Jumaat, Mei 30, 2008

Bas no lima

Saya selalu mendengar ada orang berkata, jika kita risaukan akan sesuatu dan selalu memikirkannya, perkara itu akan berlaku juga kepada kita. Misalnya jika terlalu risau di timpa kemalangan ketika memandu, dan memikirkan yang buruk-buruk tentangnya, maka perkara itu akan terjadi. Jika berjalan dan takut terjatuh ke longkang, maka kita akan jatuh juga ke longkang. Jika terlalu risau, perkara itu juga berlaku.

Hakikatnya, saya tidak berapa setuju. Tetapi dari segi psikologi (kalaulah betul), jika fikiran sudah ditetapkan ke satu perkara, maka ia akan duduk dalam kepala dan mind-set bertukar. Ia menjadi objektif utama. Mungkin ada benarnya dan itulah yang terjadi kepada diri sendiri.

Saya kembali ke Bangi menaiki bas Cepat Ekspres no 5 dari pekan Jertih pada pukul 9.45 malam pada malam Rabu. Seorang diri, saya terkial-kial. Hendak bertanya, malas pula. Dengan keadaan stesen bas yang tak berupa stesen, saya berdiri saya berpandukan nasihat ringkas - “tunggu je, nampak bas Cepat Ekspres terus naik. Warna kuning. Macam naik bas biasalah.” Nasihat yang tak boleh di pakai langsung.

Saya menunggu. Ramai juga yang berdiri. Saya sendirian, enggan bertegur sapa. Saya pegang kejap tiket. Dalam kepala pelbagai perkara sudah bermain. Bagaimana jika saya salah naik bas, atau ketinggalan bas atau bas yang dibawa rosak? Saya teliti tiket, melihat nombor bas, tarikh, nombor tempat duduk dan destinasi sehingga renyuk. Belek dari depan hingga belakang. Dalam hati, saya ketawa sendirian. Macamlah tak pernah naik bas.

Pukul sepuluh, bas tiba. Beberapa kali saya melihat cermin depan bagi memastikan nombor bas yang betul. Ketika menyerahkan tiket kepada pemandu, saya pastikan si pemandu membaca destinasi tiket saya dengan betul. Tetapi saya tidak menyoal, diam sahaja. Betullah agaknya. Andainya saya salah bas, belum terlewat untuk bertukar bas.

Segala-galanya nampak teratur. Tempat duduk pula belakang sekali, betul-betul di tayar belakang. Mujur bukan lelaki di sebelah saya. Mungkin pelajar. Dan saya masih lagi mengunci mulut. Malas berbual biar pun hati meronta-rota mahu bertanya satu dua perkara. Dia juga tidak mengendahkan saya. Entahlah, saya rasa sedikit risau. Macamlah kali pertama naik bas, dan macamlah kali pertama dari Pantai Timur. Saya tidak pasti kerisauan saya atas sebab apa. Dalam hati macam-macam doa dibaca agar terhindar dari sebarang perkara buruk.

Perjalanan lancar. Bas berhenti beberapa kali untuk si pemandu membuang kantuk dan mengambil penumpang. Diringkaskan cerita, sampailah ke Hentian Putra tepat pukul 6 pagi. Saya mengira dalam kepala. Perjalanan ke Hentian Kajang mengambil masa lebih kurang 45 minit ke satu jam. Syaitan menyuruh saya solat Subuh di Hentian Kajang, tetapi saya fikir mengapa tidak solat sahaja di Hentian Putra jika ada kesempatan.

Si pemandu memberitahu bas akan berhenti selama 20 minit untuk sesiapa yang ingin menunaikan solat Subuh. Saya lihat tidak ramai yang turun. Tak mengapalah, panggilan Tuhan lebih penting. Saya turun tanpa meninggalkan pesan kepada penumpang sebelah. Beg sandang yang saya bawa, saya tinggalkan di kerusi.

Keluar dari tandas, bas bergerak. Saya sedikit hairan. Baru lima minit, masakan sudah mahu bergerak terus. Saya tidak mahu fikirkan perkara lain, solat sahaja biarpun tidak tenang. Sebaik tiba di tempat bas berhenti tadi (dan sekarang sudah lesap), saya di tegur oleh dua orang wanita (err..perempuan) yang terpinga-pinga.

“Akak naik bas tu ke tadi?” dia bertanya, walaupun saya tidak pasti dia merujuk kepada bas yang mana.

“Ya. Tadi bas tu bergerak keluar dari sini,” kata saya teragak-agak. Sangka saya, bas tersebut menunggu di luar Hentian. Siapa tahu yang hentian ini dilarang parkir lama-lama?

Dia bertanya kepada beberapa orang yang menegur kami kerana terpinga-pinga sambil menjenguk-jenguk keluar, ke Jalan Kuching yang lengang. Kelibat bas tiada. Di tepi jalan dihadapan sana, berdekatan lampu isyarat juga tiada.

Tuhan! Pelbagai perkara yang saya fikirkan sejak naik bas tadi timbul lagi. Saya menuju ke kaunter mencari nombor telefon yang boleh di hubungi. Kaunter kosong. Panggilan tidak berjawab. Begitu juga yang terdapat pada tiket. Senarai nombor telefon pemandu tertampal, tetapi mustahil untuk menelefon setiap seorang. Saya cuba tenangkan diri, sambil menyumpah diri kerana terlalu memikirkan perkara buruk. Sekarang betul-betul kena batang hidung sendiri.

Saya cuba mengingat apa yang ada dalam beg sandang. Mujur kad pengenalan dan kad ATM ada di poket. Juga duit dan dua telefon genggam. Memang saya senang menyimpan semuanya ke dalam poket jika pergi ke mana-mana biarpun membawa beg. Untuk keselamatan.

Kami berbincang. Sempat mereka bercerita kepada pengawal yang kurang membantu (mujur bukan pengawal dari syarikat saya, kalau tidak saya cari pegawai operasinya). Berbincang lagi. Kami cuba menunggu, mana tahu bas tersebut mengambil pusingan atau berpatah balik. Tetapi beberapa orang yang kami tanyakan memberi maklum balas yang sama. Bas yang berhenti di Hentian Putra memang suka tinggalkan penumpang.

Dua kenalan baru ini memberikan cadangan mengejar bas hingga ke Seremban, kerana destinasi bas ialah Jertih-Hentian Putra-Kajang-Nilai-Seremban. Saya pula memberikan idea yang lebih bernas. Naik teksi hingga Hentian Kajang, tunggu bas di sana. Jika tiada, barulah pecut ke Seremban. Sebelum itu saya menelefon seorang teman yang sepatutnya di tugaskan mengambil saya di Hentian Kajang. Kereta saya tinggalkan padanya bagi memudahkan dia mengambil saya nanti. Saya minta dia berkejar ke Hentian Kajang dan menahan bas Cepat Ekspres no.5 sehingga kami sampai.

Maka berlakulah perkara yang tidak patut saya lupakan sehingga ke akhir hayat. Adegan mengejar bas pada dinihari! Ketika itu jam menunjukkan pukul 6.40 pagi. Bas meninggalkan Hentian Putra (sewaktu saya keluar dari tandas) kira-kira 15 minit yang lalu. Si pemandu teksi memberitahu mana-mana bas di Hentian Putra begitulah sifatnya. Biarpun di beritahu akan menunggu, penumpang akan di tinggalkan. Sudah banyak kali berlaku. Dan si pemandu juga sudah beberapa kali membawa penumpang mengejar bas.

Mujur si pemandu cekap, menggunakan Lebuhraya Cheras-Kajang yang lebih cepat berbanding terus ke tol Sungai Besi. Pagi masih awal dan jalan belum lagi sibuk. Sempat juga berdoa diselamatkan perjalanan ini serta beg yang berada di perut bas. Saya tenang sahaja, kerana sudah merencana dalam fikiran. Jika terlepas di Hentian Kajang, saya akan memandu hingga ke Seremban. Jadi, saya tidaklah terlalu risau. Mungkin kerana - pertama, peristiwa ini selalu berlaku; kedua, di temani oleh dua orang yang mengalami nasib yang saya; ketiga, saya maklumi destinasi bas dan yakin boleh dapat beg dan keempat, inilah hasil dari kerisauan saya sepanjang perjalanan! Alhamdulillah terlepas dari sebrang malapetaka, tetapi pengalaman lain pula datang. Inilah dia, perkara yang terlalu dirisaukan pula menjadi kenyataan.

Pukul 7 pagi, teman memberitahu bas belum muncul. Dia bergegas ke Hentian Kajang sebaik sahaja saya mengarahkan dan berjalan mengelilingi Hentian Kajang mencari bas yang dimaksudkan. Kami tiba sepuluh minit kemudiannya. Memang tiada tanda bas Cepat Ekspres akan berhenti berdasarkan kepada tanda nama pada terminal bas. Kami menunggu lebih kurang lima belas minit. Memang tiada bayang bas tersebut biarpun ada beberapa bas ekspres menunrunkan penumpang. Lalu jalan terakhir ialah mengejar bas hingga ke Seremban.

Adegan kejar mengejar berulang lagi sekali. Saya memecut sehingga meter mencecah 160 (saya tidak pernah memandu selaju ini. Maksimum pun 140). Berbual-bual dengan dua kenalan baru, rupa-rupanya mereka senasib dengan saya. Kedua mereka merupakan guru pelatih Maktab Perguruan Raja Melewar, baru lepas bercuti ke rumah kawan di Pantai Timur dan dalam perjalanan pulang menyambung cuti. Pertama kali menaiki bas dari Jertih. Pengalaman pertama yang tidak akan dilupakan. Patutlah tidak ramai penumpang yang turun mengerjakan solat Subuh, rupanya mereka tahu yang bas ini akan bergerak cepat. Sesuai sungguh dengan namanya.

Bas Cepat Ekspres No.5 dari Jertih-Hentian Putra-Kajang-Nilai-Seremban muncul ketika sebaik sahaja melepasi Nilai. Elok sungguh. Saya memberhentikan kereta di tol Seremban, menahan bas dan mengambil beg. Bersalaman dengan dua kenalan baru (yang tidak saya tanyakan namanya), si pemandu dengan tiada perasaan bersalah bertanya, “turun mana?”

“Kajang,” jawab saya ringkas sambil turun tanpa menoleh. Kemudian kereta berpatah balik ke Bangi untuk saya dan teman bersiap-siap ke tempat kerja pula. Waktu ketika itu pukul lapan.

Cepat Ekspres. Hmm..pengalaman menarik, juga pengalaman yang cukup mengajar. Mahu saya blacklist bas ini? Siapa pula saya mahu menghakimkan yang tidak elok untuk mereka. Biarlah saya jadikan ia kenangan yang indah, sebagai sebahagian dari diari perjalanan ke Terengganu. Bukan pengalaman pahit. Saya tidak suka perkataan ini. Pengalaman semuanya mengajar, bukan menyedihkan semata-mata. Biarlah saya bersangka baik dengan si pemandu. Tidak sampai hati memarahi atau menyumpah seranahnya kerana meninggalkan penumpang tanpa periksa. Mungkin dia letih, mungkin tidak perasan, mungkin juga sudah menjadi tabiat. Doa saya, biarlah kejadian ini menyedarkannya supaya lebih berhati-hati di hari muka.

