan terhenti. Dia memerhatikan pelayan yang datang membawa pesanan. Dia menyusun dengan kemas di atas meja.

“Maaf, aku lapar. Belum makan tengahari lagi.” Dia mencapai mee rebus dan kerang bakar. Terus makan tanpa mempelawa saya yang termangu-mangu disitu.

“Tadi masa aku sedang buat kerja di pejabat, tiba-tiba ada seorang Benggali datang mengetuk pintu. Dia tunjuk kad. ‘I’m a fortune teller’ katanya. Biasanya aku tak layan, tetapi entah kenapa hari ini aku rasa baik sangat.” Dia menghirup kuah mee rebus dengan penuh selera. Kemudian meletakkan sudu dan garpu ke tepi, mengelap bibir yang comot dengan kuah.

“Rupanya dia dari India. Jadi, terpaksalah speaking. Tiba-tiba dia kata muka aku ada luck...ada tuah.”

Saya meneguk teh tarik yang panas. “Betul ke?” saya bertanya lalu membuka isi kerang yang masih berasap.

“Sebelum ini memang ada orang beritahu muka aku ini ada tuah. Itu ramalan dari seorang staff Cina di pejabat lama. Kali ini India pula yang meramal.”

Saya senyum sambil menggelengkan kepala.

“Jadi aku cuma nak lihat sama ada ramalan mereka ini sama atau tidak.” Dia menyambung makan. Mee rebus itu tidaklah nampak lazat, tetapi cara dia menikmatinya nampak seperti terlalu sedap. Saya menelan liur.

“Jadi, samakah?” saya bertanya sambil terkial-kial mengunyah kerang yang liat.

“Lebih kurang. Yang aku suka, bila dia kata nasib aku akan menjadi baik bermula dari bulan Disember ini hingga ke 5 tahun yang akan datang. Macam-macam lagilah.”

“Kau percaya?” saya bertanya sinis. Angin petang yang lembut menyapa membawa bau yang kurang menyenangkan dari longkang yang tidak jauh dari meja kami. Saya menoleh ke arah longkang yang di kerumuni lalat. Seketika tekak terasa kembang.

“Bukan percaya. Tapi cuba kau lihat situasi ini. Aku tulis sesuatu pada kertas, kemudian aku serahkan kepada kau. Selepas itu aku minta kau pilih satu nombor dan sejenis bunga. Kemudian, aku cerita perihal masa depan kau, kesihatan, kehidupan, kerjaya, karier, kewangan, keluarga dan macam-macam.” Dia berhenti, membiarkan hati saya tertanya dan berfikir.

“Apabila kau buka kertas itu, yang tertera ialah nombor yang kau sebut dan bunga yang kau pilih.”

“Dah namanya tukang tilik, mestilah betul.” Saya memberikan jawapan yang tidak pasti sambil menguis kerang yang masih berisi.

“Memanglah. Tapi kalau aku buat macam tu pada kau, kau mesti percaya, betul tak?” Dia tersenyum lebar. Memberikan satu soalah yang seolah memerangkap saya sebenarnya. Saya mengeluh perlahan.

“Hmm.. habis kenapa yang kau kata kena tipu?” saya menukar topik perbualan.

Dia ketawa pula kali ini. “Untuk itu sahaja aku kena RM 50.00.” Saya turut ketawa bersama sambil menggelengkan kepala.

“Selepas itu, mulut ini gatal pula mahu bertanya lagi. Aku tanya bila aku akan kahwin heheh....” dia ketawa lagi. Kali ini dengan kuat. Saya turut sama ketawa. Entah ketawa atas kelucuan apa, saya tidak tahu.

“Memang ambil kesempatan kau ni,” balas saya selepas ketawa reda.

“Dia suruh pilih satu no antara 1 hingga 5. Aku pilih tengah-tengah.” Dia menghirup mee rebus yang tinggal kuah.

“3?” saya bertanya ringkas. Bau longkang terus menutup selera saya dari menjamah kerang bakar. Tetapi dia, bersahaja menelan.

“Ya. Selepas itu entah apa yang dia kira. Dan kemudian, dia letak satu tarikh. Itu tarikh perkahwinan aku katanya,” dia senyum-semyum pula kini. Jarinya memainkan sudu dan garpu di dalam mangkuk mee rebus yang kosong.

“Bila?” saya bertanya sambil ketawa kecil.

“3 Mac 2007. Bila aku tengok hari, wah, hari Sabtu. Sesuai sungguh!” dia mengelap mulut dengan tisu yang sudah digunakan. Dia ketawa kecil.

“Selepas tu dia tulis nombor 101.” Dia ketawa lagi. Saya hairan. Apa lagi yang melucukan agaknya.

“Nombor apa pula?” saya bertanya sambil melambai ke arah pelayan. Bau longkang semakin meloyakan dan saya tidak tahan.

“Itu ialah jumlah yang aku kena bayar lagi.”

“Oleh kerana bertanya soalan seperti itu?” saya menyoal sambil menghulurkan wang kertas berwarna merah kepada pelayan yang berlalu menuju ke kaunter.

“Ketika itu, aku tertanya dalam hati sama ada aku kena tipu atau tidak. Tapi kasihan pula kepada Benggali itu. Jadi aku bayar sahaja,” dia mengambil telefon bimbit lalu memainkan kekuncinya.

“Jadi kau percayakah pada ramalan dia?” saya mengambil wang baki dari pelayan.

