Selasa, Mei 30, 2006

Makan

Ada sebuah gerai yang di buka seawal 6 pagi, menjual sarapan untuk perut aku yang sentiasa minta di isi tiap kali selepas celik mata.
"Makanannya sedap," kata aku pada seorang kawan, mengesyorkan padanya.
"Apa yang ada? Apa yang sedap?" dia kelihatan seperti orang yang teramat lapar.
"Macam-macam ada. Kalau nak kau kena cuba dulu. Memang masuk dengan selera dan tekak aku," aku membalas.
Dia diam. Mungkin memikir waktu untuk mencuba.
"Tapi ada satu masalah kat situ," aku cuba menduga seleranya. Dia memandang dengan hairan. Aku tak tunggu pertanyaannya, terus sahaja menyambung.
"Setiap kali makan, mata aku mesti rasa mengantuk."
"Kenapa?" dia bertanya.
"Bila makan memang kenyang, sebab hidangannya cukup banyak, harga pula murah. Apa lagi, makan macam orang tak ingat dunia," aku membalas.
"Isk..itu masalah kau, bukan masalah tokey gerai tu," dia menepuk lengan saya dengan kuat selepas merasakan dirinya terkena.
"Esok belanja aku kesitu," dia memerintah sebagai pemutus bicara di saat saya menggosok-gosok lengan yang kesakitan.

'Makan, jangan tak makan...tapi kesihatan kena jaga..'

Tua?

Terasa penat juga memandu dalam tempoh yang lama. Sakit pinggang, sakit kaki semua ada. Sesekali terdetik pada diri, sudah tua sangatkan aku ini? Bila tengok umur, baru sahaja beberapa tahun melepasi suku abad. Masih muda belia lagi....

"Itulah, orang suruh jogging selalu tak nak, malas...sekarang rasakan!'

Isnin, Mei 22, 2006

Selepas

“Perempuan dengan airmata memang tak boleh di pisahkan!”

Buat kesekian kalinya airmata ini mengalir lagi. Aku tak mampu untuk sujud dengan lebih panjang. Nafas terlalu singkat, dada menjadi terlalu sesak. Airmata mengalir tanpa ditahan-tahan. Aku berdoa mengapa diri ini menjadi terlalu lemah. Mengapa mudah tewas dengan hasutan syaitan.

Ya Allah, berikanlah kekuatan menahan siksa yang terus bermukim di hati, hilangkanlah kesayuan yang menyinggah kini. Sesungguhnya aku insan biasa yang kadang-kadang tewas di tangan perasaan.

Kawan aku, Cikgu Positif ada berkata, untuk buang semua perkara ini, kita perlu berjaya.

Aku sedang mengusahakannya……

Saya benci!

Entri ini bakal bertukar nada.

Saya ini jenis yang tidak membantah bila di suruh.
Masa kecil dulu, bila mak suruh ke kedai, saya tidak mengeluarkan perkataan 'nanti kejap'. Saya dengar pesanannya, ambil duit, capai basikal dan terus pergi. Sekejap sahaja barang yang di minta tiba di hadapan mata.

Mungkin kerana sudah menjadi tabiat saya, apa sahaja permintaan orang lain saya tunaikan. Saya berusaha mengelakkan diri dari berkata 'tidak'. Saya MENGELAK diri dari berkata TIDAK, bukannya BELAJAR untuk berkata tidak. Saya berusaha penuhi setiap permintaan, saya usahakan setiap pertolongan, saya bantu mana-mana yang perlu, saya buat mana-mana yang patut. Kalau pun tidak boleh, saya cuba dahulu, baru kata TIDAK. Saya CUBA DAHULU.

Saya bukan jenis berkira.
Kerana jika saya berkira, ALLAH juga berkira untuk memberi rezeki kepada saya. Setiap hari sebelum tidur saya muhasabah diri apa yang telah saya lakukan pada hari ini. Saya mohon pada-Nya mana yang silap untuk saya betulkan pada hari esok. Saya minta supaya kesalahan hari ini tidak menjadi dosa hari esok. Saya berdoa agar usaha hari ini mendapat keredhaan-Nya. Saban waktu saya ingatkan diri bahawa Malaikat di kiri dan kanan adalah saksi dosa pahala saya. Saya akur biarpun sesekali tersungkur. Kadangkala saya biarkan sahaja ia berdarah dan berparut agar ia menjadi pengajaran buat diri untuk sentiasa berpaksikan landasan yang betul. Sebab itu, bila saya dengar perkataan TOLONG, saya tidak akan berfikir panjang. Saya akan terus pergi dan tidak berkira. Saya akan pastikan ia selesai dan selesai, hinggalah senyuman terukir di mata mereka.