Juga inilah agaknya balasan tidak mahu bertegur sapa, sama ada dengan si pemandu, para penumpang lain atau dengan orang sebelah. Andai saya berbual-bual dengannya, mungkin dia boleh membantu dengan memberitahu si pemandu memandangkan beg sandang saya terletak di bahagian kaki. Jelas dan boleh dilihat. Tiada perasaan kasihan langsungkah pada diri saya yang ditinggalkan bas? Dan mujur juga dua kenalan baru menegur, walhal saya tidak langsung mengecam mereka sebelum itu.

Saya? Tidak sudah-sudah ketawa pada diri sendiri. Mengutuki diri sendiri juga ada. Lain kali, jangan fikirkan yang buruk-buruk. Fikir positif. Kerisauan akan sesuatu perkara akhirnya jatuh pada batang hidung sendiri. Padan muka.

Begitulah kisah bas no.5. Yang paling di ingati ialah adengan kejar mengejar bas di jalan raya. Ada sesiapa lagi yang punya pengalaman naik bas yang tidak dapat dilupakan?


.

Ahad, Mei 25, 2008

Antara dua dunia

Sebenarnya ada beberapa persoalan yang tidak saya temui jawapannya sejak beberapa bulan yang lalu. Di tambah-tambah lagi dengan situasi pejabat yang sekarang ini menghimpit. Walau bagaimanapun saya berusaha berdoa agar Allah memberi petunjuk supaya tidak mudah tersilap arah.


Beberapa bulan yang lalu – secara tidak sengaja atau sudah di takdirkan – Pengarah Urusan mengarahkan saya melibatkan diri dalam projek ternakan lembu. Dia menerima cadangan dari seorang kenalan niaga yang menyatakan projek ini memberikan pulangan lumayan. Tanah juga telah di sewa. Hah! Jauh panggang dari api. Dari bidang perkhidmatan melompat ke pertanian. Tetapi tiada apa yang peliknya bagi saya. Mungkin Allah mendengar doa saya agar dapat ditunjukkan jalan keluar dari kemelut yang melanda.


Pertanian bukan asing. Sebagai anak Felda, hidup saya dikelilingi oleh pohon getah dan kelapa sawit. Sepanjang perjalanan balik ke Serting, jika bukan sawit di kiri dan getah di kanan, pastilah sebaliknya. Dua tanaman yang melidungi hidup kami sejak dua puluh lima tahun yang lalu, sejak kami pindah ke tanah rancangan ini pada 1983. Sebutlah apa sahaja tentang getah. Dari membaja, membuang anak pokok, membekukan getah menjadi sekerap (getah beku), menghantar getah ke PMG (Pusat Pengumpulan Getah), semuanya telah saya lakukan. Cuma menoreh sahaja tidak berkesempatan, kerana pokok getah ketika itu masih muda dan kulit yang masih dara jika disentuh oleh bukan tangan yang sepatutnya nanti boleh menyebabkan getah merajuk dari mengeluarkan hasil.


Ada masanya saya bercucuk tanam. Mengambil tanah dari tempat bakar sampah dibelakang rumah dan memasukkan ke dalam beg plastik (bukan polibeg yang hitam tu, jimat kos!). Saya bertanam cili, bawang, kunyit dan halia. Tetapi hasilnya jarang datang dalam bentuk yang banyak kerana menjadi mangsa tangan emak yang tak sabar melihat tanaman ini membesar bila dia keputusan bahan-bahan masakan. Namun, berbudi pada tanah memang tidak mengecewakan.


Berkenaan projek lembu, saya membuat sedikit kajian melalui internet. Mudah sahaja mendapatkan maklumat. Forum Bicara Jutawan misalnya membicarakan pelbagai perkara termasuklah bidang pertanian yang merangkumi penternakan, penanaman dan beberapa perkara lain. Pengalaman dari mereka yang mengusahakan dan juga orang baru yang berminat dikumpulkan dan dibincangkan bersama. Ia membentuk satu komuniti tani yang progresif. Melaluinya juga dapatlah saya menilai peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan, dana yang di war-warkan, cabaran dan halangan sebagai petani yang tidak ramai yang sedar.


Ayat ‘berbudi pada tanah memang tidak mengecewakan’ bukannya sekadar untuk di ucapkan, tetapi harus dibuktikan melalui tindakan. Tiada jalan singkat untuk berjaya. Semua yang terlibat dalam pertanian ialah mereka yang benar-benar ada disiplin untuk berjaya, boleh menutup telinga dari dengar kutukan orang terhadap bidang pertanian, sabar dengan dugaan alam, berpanas dan berhujan, penghasilan yang tidak seperti diharapkan serta pelbagai karenah birokrasi. Yang paling cuba dielakkan ialah cakap-cakap orang tentang bidang ini yang dikatakan tidak ada masa depan. Inilah perkara wahid yang perlu diatasi sebelum menjejakkan kaki secara serius dalam bidang ini.


Saya diminta menyiapkan kertas kerja, merangka aliran tunai, mendapatkan khidmat nasihat serta mencari bantuan pinjaman yang sesuai. Tetapi saya dapat rasakan hati tidak sepenuhnya disini. Kertas kerja setelah beberapa bulan tersangkut dibahagian pengenalan. Beberapa kali di tegur, beberapa kali juga merasa terpaksa. Di sebalik kesibukan kerja, saya sekadar melewati blog para penternak lembu. Rasa berat hati dengan bidang ternakan ini. Mungkinkah kerana start-up cost yang tinggi? Atau mungkin saya tidak mendapat gambaran yang jelas tentang bidang ini. Mungkin inilah bahana andai berguru dengan buku, sekadar membaca melalui pengalaman bukannya belajar secara terus dari cikgu. Tetapi saya tetap merasa berat hati.


Tiba-tiba, Pengarah Urusan mengarahkan agar projek ternakan lembu ditukar kepada penanaman serai dan pokok jarak. Rakan niaga yang sudah menghadiri kursus penternakan lembu menjadi hampa dengan keputusan itu. Tanah sudah di tolak separuh, dan kerja-kerja tersebut terhenti sehinggalah perbincangan seterusnya dengan rakan niaga lain dijalankan.


Dalam masa yang sama, saya menerima panggilan dari seorang rakan yang mengusahakan tanaman serai. Secara tiba-tiba pula peluang hadir dan secara tiba-tiba pula ditunjukkan jalan. Saya bergegas mencari maklumat tentang serai wangi. Satu hari menelaah tentang serai, meneliti dari satu blog ke satu blog, melihat aspek kewangan, penjagaan, pemasaran, pembiayaan, serta bertanya beberapa soalan cepu emas kepada rakan tadi. Berbanding projek lembu, saya kira saya sudah mendapat gambaran jelas terhadap projek serai. Alhamdulillah, teknologi membolehkan maklumat di terima di hujung jari. Dan jangan pandang rendah kepada bloggers, kerana kami bukan berblog atas sebab politik sahaja ya. Banyak urusan lain yang boleh di bincangkan!


Esok saya akan terbang ke Terengganu melihat tanah yang telah separuh di tolak serta membincangkan mengenai projek penanaman serai. Dengan maklumat yang saya dapati dari para bloggers dan form BJ, moga-moga projek ini menjadi kenyataan dan bukan terhad di meja perbincangan sahaja. Insya Allah. Malah saya memasang impian sendiri untuk menjalankannya secara sendiri jika syarikat tidak mahu melibatkan diri dalam projek ini nanti.


Beralih arah ke pertanian? Tidak mustahil bagi saya kali ini!


.

Sabtu, Mei 24, 2008

Yang tajam menikam dan tikam menikam

Syarikat tempat saya bekerja merupakan seratus peratus milik bumiputera dan dimiliki oleh pasangan suami isteri. Pejabat yang saya duduki ini merupakan ibu pejabat, dan ia memiliki beberapa cawangan di seluruh negara. Perniagaan yang dijalankan adalah dalam bidang perkhidmatan dan ia kadangkala mengerah tenaga luar dari waktu pejabat. Namun saya jarang berkeluh kesah tentang ini. Jarak rumah sewa ke pejabat yang hanya lima minit berkereta juga tidak banyak mengganggu jika dipanggil bila-bila masa.

Bila disebut ibu pejabat, maka bayangkanlah bagaimana sibuk dan cacamerbanya keadaan dan suasana kerja. Urusan pentadbiran pejabat keseluruhan termasuk cawangan seperti payroll, tender, sebutharga, complaint dari pelanggan, semuanya terletak di bawah bahu saya. Seringkali MD mengadakan mensyuarat dengan pegawai dari cawangan lain, atau mengadakan lawatan ke cawangan tersebut, yang mana tujuan utamanya ialah sekadar berjalan-jalan makan angin. Hubungan kami dengan cawangan juga agak rapat dan sejak tiga bulan terakhir, setiap bulan mereka berkampung di HQ untuk membentangkan gaji / payroll pekerja yang beratus-ratus orang itu.

Kerja-kerja ini sudah menjadi rutin yang tetap. Ada waktu tertentu kerja terlalu banyak. Ada harinya boleh bersenang-senang di pejabat. Ada tarikh yang perlu di patuhi untuk membayar gaji, advance, melangsaikan caruman EPF dan Socso serta membayar cukai Kastam. Saya perlu memahamkan kakitangan lain akan kepentingan tarikh tersebut kerana kerana ia bermakna sejumlah wang turut di perlukan. (Tarikh yang menjadi rutin dan ingauan buruk ialah pada 7hb, 15hb, 20hb, 25hb dan 30hb).

Akhirnya rutin yang tetap ini menjadi satu perkara yang menyesakkan kepala kerana terpaksa mengikat diri kepada satu peraturan tertentu. Tambahan pula perempuan, ada hari-hari bila hormon tak stabil, maka diri turut dikuasai emosi. Kadangkala terlepas juga suara yang tinggi, atau teguran yang mengguris hati. Tetapi saya cuba memperbaiki diri supaya tidak dikatakan menunjuk kuasa. Mujur mereka boleh menerima sikap saya yang kadang kala boleh dikatakan ‘kepala angin’ juga.

Saya tidak gemar bekerja mengikut rutin tertentu. Mudah bosan jika terikat dengan sesuatu kerja yang sama. Oleh itu, prestasi kerja saya mudah turun naik. Jadi untuk mengatasinya (supaya tidak menjejaskan kerja) saya mengambil cuti rehat, memandu ke tempat yang tidak pernah saya tiba, melakukan kerja part-time yang sebati dengan jiwa atau menyertai aktiviti yang berbeza dengan skop kerja.

Seboleh-bolehnya mengelakkan diri dari bekerja menjelang dateline, atau last minit. Saya cuba menggembirakan diri dengan menjadikan kerja ini sebagai dakwah juga. Apa tidaknya, jika tidak saya selesaikan payroll para pengawal, mereka akan menerima gaji bukan pada waktunya, dan pihak akaun pula akan bersilat menjawab panggilan telefon yang tidak putus-putus. Mujurlah saya tidak pernah melewatkan urusan payroll yang menjadi tunjang perniagaan. Setiap 5hb saya pastikan semua siap, biarpun terpaksa bersengkang mata hingga malam atau duduk di pejabat seorang diri menyiakan payroll. Dalam usaha mengelakkan diri terjerat dengan rutin kerja, saya berjaya menjadikan kerja ini sebagai satu perkara yang menarik pula.

Cuma sejak akhir-akhir ini, disebalik rutin yang membosankan, datang pula dugaan lain. Sebelum ini pernah saya ceritakan bagaimana ada adengan yang tidak sihat berlaku. Akibat keegoan diri masing-masing yang tidak mahu mendengar nasihat, maka hadirlah unsur-unsur yang tidak menyenangkan. Saya berusaha menasihatkan mereka, tetapi saya juga manusia. Sabar saya juga ada batasnya. Bila berlaku untuk kali ketiga, saya sendiri tidak mahu lagi bercakap apa-apa tentangnya. Biarlah!