“Pada aku, kalau betul, Alhamdulillah. Kalau dia tipu, aku sedekahkan sahaja duit itu pada dia. Semoga dia selamat dalam perjalanan pulang. Ikhlas.” Dia senyum.

“Apa lagi yang kau senyum ni?”

“Sekurang-kurangnya aku dah tahu tarikh perkahwinan aku. Kau bila lagi?” dia ketawa. Saya tersenyum, sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Percaya atau tidak, betul atau salah, saya letak tarikh yang diberinya dalam reminder telefon bimbit.

“Kau kena ingat tarikh itu. Kosongkan dari sebarang agenda. Tarikh perkahwinan aku.” Dia ketawa lagi lalu bangun. Menyapu punggung, melirik ke arah kerusi dan meja kemudian berlalu pergi. Saya mengekorinya sambil tersenyum-senyum melihat tarikh dalam reminder.




P/s: Mahu percaya ke? Tepuk dada, tanya iman! :-)

Jumaat, November 24, 2006

Pergi

Mahu berehat - kerana ingin memberi hak kepada diri.

Berapa lama? Tidak pasti.

Tapi minda tidak akan berhenti atau menyepi.

Salam.

Duga

Dua kegembiraan kuterima dua hari yang lalu, masuk menerusi akaun. Beberapa hari kemudian ku termenung.

Pesan seorang teman, kegembiraan harus di kongsi. Ya, dan atas nikmat perasaan itu bibirku tidak putus mengucap syukur. Di kongsi bersama teman memang boleh, namun bagaikan mereka tahu hal ini biarpun tidak dikhabarkan kepada sesiapa. SMS yang masuk membuat ku terfikir sesuatu.

Ya Allah, jika nikmat perasaan dan kegembiraan yang kau kurniakan kepada ku ini harus ku kongsi bersama mereka yang dalam kesempitan hidup, aku redha. Semoga selepas ini, Kau kurniakanku kesempatan menikmati rezeki yang seperti ini dan Kau balas ku dengan nikmat yang lebih besar. Kau tetapkanlah diriku dalam perjalanan ini dan bantulah diriku menghadapi semua dugaan dan halangan duniawi.

Dan tidak akan ku berpaling lagi – atas jalan yang satu ini

Isnin, November 20, 2006

Anugerah Seni Negara 2006

TAHNIAH kepada Faisal Tehrani kerana menerima Anugerah Bakat Muda Seni Teater. Bagi yang prihatin, acara ini di siarkan secara langsung di RTM 1 malam tadi.

Semoga anugerah ini mampu menutup mulut-mulut yang memandang sepi karya berunsur Islami. Dan harapan juga agar ia menjadi penguat semangat untuk berjuang di jalan yang satu ini.

Saya masih ingat lagi nasihat itu - Janjio pada diri, jangan berpaling lagi!

Tahniah sekali lagi

~Anak komander~

Sabtu, November 18, 2006

Kerja



Saya sering mendengar keluhan ini:
Susahnya nak cari kerja!

Atau soalan ini
Betulkah sekarang ekonomi kita teruk? Kerja tiada?

Atau 'sindiran' ini
Mengapa ramai siswa menanggur? Memilih kerjakah?

Jawapan saya:
Zaman ini, kita mencari kerja, bukan kerja mencari kita. Juga jangan terlalu memilih. Saya bermula dengan gaji harian sebanyak RM4.00 sejam, tinggal pula di Kuala Lumpur. Memanglah tidak cukup, tetapi pandai-pandailah cari kerja lain. Mengajar tuisyen, pembantu kedai. Kemudian bergaji tetap RM500 sebulan. Masih mengajar tuisyen. Buat part-time macam-macam. Jurujual rumah, menjadi pembantu peperiksaan, hatta mencuci pinggan mangkuk. Saya memikirkan untuk mencari pengalaman, bukan sekadar sesuap nasi. Dalam masa yang sama, ketepikan perasaan penat, malas, letih, gaji kecil, malu, takut atau iri. Pasang impian dan cita-cita sendiri. Tanya pada diri, apa yang kita mahukan. Ijazah di tolak ke tepi. Apalah yang ada padanya, jika hendak buat kerja pun tidak tahu?

Kemudian, rajin-rajinlah berbual dengan mereka yang telah berjaya. Kita tidak tahu siapa mereka jika tidak bertanya. Semasa menjadi pembantu kedai, rupa-rupanya bos saya adalah senior di universiti. Saya bertanyakan peluang berniaga. Ketika mengajar tuisyen, rupa-rupanya ibu bapa anak murid saya punya sebuah syarikat sendiri. Ketika menjadi jurujual rumah, saya membayangkan bakal menjadi kontraktor. Semuanya di lakar dengan impian dalam kepala.

Selepas beberapa ketika, kerja datang sendiri. Mereka yang saya kenali menawarkan kerja itu itu ini. Tidak susah bukan?

Tepuk dada tanya selera. Kalau segan bertanya, sesatlah jalan. Jika tidak di pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Berburu ke padang datar,, dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi

Kalau besar yang dituntut dan mulia yang dicari,maka payah melaluinya,panjang jalannya dan banyak rintangannya - Imam Al Ghazali

Khamis, November 16, 2006

Maafkan aku, Tuhan


Maafkan aku, Tuhan
Ini rintih sepi dari diri yang kekurangan
Menyesali perlakuan
Menginsafi perbuatan
Moga masih ada hari depan
Untukku perteguh haluan
PadaMu ku pohon panduan
Agar hidup dijauhi kesesatan

Maafkan aku, Tuhan!

