Ahad, Januari 25, 2015

Ke Kyoto #3

  1. Tiba di KLIA terus check-in. Tukar RM200 dari Becky dapat 5000 yen di satu money changer dan lagi 1000 di money changer dalam. Tak tahu nak buat apa jadi terus tunggu boarding sambil update status - status pertama setelah 3 minggu.Kira rekodlah tu
  2. Penerbangan lancar, tepat pada masanya. Baru nak berlepas encik pramugara bagitahu ada banyak kerusi kosong di belakang, pergilah tukar. Nak bangun teragak-agak sebab masa tu baru nak berlepas. Bila pesawat dah stabil atas awan, aku tengok kerusi belakang yang kosong dan pindah terus. Penerbangan malam Isnin memang tak popular. Aku pula seorang perempuan Melayu yang sesat dalam penerbangan
  3. Meski pun bawa tiga buku, niat ku anatara lain ialah layan filem. ada banyak menarik. Jadi aku pasang The Book Theif. Wah, eye opening sungguh. Tak sangka begini kisahnya. Tapi banyak kali juga aku n off. Waktu tidur dah sampailah
  4. Tengah malam cuma dapat makanan ringan - sandwich. Aku makan sampai habis. Biarlah sakit perut pun. Eh, semoga tak
  5. Jam 4 pagi pramugari hidangkan sarapan. Ambil nasi lemak dan kopi. Memang ubat sakit perut kan. Tapi ketika itu sejam lagi hampir mendarat. Waktu jepun sejam awal dari Malaysia, jadi sekarang pukul 5 pagi. Dua jam selepas itu, pesawat pun mendarat dengan selamatnya di Kansai Alhamdulillah
  6. Tak banyak gambar yang dapat diambil. Suasana gelap gelita di luar. Pagi pun masih awal dan duduk pula di sayap. Tak dapat angel menarik. Tapi sebab lain ialah, aku dah merasa puas lihat awan. Itulah nikmat Tuhan yang memang aku syukuri sangat-sangat. Semoga balik nanti dapat angel yang best

Sabtu, Januari 24, 2015

Ke Kyoto #2

  1. Sabtu sepatutnya ada forum yang memerlukan aku membentangkan serba ringkas tentang Jawi kepada pelajar UiTM. Seminggu sebelum acara, pihak penganjur menganjakkan tarikh dan tarikh tersebut bertindih dengan AGM. Jadi Ketua Satu terpaksa membatalkan acara tersebut. Juga bermakna Sabtu aku rehat di rumah. Dapat kemas beg sebaiknya.
  2. Emak dan abah datang Sabtu petang. Entah, nak datang sangat. Katanya nak tengok aku pergi walau pun tak sempat nak hantar. Siap aku bawa emak abah ke kedai, pasar, beli macam-macam barang lalu masak dan makan sepuasnya. Ahad mereka balik ke Serting
  3. Ahad, penerbangan malam. Banyak pula masa siang untuk membasuh, membersih, mengemas dan buat macam-macam perkara lagi sehingga rasa bosan kerana tak sudah-sudah baju keluar-masuk beg.
  4. Selepas Maghrib, kira-kira 9 malam aku pun keluar dari rumah. Agak cemas juga kerana rancangan wal ialah keluar jam 8. Tapi memang akan ada masa berbaki yang banyak, supaya boleh jadi masa kecemasan. Dalam kepala terbayang siapa yang boleh membantu ketika susah. Beginilah nasib orang bujang
  5. Kereta di parking di Putrajaya Sentral, Caj RM3 untuk 24 jam, jadi aku menganggarkan tak sampai RM30 untuk seminggu. Aku pun membeli tiket, menunggu tren dalam 15 minit sambil membaca keluhan kawna-kawan di WA. Aih, macam-macamlah korang