Entah di mana silapnya ada juga yang dengki dengan syarikat. Maklumat yang di terima, sasarannya hanyalah kepada seorang kakitangan. Tetapi tempiasnya adalah pada syarikat. Kami dimaklumkan ada surat layang menyebarkan fitnah yang boleh menjejaskan periuk nasi kami disini. Bukan calang-calang orang yang menulisnya, kerana apa yang diceritakan itu ada kena mengena dengan apa yang berlaku disyarikat sebelum ini. Tidak semuanya benar dan tidak semuanya salah. Surat layang itu sampai ke pihak berkuasa dan siasatan sedang dilakukan sehingga kini. (Setakat ini yang boleh saya ceritakan. Yang lainnya menjadi rahsia!)

Tuhan! Saya terpempan mendengar berita disampaikan ketika mesyuarat tertutup. Sungguh, tidak disangka sama sekali ada musuh dalam selimut yang cuba menikam dalam diam. Kakitangan pentadbiran yang tidak sampai sepuluh orang ini pun boleh berpecah belah. Lalu masing-masing menanam syak wasangka antara satu sama lain. Tuduh menuduh dalam diam mula berlaku. Beberapa nama yang telah berhenti disebut dan disyaki. Bila ditanyakan kepada saya, saya mengelak dari menyebut nama. Saya mahu bersangka baik. Tidak mahu menuduh. Tidak mahu menerbitkan syak wasangka dalam hati.

Beberapa hari berlalu, saya cuba melupakan dan berharap ia tidak menjejaskan kerja. Namun suasana kerja menjadi sedikit berbeza. Ada syak wasangka yang wujud. Pandangan mata juga menampakkan perbezaan. Ada cakap-cakap yang tidak sedap sampai ke telinga. Ada pula yang mengadu diri seperti di serang ilmu hitam, disantau dan di sihir. Masing-masing cuba berlaku normal walaupun geruh di hati hanya Tuhan yang mengerti. Keadaan menjadi buruk biarpun masing-masing cuba beriak manis. Lalu, bagaimanakah harus saya lakukan untuk memperbaiki keadaan?

Sejak dahulu, saya lebih gemar bercakap secara privasi. Jika ada benda yang ingin dicakap, ditegur, atau sekadar berbual biasa, biasanya saya berhadapan sendiri dengan empunya badan. Bukannya dihadapan orang lain yang boleh menjatuhkan air muka. Setiap seorang yang saya temui menyatakan kesalan terhadap surat layang ini, dan cuba menyalahkan beberapa individu dan mendoakan yang balasan yang buruk. Nyata, sifat balas dendam ini wujud dengan jelas dalam diri setiap seorang.

Saya ambil jalan tengah. Menegur sambil menasihatkan mereka agar berdoa supaya si penabur fitnah di insafkan Tuhan dan di tunjukkan jalan yang betul. Bukannya berdoa di timpa penyakit atau mengalami kemalangan. Beberapa hari saya ulangi kata-kata ini. Bukan sahaja ketika duduk beramai-ramai, tetapi juga ketika sedang berdiskusi. Mereka diam sahaja. Tidak membalas. Mungkin sukar mengubah pendirian. Mungkin juga tidak menyangka saya boleh ‘sebaik itu’ membuang sikap buruk sangka. Malah saya sendiri tidak percaya yang kali ini saya boleh bersangka baik dengan semua orang dan membuang prasangka buruk. Nampaknya saya sendiri boleh membuang sifat negatif ini. Syukurlah.

Amat sukar sebenarnya memberi nasihat kepada orang lain. Diri kita sendiri, melalui sikap dan pemikiran adalah dua perkara yang di ambil kira sebelum kita di diberi ‘lesen’ menasihatkan orang. Ia adalah sama ada berkeupayaan menjadi seorang yang boleh merubah sikap orang lain atau menjadi ‘ustazah’ yang mahir perihal agama dengan ceramah panjang berjela. Sikap kita diambil kira kerana sebarang kesilapan menyebabkan tahap hormat atau respek merudum, sekaligus menjadikan kata-kata nasihat ibarat mencurahkan air di daun keladi. Dengan itu, lahirlah kata-kata seperti ‘nak nasihatkan orang konon, diri sendiri pun sama!

Dalam keadaan saya yang dipandang budak, bercakap dengan yang lebih dewasa memerlukan saya mengaturkan ayat dengan teliti. Setiap orang saya dengarkan isi hati dan luahan terhadap kerja, serta sikap tidak senang hati terhadap orang lain. Ah, nampak seperti episod dalam drama atau telenovela pula bila adengan tikam menikam berlaku dalam pejabat atau masyarakat. Namun ini adalah realiti yang terbentang di hadapan mata. Saya bertanggungjawab membersihkan kudis ini dari bernanah.

Sikap memang sukar di ubah. Tetapi saya tahu, ini semua kerja Tuhan. Kuasa ditangan-Nya. Usaha kita hanyalah berdoa dan berdoa. Setiap masa saya cuba menasihat dan menegur biarpun dalam bentuk gurauan. Malah, beberapa kali juga saya berkeras dan memberi amaran supaya tidak lagi menuduh dan menyebut nama. Biarlah kali ini mereka tahu saya memang serius mahu membuang kudis. Janganlah berlaku negatif, buatlah kerja masing-masing. Usah di biarkan perkara ini menghantui kita. Ada tanggungjawab yang besar harus kita kerjakan.

Setiap pagi sebelum sampai ke pejabat saya berdoa tiada perkara buruk yang berlaku hari ini. Kes ini masih dalam siasatan dan biarlah Allah menunjukkan siapa yang benar-benar bersalah, bukannya kita sewenang-wenangnya menuding jari dengan syak wasangka tanpa bukti yang kukuh.

Insya Allah, Dia bersama dengan orang yang benar.


.

Selasa, Mei 20, 2008

Laman Web Tun

Tun sudah keluar UMNO. Semua orang tahu. Petang semalam ketika menziarahi seorang kawan, saya tiba-tiba berhenti bercakap bila secara tiba-tiba terpandangkan tv yang menyatakan bahawa 'Tun Dr Mahathir Keluar dari UMNO'. Saya terkejut, tetapi tidaklah terlalu terperanjat. Tun sebagai PM sebelum ini sudah melakukan pelbagai perkara dan membuat keputusan-keputusan yang boleh di katakan drastik dan mengejutkan. Semuanya demi kebaikan negara dan rakyatnya. Saya pasti keputusan Tun ini ada rasionalnya. Biarlah orang kata dia nyanyuk, biarlah orang kata dia sudah tua dan merajuk. Orang makan garam lebih lama dari kita sudah pastinya mengerti susah payah membangunkan Malaysia serta mengubah mind-setting rakyat ketika itu.

Saya membesar di zaman Tun memerintah. Dialah satu-satunya PM yang saya kenali sejak berhingus hingga tamat belajar. Satu persatu keputusan yang dilakukan, polisi yang di cipta, projek yang dilancarkan bertujuan untuk mengubah sikap rakyat. Baik buruknya memang ada, itu lumrah. Tetapi bak kata seorang kawan, 'masa zaman Tun takde sapa boleh buli Melayu.'

Itulah hakikatnya.

Saya tidak mahu mengulas banyak perkara waktu ini kerana kita masih dalam keadaan yang cacamerba. Saya pasti Tun sudah buat keputusan yang cukup berani. Semoga Tun berjaya dalam segala usaha yang di lakukannya selepas ini.

Kepada Allah Berserah.


.

Jumaat, Mei 16, 2008

Kampungku dalam laman siber

Saya singgah di blog Mira, yang merupakan dua pupu saya. Err..maksudnya nenek saya dan datuknya (atau neneknya? takpasti :-P ) adik beradik. Kiranya, abah saya dan emaknya (emak ke abah dia aaa...lupa!) adalah sepupu. Maka saya dan Mira jatuh jadi dua pupu. Oh, panjangnya. Kalau anak saya dan anak Mira, jadilah tiga pupu (haha!).

Dari blog Mira, saya temui lama blog kampung saya, Kampung Bukit Tunggal, Jementah, Segamat, Johor. Oh, sudah mantap sekarang. Kampung sudah ada laman web sendiri. Laman web ini di bina oleh orang yang ada pertalian dengan saya juga... hmmm apa hubungannya saya tak pasti. Dua pupu? Tiga pupu? Bapa saudara sepupu? Ermm...

Jauh di sudut hati, saya bangga dengan kampung saya, iaitu kampung asal abah. Hampir keseluruhan penduduknya mempunyai pertalian persaudaraan. Jika balik ke kampung pada Hari Raya, beraya ke rumah saudara mara ibarat beraya ke rumah seluruh penduduk kampung. Menarik juga. Namun yang sedihnya, saya tidak mengenali mereka semua. Hanya yang terdekat. Mungkin kerana kami (saya) jarang pulang ke kampung sewaktu kecil dahulu akibat kekangan kewangan. Bila sudah besar dan ada kemudahan, mereka pula sudah berganjak usia. Anak-anak pula ramai yang berhijrah ke luar. Berlanggar bahu di Kuala Lumpur atau di mana-mana pun tidak sedar. Jahilnya rasa ketika itu.

Ada kisah menarik tentang salasilah keluarga kami, sejak dari kampung ini di buka lebih kurang tahun 1900-an (kalau tidak silap). Ketika Hari Keluarga di adakan pada tahun 2005, ketika itulah saya mengenali dan mengetahui kisah sebenar keluarga serta mengenali keturunan kami yang sebenarnya berasal dari Indonesia. Dan mereka berhijrah ke Tanah Melayu bukan sebagai pekerja atau pengembara, tetapi sebagai pedagang. Dalam erti kata lain, darah yang mengalir di tubuh badan saya adalah darah usahawan dan peniaga (bangga!). Nantilah, bila ada kelapangan, saya akan cari semula kisah yang di nukilkan dalam brosur hari keluarga yang masih tersimpan dalam khazanah di bilik kecil saya.

ketika itu, melalui family tree yang di pamerkan pada ruang pameran yang kecil, dapatlah saya mengenali nama-nama yang selama ini di sebut-sebut serta mengenali siapa dia ini, siapa dia itu. Yang lebih penting ialah mengetahui dia ini rupanya cucu wak ini, atau dia itu cicit embah itu, atau dia ini rupanya sepupuku, atau oh dia ini rupanya bapa saudaranya itu. Ada yang sudah berpangkat datuk saudara biarpun masih muda dan bercucu tatkala belum beruban.

Macam-macam kisah dalam keluarga besar kami. Seperti yang saya katakan di atas, nanti saya ceritakan sejarah kampung dan salasilah Kampung Bukit Tunggal yang cukup dekat dengan keluarga kami.



.

Rabu, Mei 14, 2008

Buku : Tavelog Haji - Mengubah Sempadan Iman


1)
Pernah saya catatkan disini betapa sukarnya menghabiskan bacaan dalam masa yang singkat, apatah lagi membaca sebuah buku dengan cepat.


Allah mendengar keluhan saya, yang turut di selang selikan dengan doa. Dia memberikan saya kenikmatan yang tidak pernah saya fikirkan.