Taman Melawati
15 Nov 2005
9.43pm

Hakcipta terpelihara

~Secara tiba-tiba~
Ya Allah maafkan diriku, lembutkan hatiku, berilah petunjuk padaku

Rabu, November 15, 2006

Serpihan monolog - 2


Petang.

Secara tiba-tiba kekusutan terlerai. Harapnya diri boleh terima kenyataan ini. Bagaimana ya, mahu menyejukkan hati jika sepanjang masa disirami api. Cuba-cubalah bawa air, barulah betul caranya.

Petang merungkai cerita. Airmata jadi saksi, kata-kata sebagai bukti. Doa selepas ini, hati tidak berpaling lagi. Kalau mahu di putuskan tali itu, sejauh manakah kaki boleh melangkah? Kerana pasti hati itu di serang bersalah yang teramat. Dan diri kembali jadi bingung, jadi resah, jadi gelisah.

Buat yang memahami, andai masa boleh dijadikan saksi, mohon dengan amat yang berlalu usah diungkit lagi. Tutup. Putus. Buka buku baru. Bab baru. Fasa baru. Dunia baru.

Dunia masih luas. Udara masih ada. Hari masih ceria. Harapnya juga, nyawa masih ada untuk terus melangkah mengejar cita. Yakin pada diri. Teguh pada janji.

Bak kata pepatah Arab:
Wa maa faaata faat, wa man maata maat.
Yang sudah lepas, biarkan ia berlalu, yang telah mati, biarkan ia mati.

Selasa, November 14, 2006

Apakah yang di cari olehnya? - 1

Tajuk: Haji Murat
Penulis: Leo Tolstoy (diterjemahkan oleh Victor A.Pogadaev)
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (Karya terjemahan)
Tahun terbitan: 2001
Mukasurat: 242
Tarikh beli: 31 Juali 2005 di DBP
Harga pada buku: RM 30.00 (mungkin, sebab tidak ingat)

Leo Tolstoy? Haji Murat?
Bukankah Tolstoy itu penulis agung Rusia dan Haji Murat itu nama seorang Muslim? Apakah kaitan antara mereka?

Itulah persoalan yang keluar dari kepala saya tahun lalu apabila melihat buku ini tersusun rapi dalam rak di Koperasi DBP. Kebetulan, ketika itu saya sedang membuat sedikit kajian persendirian tentang Leo Tolstoy. Namun, buku Haji Murat terlepas dari senarai kajian. Dan kebetulan juga, saya sedang mengikuti Diploma Terjemahan bersama DBP, lalu buku ini yang merupakan terjemahan secara langsung dari bahasa Rusia saya beli bagi melihat gaya terjemahan dan membuat kajian bebas.

Saya tidak berfikir dua kali, terus saya beli.

Saya ingin kongsikan beberapa perkara menarik tentang buku ini:
Pertama, mengikut blurb (catatan di kulit belakang buku), “novel ini mengisahkan perjuangan bangsa Chechen menentang tentera Rusia, berlatarbelakangkan alam pergunungan Kaukasia. Tokoh utamanya, Haji Murat merupakan pejuang bangsa yang luar biasa keberaniannya yang sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan haknya daripada sebarang pencerobohan. Namun, seperkasa manapun fizikal dan semangatnya, bahkan keyakinannya apabila memihak kepada Rusia, Haji Murat tetap seorang lelaki Muslim bergelar suami dan ayah. Tanggungjawab terhadap keluarga tidak pernah di lupakan, dalam situasi tragis atau suasana gembira; satu amanah yang akhirnya melakar tragedi hidupnya.”

Kedua, menurut pengantar yang ditulis oleh Anwar Ridhwan, tidak lama selepas Tolstoy meninggal pada tahun 1910, lima karyanya yang tidak sempat dicetak semasa hayatnya telah diterbitkan termasuklah novel ini. Haji Murat ini diterbitkan oleh Dean Bahasa dan Pustaka dan merupakan terjemahan yang sah daripada bahasa Rusia berjudul Hadji Murat.

Ketiga, novel Haji Murat ini diterjemahkan secara langsung daripada bahasa Rusia ke bahasa Melayu oleh Victor A. Pogadaev, yang kini merupakan Profesor Madya di Universiti Malaya. Oleh itu, novel ini merupakan terjemahan langsung daripada bahasa Rusia, iaitu bahasa asal novel ini dan bukannya bahasa Inggeris. Ini menghasilkan satu terjemahan yang lebih menyeluruh dan tepat.

Keempat, menurut pengantar, Tolstoy meninggalkan rumah pada malam menjelang kematiannya. Namun, apakah yang di carinya? Riwayat hidupnya mencatatkan bahawa sejak berusia 46 tahun (1874), Tolstoy mula memperlihatan kecenderungannya untuk memasuki dimensi kerohanian secara lebih serius, serta mengeluarkan hujahan peribadinya. Dalam konteks ini, bukan tidak sering pendapatnya berkonflik dengan pendapat kaum ortodoks Rusia dan pihak gereja. Konfliks tersebut turut memberi palit negatif kepada isteri dan keluarganya. Tolstoy pernah menyatakan, “We search for mind, powers, goodness, perfection in all this, but perfection is not given to ma in anything....”