Memang saya sentiasa berkorban. Tapi apa sahaja yang saya lakukan ini tidak sekali-kali saya harapkan balasan. TIDAK sekali-kali. Saya serahkan segala-galanya kepada ALLAH. Saya mahu Dia menilai sendiri. Saya mahu Dia menjadai saksi atas segala usaha saya. Saya sekadar mengharapkan pahala dan kenikmatan syurga. Itulah sebenarnya niat saya.

Saya berusaha tanamkan sifat-sifat yang baik-baik dalam diri. Saya mahu sentiasa berbuat baik, bukannya BUAT-BUAT BAIK. Saya mahu orang datang kepada saya kerana saya adalah penyelesai kepada masalah mereka, bukan sekadar PENYEMAK dalam kepala. Saya sedar kekurangan diri, lantas menjadikan saya seorang yang boleh membantu apa bila saya diperlukan. Saya sedia pada bila-bila masa. Saya tidak merungut, tidak membantah, tidak berkata apa-apa. Saya sekadar menurut. SEKADAR MENURUT. Pagi, petang, siang, malam..bila-bila masa sahaja, saya bersedia. Telefon saya tak pernah off dengan sengaja.

Saya berbuat begitu kerana saya mahukan balasan syurga dari-Nya. Saya tahu, dengan berbuat begini, ALLAH pasti akan menilai dan memberi ganjaran. Saya mahu supaya doa saya di makbulkan dengan mudah, permintaan saya di tunaikan dan masa depan saya di cerahkan. Sejak seminggu yang lalu, saya berusaha bersujud lebih lama kepada-Nya, mohon di bersihkan hati atas segala noda dan di cucikan dari segala titik hitam yang ada. Saya memang memohon dengan sangat kerana saya mahu DIA menunjukan arah yang jelas buat masa depan saya dan mahu perjalanan hidup ini menuju keredhaan-Nya.

Saya telah menyaksikan banyak kecurangan teman-teman, bertalam dua muka dan bermanis wajah dan air muka. Saya tidak salahkan mereka, tetapi menyalahkan diri sendiri kerana gagal membimbing dan memberi nasihat walau sepatah dua sebagai penghias hati. Saya sudah lama belajar buang sifat marah, membenci, dan iri hati yang dahulunya bertapak keras dalam hati. Saya bersihkan diri dan berusaha untuk bersifat dengan sebaik-baik perangai, kerana saya tahu ALLAH tak akan merubah nasib saya kecuali saya berusaha untuk merubahnya sendiri.

Saya menulis entri ini kerana geram.
Kerana saya geram. GERAM yang teramat sangat. Puas sudah saya berbaik sangka dengan semua, menunaikan segala permintaan yang ada, buat semua perkara yang di minta, selesaikan mana-mana yang tertangguh hasil kerja orang lain. Saya berusaha menjadi sebaik yang boleh. Saya tak mahu sifat-sifat buruk saya yang dahulu datang kembali hanya kerana permintaan mereka tidak dapat saya tunaikan. Saya sendiri ada perasaan, bukan sekadar kerbau yang boleh di cucuk sesuka hati ke sana dan kemari.

(Apa yang saya mahu sebenarnya? Saya sendiri tidak faham)

Saya benci bila ada orang mempersoalkan apa yang saya buat. Saya jadi benci bila orang memperkatakan yang SALAH atas benda BETUL yang saya buat. Saya jadi menyampah bila mereka ini menjadi talam dua muka, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam. Saya jadi tak suka bila mereka mula BERMASAM MUKA walhal boleh bertentang mata, bertemu empat mata dan bercakap tentang apa-apa. Mengapa tidak mahu berterus terang? Mengapa harus berselindung? Mengapa terus memperkatakannya dan tidak berusaha membetulkan, kalaulah pun ia nampak salah?