Sabtu dan Ahad lalu, rumah sewa saya menerima tetamu. Keluarga teman serumah menumpang bermalam. Mungkin mereka ada urusan di ibukota. Saya tidak kisah, lagipun ini bukannya kali pertama. Keluarga datang, apa yang nak di risaukan. Sesekali mungkin mahu melihat keadaan anak-anaknya atau adik beradik yang jauh di mata. Bagi membolehkan mereka berada dalam keadaan selesa di rumah, dan supaya saya tidak di serang perasaan bersalah, saya mengalah pada hari Ahad (kerana Sabtu sudah sepanjang hari di luar, hanya tiba di rumah bila malam menjelma). Sesudah Subuh, saya mencapai laptop, beberapa novel dan buku nota lalu melangkah keluar. Duduk di taman membaca novel, bersarapan sambil membaca akhbar hujung minggu, menaip beberapa perkara di ruang rehat di stesen minyak kemudian menghantar kereta untuk di cuci. Cukup setengah hari dan mata pula menjadi mudah mengantuk jika berlegar-legar tanpa kerja. Cukuplah, saya mahu rehatkan badan yang sudah enam hari bekerja. Saya kembali ke rumah.

Ketika menyunting beberapa naskhah manuskrip yang separuh masak, tiba-tiba saya teringatkan buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Waktu itu saya sedang menyunting catatan kembara peribadi. Travelog karya Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim ini adalah antara senarai buku-buku yang saya ambil dari stor PTS bulan April yang lalu. Secara tiba-tiba saya terpanggil untuk membacanya.


Secara jujur, saya tidak mahu membaca secara percuma buku-buku tersebut. Biarlah saya berlaku adil. Saya tidak merasa selesa membaca setiap judul, meletakkan kembali ke dalam kotak, menceritakan kepada orang lain dan menjualnya. Saya tidak mahu pembeli mendapat buku dari lebihan tangan saya. Terasa seperti menjual barangan terpakai pada harga yang asal. Terasa seperti menipu pembeli. Terasa seperti ‘mencuri’ ilmu dari buku-buku tersebut. Hasilnya, seperti menerima ilmu yang tidak bermanfaat. Hajat saya ialah menjualnya kepada kenalan dan rakan terdekat. Menyarankan bacaan yang bernas supaya dapat menambah ilmu di dada. (Ini adalah pandangan peribadi. Saya amat mengambil berat soal keberkatan).


2)
Sebelum masuk ke rumah, saya mencapai buku Travelog Haji dari himpunan buku yang tersimpan dalam kereta. Tiba-tiba ada keinginan membaca. Tiba-tiba hati bagai dipanggil-panggil. Saya berniat untuk membelinya. Menjadikan ia milik peribadi. Sesudah solat Zuhur, saya berbaring sambil membelek buku ini. Dari satu muka ke satu muka, berganjak dari satu bab ke satu bab. Mata pedih menahan kantuk, tetapi keinginan membaca begitu kuat sehinggalah saya tertidur tanpa sedar dengan buku terdampar di sisi. Terjaga, kemudian menyambung baca. Menjelang Maghrib saya sudah menghabiskan separuh. Selepas Isyak saya menyambung lagi sehingga tamat keseluruhan. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1.12 pagi.

Allah memberikan saya kenikmatan yang tidak pernah saya fikirkan. Dalam saya resah kerana sukar menghabiskan bacaan, karya Travelog ini habis dalam satu hari. Saya berfikir mengapa ia menjadi begitu mudah.

Pertama, kerana saya sudah banyak mendengar tentang buku ini. Malah, selalu juga menjenguk ke laman blog Prof Dr Muhd Kamil. Tetapi hati belum rasa terpanggil membacanya. Mungkinkah ia seperti undangan kad jemputan dari Allah kepada Prof sehingga beliau secara tiba-tiba terdetik mahu mengerjakan haji? Secara tiba-tiba saya di minta membaca sehingga khatam dalam sehari?

Kedua, kerana ia adalah sebuah catatan perjalanan. Ia adalah himpunan pengalaman sepanjang perjalanan mendapatkan hidayah bagi mengubah sempadan iman, mencari keredhaan dan melahirkan kembali seorang insan. Ia lebih kepada catatan kembara penulis dalam merubah dirinya menjadi manusia yang serba sempurna di sisi Pencipta-Nya selepas melalui fasa kehidupan yang serba melalaikan.

Ketiga, kerana gaya penulisannya yang ringkas dan mudah. Setiap topik di ulas dalam dalam bab-bab yang mudah di baca. Ayatnya yang ringkas dan cukup terkesan. Tidak perlu membaca berulang kali bagi mencari maksud yang tersirat. Setiap kata disusun dengan begitu ikhlas dan merendah diri. Travelog ini seolah-olah di tulis oleh seorang yang bukan bergelar Prof dan Dr. Bait-bait katanya begitu tulus sehingga saya sering bersoal jawab dengan diri bagaimana beliau boleh meletakkan ke tepi dua title tersebut ketika menulis. Ia peringkat yang sukar sebenarnya. Tetapi Prof Dr Muhd Kamil tidak mengendahkannya.

Keempat, kerana ia berkenaan rukun yang wajib yang perlu di laksanakan sekali sahaja sepanjang hidup di dunia. Tidak ramai yang mahu bercerita tentang pengalaman mengerjakan haji seratus peratus. Apatah lagi melibatkan penghijrahan diri dari satu fasa kehidupan yang terarah kepada perkara duniawi kepada usaha mencari kebahagiaan di dunia kekal. Mengenepikan title, merendahkan diri kepada gelaran jahil berkali-kali, menceritakan perjalanan satu persatu di Tanah Suci serta kepuasan yang lahir dari proses penghijrahan sebelum, semasa dan selepas merupakan perkara yang sukar di lakukan oleh orang biasa. Saya akui Prof Dr Muhd Kamil sorang insan istimewa.

Kelima, kerana sejak akhir-akhir ini saya seolah di seru panggilan Baitullah. Terus terang, haji atau umrah bukanlah satu perkara yang menarik perhatian saya sejak dulu. Biarpun didedahkan dengan kehidupan yang indah di Taman Ilmu dan budi, belajar tentang haji, umrah, hadis dan Qur’an di kelas, kuliyyah dan usrah malah boleh dikatakan dekat dengan perkara seumpamanya, namun tidak pernah terlintas mahu ke sana. Apatah lagi bila terlibat dengan dunia MLM, upline sibuk meletakkan target mahu ke sana, saya memasukkannya ke dalam target tanpa sebarang niat. Sekadar mengikut arus.

Namun, segala-galanya berubah setelah membaca novel Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani. Kisah bagaimana Salsabila dan ibunya mengerjakan umrah, dan kemudian berkahwin di sana cukup terkesan dihati. Secara tiba-tiba saya terasa dipanggil ke sana. Melihat sendiri Kaabah, merasakan pengalaman di tempat paling suci, berada dekat dengan Tuhan merubah diri saya untuk meletakkan sasaran ke sana pada usia muda. Alhamdulillah, dua bulan yang lalu saya mula menyimpan dalam Tabung Haji dan sudah pandai berbincang dengan abah tentang hasrat mengerjakan Haji.Travelog ini menambahkan lagi hasrat mengerjakan haji dalam masa terdekat. Saya tidak pasti bila, tetapi saya sudah merencana untuk menambah simpanan dengan kerja-kerja sampingan yang saya lakukan. Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini ada sahaja tugasan yang saya terima yang membolehkan saya menambah simpanan. Rezeki menjadi murah. Seolah-olah jalan dibuka untuk saya erus berlari. Apa lagi yang harus saya tunggu?

3)
Satu perkara yang besar kesannya kepada saya melalui Travelog ini ialah betapa besarnya kuasa doa. Allah ada berpesan, ‘berdoalah maka akan aku kabulkan’. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui atas apa yang tidak manusia ketahui. Banyak sekali doa di selitkan dalam buku ini. Biarpun ia diubah mengikut kesesuaian dan citarasa sendiri, pada saya ia lebih spesifik dan ikhlas. Prof Dr Muhd Kamil dapat apa yang di minta. Beliau berdoa, maka Allah kabulkan. Namun berdoa bukan semudah berkata-kata. Bukan sekadar meminta. Bukan sekadar menadah tangan. Hati, fikiran, jiwa dan niat harus selari. Jangan sekali-kali berburuk sangka dengan-Nya, berputus asa dengan doa, atau meninggalkan usaha semata-mata mahu berdoa.

Memang inilah perkara yang sukar. Saya sendiri meyedarinya. Selepas solat, menadah tangan berdoa tetapi fikiran berlari-lari kepada urusan kerja yang belum selesai, mata melilau melihat sejadah, memandang dinding. Mulut terkumat-kamit berdoa, tetapi hati tidak ikhlas mengucapkannya. Doa menjadi perkara rutin yang tiada kesan kerana tidak tulus meminta. Hati, fikiran, jiwa dan niat tidak menuju kepada-Nya.

Saya ambil satu doa yang cukup dalam pengertiannya:
Ya Allah, aku berlindung di bawah cahaya wajah-Mu yang mengubah gelap menjadi terang, dengan perintahnya alam ini dan alam akan datang dijadikan. Selamatkanlah aku daripada kemurkaan dan kemarahan-Mu. Kepada-Mu sahajalah terpulangnya hari pengadilan, azab yang ditimpakan sekiranya Engkau tidak suka dan tidak reda. Tidak ada upaya dan kekuatan selain kuasa dan kekuatan-Mu jua.


Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman memang benar-benar mengubah kehidupan seorang insan. Bacalah, moga kita lebih mengerti kekuasaan-Nya yang tertebar luas di alam semesta, dengan rahmat-Nya yang melimpah ruah menanti untuk kita kutip dan titipkan dalam hati.


.

Menilai Iman

Perkara yang sukar dilakukan sebaik meninggalkan alam baca-tulis dan melangkah ke dunia kerjaya ialah mengekalkan apa yang dahulunya menjadi perkara yang biasa. Sebagai seorang yang datangnya dari sekolah harian biasa, melangkah ke tempat yang menjadikan agama dan akhlak sebagai tunjang pada awalnya memberikan kejutan yang bukan sedikit. Tambahan pula letaknya berdekatan ibukota, tempat yang mengumpulkan segala macam manusia yang baik dan jahat, yang jahil dan insaf, dengan tempat-tempat yang mengundang persepsi yang pelbagai dan ancaman yang bukan sedikit. Banyaknya nampak lebih ke arah negatif, maka cabarannya juga macam-macam.


Maka saya diberikan pengalaman yang bercampur-campur. Ada teman yang menasihati ke jalan yang betul, tidak kurang pula menunjukkan arah yang bertentangan. Mereka sekadar menunjukkan, bukan menggalakkan. Katanya hidup ini singkat, laluilah pelbagai perkara yang kadangkala menjengkelkan tetapi ia sebagai pengajaran dan menambah pengalaman. Esok-esok, belum tentu kita melalui pengalaman yang sama, kerana hari beredar tanpa menunggu kita walau sesaat.


Segala-galanya terpulang kepada diri sendiri untuk menilai dan memilih berdasarkan ketetapan hati dan iman yang nipis. Memang hidup ini singkat, tetapi sesingkat itukah pemikiran kita terhadap kehidupan yang harus dihabiskan dengan perkara yang sia-sia?


Bergaul dengan kawan yang pelbagai latar dan kedudukan membuka mata saya agar menilai kehidupan dengan lebih waras. Saya bercampur dengan semua. Dari yang bertudung labuh, yang hanya nampak anak mata, hinggalah kepada yang memakai seluar pendek di bilik atau yang menanggalkan tudung sebaik sahaja melepasi pagar. Semuanya sama seperti kelompok manusia yang sama yang akan saya temui di luar selepas ini. Mereka ini - walau nampak hipokrit - adalah antara manusia yang cuba memilih jurus hidup sendiri berdasarkan pengamatan mereka terhadap kehidupan yang dikatakan singkat. Mungkin juga bereksperimen terhadap hidup.