Jadi, apakah yang dicari oleh Tolstoy sebenarnya?

P/s: Nantikan sambungan kisah ini (bagi mengelakkan entri ini menjadi panjang, maka dipendek-pendekkannya)

Isnin, November 13, 2006

Serpihan monolog


Kala jengking ini sifatnya baik. Kalau kau mahu tahu, dia tidak akan menggigit atau menyengat kecuali jika di sentuh. Bila dia diusik atau terasa dirinya diancam, dia akan membalas. Tika itu kau akan rasa bagaimana bisa dan peritnya digigit. Lantas kau tidak akan lupa hingga bila-bila.

Jadi, signifikannya?

Jangan kau cuba mahu mengusik orang berbintang kala. Zahirnya memang baik dan mantap. Sebab itu orang lain mudah ambil kesempatan terhadapnya. Namun, bila hati dan perasaannya terusik, dia akan membalas dan bisanya kau akan tahu. Sakitnya memang tidak terucap. Jika bisanya tidak membunuh pun, kau akan ingat gigitan dan sengatannya sehingga mati.

Dan rasanya, dia mungkin tidak berdendam sekali. Banyak kali.

Wah! Kejam sungguh!

Kisah ribu-ribu

Alkisahnya, maka dipendekkanlah dialog tempohari.
A: Memang kereta yang dibawa dari luar dikenakan eksais sebanyak 200-300%.
B: Tujuan sebenarnya ialah untuk menjaga industri Proton dan Perodua. Kalau tidak bungkus!
A: Ya, memang
B: Jadi, berapa kereta tu kena
A: Mula-mula ejen tu kira RM 55,xxx
B: Apa? RM 55,xxx!!!! (terbeliak biji matanya)
A: Ya. Tapi lepas tu dia kata boleh kurang jadi RM22,xxx dengan syarat bayar RM8,xxx pada dia. Undertable!
B: Amboi! Banyaknya
A: Dia kata ini bukan untuk dia, tapi untuk staf dia yang kira tu
(Untuk makluman, situasi ini berlaku ketika hampir nak raya!)
A: Tak kuasa nak bayar. Jadi bila kira lagi dapatlah dikurangkan kepada RM22,xx. Itu pun nak duit kopi beberapa ratus
B: Bayar ke?
A: Taklah. Buat rayuan, dapatlah dikurangkan kepada RM17,xxx. Baru dua hari keluar. No plat pun belum tukar lagi

Kesimpulan: Masih tidak berubah lagi rupanya mereka itu

Telur di dalam bakul

Ada satu kesimpulan yang mudah sebenarnya. Orang tua-tua sudah cakap dari dulu lagi. Kalau hendak bawa telur, jangan letak dalam satu bakul, tapi letak semua telur itu dalam bakul yang berasingan. Kalau letak dalam satu bakul, bila bakul tu jatuh, telur itu akan pecah kesemuanya. Kalau nasib baik, satu dua telur dua sahaja elok. Tapi kalau nasib tidak baik?

Ikan kecil, ikan besar


"Ini pandangan aku sendiri.

Kail kalau di beri kepada pemancing, dia akan beri kita ikan besar. Tetapi kalau kail di beri pada pemetik kelapa sawit, dia akan bayangkan tandan kelapa sawit dan buah lerai, bukan ikan besar, bukan ikan kecil.

Bila tak dapat ikan, dia akan salahkan kail dengan kita sekali sebab beri dia benda salah. Tapi bila si pemancinng beri kita ikan besar, apakah kita akan bersyukur dengan pemberiannya atau kita sebenarnya sekadar menduga kehebatannya memancing?

Kesimpulannya?

Sebelum buat sesuatu benda tu, fikirkan logik dan warasnya dahulu. Jangan main bagi sahaja. Nanti kita akan di salahkan. Sebab itulah orang tua-tua kata kalau takut di lambung ombak jangan berumah di tepi pantai, sebab ombak selalu datang menduga pantai. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga, sebabnya, mana boleh kail yang sejengkal mahu memancing dilautan yang maha luas.

Itu kata aku. Kata kau, apa pula?"

Jumaat, November 10, 2006

Buku: Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri


Tajuk: Perangai Bergantung kepada diri sendiri
Penulis: Pendita Za’ba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun terbitan: 1987 (Cetakan Ketiga). Cetakan pertama ialah pada 1982
Mukasurat: 103
Tarikh beli:DBP
Harga pada buku: RM 5.50
Harga selepas diskaun (atau harga lelong): RM1.00
Tarikh beli: 30 Julai 2006 di DBP, Kuala Lumpur

Blurb
Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya sendiri – tidak pernah di suruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak!!..

Pengantar oleh Datuk Haji Hassan Ahmad (Ketua Pengarah DBP Ketika itu)
Kelemahan syahsiah adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Inilah kesimpulan yang telah dibuat oleh Allahyarham Pendita Za’ba dalam buku ini. Menurut Za’ba kemunduran orang Melayu disebabkan sebahagian besarnya kerana mereka tidak percaya pada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantungkan diri dan harapan kepada orang lain. Orang Melayu lebih cenderung meminta bantuan dan pertolongan orang lain.

Pandangan Pendita ini memang agak berat diterima oleh orang Melayu, dan mungkin beliau menyedari keadaan itu, maka sebab itulah buku ini tidak diajukan kepada mana-mana penerbit semasa hayat beliau. Setelah lapan tahun meninggal dunia, karangan beliau ini baru dapat diketahui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan disedari tentang pentingnya kepada bangsa Melayu hari ini.

