Rabu, November 12, 2014

Belajar yang tidak mengeluh



Secara formal aku belajar manuskrip hari ini - sesuatu yang menjadi kegemaran. Aku tak pernah dapat asuhan dalam kelas tentang manuskrip, semuanya aku usaha sendiri, baca buku, cari jurnal, kejar kertas kerja, keluar masuk seminar dan perkongsian dengan kenalan yang arif. Atas usaha itu, manuskrip Melayu sedikit sebanyak dapat aku fahami dan kian seronok memahami Jawi dan ilmunya. Pagi tadi singgah PNM ambil CD MSS23 Hukum Kanun Melaka. Ini tugasan pejabat yang perlu dirumikan dalam masa seminggu. Kemudian dapat tugasan manuskrip untuk - describe, transcribe, transliterate dan translate empat halaman dalam tempoh dua minggu. Teksnya bukan rumi tetapi Arab. Empat halaman bercetak ini aku imbas sendiri supaya mudah dibaca. Aku terima tugasan ini dengan senang hati sedangkan teman lain aku lihat sudah berkerut-kerut dahi dan mengeluh. Mengapa harus jadi pelajar yang mengeluh? Atau pelajar memang suka mengeluh ya? Mahu jadi scholar atau graduan, kamu pilih mana satu #kalamsarjana


Membaca tulisan lama atau disebut palaeography [the study of ancient and historical handwriting] dalam hal ini tidaklah ancient sangat. Aku nak menekuni manuskrip ini betul-betul supaya lepas ni belajar baca tulisan Kawi dan pallava pula. Ok - bahasa Jerman dan Belanda, tulisan Kawi dan Pallava - ini bukan angan-angan. I'm dead serious man!

Perjalanan pulang petang tadi disirami hujan dan gerimis. Di Lebuhraya Kajang Silk, pelangi muncul melengkung di dada langit sebaik sahaja memasuki tol Sungai Ramal. Pasti ramai yang pulang kerja gembira memandang pelangi, mungkin ada yang memuat naik gambarnya di FB. Dalam kebasahan di atas motor, aku memecut laju cuba mengejar hujung pelangi tetapi hilang sebaik sahaja tiba di tol Bukit Kajang. Dalam letih dan kesejukan, tujuh warna pelangi memberi menghadirkan senyum buat seketika. Gambar pelangi itu terakam indah dalam ingatanku 

Isnin, November 10, 2014

Kawan

Gambar dari sebuah bangunan di tingkat lima belas


Ada dua kelompok kawanku yang menghadapi masalah sesama mereka. 


Satunya, mereka tiba-tiba senyap tidak ada interaksi, tiada respon, masing-masing menjawab tak tahu. Bila seorang ada, yang seorang lagi tiada. Bila ada acara bersama, kedua-duanya menampal senyuman plastik. Ada bau yang tidak kena antara mereka. Bila dirisik, benarlah, semuanya itu terjadi tanpa ada sengketa. Tiba-tiba keduanya memilih diam. Sengketa mereka ialah sengketa tanpa bicara. 

Keduanya, atas masalah sikap. Aku lihat kedua-duanya menjengkelkan dan keanak-anakan. Seorang menuduh yang lain itu menjengkelkan. Apa yang dibuat bersifat populis, sedangkan realiti tidaklah begitu. Mungkin mahu perhatian, mungkin juga mahu membesarkan. Sedangkan seorang lagi mempersoalkan terlalu banyak, marah pada ramai orang, lihat perkara yang salah, terlalu menjadi serba sempurna sedangkan diri sendiri cuba meludah ke langit. Akhirnya selepas tempoh bermasam muka yang lama, mereka berpisah. Dirasakannya berpisah itu lebih baik kerana mahu mengenal dunia. Dunianya yang sebelum ini dipandang sempit. 

Inilah manusia disekelilingku. Manusia yang mahu menjadi manusia, tapi belum sedar diri itu siapa. 

Aku lebih rela menjadi diriku, bersahabat dan berkawan dengan semua. Dengan alam yang menenangkan. Dengan buku yang sering membuka ruang oengetahuan. Dengan kuda besiku yang sering menjawab segala persoalan. 