Jumaat, Januari 23, 2015

Ke Kyoto #1

  1. Selama tujuh hari aku dihantar ke Kyoto - atau ayat yang lebih baik, dijemput ke Kyoto - untuk menghadiri bengkel database Jawi di CIAS. Kali ini berseorangan. Awalnya mereka mahu menjemput dalam kumpulan, kira-kira lima orang. Tetapi penghujung November dimaklumkan cuma aku seorang yang terpilih kerana mereka kekurangan dana. Tahun fiskal di Jepun bermula April-Mac, jadi Januari sudah dikira menjelang penghujung tahun dan tidak banyak yang peruntukan yang tersisa. Agak berat juga keseorangan selepas melihat betapa keringnya Tokyo tetapi ada keseronokan juga - bila lagi boleh terbang?
  2. Selepas dapat tarikh, 26-31 Januari 2015, aku pun memeriksa cuaca menggunakan segala apps yanga da. Oh, ketika itu musim sejuk. Cuaca dikhabarkan sekitar 7-8 pada waktu siang tapi tiada salji. Ada perasaan teruja dan bimbang. Musim sejuk!
  3. Jadi perancangan perlu lebih kemas. Nampaknya perlu baju sejuk. Kena cari? Kena beli? macam-macam bermian di fikiran. Ketika melawat Puan M, aku pun terbuka cerita kerana berankat sehari selepas satu acara di Seremban. Dia cepat-cepat minta anaknya keluarkan baju sejuk dalam simpanan mereka, siap seklai dengan sarung tangan. Aduh, ini sungguh tidak disangka. Katanya, jangan beli, pinjam sahaja. Baju sejuknya memang dipinjam oleh kawan-kawan yang berangkat ke luar negeri.
  4. Kemudian, seorang kawan yang baru pulag berseminar di luar negara beri pinjam kot tebal, cardigan siap dengan shawl tebal. Oh, rupanya memang begini gaya kalau nak ke luar negara. Usah membeli kalau turun sekali. kalau selalu barulah beli
  5. Tetapi aku menyiapkan baju dan beg dua hari sebelum berlepas. memang banyak kerja Januari ni. Dengan kelas ganti yang tak habis. Ada assignment. Retreat pejabat. Dan Eriko yang dah mula beri maklumat tentang projek akan datang. Way to go!


Khamis, Januari 08, 2015

Nyah kawan

Antara azam tahun 2015 ialah mengurangkan senarai friend di FB kepada 500. Rasa rimas memang dah lama cuma kali ni betul-betul tekad dan nekad. Sesiapa yang tak pernah bertanya khabar, like atau komen, aku nyahkan mau dari senarai. Biarlah berkawan di luar dari diam di dalam media sosial. FB kini tempat untuk mendapatkan maklumat perlu. Nak nyahaktif tak boleh sebab akan ganggu semua page dan groups yang aku tubuhkan. Tapi kita ada pilihan kan.

Selepas hari pertama, aku ah kurangkan senarai kepada 650. Pencapaian terbaik!

Dan sudah 5 hari tak ada nafsu baca FB.

Isnin, Januari 05, 2015

Yang pedas pedas

Membaca blog Pak Affandi Hassan pada hujung dan awal tahun, dia menyentuh - seperti biasa - perkara berkenaan dunia kepengarangan dan lebih-lebih lagi penganugerahan Sasterawan Negara yang bertitik tolak dari panel pemilihan Anugerah Sastera. Bila panel pemilihan salah, maka terpalit jugalah pada SN.

Apa yang dapat aku fahami, kritikan keras beliau ialah pentakrifan Sasterawan Negara adalah berdasarkan kepada kerangka barat. Oleh itu, segala yang dimaksudkan sebagai seorang SN itu menepati ciri sekularis, liberalis dan modernis. Jadi, di mana kita nak letakkan tokoh persuratan lama seperti Raniri, Hamzah Fansuri, Sheikh Daud al-Fatani dan ramai lagi dalam kesusteraan Melayu? Apakah nanti wujud dualisme dalam dunia sastera?