Dewan Bahasa menganggap karangan ini suatu khazanah yang berharga dan perlu dibaca oleh setiap orang Melayu. Bahasa dan gaya bahasanya dikekalkan seperti asalnya. Ini penting, untuk kita memandang karya Allahyarham sebagai pengganti diri beliau dalam membangunkan bangsanya. Mudah-mudahan Allah akan mencucuri rahmat kepadanya, dan mengampunkan dosa-dosanya. Kepada bangsa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka kemukakan nasihat dan amanat Pendita yang dibuat lebih 20 tahun lalu untuk direnung dan dibahas. Diharapkan para pembaca akan dapat menggarap banyak manfaat dari buku ini.

Kisah disebalik buku ini:
Buku ini mengandungi dua bahagian yang dipanggil risalah, iaitu risalah Kedua yang berjudul Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (yang menjadi tajuk buku) dan risalah ketiga iaitu Kebajikan dan Kejahatan. Setiap risalah mengandungi empat bab.

Dalam bahagian pengenalan yang ditulis oleh Hamdan Hassan, Risalah I telah diterbitkan pada 1952 oleh Jelutong Press, Pulau Pinang dalam tulisan jawi. Ia kemudian diterbitkan kembali oleh DBP dalam edisi rumi dengan tajuk Falsafah Takdir pada 1980.

Namun, Risalah I yang membahaskan masalah pokok dalam memahami dan mengamalkan agama Islam telah menimbulkan kontroversi dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, terutamanya di Perak. Akibatnya, Sultan Perak sendiri campurtangan dan mengharamkan Risalah I. Kesannya, penerbitan Risalah II terpaksa dibatalkan oleh penerbitnya dan tidak sampai ketangan pembaca hingga ke akhir hayat penulisnya.

Sehingga kematiannya pada 1974, Za’ba tidak memberitahu dimana dan siapa yang menyimpan Risalah ini. Oleh itu, DBP dalam edisi rumi Risalah I membuat pengumuman supaya sesiapa yang menyimpan Risalah II supaya membawanya ke tengah agar ia dapat disajikan kepada pembaca dan peminat pemikiran Za’ba.

Akhirnya, Risalah II ini ditemui oleh anaknya, Zaharah Za’ba dari seorang penerbit lalu diserahkan terus kepada ketua Pengarah DBP.

Petikan menarik
Maka oleh sebab ramai mereka yang demikian ini, jadi bangsa mereka pun terkandaslah dan terhalang daripada mendapat kemajuan yang diingini. Padahal orang-orang bangsa lain yang percaya akan kebolehan diri mereka dan kuat bergantung kepada diri mereka itu sendiri sentiasa juga berusaha dan berikhtiar, belajar dan berniaga, hingga mereka telah beberapa jauh lepas ke hadapan pada serba-serbi perkara dalam hidup di dunia ini. (muka 9)

Nota saya
Buku ini saya ‘jumpa’ ketika mencari koleksi buku terbaru di DBP. Ia terletak di celah-celah buku lelong atau buku diskaun. Sayang sungguh, buku sebegini bagus oleh seorang yang di gelar Pendita di jual dengan harga RM1.00. Ketika saya beli, masih banyak lagi. Tidak tahulah sekarang ini.

Rabu, November 08, 2006

Akhirnya.....

IK ditutup lebih 1,000 mata selepas tujuh tahun
Berita Harian, 8 Nov 2006

KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan mencatat prestasi kukuh semalam dengan Indeks Komposit (IK) Bursa Malaysia buat pertama kali dalam tempoh hampir tujuh tahun ditutup pada paras melebihi 1,000 mata.

Penanda aras utama Bursa Malaysia itu melonjak 9.98 mata atau 1.01 peratus mengakhiri dagangan pada 1,003.28 mata, selepas sejak seminggu lalu cuba melepasi paras rintangan utama 1,000 mata.

Rabu minggu lalu, IK berjaya melepasi paras rintangan berkenaan apabila mencecah paras 1,006.82 mata dalam sesi dagangan sebelah pagi, tetapi gagal dipertahankan sehingga ke akhir dagangan kerana kegiatan pengambilan untung.

Kali terakhir IK ditutup di atas paras 1,000 mata ialah pada 17 Februari 2000 dengan 1,006.82 mata.

Penganalisis mengaitkan prestasi cemerlang semalam dengan sentimen positif yang berterusan di kalangan pelabur hasil sokongan pelbagai faktor, termasuk jangkaan mengenai pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik, prestasi pasaran serantau dan pengukuhan di Wall Street serta harga minyak dunia yang diniagakan di bawah paras AS$60 setong.

Di samping itu, Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung bermula 13 November ini turut mempengaruhi sentimen pelabur.

Berikutan faktor asas menggalakkan itu, penganalisis yakin minat belian di kalangan pelabur tempatan dan asing berterusan bagi membolehkan IK bertahan di atas paras 1,000 mata sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat ini.

“Rali hari ini begitu bertenaga dan menyeluruh dengan saham berkaitan indeks melonjakkan IK melepasi paras 1,000 mata.

“Kami menjangka minat berurus niaga akan terus membantu indeks berkenaan untuk bertahan di atas paras 1,000 walaupun faktor pengambilan untung mungkin menjejaskan sedikit prestasinya,” kata Ketua Penyelidik di MNA Securities Sdn Bhd, Wee Kim Hong.