I am always entertaining my curiosity by my own. Peace!

Ahad, November 09, 2014

Kamus dan bahasa


Tarikh kamus ini dibeli ialah pada 14 September 1996, kira-kira dua bulan selepas mendaftar di matrikulasi Lembah Pantai. Sesekali sahaja guna kamus, kerana lebih banyak tanya kawan akan makna perkataan. Malas nak menyelak pun satu hal. Tapi kali ini akan lebih banyak menyelak Kamus al-Kauthar ini.


Menyiapkan kritikan terhadap biografi yang memerlukan rujukan dari beberapa sumber dalam bahasa asing perlu mengakrabi kamus bagi mendapatkan makna yang tepat, bukan sekadar meneka-neka. Scholar ialah insan yang menguasai pelbagai bahasa, malah orientalis belajar bahasa terlebih dahulu sebelum memahami adat dan budaya sesuatu bangsa.

Kita, di mana kita letakkan diri kita? Bahasa Inggeris pun, belajar sejak dari tadika tapi bila habis SPM masih merangkak-rangkak. Ini mengingatkan aku pada seminar Jawi yang aku hadiri awal tahun ini. Dalam pengajaran di sekolah, subjek Jawi terkepung oleh subjek lain yang kononnya lebih moden. Untuk mendapatkan jumlah jam mengajar yang mencukupi untuk Jawi memerlukan guru dan pakar Jawi bertelagah dengan pegawai dari Kementerian. Hujah mereka, tulisan Jawi tidak membawa ke mana, sekadar belajar benda yang lama. Lalu dijawab oleh guru Jawi, bahasa Inggeris yang dipelajari dari sekolah rendah itu pun tidak mampu memandaikan pelajar untuk berbahasa Inggeris. Jadi eloklah dikurangkan jam mengajar. Pihak yang satu lagi kelu lidah untuk membahas.

Inilah yang terjadi bila tidak menggunakan otak pada tempat sepatutnya. Ada akal tapi tak diendahkan kepentingannya. 

#orientalisme #bahasaarab

Sabtu, November 08, 2014

Lughah

The 10 patterns in Arabic.



Asalnya bahasa Arab diucapkan begitu sahaja tanpa ada peraturan tertentu, malah bangsa Arab sendiri tidak mengendahkan tatabahasanya. Bila melihat kian ramai bangsa asing datang ke negara Arab, misalnya dari Parsi, maka beberapa orang menemui khalifah Umar memaklumkan agar tatabahasa Arab ditulis dan disusun. Hasilnya muncullah beberapa nama, misalnya Sibawayh yang dianggap 'the king of grammar'.

Sibawayh sendiri orang Parsi. Si Arab tetap tidak mengendahkan bahasanya, hinggakah saat ini. Membaca Qur'an pun semberono sahaja.

Keadaan ini sama dengan apa yang aku pelajari di kelas bahasa Arab Madinah sebelah malam setiap Selasa. Tujuan belajar ialah untuk memahami makna al-Qur'an. Oleh itu, bacaan perlulah betul. Sebelum boleh membaca dengan betul, haruslah tahu tatabahasa, kosa kata dan peraturan membacanya. Kami perlu baca dengan baris yang betul, setiap huuf perlu dibunyikan. Ada kerja rumah. Dan kelas ini percuma. Sudah hampir enam bulan belajar, belum pun separuh buku. Pengajarnya pula suka bercerita dan memang santai sifatnya. Apatah lagi belajar dengan orang yang lebih dewasa.

Kedua-dua kelas ini aku hadiri secara berterusan sekarang. Kelas malam membolehkan aku faham makna Qur'an dan boleh membaca dengan betul. Kelas khas setiap Sabtu pula wajib bagi pengajian Sarjana ku, bagi membolehkan kami menekuni kitab dan buku primer dalam bahasa Arab. Nyatalah sekarang, aku boleh membaca buku dalam bahasa Arab dengan baik, boleh faham serba sedikit dengan bantuan kamus dan keseronokan hadir bila kita faham keseluruhan teks. Keadaan ini berbeza sekali ketika belajar Arab di UIA dahulu. Dulu banyak belajar kosa kata dan nahu, tapi nahunya tidaklah ditekankan sangat. Asalkan boleh buat ayat dan jawab soalan. Kelas yang wajib tapi GCPA tidak dikira, jadi belajar pun macam gitu-gitu sahaja.