Saya benci dengan manusia begini. Saya benci dengan kepura-puraan mereka. Saya jadi benci melihat mereka. Saya benci untuk berhadapan dengan mereka.

Perkara-perkara begini buat saya lihat kembali dalam diri. Mungkin ada salah pada saya sehingga terjadi sebegitu rupa. Tapi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Saya mahu berbaik sangka pada semua. Saya tidak mahu ALLAH membalas saya dengan sesuatu yang lebih keras dari ini. Saya tidak mahu Dia tahan segala doa-doa saya. Saya tidak mahu perjalanan hidup saya menjadi gelap.

Kadangkala saya jadi penat memikir tentang mereka. Tapi bila saya renung semula, untuk apa saya menyesakkan kepala memikirkan mereka? Alangkah lebih baik jika saya pentingkan diri sendiri dan tidak hiraukan yang lain, biarkan mereka terjun dengan labu-labu yang ada manakala saya teruskan perjalanan hidup yang tidak seberapa. Tapi saya beristighfar semula, kerana saya tahu hidup bukan untuk diri sendiri, kerana itu wujudlah fardu ain dan fardu kifayah, supaya kita hidup bermasyarakat.

Saya mahu tetap dengan ikhlas. Apa yang saya buat, saya ikhlaskan diri. Saya tidak berkira. Duit bukanlah keutamaan, ganjaran bukanlah yang saya mahukan. Cukuplah pahala sebagai bekalan di sana. Mereka ini sekadar membawa saya kepada sifat-sifat lama yang telah saya kuburkan dari diri. Saya dah buang semuanya. Saya benci ia datang kembali. Saya benci.

Sebelum ini, sebelum ke sini, saya sering menyoal dalam hati. Mengapa harus saya kembali berpijak di tempat sama, di tempat yang saya pernah jatuh dan luka berdarah, dengan airmata mengalir sebagai tanda kesal. Mengapa saya memijak di tempat yang sama ini, tempat dimana parutnya masih ada dan nanarnya masih terasa. Mengapa? Saya tiada jawapan. Saya usahakan istikharah mohon panduan. Ada ragu-ragu yang hadir, tapi kerana perkataan TOLONG itu ada, saya buang segala yang ada. Saya buang kesenangan, saya buang kemewahan biarpun saya tahu kembali ke sini ibarat mengundur dan melangkah kebelakang dan mengembalikan nostalgia pahit, memaksa saya menjilat ludah lama dan kembali memandang kegelapan. Mengapa saya harus pilih jalan ini? Saya tidak tahu, saya tiada jawapan. Saya sekadar berdoa agar ALLAH mengerti apa yang tersurat di sebalik segala-galanya dan mohon agar semua ini berakhir dengan kadar segera.

Biarlah.
Atas perasaan geram, entri ini hadir. Saya tidak mahu diri di kasihani hanya kerana ayat-ayat yang saya lafaz secara tidak sengaja ini. Bukan simpati saya mahukan, cukuplah sekadar memahami. Saya sekadar berfikiran positif, berbaik sangka dan berusaha menyedapkan hati. Sudah resamnya manusia begitu, kalau tidak neraka tidak wujud berdiri.

Allah jua yang Maha Mengerti

Bahasa Bonda - Usman Awang

tersusun indah menjadi madah
jauh mengimbau menjangkau pulau
angin beralun lembut membuai
jauh meresap mendakap damai
ada ketika marak menyala
memercik api semangat bangsa
meletus gemuruh mengadap segala
menjadi alat perjuangan merdeka
seribu tingkah membawa lagu
mainan gadis di usik rindu
senjata teruna menawan cinta
pusaka rakyat pendokong budaya
seribu bahasa kita bicara
manakan sama bahasa bonda

1954

'.....karena hati tlah letih....'

Bahasa Jiwa Bangsa

"Bahasa kamu, saya percaya, di ucapkan oleh lebih dari 70 juta umat manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa yang terbesar di dunia ini. Jangan lupakan hakikat itu. Peliharalah bahasa kamu itu, berusahalah meninggikannya ke tahap yang layak di kalanga bahasa-bahasa dunia. Bila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggi pulalah taraf bangsa kamu." - O.T Dussek, Pengetua Pertama Maktab Melayu Kuala Kangsar, di petik dari buku 'Harun Aminurrashid', hasil karya Abdullah Hussain (DBP, 1982, ms 13)

Petikan diatas sudah lama berada dalam nota simpananku. Selalu sahaja ku baca sepintas lalu tanpa ada usaha menghayati jiwanya. Tetapi hari ini terkesan untuk melihat dengan mata hati, tatkala kerajaan berusaha menukar istilah Inggeris di Putrajaya kepada yang berbaur Melayu. Syukur. Akhirnya debat dan cakap-cakap ahli bahasa yang selama ini tersiksa dengan Precint dan Boulevard, berakhir. Akhirnya mereka boleh bernafas lega.