Beliau meletakkan paras sokongan IK pada 990 mata, tetapi yakin penanda aras itu mungkin tidak akan jatuh di bawah paras berkenaan berdasarkan sentimen yang menggalakkan ketika ini.

Ketua Penyelidik di OSK Securities Sdn Bhd, Kenny Yee, pula berkata pasaran dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat, walaupun urus niaga akan berselang seli dengan kegiatan pengambilan untung selepas kenaikan kukuh semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun asas pasaran adalah kukuh, paras penutup IK semalam terlalu hampir dengan paras rintangan psikologi 1,000 mata.

Justeru, penanda aras itu kini perlu menguji paras rintangan selanjutnya pada 1,005 mata sebelum mampu melonjak lebih tinggi.

Sementara itu, kenaikan di Bursa Malaysia semalam adalah menyeluruh dengan menyaksikan semua indeks mencatat peningkatan.

Indeks Papan Kedua meningkat 1.10 mata kepada 87.77 mata, Indeks Perindustrian naik 12.77 mata kepada 2,096.23 mata, Indeks Kewangan melonjak 59.57 mata kepada 8,004.26 mata manakala Indeks Pasaran Mesdaq menokok 2.06 mata kepada 115.79.

Sebanyak 675 saham untung berbanding 172 rugi, 259 tidak berubah, 275 tidak diniagakan dan 26 saham digantung urus niaga.

Jumlah urus niaga meningkat kepada 875.15 juta saham bernilai RM1.22 bilion berbanding 702.84 juta saham bernilai RM820.90 juta kelmarin.

Oleh Zainab Mohd Yatim

Isnin, November 06, 2006

Menganalisis pasaran ekonomi


Saya tertarik dengan analisis pasaran ekonomi pagi tadi di KLfM yang membincangkan mengenai keadaan pasaran semasa negara - sesuatu yang telah saya tinggalkan sejak sekian lama. Menurut penganalisis, Jumaat lepas pasaran ekonomi dikatakan membawa keceriaan kepada pelabur, seperti mana dengan berlalunya jerebu yang kembali menceriakan ibukota. Walaupun pasaran ditutup pada 998 mata, dalam trend harian ia ada mencecah 1000 mata yang dipanggil intra-trading.

Melepasi atau mencecah 1000 mata dianggap sebagai petanda yang baik untuk ekonomi dan perniagaan semasa. Ia sesuatu yang memang dinantikan - kerana kalau diikutkan kali terakhir pasaran mencecah 1000 mata ialah pada tahun 2000, iaitu hampir 6 tahun lepas. Kemudian beliau mengaitkannya dengan Surah Yusuf, ketika Nabi Yusuf mentafsir mimpi seorang raja. Raja tersebut bermimpi bahawa 7 ekor lembu (atau kerbau) gemuk telah di makan oleh 7 ekor lembu (atau kerbau) kurus. Tafsiran mimpi oleh Nabi Yususf bermakna 7 tahun negara itu akan makmur disusuli oleh 7 tahun derita.

Kemudian penganalisis mengaitkan keadaan pasaran dengan Surah Yusuf ini - menyuruh kita supaya bersedia disaat senang dan berhati-hati dimasa susah. Saya melihatnya begitu begitu signifikan dengan keadaan ekonomi negara suatu ketika dahulu. Saya belajar Ekonomi ketika negara diserang kegawatan pada tahun 1997-2000. Lantas kami banyak buat kajian tentang keadaan ekonomi negara ketika itu dan perbandingannya dengan kemelesetan tahun 1985.

Sebenarnya, ekonomi negara memeng meletup naik pada tahun 1990-an bersama beberapa negara Asia Timur yang lain sehingga digelar Asian Tiger, Asian Miracle dan macam-macam lagi. Perniagaan meningkat naik, pertumbuhan ekonomi mencecah hampir 2 angka, pendapatan perkapita tinggi, inflasi rendah, kadar pengangguran kecil dan pelbagai lagi kenikmatan yang dilimpahi.

Kemewahan ini sebenarnya kalau dilihat bertahan selama 7 tahun dan selepas itu kita diuji dengan kesengsaraan. Banyak perniagaan yang bankrap, NPL meningkat, , berlakunya penjualan saham serta syarikat, inflasi naik, hatta bank pun ada yang bungkus. Ramai peniaga yang terpaksa melelong rumah, banyak kereta ditarik dan ada yang jatuh muflis.

Rakyat biasa yang tidak terlibat dalam perniagaan secara langsung tidak merasakan sangat tempiasnya. Ternyata kegawatan itu menyedarkan dan selepas itu ramai yang mengambil tindakan berhati-hati dalam melaburkan wang atau berniaga, bermain saham, membuka perniagaan atau apa sahaja yang berisiko. Semua mahu ambil jalan selamat. Itu teori saya yang pernah saya katakan kepada seorang kawan dahulu.

Sekarang ekonomi kita sedang dalam proses untuk naik semula. Diharap kemelesetan dan kemurungan 7 tahun itu berlalu seperti mana pasaran yang mahu mencecah 1000 mata. Semoga mendung hitam yang berlalu ini memberi sinar yang benar dan semoga kita bersedia lagi untuk 7 tahun akan datan. Sesungguhnya kata-kata Allah didalam Al-Qur’an itu adalah benar, dan kita sahaja yang selalu lupa.