Insha-Allah, sedang menjeling-jeling bahasa Jerman dan Belanda. Dapat faham yang asas pun memadai. Yang penting tak sesat di negara orang dan boleh baca papan tanda dengan betul. Mood kembara pula :)

Sabtu, November 01, 2014

Jalan pulang versi Kassim Ahmad

Kassim Ahmad kita tahu pernah dan masih kekal dengan pemikiran anti-hadis. Buku ini dengan judul penuh Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam merupakan mini auto-biografi yang ditulisnya bagi mencatat perjalanan kehidupan sejak kecil. Saya katakan mini kerana ada beberapa perkara penting tidak diceritakan dengan jelas atau ditinggalkan. Antara yang dapat saya kesan ialah penahanannya dalam ISA (walaupun dia minta kta rujuk pada bukunya sebelum ini yang bercerita hal penahanan) dan Jemaah al-Qur'an Malaysia yang tidak tahu apa sebab ditubuhkan dan kini senyap.

Kassim memang kuat dengan idea sosialis. Idea ini lahir dari perasaan dan fikirannya terhadap kehidupan yang dirasakan ada berat sebelahnya. Dia cuba melahirkan fikiran yang lain dari kebiasaan dan mula mempersoalkan pelbagai perkara dan mencari jawapan yang sebaiknya. Bermula dengan Hang Tuah yang dianggap lemah dan lesu, Kassim mengangkat Hang Tuah sebagai hero baharu.

Meski pun dia telah meninggalkan perjangann sosialis dalam parti, pemikiran Kassim masih tidak berganjak terhadap pandangan bersifat menentang.  Ada beberapa perkara yang saya ambil dari buku ini untuk kita lihat bagaimana pengaruh sosialis yang bersifat penentangan masih ada dalam diri Kassim.
  1. Kegoncangan dunia sekarang satu metafora. Ia diibaratkan seperti dilambung oleh ribut-taufan dan ombak yang besar dan, dalam proses ini, sistem-sistem dan tokoh-tokoh yang palsu akan dihapuskan dan digantikan dengan sistem-sistem dan tokoh-tokoh yang lebih baik. Quran telah menyatakan perkara ini dalam sebuah ayat yang sangat hebat. Bunyinya: Pada hari itu kami akan menggulung langit seperti sebuah buku. Kemudian, sepertimana Kami memulakan penciptaan yang pertama, Kami akan memulakan suatu penciptaan yang baru. Ini suatu janji yang akan kami tunaikan. (21:104) - halaman 139. Ini seperti mengajak kita meninggalkan hadis dan memulakan ciptaan lain, yang lebih baru
  2. Mengapakah kebanyakan ahli hukum dan ahli tafsir kita mengabaikan dua kumpulan ayat yang berbeza ini? Saya fikir keran akita sudah diajar menganggapkan ahli-ahli hukum besar kita sebagai kudus dan tidak boleh dikritik. Saya masih ingat kata-kata seorang Sheikh 'ul Islam dari mesir yang melawat Malaysia banyak tahun dulu; kata beliau, "Siapakah kita disamping imam-imam besar itu?" Sikap demikianlah yang membuat kita taksub kepada mereka, lalu kesilapan-kesilapan mereka, kerana keadaan sejarah emreka (dan jangan lupa tiada manusia yang sempurna!), kita teruskan hingga ke hari ini. Pelajaran yng pahit bagi kita ialah: senantiasa jangan lupa mengkritik kesalahan. Bukankah ini suatu ajaran Islam yang utama - menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan? - halaman 183
  3. Kassim turut bercerita tentang dajjal yang padanya seperti suatu mitos tetapi sebenarnya adalah sesuatu yang wujud disekelilingnya. Kiamat disebut dalam Quran, tetapi yang lain tiada terdapat dalamQuran. Mereka disebut dalam cerita-cerita hadis (merujuk epada Imam Mahdi, dajjal, yakjuj, makjuj dan turunnya Nabi Isa).
Tentang hadis, asalnya dia membaca buku Dr Rashad Khalifa yang berjudul The Computer Speaks: God's Message to the World. Dia menulis ulasan dalam kolumnya di akhbar Watan. Ulasan itu dibalas dengan kritikan pembaca. Bagi menjawa kritikan ini, Kassim menulis lima buah artikel lagi tetapi editor tidak mahu menyiarkan. Kata Kassim, sikap ediotr ini menggambarkan sikap mansyarakat feudal: tidak ada kebebasan untuk berdebat. Bolekah kita cari kebenaran tanpa debat? (Hal 189). Ini diikuti dengan Seminar Hadis yang dianjutkan oleh UKM yang dibatalkan oleh MAIS sehari sebelum acara. Apabila tidak mendapat dua peluang ini, maka dia pun menerbitkan lima artikel itu dalam bentuk buku dengan judul Hadis: Satu penilaian Semula. Kassim kemudian dapat bertemu Dr Rashad Khalifa dan Dr Hasan Hanafi diluar negeri