Kita lihat beberapa petikan menarik dari blog beliau dalam entri ini

Semua seminar tentang sasterawan negara diberi judul, “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara”.  Mungkin tajuk itu terlalu besar untuk menampung kemiskinan pemikiran dalam karya sasterawan negara, dengan itu memaksa para sarjana mencari-cari helah untuk membuktikan wujud “pemikiran” dalam karya sasterawan negara. Tetapi dari sejumlah lebih dari 200 kertas kerja, tidak satu pun berjaya membuktikan mana-mana sasterawan negara adalah seorang pemikir. Yang kelihatan dengan jelas ialah mereka adalah pencatat peristiwa yang rajin, terutama kisah-kisah perjalanan di luar negara sebagai pelancong atau tourist yang kehairanan melihat sesuatu yang tidak ditemuinya di negara sendiri.  Saya sudah lama menunggu penafian para sarjana terhadap kesimpulan ini, kerana saya sendiri ingin mengetahui bagaimana mereka memberi takrif “pemikiran” itu dan bagaimana pemikiran itu diserlahkan dalam karya para sasterawan negara ini. Siapakah di antara mereka “pemikir” paling ulung? Tentu saja, secara logik, apabila seseorang sasterawan negara sebagai seorang pemikir ulung, maka karyanya akan menyerlahkan keulungan pemikirannya itu.  Inilah yang kita masih tunggu-tunggu dengan sabar untuk diperlihatkan dalam kertas atau makalah yang membicarakan tentang aspek “pemikiran” ini. Saya tidak bertemu apa-apa yang boleh dikategori sebagai “pemikiran” dalam tesis Ph.D. yang menulis tentang sasterawan  negara. Yang jelas, penulisnya menurunkan kembali cerita-cerita para sasterawan negara, sehingga jadilah kritikan mereka itu kritikan cerita, hanya sekadar menceritakan kembali bacaan mereka. Saya juga menunggu seseorang boleh memberikan sanggahan konkrit tentang kesimpulan ini.  Untuk memudahkan mereka memahami maksud saya, saya pernah memberi contoh Iqbal, yang pemikirannya berlegar di sekitar pembinaan peribadi Muslim yang kuat, berasaskan Cinta Ilahi. Kata para sarjana, contoh itu tidak tepat dan tidak adil, kerana tidak seorang pun sasterawan negara yang boleh dibandingkan dengan Iqbal. Mengapa terlalu merendah diri?

Kalau semuanya dilihat dalam konteks Malaysia saja, maka sudah jelas Pak Pandir yang universal “pemikirannya” itu jauh lebih berhak digelar pemikir daripada para sasterawan negara sendiri. Tidakkah ini sangat pelik?  Pak Pandir sekurang-kurangnya dapat melontarkan konsep pandirisme dalam kebudayaan Melayu, yang juga terdapat di kalangan para sasterawan. 

Bagi saya, Naratif Ogonshoto adalah sebuah penglipur lara moden, yang tidak menampilkan apa-apa “pemikiran” besar yang boleh dikira asli yang lahir daripada sang sasterawan sebagai seorang pemikir.  Novel ini penuh sensasi, dengan pretensi intelektual yang terlalu naif, oleh itu amatlah menghairankan apabila Panel Anugerah Sastera Negara begitu terpesona dengan novel yang dari segi “pemikiran” lebih dekat kepada sebuah karya picisan intelektual.

Novel ini penuh sensasi, dengan pretensi intelektual yang terlalu naif, oleh itu amatlah menghairankan apabila Panel Anugerah Sastera Negara begitu terpesona dengan novel yang dari segi “pemikiran” lebih dekat kepada sebuah karya picisan intelektual. (Aspek ini telah saya sentuh di sana sini dalam blog ini.)  Walau bagaimana pun, untuk memuaskan para sarjana sastera, saya fikir novel terbaik Malaysia ini wajar dibaca bersama novel terburuk Malaysia, Aligupit (1973) dan karya terbaru Mohd. Affandi Hassan, Balai Maqamat (tertulis 2004, terbit 2014), mengenai segala aspek korupsi di Malaysia, termasuk dalam kesusasteraan dan kritikan sastera,  dalam penilaian sastera, dalam pendidikan, dalam politik, dalam penerbitan, dalam kepemimpinan, dan sebagainya.

Penutupnya, AH berkata:
Sekarang sudah jelas kepada anda mengapa saya menentang kewujudan sasterawan negara ini sejak awal, sejak 1981, dan menulis cerita pendek “Orang Yang Berdiri”, dan seterusnya menulis rencana menolak kehadiran sasterawan negara dalam kebudayaan Melayu yang sejak mula bergelar kebudayaan Melayu adalah berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam, yang melahirkan para ulama dan tokoh-tokoh persuratan yang handalan dan bijaksana. Sebaik saja Asas 50 mengambil alih kegiatan kreatif yang tidak berasaskan ilmu, maka terjadilah huru-hara dalam perkembangan ilmu dalam negara kita, apabila para sarjana tidak lagi peka kepada konsep ilmu yang benar dan mempersetankan begitu saja peranan Islam dalam pembinaan tamadun negara kita. Kita tidak perlukan sasterawan negara untuk menjadi cerdik dan untuk menjadi bijaksana. Kita harus kembali menjadi manusia beragama yang berilmu dan menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kita, jika kita benar-benar mahu menjadi manusia seperti yang kita semua saksikan sebelum kita dicipta dan dilahirkan ke dunia. 

Semakin aku baca Pak Affandi dan PB-nya, semakin aku faham apa yang dimaksudkan dengan PERSURATAN BARU dan ilmu.



0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...