Sabtu, November 04, 2006

Tunas Cipta - November 2006



Inilah dia rupa majalah Tunas Cipta yang bakal dikuburkan. Sudahkah anda buat surat bantahan?

Cerpen saya berjudul 'Takbir pada Akhir Ramadan' disiarkan dalam edisi ini. Saya sendiri belum berkesempatan mendapatkan majalah ini. Susah sangat! Kalau tak kerana kedai mamak di belakang pejabat saya, sudah tentu saya terpaksa ke Koperasi DBP hanya untuk mendapatkan majalah ini.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, percubaan kedua berhasil. Selepas ini, saya tidak pasti kemana karya saya akan pergi. Begitu juga dengan sahabat pengkarya yang lain.

~Ruang kita semakin sempit~

28, dan apa lagi selepas ini

3 Nov 2006
Pagi masih awal tatkala saya menerima SMS dari adik – berupa ucapan selamat hari jadi. Ya, hari ini rasmilah sudah saya berusia 28 tahun. Sudah lebih suku abad menghirup udara di dunia, merasai kehidupan dan berhadapan dengan manusia yang pelbagai.

Dan saya bukan jenis yang mengharapkan kek, kad atau jamuan. Setidak-tidaknya, ingat (tanpa ucapan pun) akan tarikh ini sudah memadai. Malah saya sendiri kadang kala lupa tentangnya. Cuma orang lain sahaja yang kadang kala lebih sudu dari kuah. Aiman tak kisah.

Saya tanya diri sendiri, sudah 28 tahun kini dan apa lagi selepas ini. Saya tidak memandang jauh. Tahun ini ada 57 hari berbaki, tetapi saya dapat buat satu kesimpulan. Saya telah menebas semak samun yang ada dalam perjalanan hidup. Ada yang telah saya racun, bakar, tebang, tebas, buang dan tetak.

Ada antaranya yang degil dan mahu hidup bagi mengganggu perjalanan. Saya biarkan, manalah tahu ada sesuatu disebaliknya. Tahun ini boleh saya katakan 60% dari rangka perjalanan yang saya rencanakan diawal tahun tercapai. Alhamdulillah. Selebihnya itu adalah masalah yang hadir dalam diri, kerana suka bertangguh, ternanti-nanti, tertunggu-tunggu, bermalas-malas dan terlalu menurutkan perasaan yang amat.

Saya sudah nampak hala tuju. Saya sudah tahu arah. Peta dalam tangan, panduan sudah diberikan. Segala semak samun telah saya bersihkan. Sekarang terserah pada diri sahaja. Apa lagi yang saya tunggu? Apa lagi yang saya mahu? Teruskan sahaja!

2007. Itu titik akhirnya.

Khamis, November 02, 2006

Koleksi terkini



Tajuk: Mawar Merah di Jambangan
Penulis: Khadijah Hashim
Penerbit: K Publishing Sdn Bhd
Tahun terbitan: 2003 (cetakan kedua)
Harga: RM 7.50 (murah!!)
Tarikh beli: 6 Syawal 1427 @ 29 Okt 2006 di MPH Alamanda, Putrajaya
Blurb: Kumpulan cerpen Mawar Merah di Jambangan membawa pelbagai tema menurut sudut pandangan dan sentuhan rasa Khadijah Hashim.

Nota saya:
Buku ini dijumpai terselit dicelah-celah buku besar. Dah lama tak baca hasil tangannya, selain dari Mira Edora dan beberapa buah karya lain yang saya baca semasa sekolah dahulu. Sayangnya, biarpun 4 cerpen didalam buku ini memenangi Hadiah Sastera Malaysia, tidak dinyatakan langsung sumber atau apa-apa nota di penghujung cerpen.

Maaf kalau gambar tidak memuaskan. Guna kamera laptop sahaja.

Rabu, November 01, 2006

Sedikit tentang Usman Awang


Nama lain: Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, Tongkat Warrant, U.A., Zaini)

Dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Ketokohan Usman Awang dalam dunia persuratan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan. Maka itu nama Usman Awang paling terkenal kepada semua pengkaji dan peminat sastera Melayu di pelbagai peringkat dan golongan. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan rasa keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita. Beliau adalah seorang penyair yang tidak pernah luntur dan dapat menyesuaikan dirinya dengan pelbagai zaman dan situasi.

Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat sekolah Melayu sahaja. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membenarkan beliau untuk mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani Muar (1940) hingga lulus darjah VI.

Semasa pendudukan Jepun di Malaya pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.

Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris mula memerintah pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau meletakkan jawatannya sebagai anggota polis dan berhijrah ke Singapura bersama Jamil Sulong. Beliau diterima bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita sebelum menjadi sidang pengarang Mingguan Melayu.

Pada tahun 1952, Usman Awang ditawarkan bekerja dengan Utusan Melayu mula-mula sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak, kemudian diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika. Selepas Malaya mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, dan Usman Awang turut serta dengan memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau ikut terlibat dalam peristiwa pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan buat beberapa waktu terpaksa menganggur.

Pada tahun 1962, Usman diterima bekerja dengan Penerbitan Federal untuk jangka masa lapan bulan dan kemudian berkhidmat pula dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa dan kemudian pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebagai Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sehingga bersara pada bulan Julai 1985.

Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya, tetapi menjadi mainan bibir di kalangan kanak-kanak sekolah dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular ialah “Bunga Popi”, “Gadis di Kuburan”, “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh” dan “Salam Benua”.