Bahasa Jiwa Bangsa

Hidup

Seusai subuh awalku semalam, aku berdiri di balkoni, menghirup udara segar pagi. Alhamdulillah, udara di sini masih segar dan indah. Suasana di sini ternyata masih dara lagi.
Aku memandang ke dada langit, memerhatikan bulan yang berdiri megah. Satu-satunya di situ. Tiada sebutir bintang pun menemaninya. Ah! Cukup damai sekali. Aman. Segar. Indah. Amat Indah. Tak perlu rasanya aku menempah mana-mana resort untuk merasai kedamaian seperti ini. Lantas, aku terfikir. Apakah suasana yang sama dapat aku rasakan pada esok hari? Apakah bulan yang sama dapat ku tenung dan lihat? Apakah aku masih boleh menghirup udara segar yang sama? Dan yang penting, apakah aku masih di beri peluang untuk bernafas seperti hari ini?

Allahu a'lam

Khamis, Mei 18, 2006

Gurindam Jiwa

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tiada
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hingggap seekor ditengah laman
Hendak mati dihujung kuku
Hendak berkubur ditapak tangan

Kalau tuan mudik kehulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya dipintu syurga

Lagu:Wandly Yazid
Lirik:: Hamzah Hussien
*Petikan dari filem Gurindam Jiwa, sebuah filem yang penuh dengan syair, gurindam, pantun dan puisi. Pernah terlihat CDnya dijual, tetapi apabila cuba mencari, tidak temui walau satu. Di mana agaknya boleh ku beli?

Rabu, Mei 17, 2006

Selamat Hari Guru

Cikgu mengajar aku mengenal baris aksara
mengira, membilang hingga aku kenal angka juta-juta
di rotan, di cubit, di marah aku senyum dengan redha
kerana sedar kesilapan sendiri memang patut aku kena denda.

'Buat semua cikgu-cikgu dan bakal cikgu, semalam tak sempat nak wish.
Mengajar anak bangsa bukan kerja mudah!'

Tazkirah

'Apabila kamu membaca al-Qur'an, Kami meletakkan antara kamu dan orang-orang yang tidak mempercayai akhirat, satu tabir yang menghadang' (17:45)

Selasa, Mei 16, 2006

Hatinya yang patah

(Ini adalah dialog antara aku dan A sebentar tadi, berupa pesanan-pesanan yang bila kulihat semula cukup menarik juga utk aku jadikan entri.

Semuanya telah ku tapis, supaya tiada hati yang tersinggung mahupun terguris, dialog yang keluar dari mulutku sahaja, dialog yang berupa nasihat buat seorang teman, dari sorang yang amat memahami. Untuk A, maaf, dialog ini tersiar tanpa izin. Untuk semua, maaf, kerana entri ini cukup rojak!)

i)
jgn ada perasaan putus asa. kalau tersepit pun jgn sampai meyiksa diri. dont answer if u r not that sure. just pray. and pray. laaa tahzan. byk2 bersabar. jgn terlaluu emosi. i believe tht his name is buried on the bottom of yur heart. kuat semangat. be positive. matahari akan tetap menyinar esok. belum kiamat lagi. oleh itu, jgn meletakkan titik pada perjalanan kehidupan kta jgn ada perasaan putus asa. jgn buat keputusan atas dasar kasihan atau terpaksa. better dont give solution now. don give solutn now. be coolllll.

ii)
“Kata aku, ini perkara besar, hal berteduh sementara duga datang mencuba bukan hal main-main
Kata Teh Sofia, ya, kerja tuhan siapa tahu?
Kata aku, Tuhan akan menunjukkan kepada yang mencari. Ya, asal kau mahu mencari, Dia menunjukkan.”
Tuhan akan menunjukkan kepada yang mencari. Ya, asal kau mahu mencari, Dia menunjukkan.
kerja tuhan siapa tahu?