Beberapa detik sebelum tamat, ada perbincangan yang hangat antara kami. Masing-masing menzahrkan perasaan resah terhadap dunia luar. Ia ibarat satu dunia yang cukup berbeza, di penuhi dengan elemen negatif, penuh dengan kegelapan dan di huni manusia yang sesat dan kotor. Tiada yang indah dapat digambarkan. Semuanya bernada sinis dan songsang. Maka lahirlah pelbagai perasaan yang tidak dapat digambarkan atas ketentuan yang tidak dapat dipastikan. Semua berdasarkan kepada pengamatan sendiri yang bila sesekali keluar ke kota, melihat manusia dengan kejahilan mereka selain penelitian terhadap teman sekuliyyah yang kadangkala meloyakan.


Tetapi, siapakah sebenarnya kita untuk menilai hati manusia yang lain?


Waktu itu, pelbagai persepsi, azam serta kata-kata semangat cuba ditimbulkan bagi membuang resah. Masing-masing cuba membuktikan ia persepsi yang salah. Ada antara kami yang berniat mahu membetulkan suasana, mengatur hidup sendiri kemudian menunjukkan kepada yang lain cara hidup yang sebenarnya. Tanpa disedari, selain berhadapan dengan dunia kerja, kehidupan di luar juga adalah antara cabaran yang menanti. Oleh itu, sebelum boleh menunjukkan si buta jalan yang betul, kita sendiri harus lebih celik dengan mengetahui jalan-jalan yang betul dengan peta yang sentiasa di pegang di tangan. Janganlah nanti kita sesat dalam cahaya tatkala si celik menunjukkan kita haluan yang tepat. Na’uzubillah.


Perbincangan demi perbincangan, kerisauan tetap juga terpahat di hati. Masing-masing cuba merenung hari depan, melihat jalan yang cuba di tempuhi dan menjangkakan ranjau yang cuba di lepasi. Ada yang bersuara dengan nada positif cuba memberi motivasi supaya ia tidak menjadi sesuatu yang terlalu merisaukan.


“Kita di sini menadah pelbagai ilmu. Duniawi juga ukhrawi. Di sini medan kita mencerna segala ilmu dan menambahkan pengetahuan dari pelbagai sumber. Sesi praktikalnya ialah di luar, bila kita mula bertemu dengan 1001 macam perangai manusia. Itulah medan tempur kita. Di situlah juga kita dapat mengetahui berkesan atau tidaknya segala ilmu-ilmu itu, bagus atau tidaknya diri kita bila berhadapan dengan masyarakat. Kita ada ilmu, maka sampaikanlah kepada yang tiada. Itulah tujuan sebenar kita di dewasakan disini, di besarkan di tempat ini.”


Memang saya akui ada debaran apabila melangkah kali pertama ke medan kerjaya. Pelbagai persepsi timbul. Tambah-tambahan pula I yang saya bawa di tengah-tengah susunan aksara Taman Ilmu dan Budi memberikan tambahan tanggungjawab yang mengundang hormat orang lain. Itulah yang membezakan, itulah yang memberi cabaran. Sedangkan jika dilihat, ilmu yang disampaikan jika tidak di praktikkan ianya habis sekadar di buku. Ilmu jika tidak diamalkan, ibarat pohon yang tidak berbuah. Begitulah yang sering saya dengar.


Memang saya akui ada beza dengan ilmu yang saya terima disini. Perbezaannya nampak bila bergaul dengan teman sekerja lepasan dari tempat yang berbeza di seluruh negara. Mungkin pergaulan dengan pelbagai masyarakat dari seluruh dunia mematangkan perhubungan. Mungkin kerana bahasa pengantar adalah Inggeris dan Arab sekaligus menjadikan kami lebih terbuka. Mungkin juga kerana ilmu-ilmu tambah yang di timba memberikan pengetahuan yang lebih global sifatnya. Dalam diam, saya bersyukur menjadi antara yang terpilih menuntut disini, biarpun atas kuota dari sekolah harian biasa. Bukan sekolah agama, bukan sekolah sains, bukan juga pelajar berasrama.


Secara keseluruhan, banyak yang saya terima secara rohaniah. Dewan kuliyyah memberikan saya peluang menuntut ilmu dengan lebih tulus dan ikhlas, kerana di setiap mata pensyarah ada ilmu tambahan yang disampaikan secara bersahaja. Mereka ringkas dalam bersyarah, menyelitkan nasihat di setiap kata, menyampaikan pedoman sebagai ingatan, memberitahu bagi menambah sedar. Rakan-rakan juga banyak membantu. Pergaulan dengan penuh adab dan akhlak, teguran dan larangan, juga ada masanya mencegah dan berdebat, menjadi dinding dalam menghalang diri dari menjadi sebahagian yang jahil.


Pengelibatan secara sukarela melalui program yang dianjurkan rakan-rakan seperjuangan, juga anjuran persatuan sendiri turut membantu kerana ia lebih dekat dan menjadikan teori lebih mudah dipraktikkan. Lebih mudah melihat kesannya terhadap diri sendiri. Namun, program sukarela yang bermakna pergi dengan kehendak sendiri bagi menambah ilmu tidak mampu menarik minat ramai. Hanya yang benar-benar ikhlas mahu berjuang dan bersama tahu betapa perit jerihnya menganjurkan perkara yang tidak menjadi kegemaran ramai. Memang manusia mempunyai citarasa berbeza. Forum agama, ceramah, aktiviti mengimarahkan musolla, Qiamulail mahupun program keagamaan yang lain sekadar mengundang wajah yang sama. Tidak mengapalah. Inilah kualiti yang diharap dapat di canai dengan lebih cemerlang.


Bukanlah niat saya menceritakan perkara yang baik-baik tentang diri sendiri. Tidak. Malah saya juga terlibat secara aktif dengan aktiviti panjat gunung, ekspedisi berbasikal, berkhemah, berkayak, kem survival juga aktiviti sukan yang lebih kepada kerahan fizikal. Namun, ada bezanya dengan apa yang saya temui di luar. Ada manisnya dengan apa yang cuba di terapkan. Masih ada aturan yang cuba di hormati. Batas akhlak dan adab tetap menjadi perkara wahid untuk di terapkan. Jika tidak, mata-mata yang memandang akan terus menghamburkan kata nasihat supaya lebih bersopan biarpun dalam perkara yang melibatkan fizikal secara keseluruhan.


Mengapa agaknya saya menuliskan entri seperti ini? Saya tidak pasti. Usai maghrib sebentar tadi, saya sedar yang sepuluh tahun yang lalu adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Taman Ilmu dan Budi di kampus Gombak, di mana dua tahun sebelumnya saya menelaah ilmu secara asas di Pusat Matrikulasi Lembah Pantai. Keadaan ketika itu masih lagi penuh berhabuk, lori bersimpang siur, masih lagi ada bunyi bising mesin berfungsi menyambut kedatangan kami mendaftar. Sudah sepuluh tahun ia berlalu namun kenangan itu bagaikan satu paparan visual yang sentiasa hidup di hadapan mata. Banyak nostalgia tersimpan, banyak perkara pahit manis tidak terucapkan sepanjang empat campur dua tahun di sana. Serasa tidak mahu meninggalkan usai pengajian. Sedih dan hiba. Namun hidup perlu diteruskan. Perjalanan masih panjang.


Kini biarpun sudah enam tahun saya meninggalkan Taman Ilmu dan Budi, masih lagi wujud perasaan yang saya tidak boleh meninggalkan tempat yang banyak mendewasakan diri. Apatah lagi bila sujud dengan tenang di masjid berkubah birunya, melewati kelas dan dewan kuliyyah yang semakin di mamah masa atau berpapasan dengan pelajar luar, para pensyarah yang semakin tidak saya kenali atau sekadar memandu di tempat-tempat yang setiap ruang incinya pernah saya jejaki. Semua adalah kenangan.


Alhamdulillah, saya berkesempatan mencurahkan bakti di sini biarpun secara part-time. Ilmu yang saya kutip di luar kelas dahulu, di curahkan kembali kepada anak bangsa yang dahagakan ilmu. Insya Allah, biarpun bukan pada tahap yang terbaik, saya cuba memastikan apa yang saya kutip dahulu, dikembalikan kepada mereka yang berhak. Mereka ini pula selepas ini akan melalui jalan-jalan yang pernah saya lewati dahulu. Moga-moga ada kebaikannya.


Sudah banyak kali saya menukilkan nostalgia seperti ini. Tetapi kali ini sungguh terasa syahdunya. Bila berkeadaan begini, saya akan memandu ke sana biarpun hanya bertujuan solat di masjid dua menara itu atau berpusing tanpa arah di dalamnya. Benarlah kata orang, perkara yang benar-benar di hayati dengan hati, akan terzahir dengan ikhlas dikemudian hati. Niat asal entri ini menceritakan tentang ‘meninggalkan alam baca-tulis dan melangkah ke dunia kerjaya’ sudah bertukar menjadi entri yang cukup nostalgia pula. Nantilah, saya sudahkan dahulu nosalgia yang masih ada, kenangan yang masih tersisa.


“Maha suci Engkau wahai Allah dengan segala kebesaran dan tahmid. Aku naik saksi dan mengaku bahawa tiada Tuhan lain kecuali Engkau. Aku pohon ampun dari Mu akan segala dosa kesalahan.”


.

Selasa, Mei 13, 2008

Yang indah dan tidak di Pulau Indah

Apa yang indah di Pulau Indah?

Itu pertanyaan yang sering ditanyakan oleh rakan sepejabat. Malah, dia pernah berhasrat jalan-jalan makan angin di sana. Padanya, Pulau Indah tidak lebih dan tidak kurang seperti pulau percutian lain. Mungkin ia mempunyai pantai seindah Morib yang pernah kami jejaki, atau mungkin seperti Pulau Perhentian yang sering menjadi sebutan kami sejak akhir-akhir ini. Mungkin ada pantai, ada laut, tempat mandi-manda dan juga resort serta chalet.

Mungkin itulah yang digambarkan dalam fikirannya, seindah namanya.

Setiap kali bercerita tentang Pulau Indah, saya akan ketawa. Mujur saya pernah ke sana beberapa kali. Itu pun kerana syarikat pernah mendapat kontrak kawalan keselamatan di Terminal Caltex. Jika tidak, fikiran saya turut menggambarkan yang indah-indah sama sepertinya.

“Kamu tahu apa yang ada di sana? Pulau Indah di penuh dengan terminal minyak, kilang dan bangunan yang tidak berpenghuni. Ia bukanlah sebuah pulau yang indah dengan pantai yang cantik.”

Dia tidak berpuas hati malah sering menyebut. Bagi memuaskan hati dan mengisi luang waktu yang panjang di hujung minggu, saya membawanya dan seorang lagi teman sepejabat ke Pulau Indah. Semoga dia berpuas hati dengan perjalanan ini. Pemanduan petang Sabtu lancar tanpa ada kesesakan kecuali ketika melewati bandar Klang. Kami ceria di dalam kereta dan perbualan berkisar kepada perkara yang sering mengundang tawa.