Usman adalah di antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun di dalam sajak-sajaknya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan yang konvensional. Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah di antara keistimewaan yang ada pada Usman Awang.

Ketokohan Usman Awang menonjol kerana perwatakan peribadinya yang lemah lembut dan mesra, dan simpatinya terhadap golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang sehingga kadang-kadang Usman ditaksirkan sebagai seorang seniman yang berjiwa rakyat dan berfaham sosialis.

Usman Awang juga menulis cerpen tetapi bidang ini nampaknya sudah lama ditinggalkannya sejak akhir tahun 1960-an lagi. Kegiatannya menghasilkan banyak cerpen dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an lebih banyak memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep “Seni untuk Masyarakat” yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50. Maka itu apa yang lebih jelas pada cerpen-cerpennya hanyalah berupa rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian serta pemikiran untuk mendedahkan segala kejelikan dan keburukan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya. Dalam pada itu, beliau tidak juga terlepas daripada memperlihatkan pandangan seorang anak muda yang berjiwa romantis dan idealis. Degup Jantung adalah antologi cerpen persendiriannya yang tunggal.

Sejauh ini Usman Awang hanya berhasil menerbitkan sebuah novel sahaja iaitu Tulang-tulang Berserakan. Novel ini tidak lebih daripada merupakan rakaman peristiwa peribadi beliau sewaktu bekerja sebagai anggota polis. Nampaknya bidang novel bukanlah bidang penulisan Usman Awang.

Selain daripada sajak, satu lagi bidang kreatif yang mengharumkan nama Usman ialah drama. Bidang ini telah diterokanya sejak awal tahun 1960-an dengan menulis banyak drama untuk radio dan pentas. Beberapa buah dramanya yang sukar dilupakan termasuklah “Serunai Malam”, “Malam Kemerdekaan”, “Tamu di Bukit Kenny”, “Matinya Seorang Pahlawan”, dan “Degup Jantungnya”. Dramanya yang banyak diperkatakan ialah drama “Muzika Uda dan Dara”. Drama ini telah dipentaskan oleh Gemaseni pada tahun 1972. Kisah “Uda dan Dara” ini sebenarnya merupakan idea awal daripada sebuah sajak Usman Awang yang dihasilkannya dalam tahun 1956 berjudul “Gadis di Kuburan”. Sajak tersebut diolah semula menjadi sebuah cerpen dengan judul “Uda dan Dara”. Pada tahun 1972, kisah yang sama disesuaikan pula untuk persembahan TV dan akhirnya menjadi sebuah drama pentas yang popular dan lagu-lagu daripada “Muzika Uda dan Dara” dirakamkan ke piring hitam oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, ketika itu.

Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair, sumbangan dan penyertaan Usman Awang amat dirasakan. Beliau banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Beliau bukan saja hidup sebagai pencipta karya yang asli dan halus, tetapi sebagai penggerak yang berani memberi penuh inspirasi kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 1950-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), setiausaha ASAS 50 di Singapura dan ketua PENA yang pertama (1962-1965). Beliau juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti lainnya. Kumpulan puisi “Kerana 152” dan “Teluk Gong” adalah juga daya usaha Usman Awang bersama penyair-penyair lain.

Sebagai penyair dan dramatis, Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina dan Rusia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Korea, Perancis, Thai, Czechoslovakia, Danish, Tamil, Itali dan Rusia. Barangkali beliau adalah penyair Malaysia yang banyak sekali sajaknya diterjemahkan ke bahasa asing dan dikenali di luar negaranya.

Usman Awang masih terus memainkan peranannya dalam kesusasteraan Melayu. Beliau dikatakan merupakan seorang yang berjiwa besar dalam bidang sastera dan tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah badan kehormat yang tertinggi di tanah air.

Dalam tahun 1982 Usman Awang telah terpilih menerima SEA Write Award. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985 iaitu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Anugerah ini bertujuan mengadakan kemudahan berkarya dan memberikan sumbangan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Dalam tahun 1995 beliau dianugerahi Anugerah Penyair Johor.

Selepas bersara daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat antaranya Persatuan Persahabatan China-Malaysia. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini disifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini masih berkekalan hingga ke hari ini. Selain itu beliau juga dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hinggalah ke hari ini.

Dalam tahun 1991 juga, beliau dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka, yang membawa gelaran Datuk oleh Baginda Sultan Perak. Beliau meninggal dunia pada 29 November 2001.

*Dipetik dari sumber yang saya tidak salin. Simpanan lama yang selamat dari ditelan virus.

Tunas Cipta bakal di kuburkan

Satu SMS penting yang saya terima, saya paparkan disini untuk tindakan semua.

Majalah tunas Cipta akan dimatikan. Sila tulis bantahan segera kepada Dato Dr Firdaus Hj Abdullah, Ketua Pengarah, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur. S.K juga kepada Puan PAdilah Ali, Ketua Bahagian Majalah. Bantahan mesti dalam minggu ini. Mari kita hidupkan peluang untuk lebih ramai orang dapat berkarya.

Bantahan ini harus di segerakan kerana bulan Disember adalah hayat terakhir untuk Tunas Cipta.

Bagi yang tidak begitu arif tentang Tunas Cipta bolehlah berkunjung ke DBP atau klik sini atau ini.

Sekian untuk makluman semua.
* Saya menanti terbitan November!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...