iii)
(dan) tak semestinya yg hilang tak boleh diganti. mana tahu lebih baik? kerja tuhan siapa tahu? terlalu memuja bintang dilangit. terlalu. lupa pada rumput yang bertapak dibumi. mereka juga ada hak untuk hidup. dan dipuja. mereka itu yang jelas, yang dihadapan mata. bintang dilangit itu..sekadar untuk dipuja. ia terlalu jauh untuk kita gapai. terlalu jauh. terlalu. jgn kerana bintang2 yang hny wujud pd waktu malam, yg berkerlipan hny waktu malam itu, A lupa rumput ini lebih bermakna. rumput kat bumi tak permah patah. selalu disiram ujan. A terlalu memuja bintang dilangit. berpijaklah pd bumi yg nyata ya!

(A, banyak-banyak bersabar. Ambil kekuatan Salsabila. Dia pun dalam keadaan yang begitu. Habiskan Tunggu Teduh Dulu, dan renungkanlah)

Isnin, Mei 15, 2006

Gelak sekejap

Entri ini aku terima melalui e-mel. Bila aku baca, aku gelak kuat-kuat, lepas tu aku send melalui Skype pada semua staff yang ada, termasuklah cawangan yang ada di JB dan Batu Caves. Aku mahu dia orang sama-sama gelak kuat-kuat macam aku. Ha! Ha! Ha! Sama-samalah kita gelak kuat-kuat (tapi tengok dulu kiri kanan....)


Kalau perempuan lawa pendiam
Lelaki akan cakap: woow, ciri-ciri isteri idaman...
kalau perempuan tak lawa pendiam
Lelaki akan cakap: eh tak reti komunikasi betul...

kalau perempuan lawa berbuat jahat
Lelaki akan kata: musti ada krisis dalaman nih...kesian
kalau perempuan tak lawa berbuat jahat
Lelaki akan cakap: dah la tak lawa, perangai pulak huduh...

kalau perempuan lawa menolong Lelaki yg diganggu
Lelaki akan cakap: heroin sejati...!
kalau perempuan tak lawa menolong Lelaki yang diganggu
Lelaki akan kata: taktik nak ngorat le tu...

kalau perempuan lawa dapat Lelaki hensem
Lelaki akan kata: ok gak la....
kalau perempuan tak lawa dapat Lelaki hensem
Lelaki akan kata: kesian..mesti kena bomoh lelaki tuh!

kalau perempuan lawa ditinggal kekasih
Lelaki akan kata: buta kayu betul mamat tu....
kalau perempuan tak lawa ditinggal kekasih
Lelaki akan kata:...patut pun kena reject...

kalau perempuan lawa penyayang binatang
Lelaki akan cakap: perasaannya halus...penuh kasih sayang
kalau perempuan tak lawa penyayang binatang
Lelaki akan cakap: sesama keluarga memang harus menyayangi...

kalau perempuan lawa bawa BMW
Lelaki akan cakap: ntah dato' mana bela nih....
kalau perempuan tak lawa bawa BMW
Lelaki akan cakap: musti anak org kaya nih.....

kalau perempuan lawa tak mau bergambar
Lelaki akan cakap: pasti takut kalau2 gambarnya tersebar
kalau perempuan tak lawa tak mau bergambar
Lelaki akan kata: sedar pun diri...

kalau perempuan lawa menuang air ke gelas lelaki
Lelaki akan cakap: caring sungguh....
kalau perempuan tak lawa menuang air ke gelas lelaki
Lelaki akan cakap: nak tunjuk caring le tu....

kalau perempuan lawa bersedih hati
Lelaki akan cakap: dont worry..i will make u happy forever
kalau perempuan tak lawa bersedih hati
Lelaki akan kata: sikit2 nak nangis!! mengada2...

kalau perempuan lawa masak
Lelaki akan kata: dah la lawa, pandai masak pulak tu...
kalau perempuan tak lawa masak
Lelaki akan cakap: ntah sedap ke tak????

kalau perempuan lawa main2 miss call
Lelaki akan kata: takpe...
kalau perempuan tak lawa main2 miss call
Lelaki akan cakap: ko ni takde keja lain ke... sibuk ni tau..

kalau perempuan lawa hantar2 email
Lelaki akan kata: sukenya....
kalau perempuan tak lawa hantar2 email
Lelaki akan cakap: balik2 email dia...boring

Petikan

Kata aku, ini perkara besar,
hal berteduh
sementara duga datang mencuba
bukan hal main-main

Kata Teh Sofia, ya,
kerja tuhan siapa tahu?