Apa yang ada di Pulau Indah? Ia sebuah pulau kecil, letaknya hampir 30 km dari bandar Klang, tersepit di antara Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan. Ia ibarat sebuah kawasan terbengkalai yang tidak di majukan. Ada jambatan luas dua lorong menghubungkan tanah besar dengan pulau. Jika tidak di perhatikan betul-betul, kita tidak akan perasan ia adalah sebuah jambatan kerana kiri dan kanan pemandangan terlindung oleh paip-paip besar dan mungkin binaannya sengaja menghalang pemandangan untuk lepas ke luar. Jambatannya tidak terlalu panjang, mungkin dalam 500 meter.

Di kanan ialah jambatan bagi laluan kenderaan biasa, manakala disebelah kiri ialah jambatan keretapi. Di seberang sana ialah Pulau Indah.

Tiba di pulau, di hujung jambatan, pokok-pokok yang tidak terjaga tumbuh di kiri kanan, ibarat hutan kecil yang menggambarkan ia benar-benar seperti kawasan yang tidak dapat dimajukan oleh mana-mana pihak. Sepanjang pemanduan, wajah yang sama terlukis. Dipenuhi pokok-pokok meliar dan rumput tidak dipotong. Mungkin ada usaha dari pihak tertentu memajukan kawasan ini sebelum ini, tetapi tidak ada hasil yang menarik. Ada satu papan tanda besar bertulis “Halal Hub’ tetapi ia telah dimamah masa. Mungkin ada perancangan terhadap tanah yang terbiar. Mungkin juga menunggu saat untuk dimajukan. Begitulah komen-komen dan bualan kami sepanjang perjalanan.

Tetapi di penghujung perjalanan, banyak kilang didirikan dengan lori keluar masuk sesuka hati melanggar peraturan jalan membawa kontena dan barang-barang keperluan ke terminal dan pelabuhan. Lori memang raja di sini. Sesekali berpapasan mencuit debar kerana saiznya yang besar bila-bila masa boleh menerkam kami dalam kereta yang kelihatan kecil saja. Jalan dua lorong yang cukup besar tidak rata dan bertampal-tampal, mungkin pecah akibat tekanan berat lori yang sering melewati jalan. Saya sekadar memandu hingga ke pelabuhan, kemudian berpatah balik kerana ia laluan larangan. Saya kira, ia adalah pelabuhan, kerana di situ di tempatkan satu binaan seperti tol untuk polis dan kastam melakukan pemeriksaan terhadap lori dan kenderaan keluar masuk ke pelabuhan.

Berpatah balik, saya menyinggahi terminal Star Cruise yang letaknya kira-kira 5 km dari jalan besar. Malangnya laluan terhalang lagi. Papan tanda di larang masuk, sama ada sengaja di bina atau memang di larang masuk di letakkan menghala ke terminal. Ada kolej swasta yang cukup besar dibina di sini, lengkap dengan asrama di celah bangunan yang terbiar yang sepatutnya menjadi kawasan perindustrian. Dalam hati, saya melahirkan perasaan kasihan kepada pelajar kolej tersebut yang tinggal di kawasan seperti ‘tempat jin bertendang’, jauh dari sebarang kemudahan malah sukar untuk ke mana-mana kerana kemudahan pengangkutan awam yang tidak langsung kelihatan. Bagaimanakah agaknya kehidupan mereka di sana? Apakah kerana kolej mahu menjimatkan kos sewaan dengan mencari tempat yang ‘tidak laku’, maka kebajikan pelajar di korbankan? Hanya mereka yang lebih mengerti.

Sepanjang pemanduan ke terminal Star Cruise yang letaknya di penghujung perjalanan, kiri kanan hanyalah lot-lot rumah kedai yang terbiar tanpa ada usaha dibangunkan. Lot bangunannya cukup luas, dan sempat saya memandu melihat keluasan kawasan yang terbiar ini. Di seberangnya, ada kawasan perumahan yang mungkin di huni oleh para pekerja kilang dan pelabuhan. Rumah double storey juga flat kos sederhana yang kemas terjaga. Cuma satu dua kedai yang dibuka, yang menjual barangan keperluan penduduk. Ada juga tanda ‘kanak-kanak melintas’ petanda ada sekolah dibina, tetapi saya tidak pasti di mana lokasinya.

Di sebelah kanan, di seberang jambatan keretapi, kapal dagang besar, feri serta bot yang besar berhimpun dan berlabuh

Berpatah balik, kami singgah di bawah jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan pulau. Melihat orang memancing, menyaksikan pemandangan ringkas yang tidak begitu mengujakan. Ada dua jambatan dibina, satu bagi kenderaan biasa, dan satu lagi untuk laluan keretapi, yang saya pasti adalah komuter yang menghubungkan stesen terakhir yang dinamakan Pelabuhan Klang. Saya kira itulah nyawa yang menghubungkan Pulau Indah dengan dunia luar. Jika tidak, ia sekadar pulau mati. Hanya menjadi tempat orang datang mencari rezeki dan tidak lebih dari itu.

Suasana di bawah jambatan. Bot-bot kecil terdampar di sisi sungai tanpa perhatian.

Kami memerhati orang-orang yang memancing. Mereka memanjat tangga buatan sendiri yang terletak di hujung jambatan dan mencari tempat betul-betul di bawah jambatan. Tiang-tiang jambatan yang besar dan luas memberikan mereka tempat memancing yang selesa. Beberapa orang pula memancing di tebing. Di sebelah kiri, pandangan di batasi oleh hutan paya dan bot-bot kecil yang usang. Di sebelah kanan, kapal dagang besar, feri serta bot yang besar berhimpun dan berlabuh. Dua suasana berbeza pada petang yang tenang tanpa sinaran matahari yang memeritkan.

Memancing dan berkhayal – dua perkara sinonim. Diatas tiang-tiang yang besar, ada pemancing duduk melemparkan joran, memanjat dari tangga buatan di darat mencari lokasi sesuai memancing dan bersendirian.

Angin bertiup perlahan sahaja. Para pemancing sesekali menarik joran melihat umpan yang di makan. Ada juga hasilnya, biarpun melihat keadaan sungai yang saya kira seperti bukan lubuk ikan. Tambahan pula memancing di bawah jambatan, bunyi bising lori yang lalu lalang serta motor yang menjerit-jerit tidak memberi suasana yang tenang. Namun, ada juga yang berhasil memancing satu plastik ikan. Sesuai untuk santapan sebelah malam nanti.

Pakcik ini memancing dihadapan kami tanpa menghiraukan kami bertiga. Dia menggunakan umpan anak udang yang di jala di tempat yang sama bila sambil menunggu umpan disambar ikan. Dapat juga beberapa ekor sewaktu kami singgah di sini.

Lama juga kami duduk di sini. Melihat orang memancing, memerhati suasana petang dan memikirkan keindahan Pulau Indah. Indah pada nama, bukan pada tempatnya. Bagaimana cara memajukan atau menaik taraf pulau kecil ini, terpulanglah kepada yang bijaksana memikirkannya. Janganlah menjadi seperti Putrajaya yang lengang pada hari minggu tetapi sesak pada waktu kerja sahaja.

Kami pulang dengan kepuasan. Puas kerana melihat pulau yang ‘indah’. Puas juga kerana dapat berjalan dan melihat suasana baru. Moga-moga teman yang tertanya-tanya mengenai Pulau Indah, dapat menilai sendiri betapa indahnya pulau yang kecil ini.

Sabtu, Mei 10, 2008

AAC dari novel kepada filem – Yang mengecewakan dan Yang Terpesong

Membaca dan menonton adalah dua perkara yang menghasilkan impak berbeza. Dengan membaca kita sekadar mengkhayalkan sendiri suasana. Apa yang di gambarkan oleh penulis, sama ada jelas atau tidak kita sendiri yang cuba membayangkannya. Tentang plot, watak dan latar, semua itu kita cipta sendiri dalam kepala. Betul atau tidak itu adalah kepada penafsiran sendiri. Dan biasanya ia berbeza-beza antara seorang individu kepada individu yang lain.

Menonton memberi kita gambaran yang luas. Kita jelas dengan sesuatu watak, memahami latar malah plotnya di susun bagi memudahkan pemahaman. Tetapi, penafsiran terhadap cerita ini biasanya terletak ditangan pengarah yang menjadi teraju, pelakon yang memegang watak, jurukamera yang mengekploitasi suasana serta si penulis skrip yang mencipta dan menggubah cerita itu.

Masalah sering timbul bila sesuatu naskhah itu cuba diterjemah ke medan lakon. Jarang sekali ia cuba 100% menepati teks asal. Memang begitulah, kerana tidak semua bahan cerita asal boleh dilakonkan. Hanya pada babak tertentu yang benar-benar memberi signifikan diambil, dan ada yang di cicirkan dengan syarat ia tidak mengganggu perjalanan cerita. Sering kali berkalu kecelaruan kerana ia tidak menepati konsep asal. Sememangnya begitulah. Apabila sesuatu perkara itu jatuh bukan kepada tangan yang asal, ada yang di ubah-ubah dan di tukar agar menepati citarasa si penggubahnya.

Banyak naskhah yang telah cuba di lakonkan. Di luar negara misalnya, Harry Porter menjadi gilaan dan sentiasa di tunggu-tunggu. Begitu juga dengan Lord of The Rings, The Rainmaker, Forrest Gump dan The Godfather (sekadar menebut beberapa tajuk). Di Malaysia, ada juga usaha menerjemahkan karya ke layar perak. Antaranya Ranjau Sepanjang Jalan, Paloh juga karya Tan Sri P Ramlee seperti Hang Tuah.

Novel Ayat-ayat Cinta menjadi satu fenomena di Indonesia sekitar tahun 2005-2007 hingga meneggelamkan kehangatan Harry Porter ketika itu. Ketika saya membeli AAC, ia sudah masuk cetakan ke 12. Sekarang, dengan cetakan terjemahan di Malaysia, entah berapa ribu naskhah pula yang terjual. Ramai yang membuat ulasan AAC, sambil ada yang cuba mempersoalkan apakah ia novel serius atau novel pop. Bagi saya, sesuai dengan namanya, sebuah novel pembangun jiwa, ia benar-benar membangunkan sebuah jiwa, andai ia kosong dan sepi.

Apabila AAC difilemkan, ramai yang menanti sama ada ia boleh sama meletup seperti novelnya. Saya mencari-cari ulasan, membaca kritikan. Ramai yang kecewa kerana filem AAC jauh dari apa yang di tuliskan oleh Kang Abik. Apabila saya menontonnya malam tadi, saya juga terasa yang filem AAC tidak mampu membangunkan jiwa. Ia tidak membicarakan cinta dengan tulus, tidak menghalusi watak-watak dengan ikhlas, tidak melukiskan Mesir dan Al Azhar dengan menarik. Oleh kerana telah membaca komen negatif sebelum menonton, maka perasaan kecewa turut sama keluar biarpun belum habis CD pertama. Filem AAC sekadar memperlihatkan cinta pada lapisan pertama, tanpa cuba melihat wacana cinta yang cuba di perlihatkan oleh Kang Abik dalam novelnya.

Seperti kata Pn Nisah dalam komentarnya disini :
Itulah yang berlaku, apabila novel ini berpindah medium - dari novel kepada filem - apa yang dijangkakan berlaku, memang berlaku. Filem itu hanya menyerlahkan aspek cinta lalu menenggelamkan segala wacana yang cuba disampaikan pengarang.
Kecewa, ya memang. Tetapi seperti yang telah saya katakan awal tadi, penafsiran si pengarah dan penulis asalnya memang jarang-jarang akan menemui titik persamaan. Sekaligus filem AAC tidak mampu diangkat menjadi satu fenomena seperti novelnya.

buku : Ranjau Sepanjang Jalan

Novel : Ranjau Sepanjang Jalan, SN Shahnon Ahmad
267 mukasurat, terbitan UPND Sdn Bhd tahun 1997.

Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) akhirnya tamat di tangan saya selepas hampir dua minggu berhempas pulas mencuri masa menghabiskan satu karya yang dianggap buah tangan hebat SN Shahnon Ahmad. Saya selalu mendengar tentang novel RSJ tetapi mengambil masa yang lama untuk memilikinya. Itupun secara tidak sengaja di Pesta Buku yang lalu apabila RSJ menjadi buku terakhir yang saya beli sebelum keluar dari dewan pameran.

RSJ telah pun di filemkan, tetapi belum sekalipun saya berkesempatan menontonnya. Membaca RSJ, ibarat membaca alam, melihat dunia tani, khususnya pesawah nun di negeri Jelapang Padi. Tambahan pula ditengah-tengah apa yang dkatakan krisis makanan sejak akhir-akhir ini, RSJ menunjukkan yang beras secupak akan jadi segantang jika berusaha, dan tak kan dapat secupak pun biarpun dah berusaha.

RSJ memaparkan hidup petani di Kampung Banggul Derdap. SN Shahnon mengambil latar kampungnya sendiri. Di muka hadapan, sudah tertulis pesanan dari penulisnya sebagai tanda ingatan pertama kepada pembaca – tentang watak dan cabaran yang dihadapi dalam mengerjakan sawah padi sehingga menjadi beras dan nasi yang kita makan dengan senang lenang.

RSJ ialah tentang kehidupan petani atau lebih mudah pesawah sejak dari ia mula menebas tanah dan membersihkan bendang sehinggalah padi menjadi dan siap ditanak. Kemudian satu persatu cabaran di paparkan. Ular tedung senduk yang memukau Jeha, onak nibung yang membunuh Lahuma, tujuh beradik mengerjakan sawah, lintah gajah, kemarau panjang, banjir besar, burung tiak yang beratus-ratus ekor menyerang bendang hinggalah kepada musim menuai.

Saya sejak kecil dikelilingi dengan getah dan kelapa sawit. Tidak pernah sekali saya di dedahkan dengan kehidupan para petani dengan sebegini jelas. Sememangnya, pertanian akan menjadi sinonim dengan kemiskinan jika takdir itu tidak diubah dengan tangan si petani itu sendiri. Namun, jauh manalah usaha mereka jika tidak dibantu dengan teknologi. Sememangnya kedatangan teknologi membantu mengubah nasib, dan padi boleh ditanam dua kali setahun, dengan sistem pengairan yang banyak membantu serta pemasaran yang sistematik. Saya terkenangkan keluarga Jeha dan Lahuma yang dahulu begitu banyak menghuni bendang mengharapkan sawah mereka menjadi biarpun mustahil tiada dugaan yang datang dalam semusim. Betapalah besarnya dugaan yang mereka hadapi, setelah berhempas pulas di bendang dan berdoa semoga hasil musim itu melimpah ruah. Namun bila mereka di uji, langsung mereka tidak menyalahkan takdir atau mempersoalkan kuasa Tuhan, kerana mereka mengerti itulah kehidupan yang harus mereka tempuhi.

RSJ setidak-tidaknya mengingatkan saya yang sebutir nasi masuk ke perut adaah bersamaan setitis peluh petani. Baru minggu lalu para menteri bising tentang krisis makanan dan menasihatkan agar rakyat jangan membazir beras. Pada saya, berikan setiap dari kita novel RSJ ini supaya insaf menjadi lebih mudah.

Sepatah kata SN dalam novel ini “... adalah bencana-bencana yang tak bisa langsai selagi jantung berdegup, nadi berdeyut, dan “Ranjau Sepanjang Jalan” cuma dapat dirasai kalau bertafakur sejenak menginsafi perjuangan hidup pak-pak tani”

Rabu, Mei 07, 2008

Pen mahal, pen murah


Cerita kali ini mungkin biasa. Tetapi pada saya ada kesan yang cukup tersirat.

Semalam, saya menerima sebatang pen yang saya redeem melalui point Bonus Link. Redeem online pada minggu lepas, katanya akan sampai dalam masa sebulan, tetapi Alhamdulillah, kurang seminggu saya dah terima pen Parker yang cukup cantik. Redeem point pun sebab bulan Mei ini akan expired beberapa point. Jadi, sebelum expired, eloklah saya redem dan kebetulan cukup-cukup untuk Parker yang sebatang ini.

Saya sebenarnya tidak terlalu melihat kepada ‘nama’ pen tersebut. Pada orang lain, ia mungkin bukan perkara besar. Tetapi saya cukup ingat masa susah dahulu. Apa sahaja pen, asalkan ada dakwat dan boleh tulis, saya gunakan. Ketika sekolah menengah, ada seorang kawan yang cukup memilih. Mungkin boleh saya katakan memilih, kerana pen yang dimiliki ialah dari satu jenama. Ia bukanlah pen mahal, pen biasa sahaja, tetapi kalau pergi mana-mana, mesti dipilihnya pen tersebut hingga dia mempengaruhi hampir satu kelas untuk gunakan pen yang sama. Mula-mula saya ikut juga, tetapi saya ini bukanlah jenis suka mengikut orang, dan tak suka ada ‘benda’ yang sama dengan orang lain. Saya tinggalkan dia dengan pen yang dia suka. Saya guna pen murah sahaja.

Ketika belajar dahulu, saya biasa berhadapan dengan kawan-kawan (perempuan) yang menulis dan menyalin nota menggunakan pen warna-warni. Tetapi bila baca nota, mulalah pening kepala sebab macam-macam warna yang ada. Saya biarkan juga, tak suka nota warna warni. Kelabu mata bila baca.

Saya selalu perhatikan kawan-kawan perempuan mempunyai satu pencil case yang penuh dengan pen warna-warni. Saya cuma ada beberapa batang pen sahaja, yang biasanya saya gunakan sampai habis. Bagi saya cukuplah beberapa batang pen, banyak-banyak pun nanti bukan habis semuanya di gunakan. Tanbahan pula bajet saya terhad untuk dibazirkan dengan pen yang berwarna-warni seperti ini. Yang penting, pen itu boleh saya gunakan untuk menulis. Itu sahaja.

Dan saya juga tidak pandai menggunakan pensil tekan, kerana pada saya membazir sahaja membeli ‘lead’ sebab selalu patah. Saya rela menggunakan pensil biasa yang perlu diasah setiap hari, yang kadang-kala menjadi bahan ketawa kawan-kawan kerana perlu asah setiap kali sebelum ke kelas. Lucu ada juga. Lalu, saya menjadi pengguna setia pensil Steadlear 2B yang berwarna hitam kuning.

Cuma yang saya perasan tentang diri sendiri ialah, saya tidak gemar menggunakan pen biru kerana saya lihat ‘semua orang guna pen biru sebagai pen utama.’ Saya – atas alasan yang sama - tak suka ada ‘benda’ yang sama dengan orang lain, memilih warna hitam. Sekali sekala saya salin nota guna pen merah. Pernah juga guna warna purple dan hijau. Kawan-kawan tengok kadang-kadang hairan juga.

Seperkara lagi, saya tak boleh menggunakan pen yang bertutup. Biarlah guna pen yang ‘dipicit’. Ini kerana tutup-tutup pen tersebut biasanya hilang entah kemana. Pen saya yang beberapa batang itu pun, kebanyakannya pen tanpa tutup!

Ada seorang kawan sepejabat saya mempunyai sebatang pen yang amat disayangi. Katanya pen itu – Shaffer – adalah pemberian anak muridnya sewaktu dia mengajar sebelum masuk bekerja di sini. Pen ini sudah beberapa kali hilang dan tercicir, kemudian jumpa kembali. Melihat dia menggunakan pen mahal, terdetik juga dihati saya, mungkin ada kenikmatan yang dirasakan bila menggunakan pen mahal berbanding dengan orang lain. Apakah saya seperti mahu menggunakan pen mahal? Entahlah. Saya pernah di tunjukkan pen Moun Blanc berharga ratusan ringgit. Juga beberapa pen yang ‘ada harga’. Namun, belum terlintas dihati mahu menggunakannya. Bukannya apa, saya telah hilang beberapa pen yang saya terima sebagai hadiah. Jadi, saya agak ragu-ragu memegang sesuatu yang berharga. Takut-takut bila hilang nanti, menyesal tak sudah. Duit bukannya boleh di petik dengan jari. Tetapi, siapa tahu bila dah menggunakan pen mahal nanti akan pandai pula menjaganya. Saya tak pasti pula, kerana kadang-kadang saya ini pun cuai juga.

Pen Parker ini, oleh kerana cantik, rasa sayang pula mahu guna. Oleh kerana ia ada nilainya yang tersendiri (atau dengan kata lain, isi minyak kereta sahaja baru boleh dapat), maka saya berjanji akan menjaganya dengan baik

Membeli kesihatan, membeli nyawa

1)
Mungkin diantara kita masih lagi merasa terkejut dengan pemergian Tan Sri SM Nasimmuddin SM Amin. (Al Fatihah buat Tan Sri). Tan Sri Nasim dengan syarikat saya mempunyai pertalian yang cukup kuat. Bukan sahaja kerana MD saya dan Tan Sri dari kampung yang sama, tetapi syarikat saya banyak menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan di premis NAZA di seluruh negara. Dari sekecil-kecil premis sehingga ke yang besar seperti di Naza Auto Mall di PJ yang menjadi pusat pameran kereta yang cukup besar dan Naza Automotive Manufacturing di Gurun yang memasang dan mengeluarkan kenderaan dibawah nama Naza.

Mungkin sudah ditakdirkan, Tan Sri membawa isterinya untuk berubat, tetapi ajal memanggilnya pergi dahulu bila dikesan menghidap barah paru-paru tahap ke empat yang merupakan tahap kritikal. Tetapi itulah yang biasa kita dengar, orang yang sakit akan sengsara, tetapi yang sihat pula meninggal mengejut. Ini semua kuasa Allah. Tiada siapa yang dapat menduga.


2)

Kali ini saya ingin bercerita tentang kesihatan. Sudah beberapa kali saya mahu menuliskan tentang ini, tetapi seringkali juga terhalang. Sehinggalah bulan Mac yang lalu, saya secara tiba-tiba di uji dengan sedikit kesakitan. Saya tidak pasti apa puncanya, tetapi sebaik sahaja pulang dari pejabat cawangan di KL, saya tiba-tiba diserang demam, di ikuti sakit pada bahagian tulang di lower rib (tulang bahagian bawah dada). Pada mulanya saya biarkan. Tetapi sakit ini menyebabkan saya tidak boleh duduk tegak, dan apabila rukuk dan sujud, dada seperti mahu pecah dan gugur ke sejadah. Ya Tuhan, penyakit apakah ini?

