Rabu, Februari 23, 2011

Unjuk rasa

Mesir: Dataran Tahrir. Apakah dataran Merdeka akan seperti ini rupanya nanti?

Pertama kali mendengar perkataan unjuk rasa ialah ketika membaca novel karya SN S Othman Kelantan berjudul Pertentangan petengahan tahun lalu. Berkerut dahi memikirkan padanan pada bahasa moden. Kemudian dapat saya fahami ia menjadi kata terbitan 'tunjuk perasaan' dan kita kini senang menyebutnya demonstrasi. Unjuk rasa bukankan lebih selesa didengar telinga?

Tunisia: Pencetus dan penggerak semangat

 Mutakhir ini khalayak lebih banyak memandang ke Asia Barat, ke negara tok syeikh Arab yang sedang sibuk dengan unjuk rasa. Dari Tunisia bergerak ke Mesir. Sekarang ini Libya. Zine el-Abidine Ben Ali sudah meninggalkan Tunisia. Hosni Mubarak pula akhirnya tunduk dengan gesaan penunjuk perasan yang berkampung di Dataran Tahrir berminggu-minggu. Kini dunia merencana apakah Muammar Ghaddafi akan turun dari takhtanya di Libya.

Mesir: Mereka sepakat dan berarak. Tidak gentar polis atau tentera

Unjuk rasa bukan sesuatu yang baru. Di Amerika Syarikat, demonstrasi anti-perang bagi menentang penglibatan tentera Amerika di Vietnam menyebabkan Presiden Nixon (dan skandal Watergate) meletakkan jawatan. Di tanah air sendiri, pergerakan mahasiswa pada tahun 1970-an atas beberapa isu kemiskinan dan kebuluran membuka mata kita betapa kuasa rakyat jika di gunakan dengan betul dan diatur baik akan menyebabkan pemimpin yang korup kecut lalu lari menyelamatkan diri. Yang korup sahajalah. Yang betul nak lari untuk apa pula.


 Amerika Syarikat: Protes anti-perang yang memuncak di zaman Presiden Johnson. Askar AS di Vietnam mencecah 500,00!

Dunia memerhati negara mana pula selepas Libya. Ada menjangka Jordan dan Yaman. Benar, banyak sekali negara Arab / Asia Barat yang di pimpin oleh orang yang sama berpuluh-puluh tahun sehingga menjadi diktator dan punya kecenderungan membentuk dinasti sendiri. Dan kebanyakan mereka - sekali lagi - kecut perut.


Malaysia: Demonstrasi pelajar dekad lalu. The angry-young-man. Di mana kebanyakan mereka kini?

Ada juga dari kalangan agamawan di tanah air bersifat sebaliknya. Mereka membaca hadis, mengkaji dan menafsirnya. Melihat bahawa unjuk rasa ini adalah petanda ke arah kiamat. Lalu terus mengaitkan dengan ramalan kemusnahan dunia pada 2012. Dunia dijangka musnah. Dijangka kiamat. Ah, apa ini?



Libya: Cukuplah Ghadafi!
 
Seorang kawan yang kebosanan di pejabat, yang menghabiskan waktu tidak produktif dengan 'kerja runcit', mahu ke Libya bagi membunuh masa. Kemudian mahu pulang semula ke tanah air bagi menyambung tugasnya semula. Aktiviti bermanfaat untuk orang bosan. Ya, saya mahu sertai juga. Seperti mana yang pernah saya katakan sewaktu para pelajar diangkut pulang secara percuma dari Mesir - bukankah kapalterbang pergi kosong, bawalah saya ke Dataran Tahrir. Kos pulang tanggung sendiri!

Nah, itu angan-angan sahaja!

Isnin, Februari 07, 2011

Lagu: Berita Kepada Kawan

Sehari dua ini, lagu Berita Kepada Kawan sering bermain di kepala. Di pejabat, saya memainkan lagu ini berulangkali menerusi You Tube. Di rumah, audio yang siap di simpan pula di berkumandang tanpa henti. Malah saya lebih senang mendengarkan alunan duet antara Ebiet dan M Nasir berbanding versi solo Ebiet. Lebih berjiwa dan bernyawa. Liriknya sering membuatkan saya berfikir panjang. Iramanya ringkas dan menenangkan. Terasa sedap sahaja telinga melayan.


Berita Kepada Kawan

Ebiet G.Ade

Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk
Disampingku kawan

Banyak cerita
Yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan

Tubuhku terguncang
Dihempas batu jalanan
Hati tergetar menatap
kering rerumputan

Perjalanan ini pun
Seperti jadi saksi
Gembala kecil
Menangis sedih ...

Kawan coba dengar apa jawabnya
Ketika di kutanya mengapa
Bapak ibunya tlah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut
Kukabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak
Kepada matahari

Tetapi semua diam
Tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri
Terpaku menatap langit

Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang

Rabu, Februari 02, 2011

Muhibbah dan sebuah puisi

Saya tidak pernah berjiran dengan bukan Melayu tetapi tidak bermakna saya kuat Melayu dan membenci bukan Melayu. Menerusi siaran tv, saya tahu kerajaan sangat menekankan konsep muhibbah. Saya tahu kita perlu sambut Tahun Baru Cina, Thaipusam, Deepavali, Wesak, Kaamatan, Gawai, Raya Puasa, Raya Haji. Dan kita katanya banyak cuti umum bagi menyambut semua perayaan. Lebih banyak berbanding negara lain. Tak mengapakah, kerana kita perlu sambut semua kan? Melalu promosi dan publisiti kerajaan terhadap muhibbah dan semangat kejiranan, maka saya sebagai rakyat Malaysia yang baik pun patuh dengan konsep perpaduan. Tidak ada sekelumit pun perasaan tidak selesa tatkala berurusan dalam hal soal beli. Tidak timbul perasaan kurang senang kala berpapasan. Semua ini berlaku walaupun tidak punya jiran pelbagai kaum atau bersekolah campur bangsa.Tiada sebarang prejudisme. Dan saya menurut arahan kerajaan.

Bagaimana sekarang?


Sempena Tahun Baru Cina, cuti panjang bersambung cuti hujung minggu, saya perturunkan puisi SN Usman Awang dibawah yang sungguh nostalgik dan berjiwa 1Malaysia. Nah, dulu kan dah 1Malaysia dah!

****

Suasana 
SN Usman Awang.

Seorang perempuan bersamfu hijau
dari tingkap dapur rumahnya berteriak
dan bertanya sambil membungkus Nien Kau
lalu tertawa mengangkat tudung periuk
wap panas menjulang harum kanji nasi
Dan dari rumah sebelah terdengar suara lunak
perempuan berbaju kurung menjawab senyum
sedang jari-jarinya lincah mengisi ketupat
dan sesekali menyudip serunding di kuali
segar selera dicecah baunya yang wangi.

Dari kejauhan suara-suara muda yang riang
pekikan dan tertawa di antara letupan mercun
dan kedua ibu saling memandang dan tersenyum
tanpa seruan pura-pura dari pentas-pentas politik
hati mereka bersalaman dan saling berpelukan
atas kesederhanaan rasa dan nasib yang sama.

Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan
mereka saling menerima dan memberikan kepunyaan
dan dari kedua telaga hati berkocak mesra
mengucapkan Kong Hee dan Selamat Hari Raya


1965
( Dipetik dari Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang, DBP )

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...