Kata aku, Tuhan akan menunjukkan
kepada yang mencari. Ya, asal kau mahu
mencari, Dia menunjukkan.

Apa kata kau?

*Petikan dari Tunggu Teduh Dulu - Faisal Tehrani
(Aku yang tetap dan masih mencari. Mahu menghirup semangat Salsabila dan ladang Teduh Dulu)

Plan vs Pelan

Betul juga..
Betul juga apa yang dia cakap pada aku pagi tadi.
Biarpun telinga aku ni pedih mendengar tapi hati aku terbuka menerimanya.
(Pedih bukan apa, aku drive sorang-sorang, kejar masa nak masuk office, pecut sampai 130, dia sedapla bercakap... )

Memang sebenarnya perkara yg dia cakapkan itu memang aku dah tersemat dalam kepala aku sejak sekian lama. Pelan dah lakar, budget dah buat, costing pun ada, modus operandi pun siap... cuma buatnya belum. Terlalu byk mengganggu dan terlalu banyak yang mengacau, (termasuk syaitan yang direjam). Tapi yang pasti, masalah tu adalah aku sendiri, aku sendiri masalahnya.

Jadi bila aku fikir semula..apa lagi yang aku tunggu dan apa lagi yang aku fikir?
Tempat dah ada. Pengalaman dah cukup. Kemahiran tak payah kira. Duit takde masalah. Contact pun bagus. Market dah siap sedia. Customer lak tak payah risau. Action sahaja yang belum.

Apa lagi?
Apa lagi yang aku fikirkan?

Usahalah! Kalau bukan sekarang pun, bila lagi. Bila lagi aku harus tunggu. Apa lagi yang aku nak cari? apa lag yang aku mahu kalau bukan ini?

Satu sahaja yang pasti. Aku mahu mendapatkan keredhaan-Nya. Moga usaha ini direstui dan merupakan jalan terbaik bagi aku membebaskan diri dari segala-galanya.

Dari segala-galanya...

Insya Allah.

Jumaat, Mei 12, 2006

Bacaan

Sekarang ini aku sedang baca buku karya Faisal Tehrani, 'Tunggu Teduh Dulu'
Buku ni aku dah lama cari, tapi buku ni memang tak akan jumpa di mana-mana kedai, di jual secara maya.
Dah tau buku ni tak di jual dikedai, aku pergi cari jugak kat kedai buku.
Jawapannya... 'tak ada pun buku tu'
Dah jenis degil, nak buat camne....

Selasa, Mei 09, 2006

Bait-bait Kasih

kujenguk makam dengan salam, makam isteri tersayang
tetapi mengapa tidak menyahut?
Oh makam, mengapa engkau tidak menjawab seruan
jemukah engkau kerana aku jauh daripada kekasihku

antara bait syair Saidina Ali yang terukir pada makam isterinya, Fatimah Az Zahra

Perigi dan timba

(satu catatan yang aku nukilkan pada 14 dec 2005, catatan sendiri)

Bukannya aku menidakkan cinta mahupun mengenepikan cinta tetapi cinta itu sendiri amat payah dan sukar untuk datang kepadaku. Aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu membuatkan cinta itu datang kepadaku atau akukah sendiri yang perlu mencari cinta. Tetapi bagi kita orang Melayu ini, bila perempuan pergi mencari cinta, ia ibarat perigi mencari timba dan dunia bagaikan hendak terbalik. Apakah itu sesuatu yang kita boleh pegang hingga sekarang? Haruskah perigi itu menunggu sahaja timba datang kepadanya? Apakah ia tidak ada hak untuk mencari dan memilih timba yang patut dan terbaik untuknya?

Ini perigi zaman moden, perigi yang sudah boleh berdikari dan punya ilmu untuk kesana kemari. Perigi yang mampu bertanya jika tersesat jalan dan mampu mencari jalan pulang ke pangkal. Perigi zaman sekarang boleh memilih mana timba yang sesuai atau tidak!