Oleh kerana tidak tahan, saya – setelah dipaksa dan ditakut-takutkan oleh teman sepejabat – memaksakan diri ke klinik. Doktor yang memeriksa tidak memberikan respon. Saya katakan mungkin ia appenditis, tetapi doktor menafikan. Dia melukiskan bahagian yang sakit, dan beza dimana appenditis atau mungkin batu karang sepatutnya duduk. Saya diberikan ubat tahan sakit, dan saya berpuas hati dengan penerangannya. Tetapi sakit masih ada biarpun demam sudah semakin kurang.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan pakar di Klinik Pakar An Nur, Bangi. Kebetulan, saya menerima honorarium hasil kerja-kerja penyuntingan terhadap satu dokumen peribadi seorang kenalan. Alhamdulillah. Saya membuat pemeriksaan menyeluruh pada badan serta X-ray. Hasilnya, tulang temulang saya tidak menunjukkan gambaran yang ganjil. Kedudukannya masih sama, tiada beza dengan orang lain. Kemudian, doktor mengambil darah untuk dihantar ke makmal. Esoknya pula saya diarahkan pergi melakukan pemeriksaan ultrasound di KPJ Kajang Specialist Hospital kerana klinik pakar ini tidak mempunyai kemudahan itu. Saya membawa keputusan pemeriksaan pulang ke klinik, dan doktor yang melihat hasil pemeriksaan pada gambar-gambar abdomen saya mengesahkan yang anggota dalaman saya cukup sifat. Tiada yang ganjil. Dia meminta saya datang dua hari lagi untuk mendapatkan keputusan ujian darah.

Sementara menanti keputusan darah, saya diberikan ubat tahan sakit yang cukup kuat. Sebiji pilnya boleh menahan sakit selama dua hari. Boleh tahan juga, dan buat sementara sakit saya berlalu, tetapi saya menanti penuh debaran.

Hari yang di nanti pun tiba. Saya menemui doktor yang sama. Dia membacakan saya keputusan darah yang sebanyak tiga helai. Di terangkan satu persatu istilah perubatan yang penting, yang saya patut tahu. Alhamdulillah, semuanya normal. Tiada sebarang tanda penyakit atau simptom penyakit yang merbahaya. Cuma katanya, ada satu bahagian darah saya yang melebihi paras normal tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan dari segi perubatan. Ia cuma sedikit pelik, tetapi tidak memudaratkan. Jadi, dapatlah disimpulkan yang saya bebas dari sebarang penyakit. Namun, sakit yang menyerang lower rib itu tetap misteri dan tetap sakit hampir satu bulan lamanya, cuma tidaklah terlalu sakit seperti sebelumnya. Dan oleh kerana doktor mengatakan ia cuma sakit-sakit biasa dan tidak ada kesan apa-apa, dengan x-ray, pemeriksaan darah serta ultrasound yang tidak menunjukkan apa-apa simpton, maka saya biarkan sakit tersebut. Doktor kata ok, maka oklah. Malas nak fikirkan tentang perkara-perkaa mistik. Saya serahkan kepada Allah sahaja.


3)

Teman sepejabat agak terkejut bila saya mengatakan saya ‘sakit’ kerana mereka tahu saya seorang yang cergas. Ketika belajar dahulu, boleh dikatakan setiap petang saya menjalani latihan – jogging, berbasikal, berkayak. Sabtu dan Ahad pergi aktiviti luar. Cuti semester terlibat denga program. Pada hari-hari biasa bila kelas mula jam 10, sesudah Subuh saya akan berjogging sekejap. Jadi, tahap kesihatan ketika itu boleh dikatakan baik dan cukup fit. Tetapi itu kisah dahulu, kisah enam tahun dahulu (lama dah!).

Agaknya belum sampai masa untuk saya jatuh sakit. Tetapi bila memikirkan usia kian bertambah, dan tahun ini mencecah tiga puluh (alamak..) maka saya tidak boleh memandang enteng hal-hal seperti ini. Sakit sahaja, makanlah ubat. Seperkara lagi, saya memang susah diserang demam. Biasanya, jatuh demam sekali setahun dan memang tak bangun bebrapa hari. Tetapi minggu lepas, saya diserang demam panas yang agak teruk. Demam lagi. Oleh kerana degil tidak mahu ambil ubat, demam panas itu menjadi satu perkara yang menakutkan. Saya bertahan pada hari pertama tanpa makan panadol, tetapi keadaan menjadi teruk kerana panas badan menyebabkan saya menggigil pada waktu malam. Memikirkan yang tahun lepas saya masuk hospital kerana denggi, maka saya telan hampir sepapan panadol dalam sehari, dan sekadar berbaring tanpa ada selera makan. Panas badan masih lagi teruk. Tetapi yang hairannya, saya masih mahu ke pejabat, kerana sekurang-kurangnya ada yang prihatin daripada duduk seorang diri di rumah. Pengsan nanti tiada siapa tahu.

Sekali lagi saya ditakutkan oleh teman sepejabat. Katanya, ‘umur macam ni lebih baik dapatkan suntikan kerana boleh meyebabkan sewel.” Menakutkan juga tetapi saya tetap juga buat tak tahu. Masih lagi telan panadol dan actifast. Selera makan tertutup. Hampir empat hari saya tidak jamah apa-apa. Sekadar makan ubat dan tidur.

Masuk hari ketiga, saya rasa tidak tertahan sangat. Terus ke klinik dah doktor kata suhu badan 38 darjah. Panaslah tu. Saya di beri MC dan tiga jenis ubat – antibiotik, tahan sakit dan demam. Mujurlah, ingatkan kena suntik mana-mana. Cuti Hari Buruh sekadar berbaring dibilik. Masalah utama bila demam ini ialah, bila makan ubat sahaja terus tertidur. Hampir satu minggu masa saya terbuang di bantal. Makan ubat, tidur, makan ubat, tidur hinggalah saya rasa seperti separuh siuman kerana asyik makan ubat. Tidur pula mimpi yang bukan-bukan malah saya perasan juga yang saya mengigau. Saya fikir, jika saya dapatkan rawatan lebih awal, tentu kesannya tak seteruk ini. Apa boleh buat, degil tak mahu makan ubat. Bila dah sembuh, rasa menyesal pula melewatkan pergi jumpa doktor. Mahu test antibodi konon...


4)

Pada masa yang sama, saya juga diberikan pil selsema dan batuk oleh kawan-kawan. Yang ini lagi bahaya. Terlalu kuat agaknya dadah yang ada, pil yang kecil itu bila saya makan, setengah jam kemudian menyebabkan saya rasa khayal dan terus tidur. Tiga empat jam kemudian terjaga tetapi kesannya cukup baik. Selesema automatik hilang. Batuk juga terbang entah kemana. Ambil dua biji sahaja dah mencukupi. Tetapi saya tak berani ambil lebih. Kesan dadah yang kuat itu agak merbahaya.


5)


Saya hairan pula kerana kali ini mudah sangat di serang demam. Saya ingat lagi sebelum ini, jika orang lain diserang demam atau tiba musim demam, saya seorang saya yang segar bugar. Betul juga cakap kawan-kawan, semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko. Tambahan pula kebelakangan ini, usia bukanlah petanda seseorang itu sihat dan panjang umur. Bila duduk bercerita atau mendengar kawan sepejabat bercerita tentang kesihatan, ada baiknya untuk buat pemeriksaan kesihatan menyeluruh. Dan ketika ini semua sibuk mahu ambil insurans dan takaful. Macam-macam persediaan menghadapi kemungkinan yang tidak pasti.


6)

Kadang kala waktu petang saya duduk minum di cafe bawah pejabat dan berbual dengan penyewa yang membuka kedai fotostat. Dia tahap mempunyai kesihatan yang agak teruk. Selalu menasihatkan kami yang masih muda ini untuk buat pelaburan kesihatan. Ambillah supplement, vitamin, buat pemeriksaan kesihatan, bersenam dan jaga pemakanan. Nanti bila sampai nikmat kesihatan ditarik, nak makan pun kena berpantang. Ubat kena makan selalu, kena buat temujanji dengan doktor, kena buat pemeriksaan selalu. Bila salah makan, mulalah sakit. Ubat tak makan sebiji pun, dah rasa lain macam. Melihatkan keadaannya yang kadangkala nazak, kadangkala ok menyebabkan semua rasa insaf. Tetapi, sejauh manakah insaf kita bila berhadapan dengan nafsu makan?

7)

Kesimpulannya, jagalah kesihatan. Sihat tidak bermakna tiada penyakit. Buatlah pemeriksaan kesihatan, sekurang-kurangnya sekali setahun. Ambillah vitamin atau supplement, bersenam 20 minit x 3 kali seminggu dan amalkan cara hidup sihat. Insya Allah, terlepas dari bahaya.

Selasa, Mei 06, 2008

Baca, teruslah membaca

Seperkara yang menjadi tabiat dan mendatangkan kegusaran buat diri saya sejak akhir-akhir ini ialah ketidak mampuan menghabiskan bacaan. Sebutlah apa sahaja buku. Paling tidak pun baca beberapa helai, kemudian bosan lalu ditinggalkan. Bila dah tertinggal sehari dua, mulalah malas nak baca kembali – mungkin kerana dah lupa dengan ceritanya – atau cerita itu tidak mendatangkan minat (mustahil juga, kerana ada diantaranya ialah buku-buku yang cukup bagus). Atau mungkin malas. Malas. Mungkin juga. Dan mungkin juga kerana suka bertangguh. Inilah sikap yang saya cuba nak buang, nak ketepikan tetapi semakin mengakar dalam diri. Nak buang macam mana, kalau nak buang sikap suka bertangguh ni pun saya asyik bertangguh. Aduh!

Sebenarnya bila membaca, saya tidak gemarkan gangguan. Kalau boleh, terus habis baca bila sekali pegang. Kalau dah tutup sekejap, nak buka semula tu ambil masa juga. Bila dah tak sentuh dua tiga hari, mulalah lupa ceritanya. Nak sambung baca semula tu, bila dah ingat-ingat lupa, terus jadi malas. Tapi mustahillah kalau saya boleh habiskan satu buku sehari. Cuma yang saya ingat, rekod baik yang saya pegang setakat ini ialah Cinta Hari-Hari Rusuhan. Agaknya dah memang kena dengan citarasa, sehari duduk di bilik habiskan buku tersebut dengan penuh debaran. Dan novel paling liat yang sehingga sekarang baca tak habis ialah dari penulis yang sama juga – 1511H [Kombat] (ampunkan saya cikgu!). memang saya tak boleh ‘pergi’ dengan cerita perang agaknya, sebab seorang kawan – askar – boleh habiskan novel ni dalam masa sehari.

Sasaran saya dalam bulan ini ialah menghabiskan bacaan beberapa novel / buku penting. Mungkin saya rasa cara ini sesuai. Buat sasaran bacaan setiap hari dan setiap bulan, kemudian lihat progress. Kemudan update dalam blog. Barulah rasa bersemangat nak habiskan bacaan.

Target saya bulan Mei 2008:
  1. Ranjau Sepanjang jalan – Shahnon Ahmad (tinggal hujung-hujung)
  2. Hikayat Amir Hamzah – A Samad Ahmad (dah mula lama tapi tak habis-habis)
  3. Why We Want You To Be Rich – Robert Kiyosaki & Donald Trump (mahu dapatkan ilmu tentang kewangan, buku yang menarik juga)
  4. Pertentangan – Wole Soyinka (novel terjemahan)
  5. Pura Bujangga – antologi cerpen Affandi Hassan (belum habis-habis lagi, tapi ia memang sebuah buku yang hebat)

Saya juga cuba mengulang baca beberapa buku yang saya dah ingat-ingat lupa ceritanya, yang dah habis baca lama dahulu. Masalah yang sama ialah, bila sentuh sahaja buku, terus zzzzz (sapa suruh baca sambil baring...lelaplah jawabnya). Antara buku tersebut ialah:

  1. Keluarga Gerilya – Pramoedya Ananta Toer
  2. Salina – A Samad Said
  3. Rich Dad Poor Dad - Robert Kiyosaki

Jadi, sasaran sekarang ialah, jangan baca sambil baring dan jangan bertangguh. Bacalah!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...