Isu hadis ini turut melibatkan ABIM. Anwar Ibrahm yang awalnya seperti menyokong kemudian membangkangnya. Kassim melihat ini sebagai satu muslihat Anwar dan muslihatnya terhadap politik.

Meski pun begitu, ada perkara yang boleh membuatkan kita berfikir panjang. Menurutnya, agama baka yang kita anuti ini menyebabkan kita tidak berfikir. Quran kita baca dengan penuh tertib dan berlagu, sedap didengar malah kita hafal. Malangnya kita tidak faham maksudnya, tidak boleh mempraktikkannya pun. Jadi saya beranggapan, Kassim menggunakan premis ini untuk membaca, meneliti, menilai dan membuat tafsiran semula terhadap Quran. Malangnya dia mengenepikan hadis. Bukankah hadis itu pelengkap Quran untuk kita  faham akan kandungannya?

Saya fikir, Kassim tak perlu sentuh soal agama. Biarlah dia dengan kepakarannya dalam hal kemasyarakatan dan politik. Hal agama, bila dibaca sahaja tanpa pemahaman menyeluruh, maka fikiran kita akan mula mempersoalkan pelbagai perkara. Pelbagai soalan juga akan timbul. Jadi bila soalan itu ditanya dan tidak ditemui jawapan, mulalah datang kecewa pada agamawan. Hal agama perlu dipelajari dengan bimbingan guru. Kita tak boleh mengambil mudah dan berkata, Nabi sendiri tidak punya guru. Nabi seorang maksum, terpelihara dari kesilapan, ilmunya datang terus dari Tuhan dan dibimbing oleh malaikat yang sentiasa melindungi. Kita ini siapa untuk berbuat begitu?

Sedangkan Imam Shafie, Imam Malik dan imam yang lain berkelana dari satu wilayah ke satu wilayah, dari seorang guru ke guru yang lain untuk menuntut ilmu. Masakan kita semudah itu duduk dihadapan laptop menekan butang Google atau menyelak halaman buku demi buku. Ilmu tidak semudah itu untuk kita dapat, jika kita mahu benar-benar faham.

Kassim menginsafi perjuangan yang cuba dibuat bersama Parti Sosialis Rakyat Malaysia sehingga meletakkan semua jawatannya dan cuba berpatah balik mencari jalan pulang - seolah-olah jalan kebenaran untuknya. Namun jalan yang dicari itu nampaknya atas tafsirannya sendiri, yang masih cuba memakai kacamata sosialis sehingga Qur'an, hadis dan agama diterjemah atas pemahamannya meski pun ada perkaa yang kita boleh setuju dengannya. Saya tidak menganggp beliau menemui jalan yang dicari, dia masih berada satu jalan yang berbeza dari apa yang kita fahami

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...