Tetapi timba masih berpegang kepada pemikiran lama, yang ia punya hak untuk memilih yang terbaik buat dirinya.

Mengapa perigi tiada hak untuk memilih? Oh! tidak...

Rabu, Mei 03, 2006

Tsunami 1

Bila tuhan mula menghukun
Manusia jadi gundah dan terhukum

211205

‘saat mengenang tsunami’

Ancaman

Membelek-belek nukilan lamaku (zaman sebelum ada blog) , aku tertarik pada catatan ini yang aku tulis pada 14 Dis 2005. Mungkin boleh dijadikan pedoman

“Masakan kita lupa bahawa Paderi Zwemer ketika berucap di hadapan perhimpunan umum misionari pada tahun 1909 di Jabal Zaytun, Palestin, menegaskan bahawa kejayaan misionari tidak terletak kepada berapa ramai umat Islam yang murtad. Ujarnya, memadailah jika umat Islam secara besar-besaran meragui agama mereka sendiri. Atau sebetulnya melupakan sejarah bangsa mereka yang berakarkan Islam. Paderi itu malah yang menjelaskan umat Islam boleh sahaja beriman dan tidak perlu murtad, memadailah jika mereka tidak mahu beramal dengan ajaran Islam. Kejayaan yang serupa dengan keberhasilan menjadikan penganut Islam murtad itu telah pun dilunasi. Umat Islam ramai yang terlupa, iman dan amal itu saling bergandingan. Musnah amal, dengan sendirinya bermakna kehancuran untuk iman juga. Misionari sudah dikira berhasil merobohkan akidah dan sejarah umat Islam, cukup dengan memastikan fikiran, perasaan dan daya intelek pemimpin masyarakat Islam menjadi Inggeris atau lebih tepat menjadi Barat. Tubuh badan boleh sahaja kelihatan merdeka, tetapi akal dan fikiran yang tidak kelihatan masih sahaja terjajah. Ini disebutkan oleh Syed Qutb dalam kitabnya Fi Tarikh Fikrah wa-Minhaj.”

(Petikan PEREMPUAN-PEREMPUAN JOHOR & CAVUSBASI OLEH FAISAL TEHRANI dari siri kolum Kembara Iman Majalah I terbitan Karangkraf. I-September 2005)

Oh! alangkah....apakah kita tidak sedar atau sekadar buat-buat tak tahu?

Buat semua umat Islam, ini adalah satu ancaman dan ancaman itu datangnya dari diri mereka sendiri. Oh! Alangkah!

Selasa, Mei 02, 2006

Tinggal

Semua dahulu hadir dengan senyuman
Kini pergi tanpa pesan
Soalan dihambur tiada jawapan
Tinggalkan nama tinggalkan kesan
Diriku kosong jauh ditinggalkan

010506
'bila terasa akan ditinggalkan'

Isnin, Mei 01, 2006

Taubat 1

Mungkin aku sudah jauh dari Tuhan
Kerana apa yang aku pohon datang dengan amat perlahan
Bahkan apa yang aku terima kadang-kadang bagai ditahan-tahan

Oh! Tuhan
Ampunilah dosaku ini


(7 Sept 2005 - saat diri merasa begitu berdosa)

Hari Pekerja

1 Mei ialah Hari Pekerja.
Dahulunya kita sebut 'Hari Buruh'. memandangkan kita ni dah melangkah kezaman yang lebih sofistikated, maka perkataan 'buruh' itu ditukar kepada 'pekerja' - satu perubahan yang menampakkan kematangan para pekerja sekarang yang lebih berketerampilan dan punyai ilmu dalam bidang yang mereka kuasai.
Perkara penting yang amat diharapkan ialah ia bukan satu perubahan pada nama sahaja, tetapi merangkumi perubahan sikap dan tanggungjawab pada semua tenaga kerja. Elakkanlah dari perbuatan rasuah, membuang masa, pentingkan diri sendiri, memilih kerja, amalan birokrasi, bertangguh dan sebagainya. Jadilah seorang pekerja yang cemerlang.
Selamat menyambut hari pekerja!

(Entah bila aku ni nak jadi bos, asyik jadi pekerja sahaja. Usaha mau lebih!!)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...